Sejarah & Politik

Meriam Kampung Talang: Pesta dentuman meriam besi yang direstui penduduk

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 18 Jun 2018. Kami siarkan semula sempena raya.

Walaupun mercun telah diwartakan haram sejak tahun 1994 di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207), tapi masih ada jugak orang yang main mercun. Lagi-lagi yang jenis buatan sendiri. Belum raya lagi dah ada kes yang kita dengar, sampai ada yang putus jari, hilang penglihatan dan paling teruk sampai membawa maut.

Tapi di sebalik pengharaman mercun masih ada orang yang main satu benda yang rasanya lebih bahaya dan kuat bunyinya dari mercun. Kat tempat korang ada tak orang main meriam? Tak kisahlah meriam katak ke, meriam buluh ke janji meriam. Kalau ada kat tempat korang, kuat tak bunyi dia?

Ni meriam makan Ketua Angkatan Perang namanya. Imej dari Giphy

Ada satu tempat kat Perak ni dah main meriam secara tradisi sejak tahun 1937 lagi

Dekat Perak ada satu kampung yang terletak di bandar Kuala Kangsar, nama kampung tu Kampung Talang. Tapi apa yang istimewanya kampung ni ialah aktiviti bermain meriam pada malam raya dan lebih dikenali sebagai meriam Talang. Aktiviti bermain meriam adalah satu acara tradisi yang telah dibuat sejak tahun 1937 lagi. Tapi apa sebenarnya meriam Talang ni?

Meriam Talang adalah sejenis meriam buatan sendiri yang dimain hanya pada malam raya setiap tahun. Meriam Talang diberi nama sempena dengan tempat asal meriam ini dimainkan iaitu di Kampung Talang, Kuala Kangsar Perak. Kampung Talang pulak terbahagi kepada lima bahagian iaitu Talang Hulu, Talang Hilir, Talang Tengah, Talang Masjid dan Talang Changkat.

Lokasi kampung Talang. Imej dari Facebook Meriam Talang

Untuk lebih jelas perihal meriam Talang, kita kena pergi lebih jauh ke dalam sejarah permainan meriam Talang. Menurut sumber yang kami dapat dari akaun Facebok rasmi Meriam Talangpermainan ini telah dipelopori oleh sekumpulan anak muda sekitar tahun 1930-an.

Antara veteren Meriam Talang yang terkenal ialah Abdul Manaf Mat Piah atau lebih dikenali sebagai Pak Hasan. Dia yang merupakan penduduk asal kampung Talang Changkat merupakan waris tunggal Meriam Talang. Dia telah mewariskan permainan Meriam Talang dari satu generasi ke generasi lain hingga masih dimainkan lagi sampai sekarang. Hasil warisannya, Meriam Talang kini popular di seluruh Malaysia malah di peringkat dunia apabila video-video meriam Talang ini boleh ditonton di Youtube.

Inilah meriam besi Talang. Imej dari Rob Amstrong Oztoice

Asalnya meriam buluh dan telah bertukar ke meriam besi sejak tahun 70-an

Menurut cerita Pak Hasan ketika sambutan Aidilfitri sekitar tahun 1937, Allahyarham datuknya, Pak Ndak Mat Amin merupakan antara individu pertama yang mengajar Pak Hasan ni bermain meriam buluh.

Menurut Pak Hasan lagi menjelang bulan Ramadan, dia dan empat lagi sepupu, Bahrin Salleh, Zulkifli Mat Kib, Aidin Abu Bakar dan Mohd. Bashah Abdul Rani akan berbasikal ke Kampung Buaya, Padang Rengas, Perak. Tujuannya untuk dapatkan buluh beting sepanjang 2 meter sebagai persediaan membuat meriam bagi dimainkan pada hari raya nanti.

Bila kerja-kerja mencari buluh selesai, mereka akan membeli karbait seberat 600 gram yang dijual di hadapan masjid pada harga 25 sen. Pada masa tu, bahan bakar untuk meriam dijual secara terbuka kepada penduduk kampung.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Ini lah Karbaid, bahan asas untuk main meriam. Imej dari KimiaJawi

Menurut cerita Pak Hasan, diaorang akan main di kawasan hutan berhampiran rumah datuknya. Kini kawasan asal tempat dia bermain meriam itu dah dijadikan tapak Madrasah as-Saadah yang terletak berhampiran kawasan sawah padi kampung tu.

Meriam buluh tu kemudian akan dibalut dengan karung guni sebelum diikat dengan dawai sebagai langkah keselamatan. Ini bertujuan untuk mengelakkan buluh pecah kalau-kalau karbaid diletakkan secara berlebihan di dalam kartus iaitu pemampat di pangkal buluh.

Disebabkan tradisi permainan meriam buluh dilakukan setiap tahun sejak 1930-an lagi, lalu penduduk kampung Talang dah capai satu kata sepakat yang aktiviti main meriam taklah mengganggu ketenteraman penduduk, jadi maknanya penduduk Kampung Talang siap bagi restu lagi untuk aktiviti main meriam ni. Diorang dah tak kisah walaupun bunyi meriam tu bukan calang-calang bunyi dia, dah macam perang Teluk sana.

Dan atas faktor persetujuan penduduk jugak lah mereka dah minta kebenaran daripada pihak berkuasa untuk bermain meriam buluh di kampung itu bermula sekitar tahun 1960-an lagi. Jadi bukan saja penduduk bagi restu tapi pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan jugak bagi restu.

Acara akan bermula pada pukul 11 malam. Imej dari kampongtalang.com

Seiring dengan perubahan masa, permainan meriam buluh juga terkena tempiasnya jugak. Dan kini , meriam buluh dah tak dimainkan lagi oleh penduduk Kampung Talang tetapi telah dinaiktaraf dan digantikan dengan meriam besi sejak tahun 1970-an.

Besi yang diorang gunakan berketebalan 15mm sebab tu tahan lama dan menghasilkan dentuman yang padu. Imej dari diytrade.com

Untuk info korang, besi yang digunakan ialah besi sedut pasir dan bukan besi tiang telefon. Anggaran ketebalan besi yang diorang guna ni adalah 15mm. Menurut info besi yang digunakan sangat tebal dan didapati lebih selamat. Bila guna besi ni, bunyi yang terhasil lebih padu dan kuat. Jadi korang dah dapat bayangkan suasana masa malam raya tu kan? Mesti berdengung telinga tu.

Apa sebenarnya yang akan terjadi pada malam raya tu?

Pada malam menjelang Aidilfitri, Kampung Talang ni dah jadi macam pesta. Orang ramai dah mula sesak sejak pukul 10 malam lagi. Rata-rata yang datang bukan saja dari kalangan penduduk sekitar tapi ada jugak orang luar dan pelancong pun ada untuk tak lepaskan peluang saksikan acara tahunan ini. Penduduk kampung Talang pun tak lepaskan peluang bila dah ada orang ramai masuk kampung diaorang. Jadi diorang pun berniaga gerai kat situ, siap ada gerai laksa lagi.

Secara teknikalnya pada malam tu ada enam pasukan dari kampung yang berbeza berentap menghasilkan bunyi meriam besi. Angkatan meriam ini akan ditempatkan di setiap lokasi berbeza. Lazimnya setiap angkatan akan di ketuai oleh seorang Kapten.

Angkatan-angkatan ini kemudian akan berselang-seli melepaskan tembakan mengikut giliran dan ada juga akan dilepaskan serentak. Angkatan-angkatan ini akan menggunakan isyarat obor bagi menyatakan bahawa diaorang dah bersedia melepaskan tembakan.

Obor dari semua penembak akan diangkat menegak. Dengan arahan daripada Kapten bertauliah, diaorang akan melepaskan tembakan mengikut perancangan yang dah diaturkan. Perkara ni akan berlanjutan sampai subuh.

Setiap angkatan akan ada seorang kapten. Imej dari bmcari.com

“Setiap ahli pasukan pasti menyumbang bagi membeli kos karbaid dan cat untuk mengecat meriam. Bagi setiap pasukan, dianggarkan sekotak karbaid 25 kilogram berharga RM100 digunakan sepanjang malam itu. Setiap kotak mengandungi 25 kampit karbaid”.- Asri Kamil Sabden, kapten/orang lama, petikan dari Kosmo.

Dan menurut Asri lagi, besi penyedut pasir yang diaorang guna tu dibeli pada tahun 1987 serta dah dibaik pulih dengan harga RM35. Tapi besi tu masih kukuh dan tak rosak sampai sekarang.

Pada malam tu, ciri keselamatan merupakan antara aspek yang ditekankan. Di sekeliling kawasan permainan, penduduk kampung meletakkan tali pita keselamatan supaya pelancong tak menghampiri kawasan tu. Menurut Asri lagi, sejak tahun 2005, pelancong dari dalam dan luar negara semakin meningkat setiap tahun.

“Aktiviti bermain meriam pada malam hari raya merupakan salah satu cara penduduk mengekalkan tradisi turun-temurun di kampung. Kami dibesarkan dengan bunyian meriam pada malam raya. Tiada bunyi meriam maka tidak berertilah Aidilfitri bagi kami,” – Asri, petikan dari Kosmo.

Macam mana meriam boleh meletup dari sudut sains

Antara bahan asas dalam permainan meriam ni adalah kabait atau disebut juga kabad. Tapi apa sebenarnya kabait dan fungsinya? Kabait ni orang guna untuk peram buah supaya cepat masak. Kabait merupakan bahan yang sangat penting bagi petani untuk matangkan buah. Dan jenama kabad yang paling famous selalunyer cap nanas ngan cap pelita.

Ada juga jenama lain, tapi yang dua ni adalah yang paling top. Tapi untuk kegunaan meriam korang disarankan pakai cap pelita. Tindak balas yang terhasil kuat ya amat. Dan kabait ni boleh dijumpai di kedai hardwere atau kedai baja.

Karbait Cap Nenas yang padu. Imej dari kimiajawi

Dalam terma kimia, nama sebenar bagi kabait ni adalah kalsium karbida. Ianya satu bahan tulen berbentuk kristal tidak berwarna, tetapi kebanyakan sampel berbeza dari putih ke coklat, jadi yang korang beli dari hardware tu tak la tulen sampai lab reagent grade, tapi masih boleh digunakan untuk menghasilkan gas asetilena (acetylene).  Aplikasinya, kalsium karbida digunakan untuk menghasilkan asetilena dengan cara mencampurkan kalsium karbida bersama air.

Inilah Friedrich Wöhler, dia lah yang jumpa gas kabait. Imej dari Wikipedia

Di China, gas asetilena dihasilkan dengan cara ini untuk dijadikan bahan mentah di dalam industri kimia. Gas asetilena jugak akan  menjadi bahan bakar di dalam lampu kabad iaitu apa yang orang panggil sebagai pelita kabad.

Inilah pelita kabad kalau korang nak tahu, selalu jumpa pelita ni kat pasar malam. Imej dari koleksioldskool

Risiko kecederaan pada kulit kepala, tengkuk atau tengkorak kepala

Adalah sangat penting jika para peserta menggunakan perlatan keselamatan seperti topi keselamatan, glove, cermin mata dan juga kasut yang sesuai. Risiko kecedaraan pada kulit kepala, tengkuk atau tengkorak kepala dapat dielakan jika muncung hadapan meriam logam itu pecah atau bocor dari hentakan api bahan kabait.

Bahagian muncung berkemampuan untuk pecah atau bocor itu terletak di antara jarak 12 sentimeter hingga 1 meter dari muncung meriam tersebut.  Walau hala tuju pecahan terarah ke hadapan tetapi percikan dari serpihan itu bakal mengenai pemain yang duduk di atas batang besi tersebut.

Meriam Talang juga ada risiko bahayanya. Imej dari oocities.org

Main-main jugak tapi faktor keselamatan perlu diberi keutamaan. Bila kita berurusan dengan bahan yang mudah terbakar ni adalah tinggi risikonya kalau tak diuruskan dengan betul. Jadi diharap kepada semua yang terlibat akan lebih peka dengan faktor keselamatan supaya nanti tak ada yang akan beraya di hospital.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend