Sejarah & Politik

Malaysia ada tamadun tertua di Asia Tenggara? Ini antara penemuan prasejarah di Malaysia

Sejak beberapa hari lepas, kita ada dengar berita pasal penemuan rangka manusia purba yang dianggarkan berusia antara 5,000 ke 6,000 tahun di Guar Kepah, Pulau Pinang. Rangka tu ditemui bila pihak kontraktor tengah gali tanah kat kawasan tersebut sebab nak buat galeri arkeologi Guar Kepah. Dikatakan rangka tu adalah milik wanita berdasarkan gigi dan bentuk rangka (tapi masih dalam kajian).

Ahli arkeologi, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin menunjukkan rangka yang ditemuinya. Imej dari The Malay Mail Online.

Di Kedah pulak, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dah jumpa satu makam lama yang berusia 330 tahun di Bukit Pinang, Kedah. Makam ni dipercayai adalah milik Sultan Ataullah, iaitu Sultan Kedah ke 16. Penemuan ni sangat menarik kerana selama ini, makam Sultan Ataullah tak dijumpai.

“Bagaimanapun hanya Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin (sultan-sultan selepas Sultan Ataullah) sahaja dimakamkan di Makam Diraja Langgar, manakala Sultan Ataullah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Pinang namun makam itu tidak ditemui sehingga hari ini. Justeru, kami berpandangan bahawa makam yang ditemui ini berkemungkinan besar makam Sultan Ataullah serta kerabat diraja.” – Dr Ibrahim Bakar, Pengarang Kehormat PSMCK. Dipetik dari BERNAMA.

Untuk maklumat, sebenarnya kajian arkeologi di Malaysia ni dah bermula sejak sekian lama iaitu lebih dari seratus tahun yang lalu. Ini terbukti apabila sekitar tahun 1840-an seorang peminat barang antik, Kolonel James Low dah laporkan penemuan barang-baranr purba kat Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kedah. Cuma kajiannya tak begitu lengkap dan sistematik.

Salah satu batu nisan ukiran dari Acheh, yang dipercayai terletak di kawasan makam milik Sultan Kedah ke-16. Imej dari mStar.

Jadinya, kali ni SOSCILI nak la bercerita sikit pasal penemuan-penemuan bersejarah di Malaysia. Sebab rupanya-rupanya, negara kita jugak dah membina tamadun terawal di Asia Tenggara. Jom kita bermula dengan penemuan…

Rangka manusia purba tertua di Asia Tenggara

Bila cakap pasal rangka manusia purba, apa yang terlintas kat fikiran kita mesti dia Perak Man. Ye, Perak Man adalah antara rangka manusia tertua di Malaysia. Perak Man ditemui pada tahun 1990 oleh sekumpulan ahli arkeologi di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak. Rangka ni jugak dianggap sebagai rangka paling lengkap di yang pernah dijumpai di Malaysia. Usia Perak Man ni dianggarkan antara 10,000 ke 11,000 tahun.

“Perak Man adalah rangka seorang lelaki dengan ketinggian 154cm. Ia ditemui ditanam dalam keadaan kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada dan bersamanya ditemui 2,878 siput sedut yang telah siap dipotong muncungnya dan sedia untuk dimakan.

Turut ditemui bersama kerangka itu adalah cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah dibakar serta perkakas batu.” – Mohd Syahrin Abdullah, Pengarah Jabatan Warisan Negara bagi Zon Tengah. Dipetik dari Sinar Harian.

Gambaran macam mana Perak Man dikebumikan. Imej dari belumoutdoor.com

Selain tu, ada jugak penemuan rangka purba yang lebih tua dari Perak Man. Pada 2009, ahli arkeologi dah temui satu rangka manusia di Gua Bewah, Tasik Kenyir yang dipercayai berusia 16,000 tahun iaitu lebih tua dari Perak Man.

Tapi kalau nak lagi tua, rangka manusia itu adalah skeletal Niah (rangka Niah). Rangka dan tulang-temulang ni ditemui di Gua Niah, Sarawak pada tahun 1958 oleh Kurator Tom Harisson dan isterinya, Barbara Harrison. Salah satu skeletal tu jugak dikenali sebagai  ‘Deep Skull’.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dalam tahun 1966 -1967, rangka-rangka ni dibawa ke Nevada, Amerika Syarikat untuk tujuan kajian. Setelah hampir 30 tahun disimpan oleh penyelidik Richard dan Sheilagh Brooks, ia dipindahkan pulak ke Universiti Las Vegas selama 10 tahun. Pada mulanya, Deep Skull ni dianggarkan berusia 38 ribu tahun, tapi seorang arkeologis dari University of Cambridge dah sahkan yang ia berusia 42 ribu tahun! Jadinya, ia boleh diiktiraf sebagai antara rangka tertua di Asia Tenggara.

“Skeletal Niah terbabit amat berharga kerana kawasan penemuan tersebut pernah diisytihar sebagai antara penempatan manusia homosapiens paling tua di Asia Tenggara.” – Dipetik dari Sarawak Voice.

Keadaan tengkorak ‘Deep Skull’ yang atas sekali dan dibandingkan dengan tengkorak Iban yang dijumpai di rumah panjang, tengkorak dari China (Liujiang) dan tengkorak dari Tasik Willandra, Australia (WLH3 & WLH 50). Imej dari The Conversation.

Setelah hampir 50 tahun di negara orang, akhirnya rangka-rangka ni dijangka akan dibawa pulang ke Sarawak pada tahun 2019. Tapi buat sementara waktu, ia disimpan dulu kat Universiti Florida, Amerika Syarikat.

“Ketika ini tulang-temulang ini diserahkan kepada Universiti Florida untuk tujuan simpanan sementara, dan akan dikendalikan oleh penyelidik arkeologi Dr John Krigbaum. Kita akan membawa pulang tulang ini setelah makmal dan ruang simpanan kita siap di kampus baharu Muzium Sarawak kelak.” – Ipoi Datan, Pengarah Muzium Sarawak. Dipetik dari Sarawak Voice.

Banyak lukisan purba tersimpan di gua-gua Malaysia

Salah satu bukti penting dalam kajian arkelogi adalah lukisan dalam gua. Antara lukisan purba terawal dunia berada di Perigord dan Pyrenees di Perancis dan Cantabria di Sepanyol yang berusia sekitar 30,000 tahun sebelum masihi. Kebanyakan lukisan-lukisan digunakan sebagai simbol dalam menyampaikan sesuatu.

Lukisan prasejarah yang ditemui di Cantabria, Sepanyol. Imej dari Totally Spain Travel.

Walaupun begitu, masih banyak perkara yang kena dikaji dalam menterjemahkan lukisan-lukisan purba ini. Hal ni kerana, walaupun kadang-kadang kita nampak yang lukisan ni dalam bentuk sesuatu, tapi ia tak semestinya seperti apa yang kita sangka.

“…contohnya lukisan gua prasejarah Scandinavia yang menurut pandangan kasar kita adalah sebuah perahu, tetapi kita memerlukan kajian lebih mendalam kerana ia mungkin sebuah papan luncur yang digunakan dikawasan sejuk.” – Lukisan dan Ukiran, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kalau kat Malaysia pulak, ada 2 jenis bahan yang digunakan untuk lukisan purba. Ia adalah batu hematite dan arang. Buat setakat ni, dah ada 12 buah gua yang menjadi tapak lukisan purba di Malaysia. Antara gua-gua tersebut adalah:

Gua Tambun Perak

Antara lukisan purba di dinding Gua Tambun. Imej dari The Star.

Sebenarnya, lukisan di gua ni dijumpai secara tak sengaja oleh seorang pegawai tentera British, Leftenan RL Rawlings pada 1959 masa tengah buat rondaan zaman darurat dulu. Kalau kita pergi tengok lukisan kat gua ni, kita akan nampak imej manusia yang tengah duduk, mencangkung dan menari yang dipercayai menunjukkan masyarakat yang sedang lakukan upacara ritual atau berpesta.

Selain tu, ada juga imej binatang seperti harimau, tapir, penyu, kura-kura dan dugong. Imej lain pulak adalah seperti imej anak rusa yang ada dalam perut ibunya. Menurut pengkaji, lukisan yang ada kat Gua Tambun kebanyakannya agak sama dengan lukisan kat Gua Tham Rob, Thailand dan beberapa gua di India dan Sri Lanka.

Gua Lobang Kain Hitam, Sarawak

Lukisan perahu yang dijumpai. Imej dari researchgate.net

Antara lukisan yang kita dapat jumpa kat gua ini adalah imej perahu dan imej manusia bersayap yang sedang menari. Lukisan-lukisan ni dipercayai berkait rapat dengan kepercayaan alam akhirat dan upacara pengebumian. Kajian yang dijalankan kat gua ni jugak akhirnya menemukan beberapa buah keranda yang berusia 1,200 tahun yang lalu.

Selain tu, ahli arkeologi jugak jumpa barang-barang pengkebumian seperti perhiasan diri macam manik-manik, siput dan seramik cina. Pada 2007, penemuan kat gua ni bertambah menarik bila penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dah jumpa 8 rangka manusia pra-sejarah yang dipercayai berusia 2,000 tahun.

“Kesemua rangka yang hampir lengkap dari kepala ke kaki ditemui sejak 2007 dalam posisi lurus dan keadaannya sangat reput serta kebanyakan tulangnya juga sudah pecah.” – Prof Madya Stephen Chia, pensyarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM. Dipetik dari BERNAMA.

Gua Badak, Perak

Lukisan di Gua Badak yang ditemui pada 1992. Tapi sekarang dah semakin pudar. Imej dari The Star.

Bentuk lukisan di Gua Badak sebenarnya agak baru jika nak dibandingkan dengan lukisan kat Gua Tambun dan Gua Lobang Kain Hitam. Antara lukisan tersebut adalah imej manusia yang sedang menari, memanah, berburu, memikul galah panjang, menjaring ikan,berkawad, menunggang gajah dan sebagainya.

Selain tu, ada juga imej beruk yang panjat pokok kelapa, biawak, kura-kura dan sebagainya. Para pengkaji berpendapat yang imej-imej ni merupakan terjemahan pengalaman dan pemikiran masyarakat purba ketika itu. Lukisan prasejarah jugak dipercayai digunakan sebagai medium komunikasi antara masyarakat perimitif.

Jadi tak hairanlah jika negara kita jugak menyimpan tinggalan sejarah tertua di Asia Tenggara. Itulah nilai sejarah yang disimpan oleh sebuah negeri di utara Malaysia…

Kedah simpan tamadun tertua di Asia Tenggara

Pada tahun lepas, kompleks Arkeologi Sungai Batu dah buat satu sejarah besar bila diisytihar secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara. Apa yang lebih menarik, 5 orang pakar arkeologi yang mewakili lima tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome dah menandatangani plak pengisytiharan itu.

Hasil dari kajian ahli arkeologi di Sungai Batu, mereka dah temui lebih dari 2 juta tuyere di kawasan tersebut! Tuyere ni sebenarnya adalah peniup angin iaitu peralatan penting dalam industri kuno peleburan besi.

“Ia (tuyere) berbentuk bulat panjang bersaiz lapan inci dan ada lubang di tengahnya yang digunakan oleh masyarakat purba Sungai Batu ketika itu untuk mengepam udara di relau (furnace) semasa proses peleburan.

Kami menjumpai lebih dua juta tuyere di sini. Jadi, dengan jutaan tuyere dan 12 tapak peleburan serta kehadiran begitu banyak bijih besi, bayangkan bagaimana sibuknya industri peleburan besi di sini ketika itu.” – Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM). Dipetik dari mStar.

Longgokan tuyere yang dijumpai di Sungai Batu. Imej dari historianlodge.historiansecret.com

Dengan penemuan tu, ia membuktikan yang Sungai Batu adalah sebahagian dari tamadun Kedah Tua yang menjalankan ekonomi berteraskan peleburan besi. Sungai Batu jugak dipercayai menjadi hub mengeksport besi kuno. Selain itu, para pengkaji jugak dah temui pelbagai monumen yang disahkan berusia seawal 1,900 tahun (abad ke 2). Ini dah mengesahkan yang ia lebih tua dari candi-candi di Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat, Kemboja yang di bina pada abad ke-9 dan ke 12. 

Walaupun begitu, para pengkaji masih lagi belum jumpa bukti siapa dia pemilik kerajaan ini. Tapi bila kita nampak kehebatan tamadun di kawasan ni, dah tentu sesiapa yang memerintah mestilah bukan calang-calang orang. Tak jauh dari kawasan arkeologi Sungai Batu, ada lagi kawasan arkeologi tertua di Asia Tenggara ia adalah Lembah Bujang.

Perbandingan tamadun Lembah Bujang dan lain-lain di Asia Tenggara.

Pelbagai penemuan struktur seperti tapak kuil, dewan, relau besi dan jeti purba dah ditemui kat Lembah Bujang. Pengkaji jugak dah jumpa lebih dari 50 kuil (candi) disekitar kawasan tersebut. Para pengkaji percaya yang Lembah Bujang adalah kawasan perdagangan dan bertukaran barang.

Seperti mana yang tercatat, pedagang-pedagang dari China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai ‘Yeh-po-ti’ dan ‘Chieh Cha’. Manakala India pulak menggelarkan Lembah Bujang sebagai ‘Kataha’,’Kadaram’ dan ‘Kalah’ untuk pedagang dari Arab.

Gambaran kegiatan perdagangan di Lembah Bujang. Imej dari The Star.

Oleh itu, nampaknya negara kita dah mecatatkan sejarah yang panjang dalam tamadun dunia dan Asia Tenggara. Menurut Prof Tan Sri Khoo Kay Kim, kesultanan Kedah sendiri adalah lebih awal dari zaman kesultanan Melaka. Jadi tak hairanlah, kerajaan purba dapat kita jumpa di negeri Kedah.

Kita jangan jadi bangsa yang membunuh sejarah sendiri

Salah satu perkara yang mengecewakan kita adalah apabila pemahaman dan penghargaan sesetengah dari kita kepada sejarah sangat cetek. Antara contoh yang menyedihkan adalah perkara yang berlaku terhadap tempat-tempat bersejarah di Malaysia yang diabaikan. Perkara inilah yang menimpa lukisan prasejarah di Gua Tambun, Perak apabila lukisan yang berusia beribu tahun tu dicemari dengan vandalisme dan sampah.

Keadaan dinding Gua Tambun yang diconteng. Imej dari The Star.

Manakala kat Lembah Bujang pulak, ‘candi 11’ satu dari 17 candi yang didaftar telah dimusnahkan oleh pihak pemaju pada 2013. Tapi nasib baik, pemaju tu setuju nak bina balik candi tersebut. Hal ni, belum lagi kita bercakap pasal bangunan-bangunan bersejarah yang dah dirobohkan atau ditarik balik status warisan mereka. (Klik sini untuk baca artikel kitorang tentang perkara ni).

Sebelum dan selepas candi tu dirobohkan. Imej dari says.com

“Kampung Krinchi sudah hilang sekarang, sekarang (ia) dipanggil Bangsar South City. Nasib baik nama Abdullah Hukum masih ada. Begitulah bagaimana kita membunuh sejarah…kerana itulah generasi muda kita tidak kenal (sejarah). Ini kerana sejarah sudah tak penting (lagi), yang penting sekarang adalah mencari wang.” – Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, ucapannya di Forum Pengkisahan Sejarah Kuala Lumpur.

Oleh itu, dah tiba masanya untuk kita belajar menghargai sejarah. Kerana bukan semua yang dah berlalu itu tak baik. Mungkin apa yang pernah ada waktu dulu tu lebih baik dari apa yang ada sekarang. Maka berlajarlah dari sejarah dan janganlah kita jadi bangsa yang membunuh sejarah.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend