Seni & Budaya

Beza mercun thunderclap dan thunderking serta beberapa mercun yang lain

Sepanjang bulan puasa ni, kita semua memang tak dapat nak elak dari dengar bunyi dentuman mercun. Sama ada tengah solat terawih atau pun waktu moreh. Kadang-kadang rasa meriah, tapi kadang-kadang buat Tok Imam terkejut beruk sebab tengah khusyuk solat, rupa-rupanya ada mercun meletup kat sebelah.

Salah aim ni. Imej dari Ciklieyzaonline

Bagi korang yang dulu waktu kecik kuat main mercun, sekarang mesti tengah terkenang nostalgia lama walaupun dah ada dua tiga orang anak. Tapi, korang tahu tak, tak semua mercun yang korang main dulu boleh main sekarang? Sebelum menjawab persoalan tu, kami dari SOSCILI nak imbau sikit jenis-jenis mercun yang korang pernah main dulu.

Tiga kumpulan mercun mengikut kesukaan korang

Waktu korang kanak-kanak, biasanya mercun yang simple kita akan beli banyak-banyak sebab senang nak main. Bakar sikit guna mancis, terus baling dan meletup kat tempat yang kita baling. Dan inilah jenis mercun pada poin nombor satu bawah ni.

1) Mercun papan, mercun mancis dan mercun bola

Antara mercun yang simple adalah mercun papan. Harga dikatakan antara yang murah. Tapi baru sekejap bakar dah meletup. Letupan dia pun tak ada lah kuat sangat bunyinya. Cuma kalau diikat sekali banyak memang sambung menyambunglah bunyi letupannya. Macam kat bawah ni:

Kalau jenis yang korang tak payah nak bakar sumbu dia, mestilah mercun mancis menjadi pilihan. Setakat gesek kepala mercun tu kat kotak, terus boleh meletup. Untuk mereka yang suka benda bulat, mercun bola adalah pilihan. Korang mesti tau kan, dia punya letupan memang kuat dan berdentum.

Mana satu korang punya favourite. Imej dari Twitter RetweetAtauFav

2) Mercun lebah, mercun katak, mercun naga, mercun gasing

Korang tengok pun boleh teka mana satu lebah, katak, naga dan gasing

Mercun-mercun kat poin 1, semua jenis meletup sekali dan kat mana kita baling kat situ dia meletup. Lain pula untuk beberapa mercun dalam poin 2 ni Kita bakar, dia akan bergerak mengikut rentaknya tersendiri.

Bagi peminat haiwan, korang boleh cuba mercun lebah. Bentuk dia ada iras-iras lebah, bila bakar terus ia akan terbang dan ada bunyi zaaassss. Manakala mercun katak pula, dia tak lah keluarkan bunyi “ong kedek kedek”, cuma ia melompat-lompatlah.  Untuk peminat haiwan legenda naga yang semua orang tak pernah tengok depan mata, korang boleh main mercun naga. Sekali bakar, meletup dia banyak kali.

Dan kalau nak pergerakan mercun yang luar biasa, mercun gasing adalah pilihan terbaik. Bakar je, ia berpusing dah macam main gasing tapi berapi-api lah.

Boleh try lawan dengan beyblade. Imej dari Flickr

3) Mercun roket, thunderclap, thunderking

Semua mercun dalam poin 1 dan 2 adalah jenis yang tak terbang ke udara. Untuk yang nak rasa berada di tahap yang lain dalam bermain mercun, maka mercun roket adalah antara yang menjadi pilihan. Hanya perlu pacak di tanah dan bakar. Korang boleh tengok sendiri ia terbang dan meletup di udara.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Ini bukan satay. Imej dari Raja Mercun

Semestinya bila dah cuba mercun roket, korang akan pilih yang dentuman dia di tahap yang berlainan pula. Maka, thunderclap dan thunderking pasti menjadi pujaan ramai. Boleh tengok video bawah ni.

Mercun mana yang dibenarkan oleh pihak polis

Pada 17 Mei 2019, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain mengingatkan semula orang ramai untuk mematuhi pengharaman mercun dan bunga api. Lagi-lagi menjelang hari raya tahun ni. Menurutnya, polis melarang mana-mana individu yang memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun dan bunga api, KECUALI YANG DIBENARKAN SAHAJA.

Mesti kita tertanya-tanya, mercun jenis apa agaknya yang dibenarkan oleh pihak polis? Untuk pengetahuan korang, mercun yang hanya dibenarkan adalah jenis ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’. Maknanya, hanya dua jenis mercun ni je dibenarkan tau. Ini kerana ia tak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Mercun Happy Boom dan pop-pop yang terselamat. Imej dari Deenamik

Walaupun mercun jenis nampak simple, tapi kalau nak jual pun kena ada permit Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Korang jangan main-main sebab kalau memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga selain ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’ boleh kena tindakan mengikut seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207).

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bermain dan membakar mercun dan bunga api dilarang juga boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.”- Datuk Asmawati Ahmad, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, petikan dari Berita Harian

Ayat nasihat yang biasa kita dengar. Imej dari makeameme

Jangan ingat main mercun tak kena tangkap

Kalau kes jual mercun ditangkap memang kita pernah dengar sebelum ni. Tapi, jangan lupa bahawa main mercun pun boleh kena tangkap. Bukan setakat rakyat Malaysia, warga asing pun boleh kena tahan sebab main mercun yang tak dibenarkan.

Pada tahun 2019 ni, sewaktu sambut tahun baru, ada tiga lelaki warga asing dah ditahan sebab main mercun berhampiran pusat beli-belah The Curve. Waktu tu polis tengah buat rondaan dan terserempak dengan mereka yang sedang membakar mercun secara terbuka. Kemudiannya, mereka disiasat dibawah Seksyen 7 Bahan Letupan 1971.

Nampak macam jual lemang. Tapi macam menembak something. Imej dari Cik Lily Putih

Mesti korang terfikir bahawa main mercun sorok-sorok boleh elak kena tangkap dengan polis. Tapi, hakikatnya, bila mercun jenis dah dilarang, bila korang main sekalipun boleh membawa padah sebenarnya. Nak dekat raya tahun ni, dah ada kejadian di Besut, Terengganu di mana letupan mercun yang membawa kepada kecederaan teruk. Perkara ni terjadi kepada pelajar tingkatan 1, Syafiq Haikal Shaharrudin yang hancur lima jari tangan akibat main mercun.

Untuk pengajaran korang semua, ada juga kejadian di mana orang yang main mercun ni ditangkap kerana menyebabkan kematian orang lain. Inilah yang terjadi di FELDA Papan Timur pada tahun 2018. Seorang penyelia ladang, Norisham Tukiman berusia 35 tahun dah bermain mercun serta serpihan letupan mercun tu terkena di kepala Nuraqira Khaeefa yang baru berusia 7 tahun. Setelah empat hari koma, adik Nuraqira menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa sempat mengenakan baju rayanya.

Norisham Tukiman dah dibawa ke muka pengadilan yang menyebabkan dia didenda sebanyak RM100. Dia juga dah diberiamaran akan dipenjara jika didapati bermain mercun sekali lagi. Memang tragik dan menyayat hati. Sekarang, korang dah tahu kenapa mercun banyak jenis diharamkan kan?

Nak sambut raya, banyak lagi aktiviti silaturrahim yang boleh korang buat

Ramai yang rasa kalau tak ada mercun tak meriah lah raya kan? Tapi, kalau difikirkan dari sudut positif, macam-macam cara lagi boleh buat sambutan menuju hari raya tu meriah. Korang boleh suruh anak-anak korang tolong kacau dodol, masak lemang dan hiaskan rumah cantik-cantik. Nak bagi diorang semangat, bagilah sikit duit raya. Setahun sekalikan.

Tak payah main mercun. Main tarik upih lagi best. Imej dari Deenamik

Walaupun selama ni mercun dianggap sebaga satu adat dan tradisi dalam kalangan masyarakat kita terutamanya kanak-kanak, kita semua boleh move on dari budaya yang merbahaya ni sedikit demi sedikit. Polis dah haramkan mercun, kejadian tragik pun dah banyak dan apa lagi kita nak selain menjauhi bermain mercun yang tak dibenarkan ni. Biarlah kita sambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira, bukannya air mata.

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend