Sejarah & Politik

Ini 5 kontroversi yang DAP pernah buat: Dari isu UEC ke seruan buka kedutaan di Israel

Sejak beberapa hari ni, kecoh bila ada sebilangan pihak yang mendesak Menteri Pendidikan – Dr Maszlee Malik supaya meletakkan jawatan. Malah, siap ada petisyen yang mendesak supaya Maszlee meletakkan jawatan.

Semuanya jadi, bila Maszlee kata – pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” – Katanya dipetik BH Online.

Bagaimanapun, kenyataan Maszlee tu dah mendapat bantahan terutamanya pemimpin-pemimpin dari DAP, MCA dan GERAKAN. Disebabkan hal ni juga, dikatakan wujud gerakan oleh DAP untuk menyingkirkan Maszlee dari kedudukannya.

Tapi, pemimpin veteran DAP – Lim Kit Siang menafikan hal tu, dan kata partinya tak terlibat dalam kempen untuk menyingkirkan Maszlee.

Mahasiswa AMANAH pun bagi reaksi tentang kontroversi terbaru ni. Imej dari Mahasiswa Amanah Nasional (FB).

Apa yang pasti, hal ini sekali lagi menampakkan masalah yang menimpa PH dalam pentadbiran negara. Dan yang lebih menarik, DAP nampaknya lebih agresif dalam mengkritik tindakan Maszlee ni.

Tapi macam mana pula dengan tindakan DAP yang mengundang kritikan dan kontroversi? Oleh itu, SOSCILI kali ni nak senaraikan beberapa kontroversi yang pernah dibangkitkan oleh DAP di era Malaysia Baru ni. Dan antaranya adalah…

1. Mahu sijil UEC diiktiraf

Sebenarnya, isu berkenaan dengan Sijl Peperiksaan Bersama (UEC) ni memang dah lama diperdebatkan dan dah menjadi modal politik ramai pihak. Tapi menjelang era Malaysia baru, isu UEC kembali lagi berbangkit dan ia bertambah panas bila Timbalan Menteri PendidikanTeo Nie Ching nak isu pengiktirafan UEC selesai sebelum hujung tahun 2018.

“Saya harap dapat selesaikan tugas ini sebelum hujung tahun, ini matlamat saya. Mungkin perlu makan masa untuk bina sebuah sekolah, tapi ini (pengiktirafan UEC) boleh dibuat secepat mungkin.” – Katanya dipetik dari Malaysiakini.

Belum sempat kerajaan iktiraf, syarikat dah iktiraf dulu. Imej dari Utusan Online.

Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Menteri dari DAP ni dah mendapat reaksi ramai, terutamanya daripada kalangan yang menentang pengiktirafan UEC. Bagi Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Dr Teo Kok Seongpengiktirafan UEC adalah satu penderhakan kepada rakyat.


Hujahnya, pengiktirafan UEC sangat bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Tapi dalam masa sama, di pihak yang menyokong pengiktirafan UEC pula kata yang UEC tak membelakangkan dasar pendidikan negara. Bagaimanapun, kerajaan lepas tu setuju untuk buat kajian holistik sebelum buat apa-apa keputusan pasal UEC dibuat.

Klik sini kalau nak baca lanjut.

Tak lama lepas tu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kata –  perasaan orang Melayu pun sepatutnya dipertimbangkan sebelum UEC diiktiraf. Tambahnya lagi, sesuatu peperiksaan tu seharusnya mencerminkan keadaan di negara ni dan tak boleh kita ambil peperiksaan yang menggunakan sistem negara asing.

Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir dah mendapat reaksi pelbagai, terutamanya dari DAP dan MCA. Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu kata – dia kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir tu.

“Maafkan saya, tapi mengiktiraf UEC adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan. Inilah janji yang dibuat kepada pengundi.

“Anda tidak boleh berpaling selepas pilihan raya dan mengatakan bahawa anda tidak dapat memenuhi janji-janji anda kerana anda prihatin perasaan sesetengah orang tentangnya.” – Katanya dipetik dari The Star.

Dua-dua pihak dah janji.

Bagi Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng pula, perasaan dan sentimen orang Cina juga tak boleh dipandang sepi. Katanya…

“UEC bukan sekadar bahasa Cina tetapi isu kebangsaan, tetapi kerajaan hanya mengambil kira perasaan orang Melayu dan bukan orang Cina.

Adakah kerana beliau menganggap orang Cina Malaysia rakyat kelas kedua?” – Katanya, dipetik dari The Star.

[BACA JUGA: PEGUAM NEGARA IKTIRAF UEC, APA DI SEBALIK SIJIL KONTROVERSI NI?]

2. Senator DAP cadang Malaysia buka kedutaan di Israel

Seperti mana yang kita semua tahu, Malaysia sejak dari dulu lagi menjadi penyokong kuat Palestin dan menentang sekeras-kerasnya kezaliman serta penjajahan Zionis Israel. Disebabkan hal ini jugalah, Malaysia tak ada apa-apa hubungan diplomatik dengan negara haram tu.

Bagaimanapun, dalam persidangan Dewan Negara pada bulan April lalu, seorang Senator DAP dah membangkitkan satu perkara yang cukup sensitif bila dia mencadangkan Malaysia supaya membuka kedutaan di IsraelNga Hock Cheh kata, dia menyokong cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia buka kedutaan di Palestin.

Tapi dalam masa sama, dia cadangkan supaya Malaysia buka kedutaan di Israel, supaya Malaysia boleh menjadi negara yang menolong kewujudan keamanan di Timur Tengah. Dia juga kata yang Malaysia boleh dapat manfaat ekonomi, sebab Israel maju dalam teknologi terutamanya dalam bidang pertanian.

“Thailand juga telah mendapat manfaat dari kepakaran dan bantuan Israel. Sekarang, jika kita boleh mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara ini dan mengambil tindakan proaktif dan menjadikan Malaysia berguna di peringkat dunia sebagai pendamai yang membawa berkat khusus dalam kitab suci, mereka dipanggil sebagai ‘children of God’.” – Kataya dipetik dari hansard Parlimen 24 April 2019.

Nga Hock Cheh. Imej dari FMT.

Tambah Nga, menurut kitab-kitab, para pendamai diberi rahmat, dan dia gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang senator beragama Kristian jika dia tak mengingatkan Dewan Negara tentang perkara tu.

Dan seperti mana yang kita dapat agak, kenyataan dan cadangan Nga ni dah dapat kecaman ramai pihak. Sebuah gerakan kempen global terhadap Israel – Boycott, Divestment & Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menyifatkan Nga bukan je menunjukkan ‘kebendulannya’ tentang konflik di Palestin.

Tapi juga melihat perkara ni secara tak bertepatan dengan agama Kristian, apabila dia tak mengendahkan nasib orang-orang Kristian yang juga jadi mangsa keganasan Zionis.

“Orang Palestin beragama Kristian dinafikan hak asasi manusia seperti saudara-saudara Islam mereka.

Pokok pangkalnya, anda tidak perlu jadi Islam, Kristian, Buddha atau Hindu untuk menentang apa yang dilakuan Israel terhadap orang Palestin. Anda hanya perlu jadi manusia.” – Kenyataan BDS Malaysia, dipetik dari FMT.

Imej dari bdsmalaysia.com

Lepas dapat banyak kecaman, akhirnya Nga memohon maaf dan tarik balik seruan dia tu. Sebenarnya, isu pasal Israel dengan DAP bukan kali pertama berlaku. Sebabnya, pada tahun 2015 dulu, DAP Perak ada menyelar tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel dari masuk ke Malaysia.

Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak masa tu, Chong Zhemin kata, Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

“Lebih-lebih lagi kedua-dua atlet itu adalah juara bertahan. Menafikan visa bagi kemasukan mereka sama seperti menafikan hak untuk mempertahankan kejuaraan mereka. Perkara ini tidak boleh diterima dalam mana-mana acara sukan.” – Katanya dipetik Malaysiakini.

Laporan Malaysiakini. Imej dari Malaysiakini.

Selain tu, ada juga kontroversi yang dibangkit Senator DAP, Nga Hock Cheh, bila dia cadangkan supaya…

3. Gugurkan status agama dalam kad pengenalan

Satu lagi yang dicadangkan oleh Nga adalah menggugurkan status agama dalam kad pengenalan. Dalam ucapannya di Dewan Negara, Nga berkata…

“… untuk memperkukuhkan perpaduan kita mesti faham sebab-sebab yang menghalang perpaduan di negara kita. Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum.

Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. He sees himself as a Malaysian. Isu perkauman tidak akan timbul.” – Dipetik dari hansard Parlimen 24 April 2019.

Tapi, Nga bagaimanapun menafikan yang dia minta status agama digugurkan dalam kad pengenalan, dan kata kenyataannya dah disalah tafsir.

Sekadar contoh. Imej dari BH Online.

Tapi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) nampaknya ambil serius dengan kenyataan tu dan pihaknya kata akan buat kajian cadangan berkenaan. Menurut menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kajian tu perlu dibuat, supaya tak timbul masalah lain pulak nanti.

Maka katanya, status latar belakang individu seperti bangsa dan agama yang terkandung dalam MyKad sekarang ni akan terus dikekalkan.

“Ada pandangan yang mengatakan pandangan Senator itu bertentangan dengan Perlembagaan berkaitan pasal hak keistimewaan Melayu.

Kalau isu itu diteruskan dan pindaaan dilakukan mungkin boleh timbul perkara sensitif yang menyentuh sesuatu kaum dan kaum lain.” – Katanya dipetik dari Malaysiadateline.

4. Nak hak milik tanah 999 tahun di Perak

Pada tahun lepas, ada satu perkara yang menarik perhatian ramai pihak di negeri Perak. Ia bermula bila pihak DAP negeri mendesak kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru di negeri tu. Desakan tu dibuat sebab ia termasuk dalam janji manifesto PH.

Laporan media. Imej dari Ameno World.

Tapi, nampaknya desakan ni dah mengundang reaksi pelbagai, lebih-lebih lagi bila ia dilihat sebagai sesuatu yang sensitif. Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataannya berkata, permintaan tu sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebab, semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold’ bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun dan tak melebihi 99 tahun.

Bagaimanapun, ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Dr Aziz Bari menafikan kenyataan Faizal kerana katanya Perlembagaan tak menghalang kerajaan negeri dari memberikan hak milik kekal. Tapi tindakan Aziz tu dah mendapat teguran dari Faizal kerana bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.

Tambah Faizal, sesiapa je boleh membuat pandangan namun dalam beberapa hal ia hendaklah dilakukan secara tertutup.

“Saya hanya menjelaskan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 91 (5) tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru, Kampung Tersusun dan peneroka FELDA.” – Kata Aziz Bari, dipetik dari BH Online.

Imej dari ttkm.com.my

Akan tetapi, sehingga ke hari ni keputusan pasal hak milik 999 tahun masih belum ada jawapan muktamad. Mungkin isu ni akan dibangkitkan sekali lagi di masa akan datang.

5. Kaitkan kerjasama UMNO-PAS dengan kejadian tembakan di Christchurch dan Taliban

Pasca PRU-14 memperlihatkan satu perkembangan politik baharu di Malaysia bila dua parti Melayu, UMNO-PAS memulakan kerjasama kembali. Kerjasama ni dikatakan perlu bagi membawa suara Islam dan Melayu di Malaysia.

Tapi seperti biasa, mesti akan ada pihak yang tak puas hati dengan kerjasama ni. Dan antara yang paling vokal adalah DAP,  bila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS tu akan menjadikan negara ni seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menggambarkan kerjasama dua parti tu sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Islam sebelum menarik balik frasa ‘pengisytiharan perang’ itu.

Imej dari memegenerator.net

Tapi apa yang lebih menarik perhatian dan dilihat sebagai menghasut adalah kenyataan dari ADUN Mengkibol dari DAP, Chew Chong Sin, yang cuba mengaitkan serangan tembakan di beberapa masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama PAS-UMNO.

Kenyataan Chew dah mendapat kecaman ramai pihak, termasuklah Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong yang menyifatkan kenyataan Chew tu bukannya pendirian DAP.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan pula mengkritik tindakan segelintir pemimpin DAP yang berpolitik secara melampau hingga melabelkan pihak tertentu sebagai Taliban atau ekstremis.

“DAP, janganlah membuat tuduhan berlebihan terhadap PAS seperti Taliban kerana apa yang dilakukan PAS dan UMNO adalah kerjasama berkaitan politik.

Kerjasama mereka tidak membabitkan sebarang unsur ekstremisme, malah di Malaysia, ia tidak sampai ke tahap itu.” – Kata Wan Saiful, dipetik dari BH Online.

Imej dari editormalaysia.com

Setelah dikritik, Chew akhirnya dah menarik balik kenyataannya itu.

Kerana santan – pulut binasa, kerana mulut –  badan binasa

Itulah antara peribahasa yang cukup tepat dalam mengingatkan kita pasal pentingnya menjaga percakapan. Dan apa yang jadi di Malaysia sekarang ni dapat kita lihat bila sesuatu kenyataan tu kadang-kadang boleh mengundang ketegangan kaum.

Dalam mengatasi hal ni, nampaknya PH perlu bergerak ke depan dan cuba mengelak dari membangkit isu-isu sensitif, terutamanya berkaitan kaum. Kalau kita tengok kajian dari Ilham Centre dan Penang Institute pada awal tahun ni, kajian tu dapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi PH.

Gandingan antara Anwar dan Mahathir pun nampaknya tak dapat ambil hati orang Melayu. Imej dari Kosmo.

Antara isu yang menyumbang kepada peratusan ni pula melibatkan kebimbangan mereka terhadap PH dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam.

Itu belum lagi bercakap soal janji manifesto, isu kos sara hidup, prestasi menteri dan sebagainya. Oleh itu, adalah lebih baik kalau PH menumpukan isu-isu berkaitan dengan kesejahteraan rakyat dari berbalah dan berdebat tentang isu-isu yang tak pernah selesai.

“Saya ambil perhatian sebab majoriti rakyat di Malaysia adalah Melayu. Sebagai kerajaan baharu selepas 60 tahun, kita masih belum mendapat peluang situasi sebenar semasa menjadi pembangkang.

Tetapi kini sebagai kerajaan baharu, kita perlu memberikan tumpuan dan keseimbangan. Apa yang negara perlu, apa yang perlu dibuat, soal ekonomi dan stabiliti.” – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Dipetik dari Astro Awani.

Popular

To Top

Send this to a friend