- 562Share sekarang!
- Email1
- Facebook561
- Share
Mungkin ramai antara kita yang biasa dengar dan berbincang pasal tokoh-tokoh ilmuwan dan sarjana dari dunia Islam. Tak boleh dinafikan, bilangan tokoh Islam yang menyumbang kepada dunia ilmu agak ramai.
Dalam kita mengangkat semula kisah-kisah tokoh Islam ini, kita mungkin ada terlepas pandang beberapa tokoh lain terutamanya dari kalangan wanita. Hakikatnya, wanita muslim juga antara penyumbang terbesar dalam dunia keilmuan ni.
Sebelum kita sembang lebih jauh. Kita juga kena tahu bahawa terdapat fakta yang menunjukkan bahawa universiti pertama di dunia bukanlah Oxford mahupun Harvard. Ia dibina berabad lebih lama daripada itu. Apa yang mengejutkan, ia bukanlah universiti Al-Azhar, Mesir tetapi …
Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi adalah universiti pertama di dunia menurut UNESCO
Di Maghribi, Universiti Al-Qarawiyyin dibuka pada tahun 859 masihi. Menurut UNESCO dan Guinness World Records, ia adalah institusi pendidikan pertama di dunia yang mengurniakan ijazah. Manakala universiti berprestij macam Oxford, Cambridge, Bologna dan Columbia hanya dibuka 200 hingga 800 tahun kemudian.
Apabila diiktiraf sebagai universiti pertama, semestinya ia adalah yang paling berpengaruh suatu masa dahulu. Sewaktu dunia Eropah mengalami zaman kegelapannya, kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara pula disinari dengan cahaya keilmuan. Semuanya berlaku pada zaman Khalifah Abbasiyah yang memerintah dari 750 masihi hingga 1258 masihi.
Universiti Al-Qarawiyyin juga sangat terkenal dengan tinggalan-tinggalan sejarah seperti manuskrip, masjid dan perpustakaan. Antara manuskrip yang sangat bernilai di sana ialah Quran versi lama dengan kaligrafi Kufi di atas kulit unta yang wujud sejak abad ke-9 dan koleksi tulisan hadith yang terawal.
Di sana juga terdapat kitab Gospel dalam versi bahasa Arab yang wujud sejak abad ke-12 serta teks-teks ilmu astronomi abad ke-12 dan teks fekah abad ke-14. Dianggarkan bilangan buku dan manuskrip di dalam perpustakaan itu berjumlah 30,000.
Di universti ni jugalah tempat tokoh-tokoh ilmuwan agama belajar. Untuk muslim seperti Hassan Al-Wazzan, Ibnu Rushd, Ibnu Khaldun dan Ibn Hazm. Manakala alumni terkenal dari kalangan Yahudi adalah ahli falsafah bernama Maimonides. Dari kalangan Kristian, Pope Sylvester II pernah belajar di situ yang terkenal sebagai orang yang memperkenalkan nombor Arab kepada Eropah.
Pengasas universiti ini adalah wanita dari Tunisia bernama Fatima Al-Fihri
Fatima A-Fihriya adalah seorang anak perempuan keluarga saudagar kaya yang berhijrah ke Fez dari bandar Qayrawan di kawasan Tunisia moden hari ni. Selepas kematian suami, ayah dan abangnya dalam tempoh masa yang singkat, Fatima dan satu-satunya adik-beradiknya yang tinggal, Mariam menerima harta warisan yang banyak.
Salah satu daripada harta itu, Fatima mewariskan sejumlah besar kekayaannya untuk membina masjid dan institusi pendidikan.
“Al Fihri memulakan pembinaan universiti pada tahun 859 M setelah membeli sebidang tanah dari suku El-Hawara. Batu asas itu diletakkan pada bulan suci Ramadan dan dia menamakannya bersempena nama tempat kelahirannya – Qayrawan – di Tunisia.” – Petikan dari TRT World
Selepas masjid dibina, dia membeli lagi tanah berdekatan untuk membesarkan lagi kawasan itu. Kawasan kompleks itu semakin besar sehinggalah ia siap dibina kira-kira dua tahun kemudian. Apa yang menarik, Fatima telah berpuasa setiap hari dari hari pertama pembinaan kawasan universiti ini pada bulan ramadan sehingga ia siap.
Agak sukar untuk menceritakan secara mendalam mengenai Fatima Al-Fihri kerana tiada catatan lengkap mengenai kehidupan awal beliau. Apa yang tinggal hanya warisan berguna yang ditinggalkan.
Ilmu moden diajar dengan cara tradisional di universiti ini
Pada tahun 1963, universiti mula menggabungkan sistemnya dengan sistem pendidikan moden negara Maghribi. Ia beberapa tahun selepas Maghribi menjadi negara merdeka dari penjajahan Perancis. Kerajaan ketika itu mewajibkan sekolah ke atas rakyatnya.
Selain tu, universiti ini juga menyediakan bidang ilmu pembelajaran yang meluas meliputi agama dan perundangan serta diajar dengan cara tradisional.
Pendidikan di Universiti al-Qarawiyyin menumpukan pada ilmu agama dan perundangan Islam dengan penekanan yang tinggi, dan kekuatan tertentu dalam tatabahasa / linguistik Arab klasik dan mazhab Maliki, walaupun beberapa pelajaran mengenai mata pelajaran bukan Islam lain seperti Perancis, Inggeris, dan malah IT juga ditawarkan kepada pelajar. – Petikan dari Fez-guide
Ilmu-ilmu ini tadi disampaikan dengan cara tradisional iaitu para pelajar duduk di dalam separuh bulatan (halqa) mengelilingi pengajar. Sesi bersyarah, soal jawab dan sebagainya berlangsung dalam suasana begitu.
Perubahan di dalam universiti terus berlaku dengan mengambil lebih ramai pelajar wanita untuk memasuki institusi ini.
Wanita akan terus mengisi sumbangan kepada negara pada masa akan datang
Dalam apa jua perkembangan tamadun dunia, sumbangan wanita semestinya tidak boleh diketepikan. Dalam sejarah Islam yang panjang contohnya, sejak dari awal lagi telah ada sumbangan besar isteri rasulullah dan para sahabat. Maka, rantaian ini diteruskan hinggalah ke zaman moden ini. Hinggakan dalam bidang membangunkan teori fizik, kita ada orang seperti Prof Ilham Qaradawi. Tak lupa juga
Di Malaysia, tokoh wanita tak ketinggalan mengisi dirinya dalam pelbagai bidang yang kita sendiri tak mampu nak hitung. Ini termasuklah kebanggaan kita semua iaitu Dr Amani Salim yang merupakan saintis wanita Malaysia pertama yang bekerja di NASA.
Jika dari segi individu ramai lagi kita boleh senaraikan. Dari segi berkelompok, wanita di Malaysia lebih ramai berjaya dalam institusi pendidikan tinggi sekalipun populasi wanita di Malaysia kurang berbanding lelaki di Malaysia. Ini bukti bahawa wanita akan terus memacu sosial dan ekonomi negara!
- 562Share sekarang!
- Email1
- Facebook561
- Share