Sejarah & Politik

Bangunan UMNO sunyi sepi dan 5 lagi PENGALAMAN SEBENAR pada malam 9 Mei 2018

Pejam celik – pejam celik, dah hampir setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Tarikh 9 Mei 2018 terus menjadi tarikh keramat, kerana ia menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) yang dah memerintah selama lebih 60 tahun.

Rasanya, malam 9 Mei juga jadi malam paling lama untuk rakyat Malaysia yang masa tu berdepan dengan keadaan tertanya-tanya, cemas dan excited. Boleh dikatakan, majoriti rakyat masa tu duduk kat depan TV, tengok media sosial atau sibuk melepak kat mamak dengan member-member.

Dah la tengah berdebar-debar, tiba-tiba bertambah terkejut lagi bila dapat tahu ramai menteri kabinet dan pemimpin utama BN tewas dalam pilihan raya tu. Akhirnya, tanda tanya terjawab bila PH berjaya dapat majoriti kerusi kat Parlimen dan mentadbir lapan negeri, yang sah-sah buatkan BN masa tu duduk termenung.

Muka depan akhbar Berita Harian 10 Mei 2018.

Tapi di sebalik hari bersejarah tu, sebenarnya banyak juga pengalaman-pengalaman mereka yang terlibat (secara langsung atau tak langsung) pada 9 Mei 2018 yang jarang-jarang kita dengar. Jadinya, SOSCILI dah temubual beberapa orang yang terlibat dari pelbagai latar belakang. Dan, ini antara cerita-cerita best mereka…

1. Seawal jam 8pm, kami dah rasa BN telah kalah – Penganalisis Politik

Dr Mazlan Ali, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dr Mazlan Ali. Imej dari Berita Harian.

Dalam banyak kenyataan saya sebelum PRU-14, saya selalu sebut istilah “Tsunami Mahathir” dan peralihan 15% pengundi Melayu kepada Dr Mahathir akan memenangkan PH. Tapi dalam masa sama, kekuatan BN juga tak boleh dipandang remeh, sebabnya parti yang dah berkuasa selama 61 tahun tu ada 3M (money, machinery dan media).

Selepas jam 5 petang (9 Mei) saya berada di sebuah stesyen penyiaran milik kerajaan untuk buat ulasan keputusan PRU-14. Seawal jam 7 malam, saya dah mula rasa kekalahan dari pihak BN disebabkan banyak keputusan yang tak menyebelahi parti tu.

“Sekitar jam 8 sampai 9 malam, hati kecil saya mengatakan; SAH kerajaan sudah bertukar tangan. Ditambah lagi dengan raut wajah petugas-petugas SPR, ulasan lesu Pengerusi SPR dan kelewatan pengumuman keputusan penuh, ia mengesahkan lagi kekalahan BN.”

Imej dari ezgif.com

Pada malam itu ada satu keganjilan yang saya rasai, walaupun saya dan rakan setugas (Dr. Nazli Aziz dari UTM) dimeriahkan dengan gelaGat DJ-DJ, tapi kami masing-masing tak lekang dengan media sosial.

Telefon saya tak putus-putus dengan panggilan, dan terkejut juga saya bila nampak ada ribuan mesej WhatsApp yang masuk! Ada yang datang dari media, kawan-kawan dan juga pemimpin-pemimpin politik.

“Pemimpin dari parti UMNO meluahkan kebimbangan tentang nasib orang Melayu, manakala pemimpin dari blok PH pula bercakap tentang era baru dan Malaysia yang lebih baik.”

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Para DJ juga masa tu agak tergamam bila berderu-deru keputusan yang masuk dalam skrin. Saya dapat rasakan – skrip DJ yang biasanya menyokong kerajaan sedia ada, mula terbuka dan saya sebagai penganalisis juga mula bercakap dalam konteks yang lebih luas dan terbuka.

Imej dari memegenerator.net

Saya bersyukur tak ada sebarang kekacauan yang berlaku. Nampaknya, pihak polis dah memainkan peranan yang sangat berjaya dalam mengawal ketenteraman awam.

Prof Madya Dr Azmi Hassan, Penganalisis Politik & Geostrategis

Azmi Hassan. Imej dari Berita Harian.

Pada malam itu, saya sedang membuat analisis di salah sebuah stesen TV tempatan. Sekitar 9 malam, keputusan sudah agak jelas memihak kepada PH dan keadaan ni dah membuatkan saya, rakan-rakan penganalisis lain dan hos rancangan agak tergamam sebab ia keputusan di luar jangkaan.

“Disebabkan stesen TV itu pro kerajaan (BN), apa yang dah direncanakan sekian lama terpaksa diubah secara hakiki dan tak syak lagi bahawa kami di studio telah  melalui satu era politik baru dan perubahan landskap politik yang berubah secara drastik.”

Walaupun begitu, saya melihat kawalan keselamatan tidaklah begitu ketat ketika itu, walaupun adanya khabar angin rusuhan dan sebagainya.

Tapi apa yang menarik adalah berkaitan dengan media. Sebabnya, persepsi rakyat terhadap sesetengah stesen TV yang pro parti politik tertentu, mereka menganggap staf stesen juga begitu. Terutamanya hos program bicara turut sama cenderung dengan parti berkenaan. 

“Tapi pasca PRU-14 dah mengesahkan andaian rakyat itu tidak tepat kerana apa yang ditonton di TV tak semestinya menggambarkan kecenderungan individu tersebut.

Tak baik pikiaq macam tu… Imej dari tenor.com

2. Bangunan UMNO (PWTC) sunyi sepi dan kami tak dapat tidur malam tu – Wartawan

Nabihah Hamid, wartawan Malaysia Insight

Pada hari pengundian, suasana taklah semeriah PRU-13, dan hati saya masa tu rasa keadaan seperti biasa saja iaitu BN akan menang, tapi bukan dengan majoriti 2/3. Tapi menjelang malam, WhatsApp mula keluar masuk menyebarkan berita kemenangan PH.

Antara yang pertama adalah Negeri Sembilan dan Johor yang umumkan kemenangan awal. Kami masa tu terkejut sangat, macam mana Johor yang jadi kubu kuat BN boleh tumbang?!

Bekas MB Johor, Khaled Nordin tewas kerusi Parlimen dan DUN. Imej dari Malaysiakini.

Tapi suasana PWTC penuh misteri. Kami yang berkampung di situ dah mengasak ramai pemimpin yang keluar masuk, tapi tak seorang pun yang meninggalkan sebarang kata. Ada juga pemimpin yang mukanya gelisah semacam.

“Kawasan Menara Dato Onn kelihatan suram, berbeza dengan PRU sebelumnya yang meriah. Tapi kali ni tak ada pemimpin besar yang datang, dan ia berterusan sampailah ke lewat pagi. Itulah kali pertama dalam sejarah.

Penyokong yang datang pun mula bersurai dengan penuh tanda tanya. Wartawan-wartawan arus perdana (mainstream) kebanyakannya bingung, pucat dan penuh tanda tanya. Diorang tak percaya keadaan PWTC yang selalunya meriah lengang macam tu je.

Pengamal-pengamal media yang berkumpul di depat Menara Dato’ Onn. Tapi suasananya suram je. Imej dari Malaysia Gazette.

Malam tu boleh dikatakan perasaan ni bercampur baur. Sebagai pengamal media alternatif, kami dahagakan pembaharuan dan kebebasan media. Tapi rasa takut pun ada juga, sebab bimbang dengan kestabilan ekonomi dan rusuhan yang mungkin boleh jadi.

Ada juga rasa takut dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dijaja akan digunakan untuk mengekalkan kerajaan kononnya. Tapi ternyata semuanya itu tak berlaku.

Syalikha, Wartawan Berita Harian (BH)

Pada 9 Mei, saya ditugaskan di Parlimen Sungai Buloh, dan ia mengambil masa yang cukup lama. Saya bertugas dari jam 7 pagi, dan ia berlarutan sampai pukul 3 pagi keesokan harinya. Boleh dikatakan kawasan Parlimen ni antara kawasan berhampiran Kuala Lumpur yang paling lambat mendapat keputusan.

Mungkin ada kiraan semula peti undi yang dibuat di luar pengetahuan media. Tapi, antara sebab yang kami (orang media) tahu – ada peti undi yang lambat sampai, hinggakan keputusan jadi lewat.

Imej dari Giphy.

Akhirnya penantian kami berakhir bila keputusan rasmi Sungai Buloh dikeluarkan pada jam 2 pagi! Calon PKR, R.Sivarasa menang. 

“Tapi dalam masa sama, saya dan rakan-rakan juga terkejut bila tahu keputusan tak rasmi (BN kalah di peringkat nasional).

Jadi kami menjangkakan akan ada satu ‘permainan’ atau rancangan yang akan dilakukan oleh parti/ahli politik bagi senario berkenaan.”

Penat di Sungai Buloh, kami kemudiannya balik ke pejabat pada jam 3 pagi. Tapi tu tak berakhir lagi, sebab kami masih kena tunggu arahan dan keputusan rasmi diumumkan. Akhirnya, kami hanya balik rumah pada jam 5 pagi.

“Kebanyakan dari kami tak mampu tidur kerana debaran menunggu keputusan dan arahan seterusnya sehinggalah jam 9-10 pagi, bila kami dapat berita Tun Dr Mahathir akan ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6.”

Pengorbanan seorang wartawan. Imej dari hangat.com

3. SPR mula mesra dengan calon PH dan calon BN terpaksa balik atas nasihat polis – Ahli Politik

Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa (PH)

Nik Nazmi – bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN dan sekarang jadi Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN . Imej dari Suara Perak.

Pada malam itu, nampak agak jelas yang saya akan memenangi Setiawangsa. Ibu bapa dan ahli keluarga ada bersama saya, selain rakan-rakan, penyokong PKR dan PH. Amat bermakna bapa dan ibu saya (masing-masing berusia 88 dan 78 tahun) hidup cukup lama untuk menyaksikan perubahan masa tu.

Lebih kurang macam tahun PRU-2008, ia mengambil sedikit masa sebelum keputusan rasmi Setiawangsa dan seluruh negara disahkan. Tapi saya tahulah, ada perubahan yang akan berlaku. Ahli Parlimen UMNO sebelumnya, Ahmad Fauzi Zahari, yang tak dicalonkan semula kali ini, datang mengucapkan tahniah kepada saya secara peribadi.

“Calon PAS Ubaid Abd Akla pun ada di sana. Selepas menunggu agak lama, kakitangan SPR mula menunjukkan sikap lebih mesra dan datang mengambil gambar bersama saya.

Tapi kami semua masa tu masih sibuk melayani mesej dan panggilan telefon, menghabiskan bateri sambil menunggu PH dan WARISAN melepasi angka sakti 112 kerusi Parlimen. 

Saya percaya ada juga kebimbangan. Ramai bertanya: Adakah kerajaan sedia ada (BN) akan menyerahkan kuasa secara aman? Adakah institusi-institusi negara akan membantu peralihan kuasa? Adakah masyarakat pelbagai kaum akan kekal tenang semasa proses ini berlaku? Peralihan kuasa pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri, tetapi tidak pernah berlaku di peringkat persekutuan.

Imej dari imgflip.com

Mereka yang tua pernah menyaksikan tragedi 13 Mei, dan pastinya berwaspada jika tidak merasa bimbang sekalipun. Tempoh penantian saya berakhir apabila saya melihat Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenakan tali leher dan jaketnya untuk bersedia membuat pengumuman rasmi.

Kami berjalan menaiki pentas bersama calon PAS dan saya diumumnya secara rasmi sebagai pemenang. Calon UMNO tidak kelihatan. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan peralihan kuasa juga begitu. 

Datuk Mohd Imran Tamrin, ADUN Sungai Panjang (BN)

Dato’ Imran juga seorang peguam. Imej dari New Straits Times.

Sejujurnya saya tak sangka Barisan Nasional (BN) akan kalah pada PRU-14 lepas. Selepas jam 5 petang, kami ketika itu yakin beberapa tokoh penting BN akan menang, termasuklah kekanda saya, Saudara Budiman Zohdi di Parlimen – Sungai Besar.

Tapi suasana panik mula jadi dalam jam 6.30 petang, bila kiraan undi di pusat daerah mengundi (PDM) yang biasanya BN menang besar mula menunjukkan kekalahan. Masa itu, kami hanya mengharapkan keajaiban.

Boleh dikatakan sepanjang hari itu saya berada di war room (bilik yang paparkan keputusan undi secara live). Sekitar jam 10:30 malam begitu – akhirnya keputusan untuk kawasan Parlimen Sungai Besar dan DUN diumumkan.

Ini lah dia bentuk war room. Imej dari Idealis Malaysia.

Ketika keputusan tu diumumkan saya masih lagi berada di war room. Dari sana saya dapat tahu yang cuma saya seorang je menang daripada calon-calon BN yang lain. Maknanya di kawasan ni memang BN kalah teruk! Pihak polis juga kemudiannya maklumkan pada kami yang BN dah kalah di peringkat nasional.

“Disebabkan keadaan masa tu sukar dijangka, pihak polis beritahu kami yang mereka boleh iringi kami ke pusat kiraan undi. Tapi disebabkan pihak penyokong BN mula rasa muram atau marah dan di pihak PH pula mula excited, kami dinasihatkan balik sahaja atas faktor keselamatan.

Saya dan rakan-rakan kemudiannya balik dan berdoa supaya keadaan baik-baik sahaja. Alhamdulillah suasana masih aman…”

Imej dari tenor.com

Kerajaan PH kena bertindak lebih cekap, kalau tak mahu ditolak pada PRU akan datang

Tak dapat dinafikan yang tarikh 9 Mei akan tetap menjadi sejarah dan tidak akan dapat dilupakan buat selama-lamanya. Tapi di sebalik keghairahan kita semua menanti keputusan PRU-14, sebenarnya kita juga tak boleh melupakan jasa-jasa mereka yang berkorban masa dan keringat ketika tu.

Lihat je lah macam mana para wartawan bekerja keras, sampai tak tidur malam semata-mata nak sampaikan maklumat terkini kepada kita semua. Dan mungkin juga, SOSCILI boleh selitkan satu kisah yang agak lucu, pasal seorang Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) ni.

Ceritanya, disebabkan masa yang suntuk dan sibuk sangat, seorang PACA ni terpaksa buat solat jamak Zohor – Asar buat kali pertama bukan disebabkan musafir.

“Jadinya, saya google pandangan ulama termasuk Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza) yang kata boleh solat jamak darurat kesuntukan masa. Itulah pegorbanan seorang PACA rasanya…” – Haizir, PACA. Katanya pada SOSCILI.

Saya terpaksa, jangan kecam saya. Imej dari Giphy.

Akan tetapi setelah hampir setahun PH mentadbir, nampaknya suara-suara tak puas hati dalam kalangan rakyat masih lagi kedengaran. Malah kajian dari Merdeka Center baru-baru ni mendapati sokongan rakyat terhadap PH merosot, kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas.

Bagi Dr Mazlan Ali – PH sekarang ni berdepan dengan cabaran menteri kabinet yang tak ada pengalaman dan kerjasama yang belum serasi. Jadinya, PH tak bolehlah duduk selesa dan kena cari jalan untuk selesaikannya.

“Trend penurunan ini harus diambil berat oleh kerajaan kerana jika tidak diperbaiki, ia mungkin menyebabkan rakyat menolak PH dalam PRU-15 akan datang,” – Dr Mazlan Ali, katanya kepada SOSCILI.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend