- 38Share sekarang!
- Email2
- Facebook36
- Share
(This article is a translation from our sister site, CILISOS)
Walaupun kehidupan seharian kita nampak biasa di Malaysia, tetapi realitinya kita berada dalam politik yang tunggang-langgang. Tambahan pula, kita tak mempunyai kerajaan yang stabil sejak 3 tahun yang lalu disebabkan beberapa ‘katak’ atau ahli Parlimen yang melompat parti.
Perkara ni menjadikan semua orang yang susah payah mengambil cuti untuk mengundi pada tahun 2018 kelihatan seperti sekumpulan badut yang dipermainkan. Walaupun dah terang lagi bersuluh perkara ni salah, namun tak ada tindakan yang akan dibuat — it’s technically legal. Akan tetapi, isu lompat parti ni mungkin tak lama sebab…
Undang-undang untuk menghukum ‘katak politik’ sedang dirangka!
Walaupun Anti-Hopping Law (AHL) atau Undang-Undang Anti Lompat Parti dikatakan masih belum dimuktamadkan tetapi ada beberapa cadangan berkaitan undang-undang ni telah dibuat. Salah satu daripadanya menarik perhatian kitorang — RecallxAction.
Apa fungsi sebenar RecallxAction? Pengundi boleh menarik balik undi terhadap ahli Parlimen atas alasan yang ditetapkan. Khas untuk ahli Parlimen yang meninggalkan parti, yang terlibat dalam lompat parti atau pengusiran.
Yang menariknya, RecallxAction dicadangkan sendiri oleh Azalina Othman dari UMNO. Selain itu, dia juga merupakan penunjuk perasaan ‘katak’ serta pembuat meme! Kitorang telah hubungi Azalina sendiri untuk mengetahui lebih lanjut dannnnn perkara pertama yang kitorang belajar tentang RecallxAction adalah…
Ia pada asasnya membolehkan pengundi menghukum siapa yang mereka anggap sebagai ‘katak’
Namun begitu, macam mana pengundi nak tentukan siapa ‘katak’ sebenar? Perkara yang membuat korang garu kepala memikirkan masalah ni dah ada penyelesaiannya. Terdapat beberapa definisi yang dicadangkan setakat ni:
- Ahli Parlimen meninggalkan parti politik yang bertanding untuk menyertai parti lain/bebas.
- Yang dipecat daripada parti politik.
- Ahli Parlimen bebas yang menyertai parti selepas menang.
Beberapa definisi ni tak dapat diterima sangat sebab dipercayai terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi. Contohnya, seorang ahli Parlimen dibuang dari parti disebabkan tak bersetuju dengan presiden dan menyebabkan dia hilang kedudukan.
Dengan adanya RecallxAction, dah tak perlu risau tentang kelemahan tersebut. Sebenarnya, pengundilah yang menentukan siapa yang menjadi katak! Macam mana nak buat? Seperti membuat petisyen change.org (kecuali yang ni mungkin membuat perbezaan sebenar).
Seperti yang dicadangkan oleh Azalina, RecallxAction mempunyai 3 langkah mudah:
- Sebaik saja pengundi fikir ada seorang ahli Parlimen melompat parti, dia boleh bayar deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk memulakan RecallxAction. Deposit tersebut untuk mengelakkan petisyen non-serious.
- Kemudian, jalankan petisyen dalam kalangan pengundi di mana-mana kawasan dan cari orang yang bersetuju untuk lakukan petisyen.
- Serahkan senarai tandatangan petisyen kepada SPR.
Andai kata cukup orang bersetuju ahli Parlimen tu lompat parti, kerusi tersebut akan dikosongkan serta pilihan raya kecil akan diadakan. Dengan cara ni, pengundi dapat memecat ahli parlimen yang melompat parti melalui kuasa pengundi sendiri!
“Tindakan menarik balik undian berfungsi sebagai insurans kepada pengundi bahawa calon yang mereka pilih tak akan mengkhianati rakyat dengan melompat parti selepas pilihan raya. Tanggungjawab pengundi untuk memulakan proses menarik balik, menjadikan tanggungjawab kolektif pengundi untuk membuat keputusan sama ada MP yang lompat parti akan kekal atau mereka mahu memecatnya.” — Azalina Othman, kepada SOSCILI.
Sekiranya tak ramai yang berpendapat ahli Parlimen tersebut melompat parti atau majoriti berpendapat lompatan tu sememangnya dibenarkan — seperti ahli Parlimen meletak jawatan daripada parti mereka untuk menegakkan moral, maka tak ada apa yang akan berlaku. Kalau korang nak tahu, untuk menarik balik undian memerlukan…
Kos tambahan tetapi berbaloi untuk masa depan rakyat
Azalina juga memberitahu mana-mana alternatif yang masuk ke dalam Undang-Undang Anti Lompat Parti akan ada kos tambahan. Walaupun begitu, kos tambahan yang dibayar sangat berbaloi daripada rakyat Malaysia terus menderita dengan sikap ahli Parlimen yang mementingkan diri sendiri.
“Kos yang ditanggung adalah pada petisyen dan jika tindakan menarik balik undi diteruskan ke pilihan raya kecil, kos akan ditanggung oleh pilihan raya kecil. Walau bagaimanpun, tindakan menarik balik undi SANGAT BERBALOI DENGAN KOS sebab ia melindungi mandat pengundi, malah mengekalkan kestabilan politik.” — Azalina Othman, kepada SOSCILI.
Tindakan menarik balik undi juga mengelakkan perbelanjaan yang tak perlu. Katakan ahli parlimen tu betul-betul lompat parti, tetapi pengundi rasa tak cukup untuk memecatnya — pengundi boleh mengesahkan melalui petisyen dengan kos yang agak rendah.
Kalau buat pilihan raya kecil akan jadi lebih mahal dan rugi kalau keputusan masih sama, jadi dari sini ia boleh menjimatkan duit pembayar cukai. Pada pandangan kitorang, RecallxAction merupakan idea yang bagus tetapi kitorang tertanya-tanya…
Adakah RecallxAction akan berlaku di Malaysia?
Untuk kerajaan meluluskan idea dan proses RecallxAction mungkin akan mengambil masa yang lama. Tambahan pula, senarai yang perlu dibuat untuk Undang-Undang Anti Lompat Parti masih dalam proses.
Di samping itu, orang-orang dalam kerajaan sedang berusaha untuk menamatkan ketidakstabilan 3 tahun yang lalu, terutamanya dengan cadangan yang membolehkan pengundi untuk bertanggungjawab terhadap ahli Parlimen mereka (merupakan sesuatu yang bagus).
Susah untuk menjangka sekiranya RecallxAction dapat dijadikan sebagai undang-undang ataupun tak. Jadi, sehingga maklumat lanjut diketahui, kita akan menangguhkan hashtag #balikundiGE15 buat masa sekarang.
- 38Share sekarang!
- Email2
- Facebook36
- Share