Boleh ke kerajaan isytiharkan darurat kalau cuaca panas sangat?

Korang perasan tak sekarang ni cuaca panas dia lain macam? Kami dekat ofis ni pun sampai kena turunkan suhu aircond kami sampai 16ºC (sebelum ni main 20ºC je), siap bukak kipas lagi! Kami punyalah takut bila ada khabar angin yang Malaysia akan capai suhu 40ºC, tapi nasib baik berita palsu! Tapi dulu kat Kedah pernah tau sampai  40ºC!

Tengok kami tak bohong kot! Imej dari fon kami.

Ada yang kata ni bala sebab sokong LGBT la, sebab bagi kerajaan Pakatan Harapan menang la dan lain-lain teori konspirasi yang orang reka sampai boleh kalah video The Arrival weh. Tapi yang kita nak tahu, boleh ke kerajaan umumkan darurat atas sebab gelombang haba?

Dulu Agong je yang isytiharkan darurat, tapi Tun M ‘ubah’ perlembagaan supaya dia pun boleh juga!

Sebelum tu, kita kena tahu dulu definisi darurat ni apa. Kalau ikut kamus, maksudnya adalah satu keadaan susah yang datang dengan tidak disangka-sangka. Di Malaysia, orang yang boleh umumkan darurat adalah ketua negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang termaktub dalam Perkara 150 dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalau baginda rasa satu keadaan tu tak terkawal dan boleh ancam negara, maka baginda boleh isytiharkan darurat.

Ini disebabkan Malaysia pakai sistem raja berpelembagaan. Kalau negara lain, lainlah sistem dia. Contoh di Amerika, Kongres boleh membenarkan pihak tentera campur tangan jika rasa negara diancam. Malah datuk bandar dan gabenor sendiri boleh mengisytiharkan darurat bagi kawasan mereka tanpa kelulusan Kongres atau presiden!

Bayangkan kalau kat Malaysia Menteri Besar boleh buat macam ni lol. Imej dari Imgflip.

Tapi kat Malaysia pada 1993, Tun M telah meminda Artikel 150(1) di mana Perdana Menteri boleh menasihati YDPA tentang darurat ni, dan baginda MESTI bertindak atas nasihat PM.

Kemudian DS Najib masa dia jadi PM pula telah melaksanankan undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana, PM boleh mendapat kuasa sepenuhnya sekiranya diisytiharkan darurat. Sebab tu orang dulu panggil ni Akta Diktator sebab MKN membolehkan PM menguasai tentera dan polis, mengalahkan YDPA.

Darurat itu sendiri terbahagi kepada dua kategori iaitu darurat bencana dan darurat keselamatan. Darurat bencana ni darurat yang disebabkan oleh alam seperti banjir, tsunami dan gempa bumi. Manakala darurat keselamatan pula disebabkan oleh manusia seperti peperangan dan pergolakan politik.

Kalau diserang zomba, darurat kategori apa? Imej dari TMDb.

Semasa darurat diisytiharkan, undang-undang biasa juga tidak dipakai dan undang-undang darurat akan berkuatkuasa. Contohnya di Amerika, sekiranya Presiden Trump mengumumkan darurat, lebih 500 undang-undang persekutuan akan digunapakai yang mengatasi undang-undang biasa.

Tapi sampai bila? Sebenarnya darurat ni hanya boleh diberhentikan oleh jawatan yang telah mengisytiharkannya. Jadi selagi tak cakap berhenti. darurat ni on je sampai kiamat. Malah Darurat Sarawak 1966 sebenarnya secara rasmi telah dihentikan pada 2011! Berapa tahun tuuu.

Masa Kelantan banjir teruk, Najib tak isytihar darurat pun. Malah dia sibuk bermain golf dengan Obama.

PRU 1969. Imej dari Helen Ang.

Malaysia ni banyak kali je isytiharkan darurat dan yang paling popular semestinya pada 1969 semasa rusuhan kaum yang telah meragut dalam 200 nyawa! Rusuhan ni bermula apabila parti pembangkang berarak untuk meraikan kecemerlangan mereka pada Pilihan Raya 1969. Semasa perarakan itu, mereka dikatakan telah mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap orang Melayu.

Orang Melayu kemudian bertindak balas dengan berarak dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan parang dan keris. Orang Cina pula membalas dendam dengan menyerang pawagam yang dipenuhi orang Melayu, sampai ada yang kena sembelih! Kucar-kacir di Kuala Lumpur ketika itu menyebabkan negara diisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969.

Peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Imej dari Free Malaysia Today.

Negara diperintah oleh YDPA di bawah undang-undang tentera dan undang-undang persekutuan digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, tapi dia letak jawatan atas desakan ramai yang kata dia tak fit untuk memimpin dan telah digantikan oleh Tun Abdul Razak.

Sepanjang tempoh darurat ni, MAGERAN telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif untuk menghalang rusuhun kaum ini daripada berulang. Antaranya adalah memperkenalkan Rukun Negara, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara. Malah Dasar Ekonomi Baru juga telah diperkenalkan untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi mengikut kaum. Pada 1971, MAGERAN dibubarkan dan Parlimen dipulihkan.

Tu darurat keselamatan, kita juga pernah ada banyak darurat bencana, yelah Malaysia kan selalu kena banjir dan jerebu?

Naik skybridge kat KLCC pun tak syok sebab tak nampak apa. Imej dari asiancorrespondent.

Pada Oktober 2015, Malaysia kena jerebu teruk yang berpanjangan. Akibatnya, ramai yang kena asma dan sesak nafas malah berlaku kemalangan jalan raya sebab kabus tebal sangat sampai tak nampak jalan. Tapi kerajaan masa tak umumkan darurat pun. Kenapa ye?

Walaupun diakui teruk, MKN kata darurat hanya akan diisytiharkan kalau Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, macam yang berlaku semasa 3 darurat jerebu yang lalu. Masa 2015 ni, tempat paling teruk kena Shah Alam tapi IPU dia 308 je, kira masih okay kalau nak dibandingkan dengan Sarawak pada 1997 yang mencatatkan IPU sebanyak 600!

Selain jerebu, Malaysia juga ditimpa banjir terutamanya di pantai timur. Tapi baru-baru ni pun Pulau Pinang pun kena teruk, sampai Lim Guan Eng (Ketua Menteri masa tu) kena minta tolong kepada kerajaan pusat (BN masa tu) untuk hantar tentera. Walaupun Pulau Pinang dah 119 kali banjir, ini merupakan yang paling teruk sekali di mana lebih 3,000 orang terjejas dan 7 nyawa terkorban.

Imej dari Berita Harian.

Tapi tragedi ni tak boleh lawan dengan banjir di pantai timur, terutamanya pada tahun 2014 di mana lebih 247,104 orang telah terjejas dan meragut 31 nyawa! Air naik punyalah tinggi sampai kat paras tengkuk! Lebih malang, masa ni sesi persekolahan 2015 baru nak mula jadi kesian sebab ada mak ayah dah beli beg dan baju baru, tapi hilang dihanyutkan oleh banjir.

Masa ni DS Najib memang kena maki teruk sebab enggan mengisytiharkan darurat, malah sibuk bermain golf dengan Obama. Sebenarnya, tindakan DS Najib yang tidak mengumumkan darurat merupakan tindakan yang wajar bagi mengelakkan kelumpuhan ekonomi di pantai timur.

“Sekiranya darurat dikuatkuasakan, semua premis awam serta swasta termasuklah kilang, ladang dan kawasan pembinaan akan ditutup..” – Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dipetik daripada Sinar Harian

Kalau jadi macam ni, sektor perniagaan akan terjejas malah orang awam juga susah untuk dapatkan barang keperluan sekiranya bantuan diberikan tidak mencukupi. Selain tu, tahu korang tak boleh claim insurans kalau tempat korang diisytiharkan darurat?

Tak dapat bayangkan kalau kena kat kereta sendiri. Imej dari tips & petua mudah.

Kalau ikut polisi insurans, memang betul pun insurans takkan bagi korang sesen pun kalau darurat diisytiharkan. Jadi kalau yang ambil perlindungan akibat bencana alam tu, memang nangis tak berlagu. Kereta lesap, duit burn.

“Mangsa banjir tak boleh buat tuntutan insurans terhadap kerosakan harta benda yang dialami.” – Najib Razak, menurut Malaysia Kini.

Jadi apa garis sempadan untuk memutuskan situasi tu perlu diisytiharkan darurat atau tidak?

Greece lagi teruk gelombang haba dia, tapi takde darurat pun! Tapi apa jadi kalau Malaysia isytihar darurat sebab gelombang haba?

Berbalik kepada kisah gelombang haba ni, bukan sahaja di Malaysia tapi tempat lain di dunia pun mengalami nasib yang sama. Tokyo, mencatatkan suhu setinggi 41.1ºC dan sudah mengorbankan 44 nyawa. Perarakan Hanagasa Junko, antara acara terbesar di sana juga terpaksa dibatalkan. Tragedi nuklear di Fukushima pada 2011 juga memberi kesan buruk sebab penggunaan aircond terpaksa dihadkan akibat gangguan elektrik. 

Bacaan suhu di bandar Tokyo. Imej dari CNN.

Eropah pun turut mengalami nasib yang sama dengan Portugal, Sepanyol dan Greece terutamanya menerima kesan yang paling buruk. Portugal mencatatkan purata suhu 46ºC, sikit je lagi nak sampai rekod tertinggi mereka 47ºC. Lebih 1,000 ekar hutan telah terbakar akibatnya, memaksa semua penduduk satu kampung ni kena berpindah keluar.

Tapi di Greece lebih teruk, di mana kebakaran hutannya telah meragut 91 nyawa dengan 25 orang masih belum dijumpai. Yang sedihnya, ada yang berjaya melarikan diri dari kebakaran hutan tu, tapi mati lemas di laut berdekatan sebab tak pandai berenang. Sehingga kini, penyelam sukarela masih lagi mencari mangsa di laut dan mungkin angka kematian akan meningkat.

Di tempat lain di Eropah, 4 reaktor nuklear di Perancis terpaksa ditutup dan beberapa jalan di Belanda juga ditutup sebab asfaltnya cair. Di Iberia juga, gelombang haba telah menyebabkan glasier di sana mencair pada kadar beberapa sentimeter sehari!

Jalan cair takpe, tayar pun kena tukar baru cerita dia. Imej dari ABC.

Tapi setakat ni, TIADA langsung negara yang terjejas ni mengisytiharkan darurat. Adakah ini disebabkan tuntuntan insurans macam yang DS Najib katakan tadi?

Kali terakhir Jepun mengisytiharkan darurat adalah semasa tragedi tsunami yang melanda pada 2011, di mana 22,000 nyawa telah terkorban! Tak cukup dengan tu, rakyat Jepun juga terkena radiasi akibat sisa nuklearnya tumpah ke dalam laut dan tersebar ke udara (Jepun ada 54 reaktor nuklear).

Seperti dikatakan tadi, kerajaan tak boleh sesuka hati je mengisytiharkan darurat kerana ia menelan belanja yang banyak serta boleh membawa kesan buruk kepada negara. Jadi selagi kerajaan boleh uruskan perkara ni, tak perlu nak umumkan darurat ni. Rais Yatim, bekas Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan pernah berkata,

Check-check, rock-rock. Imej dari Utusan.

“Undang-undang darurat berbeza dengan undang-undang biasa kerana apabila dilaksanakanrakyat tidak lagi bebas bergerak selain tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Darurat bo­leh diisytihar sekiranya negara benar-benar berdepan dengan isu keselamatan, ketenteraman dan ekonomi yang meruncing, sebaliknya jika kerajaan masih berupaya menyelesaikan sesuatu masalah, ia tidak perlu dilaksanakan.” – Rais Yatim, selepas ditemu bual Nasional FM dan Klasik FM.

Malah Dr Hazmi Rusli, Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang di USIM juga berpendapat di Malaysia contohnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam menghadapai bencana sudah cukup, tak payah nak darurat ni.

Kami juga pernah buat cerita pasal Dr Hazmi ni. Klik untuk baca. Imej dari SOSCILI.

“Seperti yang disebutkan awal tadi, pengisytiharan darurat memberi kesan terutamanya penambahan kuasa kepada pemerintah untuk mengamalkan pemerintahan secara terus (direct rule). Hak kebebasan rakyat juga akan menjadi terbatas sekiranya darurat diisytiharkan.

Memandangkan keadaan di Kelantan pada 2014 dan terkini di Pulau Pinang masih boleh dikawal, tidak ada keperluan untuk membuat sebarang pengisytiharan. Isytihar atau tidak – yang penting banjir dapat dikawal dan mangsa dibantu dengan sebaiknya.“- Dr Hazmi Rusli ketika dihubungi Soscili

Imej dari Suara Rakyat.

Tapi kalau betul la Malaysia darurat sebab gelombang haba ni, kami gambarkan yang akan ada perintah berkurung untuk elakkan orang mengalami dehidrasi. Sekurang-kurangnya, suhu purata mestinya melebihi 40°C supaya dianggap gelombang haba yang terlampau untuk pengisytiharan darurat.

Ada kemungkinan besar kemarau juga akan berlaku, jadi hasil pertanian akan terjejas. MKN akan terpaksa mencatu bahan mentah supaya semua orang boleh dapat. Boleh jadi berlaku pergaduhan sebab ada yang tak puas hati sebab keluarga dia ramai dan sebagainya.

Tu tak kira yang ambil kesempatan dengan menaikkan harga barang untuk untung lebih. Ngeri kan kalau dengar? Tapi betul-betul boleh jadi ke darurat sebab panas sangat ni?

Bertenang, suhu kita baru 35ºC dan keadaan masih terkawal!

Walaupun negara-negara kat Bumi ada yang tak ngam, tapi masih banyak yang saling membantu sekiranya satu negara tu ditimpa bencana. Malaysia contohnya sering menghulurkan bantuan kepada masyarakat di Gaza dan Rohingya. Indonesia yang kita selalu tak ngam pun selalu kita tolong semasa tsunami di Aceh pada 2005 dan gempa bumi di Lombok pada bulan lepas.

Mengaitkan dengan gelombang haba ni, Amerika juga telah membantu untuk mencari mangsa kebakaran hutan di Greece yang kami sebutkan tadi. Jadi semangat kemanusiaan antara negara-negara ni memudahkan kerajaan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda satu-satu negara tu.

Yang kes kanak-kanak terperangkap dalam gua ni pun dapat banyak bantuan dari negara luar. Imej dari Iluminasi.

Jadi kita boleh lihat mengapa ‘begitu liat’ untuk negara tu mengisytiharkan darurat walaupun keadaan dah teruk, sebab ianya boleh diselesaikan dengan bantuan dari negara lain atau pertubuhan antarabangsa.

Oleh itu, kebarangkalian untuk Malaysia mengisytiharkan darurat kerana gelombang haba adalah sangat rendah. Tengok negara Eropah yang lagi panas pun okay je. Tapi kalau situasi menjadi parah sampai negara lain pun dah tak boleh tolong, mungkin darurat terpaksa menjadi pilihan. Sama-sama kita doakan yang perkara ni takkan terjadi!

About Afiq Jamsari 11 Articles
Hotel yang sama, Harga yang sama?