Iran guna kalendar berbeza dari negara Islam yang lain? Kitorang jelaskan

Cepat betul tahun 2018 tinggalkan kitakan? Pejam, celik, pejam, celik – kita dah melangkah kat tahun baru lagi. Selain daripada dapat cuti sehari, mesti ramai yang buat azam dan senaraikan benda yang diorang nak capai pada tahun 2019. Kalau korang takde azam lagi, meh kitorang bagi korang satu azam, angkat tangan kanan dan ikut ikrar ni – saya berjanji akan baca artikel SOSCILI setiap hari. Kitorang gurau je.

Korang perasan tak, kat dunia ni kita guna kalendar apa? Kita guna Kalendar Gregorian yang gunakan sistem Bumi mengelilingi Matahari. Mustahil korang tak tahu, sebabnya benda-benda ni diajar masa kita kat sekolah dulu. So, kitorang rasa mesti best kalau kitorang tulis artikel tentang benda-benda asas kalendar lain yang ada kat dunia ni.

Happy New Year! Imej dari GIphy

Meh kita mulakan artikel ni dengan kalendar…

1. Kalendar orang Islam kat Iran tak sama dengan kalendar kita

Kalau korang nak tahu, asal-usul kalendar Persia ni dijejak sampai ke kurun 11 lagi. Masa tu ada sekumpulan ahli astronomi buat satu kalendar yang dinamakan Jalaali kalendar. Tapi kalendar yang diorang buat masa tu dah banyak kali diubah. Ubah punya ubah sampailah ke kalendar Persia yang mula digunakan di Iran sejak tahun 1925, dan kat Afghanistan mula digunakan pada tahun 1957.

Macam ni bulan-bulan yang ada kat kalendar Persia;

1. Farvardin (31 Hari)
2. Ordibehesht (31 Hari)
3. Khordad (31 Hari)
4. Tir (31 Hari)
5. Mordad (31 Hari)
6. Shahrivar (31 Hari)
7. Mehr (30 Hari)
8. Aban (30 Hari)
9. Azar (30 Hari)
10. Day (30 Hari)
11. Bahman (30 Hari)
12. Esfand (29/30 Hari)

Hahh…korang lahir bulan berapa? Imej dari AMAR

Tahun dalam kalendar Persia ni akan bermula padaVernal Equinox setiap tahun. Bagi yang tak tahu Vernal Equinox tu binatang apa – ia berlaku apabila Matahari betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa, klik link tu kalau nak tahu. Kalau fenomena Vernal Equinox ni berlaku sebelum tengahari, hari tu akan jadi hari pertama kalendar tahun tu. Kalau fenomena Venal Equinox jadi lepas tengahari, esok harinya pulak akan jadi hari pertama.

Faham tak? Kalau Vernal Equinox jadi waktu pagi, so itulah hari pertama dalam tahun tu. Kalau jadi waktu petang, kena tunggu esoknya barulah jadi tahun baru.

Kalendar Persia ni pulak mula sama dengan kalendar Hijrah – masa Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah. Tapi bezanya, kalendar Persia ni tak guna kitaran Bulan kelilingi Bumi. Diorang guna sistem masa yang diambik untuk Bumi kelilingi Matahari. So sebab tu ada perbezaan di antara kalendar Hijrah dan Persian dari segi tahun.

Iran?! Negara Syiah. Itulah yang korang akan dengar bila korang tanya member. Imej dari CFR

2. Kalendar Buddhist yang ada dua kali tahun lompat

Kalau kalendar Masihi diambik dari kiraan Bumi kelilingi Matahari dan kalendar Hijrah pulak bulan kelilingi bumi, kalendar Buddhist ambik kira kedua-duanya. Benda ni dipanggil ‘lunisolar calender‘. Kalendar ni jugak ada kaitan dengan kalendar Hindu yang kitorang akan ceritakan nanti. Antara perayaan masyarakat Buddha yang gunakan kalendar Buddhist ni adalah Magha Puja dan Asalha Puja.

Kalau korang nak tahu – kalendar Buddhist ni gunakan sistem 12 bulan jugak. Nama-nama bulan tu pulak akan beza ikut negara, di sesetengah tempat diorang tak letak nama – just guna nombor.  Setiap bulan pulak akan ada 29 atau 30 hari, lebih kurang macam kalendar Masihi. Setiap bulan akan dibahagikan kepada dua, satu bahagian 15 hari. Diorang buat ni berdasarkan masa yang diambik oleh Bulan untuk mengembang dan menyusut.

Kalau korang dah lupa, ni haa fasa-fasa bulang mengembang dan menyusut. Imej dari WIKIHOW

Satu lagi persamaan kalendar Buddhist dengan Hindu – setiap tahun akan bermula apabila Matahari melintasi zodiac Aries. Tahun dalam kalendar ni bermula bila Gautama Buddha meninggal dunia, atau selalu disebut Buddha telah capai ‘parinirvana. Ada juga perdebatan bila tahun berlakunya kematian Buddha; sama ada 543 atau 546 sebelum Masihi. Tapi kebanyakan tempat ambik 544 tahun sebelum Masihi.

Kalendar Buddhist jugak ada kiraan tahun lompat yang kompleks gila babs. Contohnya – diorang letakan 7 tahun dalam tempoh 19 tahun sebagai tahun lompat. Bila tahun lompat ni berlaku, diorang akan tambah 30 hari dalam kalendar. Diorang jugak ada tambah 11 tahun dalam tempoh 57 tahun sebagai ‘great leap years’. Untuk great leap years diorang akan tambah sehari pada satu bulan yang ada. Peningkan?

Bulan-bulan yang ada pada kalendar Buddhist. Imej dari TIMEANDDATE

3. Tahun Hijrah dan Masihi akan ada tarikh yang sama pada tahun 20,874

Memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, kalendar Hijrah ni tak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Kalau korang bukan orang Islam, kurang-kurang mesti korang pernah dengar awal Muharamkan? Bagi yang tak tahu – bulan dalam Islam gunakan fasa-fasa yang ada kat Bulan sebagai rujukan. Setiap bulan bermula bila anak bulan kelihatan, sebab tu sebelum raya dan Ramadan diorang pergi mengintip bulan. Diorang nak tengok bulan tu dah beranak atau belum.

Bagi yang tak tahu – kalendar Hijrah bermula bila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah.

Oleh sebab tahun Hijrah takde tahun lompat untuk jadikan kalendar ni selari dengan ‘solar year’, kalendar HIjrah ketinggalan 6 hari di belakang ‘solar year’. Oleh sebab benda ni – tahun Hijrah tak boleh digunakan untuk rujukan aktiviti pertanian atau apa-apa aktiviti yang libatkan empat musim.

Imej dari AfricaNews

Kalendar Hijrah pun ada 12 bulan jugak, setiap bulan akan ada 29 atau 30 hari. Kalau korang nak tahu – oleh sebab kalendar Hijrah takde mekanisme tahun lompat, so kalendar Hijrah perlukan 33 tahun untuk jadi selari semula dengan tarikh dan bulan Masihi. Untuk tahun pulak – diramalkan tahun Hjirah dan Masihi akan sama pada 1/5/20874. Itu pun kalau belum kiamat ler.

Kat Malaysia, setiap kali tahun baharu Hijrah datang (Maal Hijrah). Setiap kali tahun baharu Hijrah datang (Maal Hijrah), akan ada tokoh yang dipilih. Tahun 2018 – anugerah ni dimenangi oleh Siddiq Fadzil. 

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan berbuat apa yang boleh, tidak hanya menegakkan syiar, tetapi juga ajaran Islam bersama prinsip dan nilai dasarnya,” – Siddiq Fadzil, dipetik dari BH

Siddiq Fadzil. Imej dari Berita Harian 

4. Kalendar Hindu, kalendar yang paling susah difahami

Apa yang menarik tentang kalendar Hindu ni adalah sistem diorang yang rumit. Biasanya kalendar-kalendar lain akan gunakan kiraan Matahari atau Bulan, diorang pulak ada pelbagai cara nak tentukan tahun dan bulan. Diorang akan gabung macam-macam, oleh sebab tu kelendar Hindu adalah antara kalendar yang paling susah nak difahami.

Apa yang buat ramai orang pening lagi – takde satu pun kalendar Hindu yang rasmi. Ada macam-macam versi. Kat India contohnya – ‘Saka Calender’ yang digunakan kat sana sejak 1957, adalah salah satu variasi kalendar Hindu yang ada. Walaupun diorang ada macam-macam variasi, tapi ada benda-benda ‘basic’ yang ada kat hampir semua variasi.

Kitorang pun pening. Imej dari Giphy

Macam kalendar Buddhist tadi, kalendar Hindu ni ‘lunisolar’ – diorang ambik kira kitaran Bulan dan Bumi. Setiap tahun – ia akan bermula bila Bumi berada kat garisan zodiac Aries, sekali lagi sebijik macam kalendar Buddhist tadi. Untuk tahun lompat pulak – diorang akan ada tiga tahun sekali.

Korang boleh sebut tak? Imej dari TIMEANDDATE

5. Gregorian calender, selalu pakai tapi jarang dengar

Hahhh? Apa benda ni? Inilah kalendar yang digunakan kat seluruh dunia. Kalendar ada kat handphone dan laptop korang. Kalau korang nak tahu – sebelum kalendar Gregorian ni ada, dunia gunakan kalendar Julian. Macam yang korang dah tahu – kalendar ni ada 7 hari seminggu dan setahun ada 53 atau 52 minggu. Kat kebanyakan tempat di dunia hari Isnin adalah hari pertama setiap minggu.

Kalau korang nak tahu, formula tahun lompat untuk kalendar Gregorian adalah macam ni;

  • Tahun lompat boleh dibahagikan dengan 4;
  • Sekiranya tahun boleh dibahagikan dengan 100, ia bukan tahun lompat,
  • kecuali; tahun itu juga boleh dibahagikan dengan 400, barulah ia tahun lompat.
Lompat si katak lompat. Imej dari Giphy

Walaupun kalendar Gregorian ni dinamakan sempena nama Paus Gregorius XIII, sebenarnya kalendar ni direka oleh Luigi Lilio seorang doktor, ahli astronomi dan ahli falsafah Itali. Dia dilahirkan pada tahun 1510 dan meninggal dunia pada tahun 1576, enam tahun sebelum kalendarnya diperkenalkan secara rasmi.

So kitorang tak payah nak sembang panjang bab Gregorian kalendar sebab kebanyakan korang mesti dah tahukan…

Tahun baru, azam pun mestilah nak baru

Tahniah korang kerana berjaya hidup sampai tahun 2019. Selalunya sebut je tahun baru mesti ramai yang akan cuba letak azam baru. Kalau korang rasa tak puas hati nak pasang azam – korang boleh pasang azam setiap kali tahun baharu muncul kat kalendar lain. Boleh setahun korang pasang berpuluh-puluh azam. Kalau korang takde idea nak pasang azam apa, ikutlah azam Timbalan Perdana Menteri kita;

“Saya berhasrat untuk kurangkan penggunaan plastik dalam usaha menyelamatkan penyu yang kian pupus dan giat dalam kitar semula,” – Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri, dipetik dari MalaysiaKini

Tapi lebih ramai yang nak diet sebenarnya. Imej dari GIphy

Apa-apa pun azam kitorang untuk tahun 2019 ni, kitorang harap korang akan dapat capai bila tiba bulan Disember nanti. Macam yang kitorang cakap awal-awal tadi – pastikan tahun 2019 ni korang jadi pembaca tegar SOSCILI, bolehlah dapat banyak ilmu dan kalau bertuah; boleh menang sos cili kitorang!

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka