- 543Share sekarang!
- Email5
- Facebook538
- Share
Seperti kita semua tahu, satu Malaysia sekarang (kecuali Sarawak) sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari 2020 , disebabkan kes positif COVID-19 yang meningkat sehingga mencecah 5 angka. Ini juga merupakan salah satu langkah wajar yang terpaksa dilakukan supaya kes dapat menurun kembali ke paras selamat dan boleh dikawal.
Ini juga penting dalam menentukan nasib ekonomi negara kita pada masa akan datang, semua orang juga menyedari akan kepentingan dalam menambahbaik ekonomi selepas kejatuhan yang sangat teruk pada tahun lepas. Hal ini kerana terjadinya pandemik COVID-19 dan juga krisis politik yang melanda negara akibat daripada ketidakstabilan kerajaan yang masih lagi terjadi pada tahun ini.
Jadi, apa yang akan berlaku sekiranya Malaysia gagal dalam memperbaiki ekonomi negara? Apa juga akan berlaku jika ekonomi negara semakin merudum? Ini 5 perkara yang mungkin akan berlaku sekiranya ekonomi negara kita tidak menunjukkan perkembangan yang positif di masa akan datang, kalau korang nak tahu lebih lanjut sila teruskan membaca.
1. Kadar pengangguran akan meningkat
Bila kita tengok pada masa sekarang ni, kita boleh tengok makin ramai mula berniaga di tepi jalan dan ada juga yang berniaga di kawasan lampu trafik seperti menjual mangga asam boi semua. Macam mana boleh ada peningkatan aktiviti sebegitu? Ini disebabkan peningkatan kadar pengangguran dikalangan rakyat tempatan.
Bila dilihat kepada statistik tahun lepas, pada awal Januari kadar pengangguran hanya berada pada 3.3 peratus dan ianya naik secara mendadak pada Mac dengan 3.9 peratus (tertinggi semenjak Jun 2010) membuatkan ianya naik sebanyak 0.6 peratus. Walaupun nombor tu nampak kecil tetapi bila dilihat daripada jumlah rakyat Malaysia, itu merupakan angka yang sangat membimbangkan.
Tetapi perkara ini juga terjadi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada awal tahun 2020 yang memberi kesan yang sangat besar masyarakat. Ini merupakan perkara yang sangat serius dan perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dengan menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal dengan lebih banyak.
Jika perkara macam ni tak diselesaikan dengan baik dan rakyat yang menganggur dibiarkan begitu sahaja, peluang untuk ekonomi bangkit kembali itu sangat rendah. Senang cerita, orang takkan ada gaji kalau tak ada kerja, bila tak ada gaji bermakna tak ada duit, bila tak ada duit bermakna orang tu takkan berbelanja, bila orang tidak berbelanja, tidak akan ada ‘cash flow’ (jual beli) kerana ‘cash flow’ ni merupakan salah satu cara untuk merangsang ekonomi.
2. Kadar kemiskinan bandar dan luar bandar meningkat
Sehubungan dengan itu, kadar kemiskinan juga akan meningkat sekiranya tiada pekerjaan. Bila dilihat dari sudut teori, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik apabila pernah melonjak sehingga 18.2 peratus pada suku kedua tahun 2019. Itu amat membanggakan, tetapi pada masa yang sama kadar kemiskinan pada masa itu makin meningkat.
Peningkatan KDNK itu didorong oleh jumlah eksport yang tinggi daripada syarikat-syarikat dalam Malaysia tetapi pada masa sama ianya tidak memberi apa-apa kelebihan kepada rakyat. Jadi sebetul-betulnya, tidak perlu kita bangga dengan melihat statistik KDNK yang meningkat saban hari tetapi kadar kemiskinan kita juga meningkat dengan jayanya.
Lagi-lagi kita boleh lihat pada masa pandemik ini, di mana terdapat keluarga yang tidak mampu membeli barang keperluan sehingga sanggup mencuri demi kelangsungan hidup mereka. Ada juga anak-anak yang memang tak dapat mengikuti kelas online bersama dengan guru dan rakan-rakan mereka disebabkan tidak mampu untuk membeli sebuah laptop mahupun telefon pintar.
Kerajaan juga sudah mengemaskini had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di pada asalnya seseorang itu akan dikira sebagai miskin apabila mempunyai pendapatan sebanyak RM980 sebulan, ia dinaikkan kepada RM2,208. Salah seorang Menteri kita juga telah menyatakan kalau mengikut kaedah baru ni, isi rumah yang dikira sebagai miskin semakin bertambah.
“Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus (405,441 isi rumah) bagi tahun 2019. Kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005. Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525,743 isi rumah),” Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed, petikan dari Berita Harian
Jadi jika korang mempunyai pendapatan bawah RM2,200, korang akan digelar miskin atau ayat lembutnya adalah golongan B40. Peratusan ini juga akan makin meningkat sekiranya ekonomi tidak menunjukkan perkembangan yang positif.
Namun, baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan Program Miskin Bandar atau 5MY dan mungkin boleh tolong serba sedikit mereka yang dikategorikan sebagai miskin bandar.
3. Pelabur asing takut untuk melabur di Malaysia
Sekiranya ekonomi kita betul-betul tenat, perkara yang harus ditakutkan oleh kita adalah ketidaksanggupan syarikat-syarikat luar negara untuk melabur di Malaysia. Hal ini kerana, perkara itu akan mendorong kepada kejatuhan ekonomi yang lebih teruk disebabkan pelbagai faktor.
Antara faktornya adalah, apabila sesebuah syarikat itu melabur di dalam negara kita, ia sekaligus akan membuka peluang pekerjaan dan akan meningkatkan eksport dari dalam negara ke luar negara. Itu akan merangsang ekonomi dengan lebih efektif dan dalam masa yang sama dapat memberi kebaikkan terhadap rakyat Malaysia sendiri. Tetapi, apabila ekonomi negara tidak begitu cantik, itu akan mendorong pelabur-pelabur luar untuk tidak memilih Malaysia sebagai destinasi untuk melabur.
Ini juga merupakan salah satu kesan daripada pandemik COVID-19 dan juga ketidakstabilan politik dalam negara kita, itu semua adalah antara sebab mengapa Malaysia gagal dalam menarik lebih banyak pelabur untuk melabur dalam negara. Hal ini kerana, semua pelabur mengharapkan pulangan daripada pelaburan mereka itu dan apabila keadaan ekonomi semua terjejas, risiko yang harus ditanggung oleh pelabur amatlah tinggi sekaligus mereka akan takut untuk melabur.
Apabila terdapat kurang syarikat antarabangsa yang melabur ke dalam negara, kita akan tenggelam dalam persaingan industri dan akan menjejaskan pendapatan negara kita sendiri. Bahkan, negara-negara ASEAN lain sudah pun mengorak langkah yang lebih bagus dalam menarik pelabur-pelabur luar seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam yang menjadi pilihan utama syarikat-syarikat besar seperti Tesla, Amazon dan Google.
4. Pelabur asing sedia ada akan lari
Masalah yang lebih parah yang akan dilalui Malaysia adalah apabila pelabur antarabangsa yang sudah menapak di negara kita mengambil keputusan untuk menghentikan operasi dan tidak lagi melabur di sini. Itu akan terjadi sekiranya mereka sudah merasakan yang ia tidak lagi berbaloi untuk meneruskan pelaburan mereka kerana tidak banyak pulangan yang boleh dikecapi.
Sekaligus, perkara ini akan memberi tanggapan yang negatif kepada pelabur-pelabur antarabangsa yang berpotensi untuk melabur di negara ini. Benda ni dah pun bermula apabila salah satu jenama automotif yang ternama iaitu Hyundai Motor Co, membuat keputusan untuk menamatkan operasi kilangnya di Malaysia pada 31 Disember lalu. Mereka juga akan berpindah ke Indonesia disebabkan insentif yang lebih menarik dan juga menguntungkan di sana.
Perkara sebegitu merupakan kerugian yang amat besar kepada industri automotif negara, ini kerana Hyundai juga telah mendirikan ibu pejabat Asia Pasifik di Malaysia. Ini bermakna, apabila kilang mereka semua sudah tutup, eksport akan berkurang dan itu akan menjejaskan ekonomi negara kita ini.
5. Malaysia akan bankrup (worst case scenario)
Ini merupakan perkara paling teruk yang boleh terjadi sekiranya ekonomi kita tidak berada di landasan yang betul, apabila sesebuah negara itu bankrap, ia memaksa kerajaan untuk meminjam daripada Bank Dunia (World Bank) yang duduk di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Perkara ini akan menjejaskan kedaulatan sesebuah negara kerana segala keputusan dan tindak-tanduk berkaitan ekonomi akan ‘dinasihatkan’ oleh Bank Dunia.
Negara yang pernah bankrap suatu ketika dulu adalah Greece, kita boleh lihat kesan yang agak mendalam terhadap negara mereka dan betapa huru-hara rakyat ketika itu. Benda macam ni sebenarnya jauh lagi untuk Malaysia sampai, tetapi jika ekonomi kita betul-betul merudum dan tak dapat menunjukkan aliran yang positif, kemungkinan untuk bankrap tu pasti akan ada. Kerajaan sebagai pentadbir negara harus mencari jalan penyelesaian yang lebih sistematik dan berkesan untuk merangsang ekonomi negara dan kita sebagai rakyat harus sentiasa menyokong barangan tempatan.
- 543Share sekarang!
- Email5
- Facebook538
- Share