Asal-usul Good Samaritan, sebuah agama pecahan dari kaum Yahudi

Kalau korang selalu baca bahan bacaan bahasa Inggeris tak kisahlah surat khabar, novel, atau korang masih ingat karangan masa sekolah menengah dulu, korang mesti biasa dengar frasa “A good Samaritan”. Ia biasanya dikaitkan dengan orang yang baik budi pekerti, ikhlas, dan ikhlas apabila menolong.

Tapi korang pernah terfikir tak, siapa sebenarnya Samaritan ni dan kenapa yang baik-baik selalu dikaitkan dengan Samaritan. Kenapa bukan Asian, Arabian, Kaukasian, Latino, atau lain-lain?

Samaritan yang merupakan salah satu pecahan dari kaum Yahudi

Percaya atau tak, Samaritan ni merupakan salah sebuah agama kuno yang dah wujud sebelum kelahiran Nabi Isa lagi, kira-kira sebelum abad ke-12. Mereka adalah golongan ahli kitab yang mendiami Samaria pada zaman awal kewujudan kitab dulu. Sebab tu la kalau korang perasan, imejnya juga hampir kepada Islam.

Tapi mereka ni bukan Islam. Sebaliknya, Samaritan merupakan salah satu kelompok Bani Israel yang terpecah. Ia dikatakan berasal dari tiga daripada 12 suku Israel: Menasseh, Ephraim and Levi .

Yang berkopiah jangan disangka Islam. Imej dari israel21c.org

Perpecahan kaum Yahudi ni dikatakan terjadi selepas kematian Nabi Sulaiman, yang kemudiannya membawa kepada perpecahan kerajaan. Perpecahan ni juga menyebabkan orang-orang Judah menolak tawaran yang dibuat oleh orang Samaritan, iaitu untuk memusatkan ibadat di Kaabah dan membentuk agama baru, iaitu agama Samaritan ni. Orang Judah yang korang selalu dengar ni kaum Yahudi la.

Sebelum ni kita pernah cerita pasal Naturei Karta iaitu salah sebuah golongan Yahudi Ortodoks yang tak merestui penubuhan ‘Negara Israel’, dan agak ‘alim’ dari kaum Yahudi di Israel dan seluruh dunia. Malah, diorang masih beramal ibadah dengan kitab Taurat, dan mendakwa Yahudi yang lain terpesong dengan ideologi Zionisme.

Kaum Samaritan ni pula masih lagi berpegang kepada satu bentuk Judaisme, bezanya, mereka yang hanya menerima versi kitab purbanya sendiri, iaitu Pentateuch sebagai Kitab Suci.

‘Imam’ Samaritan dengan kitab mereka, Pentateuch sekitar tahun 1905. Imej dari Wiki

Kalau Samaritan pecahan Yahudi, kenapa dia tak ikut kitab Taurat juga?

Sebabnya, mereka mendakwa kitab Taurat Yahudi yang ada pada hari ni adalah menyimpang dari ajaran asal. Jadi sebab ni la mereka mengasingkan diri dari kaum Yahudi lain.

Kalau Islam ni lebih kurang macam Sunni dan Syiah. Kalau Kristian Protestan, Katolik, Angelic juga ada menolak kepercayaan satu sama lain disebabkan diorang tak terima kitab baru (new testament) yang dikatakan dah ditokok tambah dan menyimpang dari ajaran sebenar.

Sekali pandang mesti korang fikir orang masjid di negara-negara Arab kan?

Banyak perbezaan yang muncul antara dua kaum dari akar umbi yang sama ni, salah satunya apabila dua kaum ni tak bersetuju di mana tempat sesuai untuk menyembah Tuhan.

Sebab tu la Samaritan yang kita jarang kenal ni beribadah di atas Gunung Gerizim, manakala Yahudi yang kita lihat pada hari ni kebanyakannya beribadah di Gunung Zion di Jerusalem, yang kita kenali sebagai Temple of Jerusalem.

Temple of Jerusalem ni pula jadi rebutan antara orang Yahudi dan Islam. Imej dari Wiki

Walaupun kewujudan agama ni dah beratus atau beribu tahun yang lalu, kaum Samaritan ni masih wujud sehingga hari ini. Bukit Samaria pula kini dikenali sebagai West Bank, iaitu di Jerusalem.

Malah, populasi orang Samaritan ni semakin mengecil saban abad, iaitu hanya 800 orang Samaria saja yang tinggal sekarang. Itu pun mereka terdiri dari empat keluarga besar yang tinggal di antara Gunung Gerizim, di tengah-tengah wilayah Palestin dan bandar Israel, Holon.

Orang Samaritan beribadah di atas Gunung Gerizim. Imej dari www.bbc.com

Jadi, Good Samaritan ni bermakna orang Samaritan adalah orang yang baik ke?

Kalau korang ingat, terma “Good Samaritan” ni merujuk kepada orang yang membantu orang lain dalam kesusahan (atau random act of kindness), tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Ia pada asalnya merupakan sebuah perumpamaan yang terkenal dalam kalangan orang Kristian, iaitu sebuah kisah tentang Jesus dari Gospel of Luke, di mana Jesus menggunakan perumpamaan orang Samaritan yang baik dalam Parable of the Good Samaritan (Luke 10:25-37), yang menerangkan bahawa kita patut berbuat baik kepada semua orang, termasuklah musuh kita sendiri.

Disebabkan Samaritan adalah pecahan dari Yahudi dan mereka ada pelbagai perbezaan pendapat, sebab ni juga orang Yahudi dikatakan tak suka pada orang Samaritan, dan mereka takde sebab untuk berbaik dengan dengan mereka.

Orang Yahudi (kiri) vs orang Samaritan (kanan). Imej dari timesofisrael.com

Tapi dalam kisah dalam kitab Bible, Jesus menggunakan perumpamaan di mana dalam banyak-banyak orang yang boleh tolong orang Yahudi, hanya orang Samaritan saja yang datang membantu semasa orang Yahudi dalam kesusahan.

Parable tersebut mengisahkan seorang lelaki Yahudi yang mengembara dari Jerusalem ke Jericho. Dalam perjalanan tersebut, dia dirompak, kemudian dipukul teruk sampai hampir mati dan ditinggalkan begitu saja.

Orang pertama yang menjumpainya adalah seorang paderi Yahudi, tapi dia jalan terus tanpa memberi bantuan. Orang kedua yang lalu pula adalah Levite, pembantu paderi tadi yang juga berjalan terus tanpa mempedulikan mangsa rompak tersebut.

Manakala orang ketiga adalah orang Samaritan yang dibenci orang Yahudi. Walaupun kaum mereka bermusuhan, tapi orang Samaritan tadi berhenti untuk membantu orang Yahudi tadi. Dia membersih dan membalut luka orang Yahudi tadi atas dasar belas kasihan, kemudian meletakkan orang Yahudi tadi di atas belakang keldainya.

Orang Yahudi tadi dibawa orang Samaritan ke sebuah rumah penginapan, di mana si Samaritan membayar kos penjagaan si Yahudi kepada pemilik penginapan tersebut.

Jadi perumpamaan itulah yang digunakan Jesus sebagai ajaran untuk turut mengasihi, walaupun musuh dalam kisah Luke [10:30–37] : iaitu seorang yang murah hati dalam membantu mereka yang dalam kesusahan.

Tak kisahlah apa agama kita, buatlah baik sesama insan

Percaya atau tak, perumpamaan Good Samaritan ni sebenarnya dah wujud sejak 2,000 tahun yang lalu, dan nampaknya masih relevan sehingga ke hari ini.

Bukan bible je, dalam Al-Quran sendiri ada banyak potongan ayat Al-Quran yang menyuruh kita berbuat kebaikan sesama manusia tanpa mengira agama, apatah lagi warna kulit. Salah satunya:

 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” – (Surah al-Hujurat: 13)

Jadi, janganlah jadikan perbezaan yang ada antara kita untuk kita saling memusuhi. Sebaliknya, berbuat baik sesama insan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Kita tak tahu yang kebaikan kita juga boleh jadi sebab untuk kebaikan yang akan datang.