- 1.0KShare sekarang!
- Email10
- Facebook993
- Share
Sewaktu wabak ni, macam-macam benda yang tak pernah berlaku kat dunia ni, dah pun berlaku. Kalau berkaitan global, mesti berita pasal kejatuhan harga minyak yang mendadak sekali dalam sejarah. Bagi pihak pengguna ia berita baiklah sebab harga minyak jadi rendah, isi RM30 pun dah boleh penuh tangki. Tapi, bagi pihak penjual minyak, ia menjadi satu masalah untuk perniagaan mereka.
Sekali pun begitu, syarikat minyak ternama dari negara kita, Petronas macam tak bagi kesan kat mereka dalam meneruskan operasi kerja. Sebelum ni waktu ekonomi Malaysia merudum, Petronas tetap diiktiraf sebagai jenama minyak terkuat dunia 2020 oleh Brand Finance. Siap kalahkan Shell dan Gazprom lagi.
Kejayaan Petronas nampaknya tak terhenti walau dunia dilanda wabak. Buktinya…
Petronas temui telaga minyak baru jauh beribu batu dari Malaysia
Bukan satu telaga yang dijumpai, tapi beberapa telaga minyak. Ia bermula pada 6 April 2020, apabila syarikat subsidiari milik Petronas, Progress Resources USA Ltd. (PRUL) melaporkan menemui telaga di luar pesisir Teluk Mexico, Amerika Syarikat.
“Penerokaan di telaga yang amat dalam itu telah digerudi sejauh kedalaman 10,164 meter dan menemui kira-kira 60 meter pasir mengandungi minyak bersih di Lower Wilcox dari batu pasir Paleogene.” – Petikan dari Berita Harian
Untuk Petronas, ia adalah kemasukan serta penemuan pertama mereka di kawasan laut Amerika Syarikat. Kejayaan cari gali minyak Petronas di sana diteruskan lagi apabila dua lagi telaga minyak ditemui di lautan Mexico. Ia dilaporkan pada awal bulan Mei 2020 oleh anak syarikat Petronas, PC Carigali Mexico Operations S.A. de C.V. (PCCMO).
Penemuan ini melibatkan dua telaga minyak di Salina Basin, luar pesisir Mexico. Dua telaga itu adalah:
- Telaga Polok-1 selamat digerudi dengan kedalaman 2,620 meter dan menemui minyak 200 meter di takungan klastik marin dalam Lower Miocene
- Telaga Chinwol-1, yang terletak 12 kilometer dari Polok-1, digerudi dengan kedalaman 1,850 meter dan menemui minyak 150 meter di formasi Pliocene
Untuk penemuan di kawasan itu bukanlah yang pertama, tetapi dah 10 telaga penerokaan di tiga lembangan utama Mexico. Kira banyak jugalah.
Salina Basin tempat takungan berbilion-bilion tong minyak, Petronas cuba membuat bidaan
Nama penuh Salina Basin ini adalah Salina del Istmo Basin (SIB) yang terletak di Selatan Teluk Mexico seperti gambar kat atas. Secara terperincinya, Salina Basin ni ada tiga kawasan utama iaitu Catemaco, Agua Dulce dan Marbella.
Walaupun kawasan minyak dan gas ditemui pada tahun 50-an dan 60-an. Kerja-kerja penerokaan penggerudian di kawasan ini dilaporkan dah bermula sejak 2002 lagi. Tapi waktu tu, Petronas belum terlibat kat kawasan ni.
“Tiga lembangan minyak dan gas terbesar, dengan 37 juta tong (barrel) pengeluaran minyak terkumpul dan 30 billion kaki padu (bcf) gas, ditemui pada tahun 50-an dan 60-an. Walau bagaimanapun kajian penerokaan baru dijalankan pada tahun 90-an.” – Petikan dari AAPG International Conference
Tuah di kawasan ini terus bertambah, apabila lembangan minyak dan gas Tabscoob ditemui pada tahun 1998. Pada tahun 2003, telah digerudi 12 telaga penerokaan serta ditemui 22 takungan yang terdiri daripada 12 takungan minyak, 5 takungan gas berkaitan dan 5 takungan gas kering. Semua ini bersamaan jumlah 116 juta tong (barrel).
Jadi, takkanlah syarikat-syarikat minyak seluruh dunia tak datang bertandang membida projek di Salina Basin ni? Memang berebut syarikat-syarikat minyak antarabangsa seperti BP, Exxonmobil dan lain-lain. Pada tahun 2016, satu keputusan pembidaan projek cari gali minyak keluar dan … anak syarikat Petronas, PC Carigali Mexico Operation memenangi pembidaan dua blok di kawasan panas, Salina Basin. Dua blok tu adalah:
- Blok 4: Kawasan seluas 911 batu persegi dan dikatakan mengandungi sekitar 392 juta tong minyak setara (boe) dalam minyak mentah ringan dan berat serta gas asli. Dikawasan ni, Petronas dipilih sebagai pengendali dengan kerjasama syarikat Sierra (syarikat gas Amerika Latin)
- Blok 5: Kawasan seluas 993.5 batu persegi dengan anggaran 621 juta tong minyak setara (boe) dalam minyak mentah ringan dan berat serta gas semulajadi. Kat kawasan ni juga operasi kerjasama melibatkan syarikat minyak lain iaitu Ophir Mexico Holdings, Murphy Oil dan Sierra Offshore
Pada tahun 2018, Petronas menang lagi 6 blok di kawasan lembangan minyak dan gas di Teluk Mexico. Maka, penerokaan terus dibuat hinggalah telaga minyak ditemui di blok-blok seperti yang ditulis kat atas.
Kewangan Petronas memberi impak kepada ekonomi negara
Sebelum ni, kami ada tulis mengenai pengiktirafan Brand Finance terhadap Petronas sebagai jenama minyak terkuat dunia 2020. Penilaian ni bukan biasa-biasa, ia kerana usaha-usaha pihak Petronas yang menyeluruh dalam sektor tenaga di peringkat dunia.
“PETRONAS mempunyai matlamat yang jelas untuk berusaha ke arah penyelesaian baru dan alternatif kepada minyak dan gas – sambil kekal optimis serta berwaspada – dalam usaha untuk melindungi jenama pada masa akan datang.” – David Haigh, CEO Brand Finance
Dalam carta-carta lain, Petronas berkedudukan ke-28 dunia bagi kategori simpanan minyak (oil reserves) dengan 3.6 billion tong. Kita semua kena ingat, pentingnya kemajuan ekonomi Petronas ni sebab ia syarikat milik negara yang merupakan pusat kepada sektor minyak dan gas. Dan hasil kewangan Petronas sangat penting untuk memajukan ekonomi negara.
Moga penemuan telaga minyak ni akan menjadikan Petronas lebih sukses!
- 1.0KShare sekarang!
- Email10
- Facebook993
- Share