Dari sekolah dulu kita dah biasa dengar kempen Tak Nak merokok. Waktu sekolah jugalah ada di antara kita yang ada kenangan bawa rokok pergi sekolah sorok-sorok. Lepas tu, hisap kat loteng atau tandas. Itu belum lagi kenangan tengok kawan kena lempang dengan cikgu disiplin sebab kantoi, tapi, sebenarnya cikgu yang lempang tu pun hisap rokok. Hehe.
Kita pun pernah tengok iklan ngeri pasal rokok kat TV3. Bila ada seorang budak Cina ni lawat maknya yang tak boleh bercakap sebab mulut hancur. Tak cukup kat televisyen, gambar ngeri dan menakutkan juga diletakkan sekali di kotak rokok yang dijual pada hari ni. Apa yang mengejutkan, bilangan batang rokok yang dihisap oleh rakyat Malaysia nampaknya semakin bertambah daripada 18 billion (1998) kepada 23.7 billion batang setahun pada tahun 2015 menurut statistik Myhealth.
Jadinya, sebelum pembentangan bajet 2018 hari tu, Majlis Belia Malaysia ada cadangkan agar harga sekotak rokok dinaikkan kepada RM50. Tujuannya nak halang golongan belia dan remaja dari mudah mendapatkannya. Bernaskah idea ni? Maka kami dari SOSCILI telah bertanya kepada lebih 10 orang perokok tegar mengenai hal ni.
Harga naik, tapi peratusan perokok berkurang terlalu sedikit
“Rokok mahal pun orang beli jugak” – Naim, sudah 5 tahun merokok, ketika dihubungi SOSCILI.
Sebelum ni, pihak Menteri Kesihatan pernah menguatkuasakan kenaikan harga minima rokok dari RM7.00 kepada RM9.00 sekotak yang bermula pada 1 Ogos 2016. Pada awal tahun ni muncul lagi kemungkinan peningkatan harga rokok oleh Timbalan Menteri Kesihatan dengan mengatakan harga rokok paling mahal sekarang RM17.00 akan dinaikkan kepada RM21.50. Menurut Bert (8 tahun merokok ) yang sudah merasai peningkatan harga rokok sejak dulu mengakui bahawa perokok akan terus juga membeli tapi taklah sekerap dulu.
“Peratusan perokok kemungkinan akan menurun tetapi sangat sedikit” – Amir, sudah 7 tahun merokok
“Harga rokok takkan mengurangkan bilangan perokok. Jika ada pun, peratus dia amat sikit.” – Farhan, sudah 5 tahun merokok
Dilaporkan yang kerajaan dah habiskan purata RM2 juta setahun untuk kempen anti-rokok sejak 2004. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, trend merokok dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke atas berkurang sebanyak 0.6 peratus dari tahun 2011 hingga 2015. Jadi memang sikit betul peratus yang turun.
Mungkin ramai yang bengang sebab harga rokok selalu naik. Tapi, langkah ni bukanlah Malaysia sahaja yang buat. Banyak negara yang dah lama buat termasuk negara yang berpendapatan tinggi atau kaya. Negara yang paling mahal harga rokoknya adalah di Australia dengan sekotak berharga 18 USD (RM76). Selain naikkan harga rokok dan beberapa usaha lain, Australia berjaya menjadi antara negara yang punyai kadar perokok yang rendah apabila ianya berkurang 50 peratus sejak 20 tahun yang lalu.
Naikkan harga rokok akan timbulkan lagi banyak masalah
“Based on my experience, kenaikkan harga rokok hanya akan menghalang orang yang baru nak mencuba tapi yang dah lama merokok akan still merokok.” – Adly, lebih 5 tahun merokok.
Untuk yang dah lama merokok, menurut Shaiful (7 tahun merokok) dan Farhan (5 tahun merokok), diorang mengakui yang perokok akan cari alternatif lain untuk dapatkan rokok. Rokok yang mereka akan cari harganya akan lebih murah. Jadi apakah jalan alternatif tu?
“Pada akulah. Rokok tetap akan orang hisap. RM50, orang akan beralih kepada rokok seludup.”- Naem, sudah 15 tahun merokok
“Sebab Malaysia ada rokok seludup. Harga rokok seludup pun naik. Tapi tak beban sangatlah. So, memang susah nak suruh orang Malaysia berhenti rokok melainkan rokok seludup tu memang susah nak dapat.”- Bert, sudah 8 tahun merokok
Bagi Syahir (8 tahun merokok), orang yang bodoh sahaja beli rokok mahal sebab rokok seludup boleh didapati dari harga serendah RM9 dan kualiti pun lebih kurang sama. Perkara yang sama diakui oleh Syah (10 tahun merokok) yang mengatakan orang yang banyak duit sahaja beli rokok mahal kerana ada rokok seludup yang murah.
Pembelian dan permintaan rokok seludup yang makin bertambah akan merancakkan lagi aktiviti penyeludupan rokok. Menurut bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, negara kita masih lagi mempunyai kawalan sempadan yang longgar dan aktiviti penyeludupan ni akan bagi kerugian pada pendapatan negara.
Di peringkat dunia, industri rokok berpendapat bahawa aktiviti black market untuk rokok akan berkembang di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana jika harga rokok dinaikkan. Kalau korang nak tahu, Malaysia adalah negara berpendapatan sederhana.
“Sebab kalau naik harga nanti orang akan berubah pada rokok daun, rokok seludup”- Asyraf, sudah 12 tahun merokok.
So kalau harga naik ke RM50 sekotak, perokok akan lari ke option lain macam rokok gulung atau rokok seludup (trust me rokok seludup senang gila nak dapat).”- Adly lebih 5 tahun merokok.
“Jadi naik harga tu sebelum-sebelum ni bukan tak pernah buat, dan opsyen lain banyak juga bila harga rokok mahal. Rokok daun dan seludup ada.”- Azim, lebih 10 tahun merokok.
Ada juga kesan jika harga rokok naik, tapi perlu juga halang rokok seludup
Macam yang ditulis kat atas tadi, naik harga rokok ni ada kesannya tapi sikit. Kami pun ada bertanya kepada orang yang boleh berhenti kalau harga naik RM50 sebab duit tu boleh buat benda lain kot.
“Jika harga rokok dinaikkan kepada RM50, saya akan serta-merta berhenti menghisap rokok. RM50 boleh beli 3 ekor ayam yang boleh dibuat lain selama 3 minggu”- Hawa, lebih 5 tahun merokok
Jadi naikkan harga rokok boleh jadi salah satu faktor yang rakyat boleh berhenti rokok menurut Faiz (12 tahun merokok). Tapi, perlu difikirkan juga cara nak halang rokok seludup sampai kepada rakyat Malaysia.
“Ada bagusnya juga. Tapi kalau nak betul kurangkan perokok kenalah banteras rokok seludup sekali.”- Huzairi, lebih 5 tahun merokok.
Nak kata tak banteras, banyak je kita ada dengar tangkapan, rampasan oleh pihak polis dan turut mendenda beberapa peruncit yang jual rokok seludup ni. Walaupun macam tu, usaha ni kena kasi padu lagi. Sebab kajian tahun 2015 oleh Persekutuan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menyatakan yang setiap dua kotak rokok yang dibeli, satu ialah rokok seludup. Fuh!
“Kena telus banteras penyuludupan…Boleh berhenti la nanti duit dah tak ada”- Syah lebih 10 tahun merokok
Kalau naik harga rokok tak boleh, apa cadangan dari perokok sendiri?
-
Pendidikan untuk pelajar sekolah rendah yang lebih serius
Menurut Tobacco Free Kids, anak-anak kita menghabiskan 1/3 dari masa sehariannya berada di sekolah. Purata diorang akan berada disekolah adalah 5.5 jam sehari. Jadinya, apa yang diajar di sekolah tu juga sangat penting untuk mempengaruhi anak-anak. Ada cadangan untuk mengurangkan bilangan perokok melalui pendidikan sejak kecik lagi.
“Cadangan saya untuk kurangkan bilangan perokok mungkin boleh tekankan dalam sistem pendidikan kita di sekolah di mana sekarang subjek-subjek additional tidak diambil serious seperti pendidikan moral atau sivik.”- Syahir, sudah 8 tahun merokok
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah bekerjasama mewujudkan satu pendidikan khas mengenai bahaya rokok kepada pelajar sekolah rendah melalui IMFree. Program ni telah bermula sejak 2016 dan menjelang 2021 ia akan melibatkan 1, 500 sekolah diseluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengatakan bahawa tinjauan menunjukkan trend merokok dalam kalangan pelajar 13 hingga 15 tahun menurun dari 18.2 peratus (2009) kepada 14.8 peratus (2017).
-
Pegawai-pegawai untuk saman diaktifkan
“Kenakan denda pada perokok dan keluarkan saman”- Naim, sudah 5 tahun merokok
Benda ni sebenarnya masih lagi dijalankan di setiap negeri. Bagi perokok yang menghisap rokok di taman awam diseluruh negara akan dikenakan denda maksimum RM250 yang sudah bermula 31 Mei tahun ni. Mungkin ramai kita berpendapat yang ianya macam tak nampak sangat orang kena denda. Tapi menurut Faiz,
“…dimana yang kita dengar di Melaka, perbadanan mengeluarkan saman pada perokok jika merokok ditempat awam seperti kedai makan, area mall dan dimana kawasan family”- Faiz, sudah 12 tahun merokok
Pada tahun ni, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, telah mengenakan denda sebanyak RM90, 830 bagi lebih 300 kes merokok di kawasan larangan di negeri tu. Selain tu juga, Melaka telah menguatkuasakan undang-undang untuk denda RM10,000 atau penjara tak melebihi dua tahun jika merokok dikawasan taman-taman awam.
“Aktifkan pegawai-pegawai untuk menyaman perokok di kawasan larangan merokok supaya perokok lebih berhati-hati untuk merokok dan akhirnya dapat mengurangkan tabiat merokok.”- Amir, sudah 7 tahun merokok
Pegawai-pegawai ada je yang keluarkan saman. Sampai keluar berita seorang pegawai yang keluarkan saman kepada perokok telah diugut dengan pisau. Akhirnya, orang buat ugutan tu ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama.
-
Kawasan khas untuk perokok supaya tempat awam tak terganggu
“Jadikan kawasan tempat makan, restoran atau warung sebagai tempat larangan merokok. Sesungguhnya sedap merokok selepas makan dan semasa melepak.”- Amir, sudah 7 tahun merokok
Pada tahun ni, Kementerian Kesihatan telah menambah beberapa tempat awam termasuk tapak perkhemahan dan taman permainan sebagai kawasan larangan merokok. Korang boleh cek kawasan larangan ikut negeri masing-masing kat sini. Nanti takdelah ganggu orang lain.
” Takde istilah secondary smoker-lah apa semua. Perokok pun lama-lama, jadi malas nak merokok, asyik kena berjalan je nak pergi merokok”- Farhan, sudah 5 tahun merokok.
-
Subsidi untuk rawatan bagi mereka yang ketagihan rokok
Mungkin kawasan larangan, saman dan denda boleh dibuat. Tapi ada lagi satu yang perlu diberi perhatian.
“Merokok ni boleh kira aktiviti rekreasi tak? Haha. Sebab orang akan cari aktiviti rekreasi yang terdekat (senang cari), mudah dan murah. Lagi satu, bendanya ketagih.- Azim, 10 tahun sudah merokok
Kajian telah menunjukkan rokok ini telah membuat perokok menjadi ketagih kerana kandungan nicotine. Sebab tu, ada juga perokok yang mencadangkan agar cara untuk menghilangkan ketagihan ni diutamakan jika benar nak hentikan bilangan perokok.
“Point kerajaan dan pihak berkuasa. Kekalkan harga rokok. Tetapi beri subsidi lebih kepada suntikan nikotin untuk berhenti merokok di klinik kerajaan dan swasta. Serta sediakan khidmat kaunseling secara percuma.”- Amir, sudah 7 tahun merokok
Setakat ni, khidmat kaunseling yang ada adalah Klinik Berhenti Merokok oleh Kementerian Kesihatan di klinik kerajaan, hospital dan 145 agensi lain. Tapi tak ramai yang tahu dan sertai. Pada tahun lepas, dari jumlah 4 710 rokok yang menyertainya, nampaknya, 1,223 orang berjaya berhenti.
“Adalah lebih baik jika kerajaan mengurangkan harga ubat-ubatan mahupun gula-gula yang boleh mengurangkan keinginan perokok untuk merokok. Buat harga subsidi untuk mengurangkan harga-harga ubat ubatan sebegini.” – Shaiful, sudah 7 tahun merokok.
Perokok bukannya tak nak berhenti tapi disebabkan ketagihan terlalu tinggi yang menjadi penghalang. Selain cadangan subsidi ubatan-ubatan tu, mungkin kita boleh belajar sikit dari negara Iceland dalam benda ni. Menurut Tobacco Atlas, Iceland adalah antara negara yang berjaya kurangkan perokok dengan jayanya. Jadi apa yang diorang cuba buat?
Iceland telah mencadangkan supaya rokok tak dijual lagi di kedai-kedai. Hanya farmasi sahaja dibenarkan menjual rokok. Untuk yang nak beli rokok tu nanti, diorang kena bawa sijil kesihatan yang sah untuk beli rokok di farmasi. Jadi, kalau memang dah ada Asthma tu jangan haraplah dapat. Untuk yang masalah ketagihan ni, diorang boleh dapatkan nasihat doktor untuk beli rokok yang sesuai di farmasi supaya lama-lama boleh berhenti.
Kalau semua ni juga takkan bagi diorang berhenti, akan ada satu masa ia akan terhenti
“Based on what i’ve seen perokok akan betul-betul berhenti bila dah kena penyakit kronik kat diri sendiri atau melibatkan kematian orang tersayang.”- Adly, lebih 5 tahun merokok.
Menurut Adly lagi, gambar-gambar seram pada kotak rokok tak bagi kesan pun secara jujurnya. Tapi bukan Malaysia je yang buat benda ni. Banyak negara pun yang perkenalkan sampai nak kena saman dengan syarikat rokok lagi. Tapi langkah negara lain ni lebih menggugat. Contohnya, Australia telah perkenalkan kotak rokok khas warna hijau Pantone 448C untuk setipa jenama rokok. Warna ni dikatakan paling buruk yang akan buat orang tak minat nak beli.
Selain tu, logo jenama rokok tak dibenarkan diletakkan pada kotak rokok. Apa yang boleh ada hanyalah gambar seram penyakit kronik pada kotak. Apa lagi, Syarikat Philip Morris Ltd. (Marlboro) rasa tergugat dan nak saman diorang. Keputusannya, Australia menang yang menyebabkan negara lain seluruh dunia hari ni mula ikut langkah Australia.
Apa sekali alasan pun, setiap perokok bagi keuntungan kepada syarikat rokok yang kaya-raya
“Cara nak berhenti senang atas diri sendiri je. Kerajaan nak halang pun susah, macam-macam dah buat.” Bert, 8 tahun merokok.
Amir (7 tahun merokok) turut mengatakan yang setiap perokok kena set tarikh dan berazam nak berhenti merokok satu hari nanti. Kadang-kadang tu, azam dah ada, semangat dah ada, tapi tak berjaya jugak nak berhenti. Mungkin kakak-kakak, abang-abang atau adik-adik boleh guna point ni untuk nasihat perokok-perokok dalam keluarga tedekat. Atau perokok sendiri boleh fikirkan pasal diri sendiri yang sebenarnya dah jadi aset syarikat rokok. Macam ni…
Disebabkan rokok ni juga adalah perniagaan, jadi syarikat yang terlibat jugak tak terlepas dari memikirkan keuntungan termasuklah syarikat rokok seludup. Seorang penerima Hadiah Nobel 2008 ada mengatakan yang pasaran rokok akan berlumba-lumba sesama diorang untuk menghasilkan bahan yang lebih memberi ketagihan. Diorang buat kajian untuk hasilkan bahan-bahan ni. Lagi orang ketagih, lagi orang beli, lagi untung syarikat tu.
“Pasaran ini bersaing dari sudut ketagihan-produk yang paling bagi ketagihan akan menang…mereka tidak akan mengalah untuk mengambil peluang keuntungan ini, walau apa pun kesannya kepada masyarakat.”- Joseph E. Stiglitz, penerima Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi 2008.