“Kerana sengketa sesama sendiri, umat Islam hilang peluang mengetuai UNESCO”

Pada 16 Oktober lepas, negara kita baru je menyambut kedatangan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang buat lawatan rasmi ke Malaysia. Kedatangan Sheikh Tamim tu merupakan lawatannya yang pertama ke negara ini. Tapi dalam waktu yang sama, kita semua juga tahu yang hubungan Qatar dengan beberapa negara Arab sekarang ni tak berapa baik (terutamanya Arab Saudi).

Tapi persoalan pun timbul kenapa Emir Qatar tiba-tiba melawat Malaysia dalam keadaan politik di Timur Tengah yang tak berapa stabil. Media antarabangsa, seperti Al-Jazeera ada menyenaraikan beberapa sebab lawatan tu berlaku. Antaranya ialah:

  1. Sebagai persiapan nak anjurkan Piala Dunia FIFA pada tahun 2022, banyak projek yang Qatar nak buat. Jadinya, Malaysia boleh jadi pengeksport kayu dan pembekal keluli kepada Qatar menggantikan Arab Saudi.
  2. Malaysia dan Qatar dah bentuk dana pelaburan bersama bernilai $2 bilion pada tahun 2011.
  3. Terdapat 15 syarikat Malaysia yang beroperasi kat Qatar dalam sektor kontrak, infrastruktur dan hospitaliti.
  4. Malaysia dan Qatar berada dalam kedudukan yang sama dalam beberapa isu seperti konflik Palestin-Israel dan krisis Rohingya di Myanmar.
  5. Lawatan Emir Qatar ini berlaku selepas lawatan Raja Arab Saudi pada bulan Februari lepas. Ini menunjukkan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua negara.
Emir Qatar bersalam dengan Menteri Pertahanan Hishamuddin Tun Hussein. Imej dari Malay Mail Online.

Tapi sebelum lawatan tu, ada satu perkara yang telah menunjukkan lagi keretakan hubungan antara Qatar dan negara-negara Timur Tengah yang lain, di mana berlakunya pemilihan untuk untuk mengetuai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ini kerana, calon Islam dari Qatar – Hamad bin Abdulaziz al Kawari kalah dengan seorang Yahudi dari Perancis – Audrey Azoulay untuk jawatan Ketua Pengarah UNESCO.

Malah beza undi sikit je pun, Azoulay menang 30 undi berbanding Hamad yang dapat 28 undi.

“…Qatar kalah dengan dua undi kerana terdapat negara-negara Islam enggan menyokong beliau kerana negaranya sedang menghadapi persengketaan daripada satu pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi.” – Zin Mahmud. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Inilah calon Qatar yang kalah tu. Imej dari The Peninsula Qatar.

Persaingan sengit antara Hamad dan Audrey yang kedua-duanya berkelayakan besar

Pihak media antarabangsa nampaknya secara terus terang mengaitkan kekalahan calon Qatar ini sebagai hasil dari runtuhnya hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan negara itu. Pada asalnya, selain Perancis dan Qatar, ada 7 lagi calon yang bertanding merebut jawatan itu dan ia datang dari China, Guatemala, Vietnam, Azerbaijan, Lebanon, Mesir dan Iraq.

Sebenarnya, UNESCO dianggotai oleh 195 buah negara di dunia dan boleh dikatakan semua negara Islam jadi anggotanya termasuk Palestin. Walaupun banyak negara yang menganggotai pertubuhan ni, hanya 58 negara je yang boleh undi dalam pemilihan Ketua Pengarah UNESCO. 58 negara itu adalah Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO, yang mana 19 darinya adalah negara Islam, termasuk Malaysia.

Barisan calon-calon yang nak berebut jawatan Ketua Pengarah UNESCO. Imej dari UNESCO.

Dalam pusingan pertama, dengan kekuatan kewangan Qatar, Hamad berjaya mendahului calon-calon lain dengan 22 undi. Tapi masa pusingan akhir, nampaknya Hamad kalah dengan calon Perancis dengan hanya beza dua undi. 

“Jika negara-negara Islam bersatu, maka mereka boleh memberi kemenangan kepada calon Qatar dan buat pertama kalinya seorang wakil Arab dapat mengetuai UNESCO. Persengketaan Arab Saudi dan Qatar melepaskan peluang ini.” – Zin Mahmud. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Orang Arab masih menari. Imej dari Giphy.

Calon Qatar, Hamad bin Abdulaziz adalah bekas Menteri Kebudayaan, Seni dan Warisan Qatar dari tahun 2008 sampai 2016. Selain berbahasa Arab, dia juga fasih berbahasa Inggeris dan Perancis. Sebelum pegang jawatan menteri, dia juga pernah jadi Duta Besar Qatar ke Syria (1974-1976), Perancis (1979-1984), Amerika Syarikat (1990-1992) dan beberapa negara lain.

“Ketika beliau menjadi menteri, Doha dinamakan sebagai Ibu Kota Budaya Arab pada 2010…Dari tahun 1979 hingga 1984, beliau adalah Duta Besar ke Perancis dan menjadi wakil Qatar di UNESCO.” – Dipetik dari UNESCO.

Hamad & Pengarah Eksekutif Institut Filem Doha, Amanda Palmer. Imej dari dohafilminstitute.com

Manakala, Azoulay pula lahir di Perancis dan berketurunan Yahudi. Bapanya, Andre Azoulay pernah jadi penasihat khas kepada Raja Maghribi, Mohammad VI dan juga Raja sebelumnya Raja Hassan II. Andre ni juga aktif dalam pelbagai pertubuhan macam aktiviti-aktiviti dialog tiga budaya: Islam, Yahudi dan Kristian. Manakala, Audrey Azoulay ni pula pernah jadi Menteri Kebudayaan Perancis dan juga ahli Parti Sosialis.

“Audrey Azoulay adalah ahli politik Parti Sosialis dan berkhidmat dalam kabinet bekas Presiden Perancis Francois Hollande. Berpendidikan daripada universiti Perancis tersohor, Sciences Po, beliau membesar dalam persekitaran kiri dan dipengaruhi dengan konflik Israel-Palestin. Umumnya golongan kiri adalah cenderung kepada pihak Palestin. Azoulay adalah wanita kedua selepas Irina Bokova yang dipilih sebagai Ketua Pengarah UNESCO.” – Zin Mahmud. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Audrey Azoulay. Imej dari moroccoworldnews.com

Hanya pada tahun 2011, barulah Palestin diterima masuk sebagai ahli UNESCO

UNESCO ditubuhkan pada tahun 1945. Misi pertubuhan ni adalah untuk menyumbang ke arah keamanan, membasmi kemiskinan, pembangunan lestari dan dialog antara budaya melalui pendidikan, sains, kebudayaan, komunikasi dan maklumat. Walaupun begitu, bukan semua negara jadi anggota pertubuhan ni. Ini kerana, sebelum 2011 Palestin tak diterima sebagai ahli UNESCO.

Yasser Arafat berucap di PBB pada tahun 1974. Imej dari npr.org

Tapi usaha tetap diteruskan untuk menjadikan Palestin sebagai sebahagian dari ahli UNESCO. Jadinya pada 31 Oktober 2011, telah diadakan undian untuk menjadikan Palestin sebagai ahli penuh. Hasilnya, 107 negara menyokong, 14 menolak dan 49 lagi negara berkecuali. Hal ini menjadikan UNESCO sebagai agensi PBB yang pertama mengiktiraf Palestin sebagai anggota negara.

“Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Holland mengundi dengan menentang keahlian Palestin. Brazil, Rusia, China, India, Afrika Selatan dan Perancis menyokong. Britain dan Itali berkecuali.” – Dipetik dari Reuters.

Imej dari dgupost.com

Kesan dari kemasukan Palestin ke dalam UNESCO ni, membuatkan Israel dan sekutunya rasa tak puas hati. Hasilnya, Amerika Syarikat bertindak memotong dana lebih dari $80 juta untuk UNESCO. Bagaimanapun, Palestin melihat kejayaan mereka menjadi ahli UNESCO boleh menjadi laluan mudah untuk mereka menganggotai pertubuhan-pertubuhan lain. Buat masa sekarang, Palestin dah jadi negara pemerhati tapi bukan ahli dalam PBB.

UNESCO juga nampaknya dah iktiraf beberapa tempat di Palestin sebagai tapak warisan dunia. Antaranya ialah sebuah perkampungan Palestin (Battir) di Tebing Barat, Kota Lama Hebron dan tempat kelahiran Jesus di Bethlehem.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas mengucup bendera Palestin yang akan dikibarkan di PBB. Imej dari news.xinhuanet

Tapi tindakan UNESCO yang nampak mesra Palestin ni, tak disenangi oleh Israel dan Amerika Syarikat. Sampailah pada hari ini apabila AS dan Israel umumkan yang diorang akan keluar dari UNESCO pada akhir tahun depan.

Dakwa UNESCO amalkan dasar anti-Israel, Amerika Syarikat dan Israel umum keluar dari UNESCO

Pada 13 Oktober lepas, pengumuman keluar dari UNESCO dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya disambut oleh sekutu rapatnya Israel. Israel dalam satu kenyataan mengatakan tindakan AS tu sebagai ‘tindakan yang berani dan bermoral’. Sebenarnya tindakan Israel dan AS ni memang dah dijangka sebab ada beberapa perkara yang dibuat UNESCO tak ikut cita rasa diorang.

Antaranya adalah pada Mei lepas, UNESCO dah meluluskan resolusi yang mendakwa Israel sebagai ‘kuasa penjajah’ dan menafikan kedaulatan Israel di Baitulmaqdis. Tindakan UNESCO ni dikecam hebat oleh Israel. Pada bulan Julai pula, UNESCO sekali lagi buat benda yang ditentang oleh Israel.

Kota Baitulmaqdis. Imej dari al-Jazeera.

Kali ni, UNESCO isytiharkan pula sebuah kota lama di Hebron, Tebing Barat, Palestin, sebagai Tapak Warisan Dunia. Dalam kenyataannya, UNESCO mengiktiraf Hebron dan dua makam bersambung iaitu Masjid Ibrahim dan Tomb of the Patriarch sebagai ‘Tapak Warisan Dunia Palestin dalam Bahaya.’ Tindakan tu dah naikkan darah Israel dengan kata diorang lebih berhak dapat pengiktirafan berbanding Palestin.

“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan pengiktirafan itu sebagai ‘satu lagi keputusan tak masuk akal UNESCO’ dan mengarahkan supaya AS$1 juta (RM4.3 juta) daripada dana Israel kepada PBB yang digunakan bagi pembinaan muzium serta beberapa projek lain yang meliputi warisan Yahudi di Hebron dipotong.” – Dipetik dari Reuters.

Makam yang dipercayai milik Nabi Ibrahim. Imej dari islamichistoryandtravel.com

Sebenarnya sekarang ni AS ada hutang dengan UNESCO sebanyak $550 juta. Tapi jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert menegaskan yang AS tak akan bayar sebab undang-undang negara tu melarang pembayaran yuran keanggotaan kepada organisasi yang menyokong kewujudan Palestin.

Penarikan diri AS dari UNESCO ni bukan pertama kali berlaku, sebabnya pada tahun 1984, AS pernah keluar dari UNESCO dengan alasan pertubuhan ni pro-Soviet. Tapi masuk balik pada 2002 ketika di bawah pimpinan George W. Bush.

Malaysia pun ada tapak warisan dunia dan sekarang berusaha untuk dapatkan lagi pengiktirafan

Malaysia sebelum ni ada cuba untuk jadi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO untuk tempoh 2015 – 2019. Sebabnya, ia dilihat akan bagi platform penting kepada negara ini dalam melibatkan diri secara langsung dengan misi dan agenda badan dunia itu. Pada tahun 2015, Malaysia nampaknya bernasib baik sebab akhirnya berjaya jadi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO (2015-2019) dengan mendapat undian tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik. 

Buat masa sekarang ni, dah ada beberapa tempat di negara ni yang mendapat pengiktirafan UNESCO. Antaranya adalah:

  1. Tapak Arkeologi Lembah Lenggong.
  2. Bandar Bersejarah Melaka dan George Town.
  3. Taman Negara Mulu.
  4. Taman Negara Kinabalu.
Gua Gunung Runtuh di Lembah Lenggong. Imej dari UNESCO.

Selain Lembah Lenggong, ada satu lagi tapak arkeologi yang masih diusahakan untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia. Ia adalah Lembah Bujang, Kedah. Ini kerana, kajian membuktikan yang Lembah Bujang juga adalah salah satu kawasan arkeologi tertua di Asia Tenggara.

Tak jauh dari kawasan arkeologi Lembah Bujang, ada lagi satu tempat kajian arkeologi iaitu kompleks Arkeologi Sungai Batu. Pada tahun lepas,  5 orang pakar arkeologi yang mewakili lima tamadun utama dunia – Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome dah mengisytiharkan kawasan ini sebagai tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara

Klik imej untuk baca.

Bagaimanapun, dengan tak adanya Amerika Syarikat, kewangan UNESCO akan berkurang

Walaupun UNESCO memperlihatkan dasarnya yang tidak pro-Amerika Syarikat, tapi pertubuhan itu juga perlu bersedia dengan kesan yang akan dihadapinya di masa akan datang. Ia terutama apabila tindakan AS yang menarik diri dari pertubuhan itu.

“Kesan paling nyata adalah ketiadaan AS akan berkurangan dana aktiviti UNESCO. Tanpa dana, aktiviti terutama di negara sedang membangun yang akan menerima kesannya. Sama seperti Presiden Trump yang mengugut PBB supaya lebih efisyen menjalankan tanggungjawab jika tidak AS akan sekat sumbangan terbesar dari mereka, sama juga AS guna ugutan sekatan dana terhadap agensi PBB iaitu UNESCO. Hakikatnnya adalah tanpa AS perbelanjaan UNESCO akan terkekang.” – Azmi Hassan. Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

UNESCO tak boleh la buat macam ni lagi. Imej dari Giphy.

Selain itu, menurut Azmi Hassan lagi, tindakan Israel yang menarik diri dari UNESCO akan melegakan negara haram itu dari tekanan dan kecaman antarabangsa. Strategi utama AS dan Israel menarik diri adalah untuk melemahkan UNESCO yang terlalu pro-Palestine.

“Namun di bawah Presiden Donald Trump ini, adalah dipercayai akan mengambil masa lama untuk negara yang menjadi penyumbang besar dana itu kembali menjadi anggota UNESCO. Ini selaras dengan sikap Trump yang mahu mengutamakan negaranya daripada dunia.

Dengan gelombang populis anti-orang asing melanda dunia Barat, maka pada UNESCO yang didominasi oleh negara-negara bukan Barat bertambah sukar.” – Zin Mahmud. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari sbs.com

Kat Zin Mahmud lagi dalam kolumnya di Utusan, kekalahan calon Islam dari jawatan nombor satu UNESCO menunjukkan betapa rapuhnya perpaduan dan kesepakatan di antara negara-negara Islam.

Moga-moga Azoulay dapat menjalankan tugasnya dengan baik, tapi pada masa yang sama kita juga mengharapkan sengketa antara negara-negara Timur Tengah tidak bertambah buruk akibat perbalahan politik masing-masing.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.