- 2.6KShare sekarang!
- Email277
- Facebook2.3K
- Share
Gelaran dan pangkat khas kat negara ni memang dah lama wujud sejak Kerajaan Melayu Tradisional (masyarakat Melayu yang hidup sebelum zaman penjajahan) lagi. Kerajaan Johor contohnya, di bawah Sultan dan Menteri ada unit orang kaya. Mereka ada beberapa gelaran macam Seri Bija Diraja, Seri Nara Menteri dan Seri Nara Diraja.
Zaman sekarang ni, Malaysia masih mengamalkan gelaran-gelaran seperti Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk. Punyalah banyak Datuk kat Malaysia ni sampaikan kalau keluar berita pasal kes jenayah (contohnya Datuk yang join gangster ataupun yang buat scam), orang dah lali dah. Sultan Johor pun ada sebut:
“Kalau kita baling batu, ia akan kena kepala seorang Datuk dan melantun kena kepada seorang Datuk juga.” – Petikan dari Berita Harian.
Tapi korang boleh bezakan tak gelaran-gelaran ni semua, apa maknanya, dan macam mana boleh dapat? Kali ni SOSCILI akan ceritakan benda tu semua, kita mula dengan gelaran…
Tun: Gelaran yang paling terhad di Malaysia
Bila sebut Tun, biasanya kita takkan lupa nama orang besar macam Tun Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Tun Hussein Onn dan juga Tun Abdul Razak. Semua nama ni adalah bekas Perdana Menteri Malaysia kecuali Tun M lah yang naik sekali lagi. Adakah ini bermakna bekas perdana menteri je yang dapat gelaran Tun?
Kalau korang nak tahu, sesuatu gelaran tu akan dikurniakan kepada seseorang kalau dia dapat darjah kebesaran sama ada melalui kerajaan negeri atau kerajaan perseketuan. Darjah kebesaran negeri akan diberikan oleh Sultan negeri atau Yang Di Pertua negeri. Manakala Darjah Kebesaran Persekutuan ni pulak akan dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kepada…
“pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan diplomat negara-negara asing.” – Petikan dari Istananegara.gov.
Dalam Darjah Kebesaran Persekutuan ni pula ada beberapa jenis pangkat kebesaran. Ada dua pangkat yang akan membawa seseorang tu menerima gelaran Tun. Pangkat pertama adalah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) di mana ia…
“dikurniakan kepada mereka yang telah berbuat jasa yang cemerlang kepada negara selama beberapa waktu dengan penuh tanggungjawab dan mereka ini mempunyai kedudukan yang tinggi serta berpengaruh.” – Petikan dari Istiadat.gov.
Pangkat S.M.N ni hanya dihadkan kepada 25 orang sahaja penerima dalam satu masa. Warganegara asing pun layak menerima pangkat ni sebagai anugerah kehormat. Penyandang pangkat ni akan mendapat gelaran Tun dan isterinya pula Toh Puan. Satu lagi pangkat yang akan membawa gelaran Tun adalah pangkat Seri Setia Mahkota (S.M.M) yang…
“dikurniakan kepada mereka yang telah banyak berbuat jasa yang cemerlang kepada negara dengan penuh tanggungjawab dan berpengaruh serta bertaraf tinggi kedudukannya.” – Petikan dari Istiadat.gov.
Pada tahun 2017, hanya ada tiga rakyat Malaysia yang menerima gelaran Tun selepas menerima pangkat S.M.M iaitu Tan Sri Md Raus Sharif (Ketua Hakim Negara), Datuk Seri S Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum.
Tan Sri: Ada kelas pertama dan kedua
Kalau Tun tadi, ia adalah darjah pangkat pertama dari Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). Tan Sri pula adalah Darjah Pangkat Kedua YMPN.
Bawah Tan Sri ni pulak ada dua kelas. Untuk kelas pertama, seseorang tu mesti menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N), yang…
“Dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara dalam apa jua lapangan.” – Petikan dari Istananegara.gov.
Isteri kepada Tan Sri ni tadi automatik dapat gelaran Puan Sri. Walaupun macam tu, warganegara asing juga boleh dapat anugerah ni sebagai anugerah kehormat. Tan Sri kelas pertama ni terhad kepada 75 orang sahaja. Bagi Tan Sri Kelas Kedua, mereka ni adalah orang yang menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M). Anugerah ni terhad kepada 250 orang untuk sekali bagi.
Dato’ Seri dan Datuk Seri ada beza ke?
Selain nama menteri, nama macam Datuk Seri Jamal Yunos atau Datuk Seri Vida memang menyebabkan kita terbiasa dengar gelaran Datuk Seri atau Dato’ Seri ni. Jadi apakah ada perbezaan antara Dato’ Seri, Datuk Seri atau pun Dato Sri?
Kalau seseorang tu ada gelaran Dato’ Seri, maknanya dia adalah penerima pangkat atau pingat macam kat bawah ni.
- Kedah: Penerima pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati atau satu lagi darjah lain dari Sultan Kedah.
- Negeri Sembilan: Penerima pingat Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji atau dua lagi darjah lain dari Sultan Negeri Sembilan.
- Pahang: Penerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang dari Sultan Pahang.
- Pulau Pinang: Penerima pingat Darjah Panglima Pangkuan Negeri atau satu lagi darjah lain dari Yang Di-Pertua Pulau Pinang.
- Perak: Penerima pingat Darjah Kebesaran Dato’ Seri Azlanii atau tiga lagi darjah dari Sultan Perak.
- Perlis: Penerima pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis dari Sultan Perlis.
- Selangor: Penerima pingat Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor atau satu lagi darjah lain dari Sultan Selangor.
- Terengganu: Penerima pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu atau satu lagi darjah lain dari Sultan Terengganu.
Untuk gelaran Datuk Seri, diorang ni adalah:
- Melaka: Penerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka dari Yang Di-Pertua Melaka.
- Wilayah Persekutuan: Penerima anugerah Seri Mahkota Wilayah dari Yang di-Pertuan Agong.
Kalau Dato Sri pulak, diorang tu penerima pingat Panglima Bintang Negeri Sarawak dari Yang Di Pertua Sarawak.
Siapa sebenarnya yang boleh dapat Datuk atau Dato’?
Gelaran Datuk ni lah yang paling selalu kita dengar. Sampai orang ramai pertikaikan kredibiliti diorang. Semua ni terjadi sebab ada beberapa sikap orang yang ada gelaran Datuk ni memberi kesan buruk kepada netizen. Tapi, anugerah Datuk ni juga ada yang terhad jika diberi oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).
Ada orang yang dapat gelaran Datuk ni bila dia menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN). Anugerah ni terhad kepada 200 orang je pada satu masa. Satu lagi anugerah yang membawa gelaran Datuk adalah penerima pingat Panglima Setia Diraja (PSD). Anugerah ni adalah atas budi bicara YDPA yang terhad kepada 200 orang pada satu masa.
Jadi, patutnya taklah ramai sangatkan? Anugerah ni boleh jadi ramai yang dapat sebab ada juga anugerah dari negeri yang boleh membawa gelaran Datuk macam:
- Melaka: Penerima pingat Darjah Mulia Seri Melaka atau Darjah Pangkuan Seri Melaka.
- Sabah: Penerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu.
- Sarawak: Penerima pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang.
- Wilayah Persekutuan: Penerima pingat Panglima Mahkota Wilayah.
Ada juga penerima ni dapat gelaran Dato’ yang sama je sebutan dengan Datuk tapi lain ejaan. Diorang adalah penerima macam:
- Johor: Penerima anugerah Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor atau tiga lagi anugerah.
- Kedah: Penerima anugerah Darjah Paduka Mahkota Kedah atau Darjah Dato’ Setia DiRaja Kedah.
- Kelantan: Penerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan (Al-Muhammadi I) atau tujuh lagi anugerah lain.
- Negeri Sembilan: Penerima anugerah Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan atau empat lagi anugerah lain.
- Pahang: Penerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang atau Darjah Indera Mahkota Pahang dari Sultan Pahang.
- Pulau Pinang: Penerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri dan Darjah Setia Pangkuan Negeri.
- Perak: Penerima anugerah Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak.
- Perlis: Penerima anugerah Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis atau tiga anugerah lain.
- Selangor: Penerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor atau dua anugerah lain.
- Terengganu: Penerima anugerah Seri Paduka Mahkota Terengganu atau tiga anugerah lain.
Walaupun ejaan Datuk dan Dato’ ni lain, tapi biasa kita tengok dalam berita ejaannya Datuk je, Menurut satu pendapat, perkataan Datuk telah digunakan dalam media massa sama ada akhbar atau lainnya sebagai penyelarasan supaya orang senang baca.
Ada negeri yang bagi banyak gelaran Datuk berbanding yang lain
Biasanya gelaran yang kita tengok keluar dalam berita adalah macam yang tersenarai kat atas tadi. Tapi, ada juga gelaran yang jarang kita dengar macam Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Di Raja dan Dato’ Seri Wira. Itu semua mengikut negeri-negeri tertentu.
Gelaran macam Tun dan Tan Sri memang tak berapa ramai yang dapat sebab hanya Yang Di Pertuan Agong je yang akan bagi. Kalau anugerah ikut negeri pulak, negeri yang paling banyak pernah bagi dalam satu masa adalah…
“Pahang mengurniakan 109 darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk sempena hari keputeraan Sultan Ahmad Shah yang ke-74 esok (2004), iaitu terbanyak pernah dikurniakan dalam sejarah sesebuah negeri.” – Petikan dari Utusan.
Antara negeri paling sikit bagi anugerah Datuk adalah Johor pada tahun yang sama iaitu dua. Pada tahun ni, ada 100 anugerah kebesaran dan hanya tiga individu yang dapat anugerah yang membawa gelaran Datuk di negeri Johor.
Penganugerahan Datuk yang terlalu banyak sebenarnya pernah mendapat kritikan beberapa pihak, sebab takut menjejaskan kredibiliti pangkat tu. Tambahan pulak, ada juga kes-kes yang mana darjah kebesaran dan anugerah Datuk palsu telah dijual dengan harga RM180 000 hingga RM 280 000.
Korang mungkin ingat lagi Ali Tinju yang pernah buat senaman punggung depan rumah Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersama Bersih 2.0).Sebenarnya Ali Tinju mengaku gelaran Datuk yang dia pakai tu adalah dibeli dengan harga RM 250 000.
“Mohd. Ali memakai gelaran itu yang kononnya dianugerahkan oleh institusi diraja dari sebuah negeri di bahagian utara Semenanjung pada 2006 menerusi seorang ejen dan ahli kerabat institusi itu.” – Petikan dari Utusan.
Jadi kenapa ramai sangat nak sangat gelaran Datuk ni?
Ada yang beli untuk dapat perlindungan dari tindakan undang-undang
Memang terbukti ada yang sanggup beli gelaran Datuk palsu di Malaysia. Tapi, kita nak tahu juga kenapa? Menurut Ali Baharom atau Ali Tinju…
“nafsu untuk memakai gelaran Datuk pada masa itu timbul kerana berfikiran ia boleh memudahkan urusan perniagaannya sebagai kontraktor.” – Petikan dari Utusan.
Selain penjualan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, ada juga yang beli darjah kebesaran yang tak ada gelaran Datuk. Contohnya macam kes jual darjah kebesaran Pingat Setia Diraja Negara (PSRN) di Kedah. Walaupun tak ada gelaran, tapi ada kelebihan bila dapat.
“PSRN yang diterima itu tidak membawa apa-apa gelaran istimewa, namun penerima anugerah itu kononnya memiliki kelebihan untuk mendapatkan tender kontrak bagi projek kerajaan.” – Petikan dari Berita Harian.
Bukan setakat jual darjah kebesaran dan gelaran. Diorang siap jual surat kuning lagi yang kena bayar RM 5,000 hingga RM 10,000 tiap bulan. Tujuan surat kuning tu…
“…’surat kuning’ yang mana pemiliknya dikatakan mampu mengelak daripada tindakan undang-undang.” – Petikan dari Utusan.
Menurut Sultan Dr. Nazrin Shah, pembeli darjah kebesaran yang berlaku di Perak juga mendapat kad keahlian dan surat khas yang akan bagi diorang perlindungan kalau ada buat jenayah. Selain tu, diorang akan dapat sticker kenderaan yang menjamin keistimewaan diorang bila ada di jalan raya. Kiranya macam tak boleh disentuh lah ni.
Ada semakan online untuk tahu Datuk seseorang tu sahih ke tak
Dalam keadaan ramai orang yang nak ada gelaran sampai sanggup beli yang palsu, di Malaysia, ada je pemimpin yang tak mahu gelaran Datuk. Contohnya, macam Khairy Jamaluddin (Menteri Belia & Sukan). Baginya, gelaran Datuk tu terlalu istimewa dan dia belum layak untuk menerimanya. Tapi tak semua ada sifat macam KJ ni. Sebab tu lah ada cadangan supaya setiap negeri menetapkan 3 hingga 4 sahaja Darjah Datuk setahun macam di negeri Johor. Itu pun dengan syarat yang lebih ketat.
Untuk korang rakyat biasa ni, kalau korang ragu-ragu, sebenarnya ada cara korang nak semak gelaran seseorang tu. Korang boleh cek gelaran seseorang tu sama ada sahih atau tak di website istiadat.gov.my atau pun korang boleh tekan link ni.
Ada juga orang luar negara yang menerima pangkat Datuk
Di Malaysia ada juga orang beli Datuk lepas tu, jadi scammer
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 18 Disember 2017*
- 2.6KShare sekarang!
- Email277
- Facebook2.3K
- Share