Betul ke rupa paras lebih penting dari bakat? Kami kaji kebenarannya!

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Sejak beberapa hari ni, kecoh di media pasal kenyataan seorang penerbit popular, Dato’ A. Aida tentang bakat dan rupa seorang artis. Semuanya bermula bila Aida yang jadi juri uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 kata – bakat boleh digilap, tapi rupa dan pakej penuh adalah perkara paling penting.

Menurut Aida, dia kata macam tu sebab tak nak bagi harapan palsu kepada peserta-peserta yang datang dan lebih baik dia berterus terang.

“Ada seorang peserta yang datang untuk uji bakat setiap tahun sejak 5 tahun lalu tapi tiada pakej menarik.

“Nak diangkat jadi duta DFKL ini, memang sah-sah kami nak macam Remy Ishak, Syafiq Kyle dan sebab itu saya tidak mahu mereka yang tiada pakej lengkap terus berharap,” – katanya dipetik Metro.

Marah sangat ni. Imej dari Metro.

Lebih panas lagi, Aida kata – kalau ada peserta yang berbakat tapi takde rupa, diorang ni mungkin boleh cuba nasib masuk program bakat lain macam Bintang Mencari Bintang (BMB). Tapi, kenyataan Aida ni dah dapat respon dari pelbagai pihak, termasuklah dari kalangan anak seni sendiri.

A. Aida konsisten dengan kenyataannya, walaupun ramai tak setuju

Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Aida ni bukan perkara baru, sebab kitorang dapat tahu yang dia dah buat kenyataan serupa sejak tahun lepas lagi. Menurut laporan BH Online (11 Mac 2018), Aida ada kata yang dia memang jadikan paras rupa sebagai kriteria utama untuk setiap produk yang dia hasilkan.

Sebab katanya, dia yakin yang kemampuan seseorang tu dalam bidang lakonan boleh dibentuk.

“Sejak dulu saya memegang prinsip untuk memilih pelakon yang memiliki wajah kacak dan paras yang cantik dalam semua karya saya.

Malah, saya menyarankan kepada mereka untuk membentuk badan di gimnasium kerana ia membuatkan seseorang pelakon lebih sedap untuk dipandang. Sebagai penonton, kita pasti tertarik apabila melihat barisan pelakon yang sedap mata memandang.

Biarpun ada di antara pelakon diambil oleh saya digelar kayu oleh sesetengah pihak, namun bagi saya, ia bukan masalah. Bakat dalam bidang lakonan boleh digilap,” – katanya dipetik BH Online.

Imej asal dari Indonesian Store.

Walaupun macam tu, dah pasti kenyataan Aida ni dapat bantahan dari ramai pihak, dan antara yang terawal mengkritik adalah pelakon veteran, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. Kata Ogy, Aida bukan je pandang rendah kepada golongan pelakon, tapi juga dengan para penerbit.

Tambah Ogy, sampai ke hari ni, tak pernah ada garis panduan yang jelas mengatakan untuk jadi pelakon tu mesti ada muka cantik atau kacak. Malah katanya, hal tu juga tak ada dalam buku persiapan menjadi pelakon oleh legenda seni lakon, Konstantin Stanislavski.

“Tidakkah kenyataan dia itu seolah-olah mengatakan bahawa ada ciptaan Tuhan yang buruk?” – Soal Ogy, dipetik dari Astro Awani.

Konstantin Stanislavski pada tahun 1938. Imej dari wikimedia.org

Selain tu, pelakon Sharifah Amani pula menyifatkan kenyataan Aida itulah yang jadi antara punca kenapa ‘kualiti’ lakonan pelakon sekarang ni bertambah teruk.

“Dengan mentaliti macam ini patutlah kualiti pelakon semakin jahanam. Hasil kerja pun makin entah apa-apa, disiplin koyak. Tepuk dahi bertubi-tubi,” katanya di Twitter.

Jadi dalam hal ni, kita boleh kata yang kenyataan Aida memang dibantah oleh mereka yang dah lama dalam industri seni. Walaupun macam tu, mungkin lebih baik kalau kita tengok juga kajian ilmiah pasal isu yang berbangkit ni.

Paras rupa boleh pengaruhi pendapatan

Seperti mana yang kita tahu, isu antara bakat dan rupa ni bukan jadi masalah di Malaysia je, tapi juga di negara-negara lain di serata dunia. Ini kerana, ada kajian yang dapati paras rupa mainkan peranan penting dalam pelbagai perkara di dunia ni.

Antaranya adalah macam kajian oleh Hamermesh dan Biddle yang dapati penampilan paras rupa yang baik mempengaruhi pendapatan seseorang di Amerika Syarikat, sama ada dalam bidang pekerjaan biasa, ataupun lebih khusus macam jadi peguam. Tak cukup dengan tu, Hamermesh buat kajian pula di sekolah, dan dia dapati, para pengajar yang ada paras rupa lebih baik akan dianggap lebih produktif oleh para pelajar.

Siapa ingat drama ni? Ni pun salah satu drama terbitan A. Aida. Imej dari The Saint’s View.

Tapi, macam mana pula dengan selebriti? Adakah diorang ni juga dipandang berdasarkan paras rupa? Berkenaan dengan hal ni pulak, menurut kajian dari Economic Bulletin, hasilnya tak lah condong sangat kepada paras rupa semata-mata, sebab bakat dan kebijaksanaan juga mainkan peranan.

Ini kerana, bila diorang buat kajian pasal Forbes Celebrity 100diorang dapati selebriti yang ada pendapatan lebih banyak bukanlah dari kalangan yang ada rupa je, tapi juga dari kalangan yang ada kebijaksanaan dan bakat.

Menurut kajian ni, kebijaksaan dalam kalangan selebriti membuatkan mereka dapat pendapatan yang lebih banyak, berbanding yang mempunyai bakat dan paras rupa. Manakala, pendapatan berdasarkan bakat dan paras rupa pula sama je dan tak ada jauh beza.

“Kecantikan penting – tetapi juga bakat, kebijaksanaan dan sifat-sifat positif lain. (Selebriti) Lelaki menjana lebih banyak wang berbanding wanita dan caucasians (orang putih) menerima pendapatan lebih berbanding rakan sekerja non-caucasioan mereka yang lain,” – dipetik dari Economic Bulletin.

Renungkan kata-kata Hamka ini. Imej dari ugetuget.com

Jadinya kat sini, bakat sebenarnya mainkan peranan penting juga, berbanding dengan paras rupa. Walaupun macam tu, kajian ni masih lagi boleh dipertikaikan, sebab ada kemungkinan sentimen masyarakat antarabangsa (khususnya Amerika Syarikat & Eropah) berbeza dengan Asia atau lebih tepat Malaysia.

Semua pihak kena kerjasama didik masyarakat

Obses dengan kecantikan ni bukanlah benda yang boleh dipandang enteng, sebab ada je banyak kes kat luar sana yang menunjukkan kesan negatif. Contohnya macam fenomena obses kecantikan yang melanda masyarakat Korea Selatan, sampaikan Seoul digelar sebagai ibu negeri pembedahan plastik Asia.

Malah, dikatakan terdapat lebih 500 klinik pembedahan plastik di Gangnam sahaja, dan hampir 1 juta pembedahan dijalankan setiap tahun. Tapi kita masih boleh bersyukur, sebab kita tak lah sampai macam tu dan masih terkawal. Malah, kita juga dah lahirkan banyak bakat seni dan semuanya bukanlah kerana rupa semata-mata, tapi juga kerana bakat.

Siapa sangka, pelakon filem klasik Ibrahim Pendek adalah anak Melayu pertama yang menjejakkan kaki dalam dunia Hollywood. Semuanya sudah pasti bukan kerana rupa, tetapi bakat yang dimilki lagenda seni itu.

Ibrahim dalam satu scene untuk filem: The Spiral Road (1962). Imej dari New Straits Times.

Oleh itu, sesuai dengan apa yang dikatakan oleh Que Haidar, anak seni sepatutnya bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mendidik penonton menghargai bakat dan bukannya sibuk buat duit. Ini kerana katanya, rupa paras memang boleh digilap, tapi ia tetap akan ditelan usia. Namun, bakat dan ilmu akan terus kekal walaupun dimamah usia.

“Kita sudah memasuki 2019, masih ada lagi orang dalam industri yang berfikiran sebegini. Kita sepatutnya mendidik khalayak supaya lebih dulu menghargai seni dan bakat.

Ini tanggungjawab kita terhadap masyarakat, bukan sekadar sibuk buat duit,” – katanya dipetik BH Online.

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.