6 filem yang pernah kena ban kat Malaysia, apa sebab-sebabnya?

UPDATE 3/4/2018: Filem Dukun lakonan Umie Aida sebagai Dukun sepatutnya ditayangkan akhir 2006 tapi tak diluluskan sebab dapat bantahan daripada keluarga Mona Fandey. Tapi nampaknya, filem Dukun yang kena ban sejak 12 tahun yang lalu, akhirnya bakal ditayangkan pada 5 April  ni!


Seperti namanya, Lembaga Penapisan Negara adalah badan yang bertanggungjawab untuk menapis filem-filem yang bakal ditayangkan di Malaysia. Jangan keliru dengan FINAS pulak, sebab dorang takde kaitan dalam hal-hal penapisan filem.

Nampaknya ada banyak lagi filem yang pernah kena ban atas sebab tertentu, termasuklah…

1. Zoolander (2001), kena ban sebab ‘mendedahkan’ keburukan Malaysia?

Filem komedi dari Amerika ni mengisahkan seorang lelaki bernama Derek Zoolander (lakonan Ben Stiller) yang merupakan Model of the Year selama empat tahun berturut-turut. Tapi pada tahun berikutnya, Hansel (Owen Wilson) pulak yang ambil takhta dia.

Derek yang kecewa dengan diri sendiri pergi sign kontrak dengan pereka fesyen Jacobim Mugatu (Will Ferrell) dan tak semena-mena kena brainwash untuk membunuh Perdana Menteri Malaysia. Kenapa? Sebab nak menghentikan eksploitasi buruh kanak-kanak kat Malaysia dan yang boleh memberi kesan kepada industri fesyen.

Sebab diharamkan: Mengikut BBC News, filem ni kena ban oleh LPF kerana ia menampilkan plot untuk membunuh Perdana Menteri kita.

Ataupun marah sebab muka PM Malaysia tak serupa Najib? Gambar dari neogaf.com

Selain itu, Zoolander juga menggambarkan Malaysia sebagai salah satu negara yang eksploit budak-budak bawah umur untuk bekerja. Tapi sejauh mana kebenarannya?

Bila kami search kat Google, laporan pasal buruh paksa kat Malaysia memang banyak terutamanya ke atas pekerja asing. Kalau yang spesifik pasal kanak-kanak pulak, My Sinchew ada melaporkan yang banyak buruh kanak-kanak di Malaysia bekerja di ladang-ladang, dan juga dalam industri elektronik dan pembuatan.

Selalunya kanak-kanak ini dapat gaji yang sedikit atau tak dapat langsung, dan mungkin terpaksa menahan suasana yang sangat teruk seperti waktu kerja yang panjang dan pendedahan kepada bahan kimia toksik yang disembur ke atas pokok, tanpa (mereka) memakai sebarang topeng ataupun baju pelindung. – Dipetik daripada laporan World Vision.

Kerajaan Malaysia pernah menegaskan yang ia memang tak membenarkan sebarang amalan ini berlaku. Dari segi undang-undang, kita ada Akta 1966 Buruh Kanak-Kanak yang tidak membenarkan kanak-kanak terutamanya yang berumur kurang 14 tahun daripada bekerja.

Tapi dakwaan dan tinjauan pasal kes ini masih lagi timbul setiap tahun. Yang terbaru adalah laporan mengenai gadis Rohingya yang dijual di Malaysia untuk dijadikan isteri.

Apa yang pasti, watak Zoolander tadi betul-betul jumpa PM kita. Gambar dari hollywoodreporter.com

2. Babe: Pig in the City kena ban sebab… ada babi?

Mengisahkan tentang Babe, seekor babi penuh bakat yang dibela oleh seorang peladang, Arthur Hoggett. Selepas Arthur mengalami kemalangan di dalam perigi, isterinya Esme perlu mengambil alih tugasnya sebagai peladang. Oleh sebab mereka ada masalah kewangan dan perlu selamatkan ladang mereka, Babe dan Esme pergi ke bandar untuk mengubah hidup mereka.

Sebab diharamkan: Tak banyak yang kami jumpa pasal kenapa filem ni kena ban kat Malaysia melainkan yang obvious iaitu karakter utamanya yang merupakan seekor… babi. Nak sebut ‘Babe’ pun dah dekat sangat dengan babi (maaf kami tak berniat nak mencarut).

Semua pun tau yang daging babi adalah haram dimakan orang Islam, berdasarkan ayat Al-Quran:

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi…” – Tafsir Surat Al-Ma’idah ayat 3 dipetik daripada TafsirQ.

Dalam menggunakan produk yang dihasilkan daripada babi pulak, Imam Shafie dan Imam Hambali mengatakan yang ianya najis, so kalau terpaksa jugak guna, kena bersihkan bahagian badan yang tersentuh tu dulu sebelum solat.

Tapi macam mana pulak dengan sekadar menonton babi dalam filem? Kami tak jumpa pendapat sebarang ilmuan pasal perkara ni. Apa yang pasti, sensitiviti orang kita terhadap babi nampaknya memang sangat tinggi. Sampaikan bila filem Journey to the West keluar tahun lepas, watak babi kat dalam billboard kena buang! (Yang peliknya, filem tu tak pulak kena ban.)

3. The Exorcist (1973), kena ban sebab seram sangat?

The Exorcist yang mengisahkan seorang gadis yang dirasuk roh jahat. Maksud ‘exorcist’, ialah ‘penghalau hantu’, kiranya macam dukun dan pawang la.

Filem ni diadaptasi daripada novel William Peter Blatty, yang dikatakan ditulis berdasarkan kisah sebenar di Missouri. Dalam novel Blatty, watak gadis 14 tahun ni diinspirasikan oleh watak sebenar yang merupakan seorang lelaki bernama Regan. Apabila keadaan Regan makin teruk, mak dia panggil Father Karras yang kemudiannya panggil pulak Father Merrin untuk mengusir hantu dalam badan Regan.

Adegan hantu sebenar sangat seram, jadi kami letak burung hantu je.

Sebab diharamkan: Mungkin kerana filem ni dah lama gila, kami tak jumpa sebab apa sebenarnya diharamkan kat Malaysia ni selain daripada keganasan dan kekejaman melampau. Korang tengok part Regan pusing kepala 360 darjah tu? Memang seram habis.

Bukan kat Malaysia je, tapi The Exorcist ni dapat reputasi sebagai salah satu filem yang paling menakutkan dalam sejarah filem Hollywood. Jadi kalau kat sana pun dah horror habis, apatah lagi kalau nak dibandingkan dengan kita?

4. Muallaf (2008), kena ban sementara sebab Sharifah Amani cukur kepala?

Muallaf mengisahkan dua adik beradik perempuan, Rohani (Sharifah Amani) dan Rohana (Sharifah Aleysha) yang berasal daripada keluarga berada, tapi selalu kena dera dengan ayah dorang. Dorang pun cari tempat perlindungan di bandar, dan bertemu Brian (Brian Yap), seorang guru sekolah Katolik, yang merasakan terpanggil untuk menolong dorang.

Sebab diharamkan: Dalam filem ini, Sharifah Amani cukur kepala dia sampai botak. Mufti Selangor mengkritik perlakuan ini kerana mengatakan bahawa haram bagi wanita Islam untuk membotakkan kepala mereka. Namun allahyarhamah Yasmin Ahmad tetap mempertahankan adegan ini:

“Sama ada saya tunjukkan itu (kepala dicukur), ataupun saya tunjukkan yang bapanya menganiayanya secara seksual. Ianya menggambarkan ibu-bapa yang mencalarkan maruah anak mereka” – Yasmin Ahmad, dipetik oleh Reuters.

Sabarlah kak nanti tumbuh la balik… Imej dari pinkturtlewordpress

Ada sebuah dialog yang telah ditapis bila Brother Anthony (Tony Savarimuthu) cakap kat Rohani, “You look like nuns“. Adengan ni terjadi masa Rohani pakai telekung, dan dalam penapisan LPF, dialog tu disenyapkan, tapi sarikatanya tak pulak dipadamkan. Dalam babak yang lain juga, Rohana ada memberitahu Rohani, “Nanti orang ingat kita wahabbis“, yang juga menimbulkan kontroversi dalam kalangan orang Islam sendiri.

Walaupun filem Muallaf ni diharamkan seketika di Malaysia, tapi filem ni berjaya memenangi anugerah dalam ASK2010 dengan pencalonan Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik yang dimenangi Allahyarhamah Yasmin Ahmad dan Pelakon Wanita Terbaik Filem, Sharifah Amani.

Muallaf sekali lagi menang anugerah Kebudayaan 1Malaysia pada tahun 2011 anjuran MCA sebab menggabungkan unsur-unsur budaya Cina dalam hasil karya mereka. Disebabkan pengharaman seketika filem ni, Muallaf ditayangkan di Singapura setahun sebelum ia akhirnya ditayangkan di Malaysia iaitu pada Disember 2009.

5. Dukun (2007), kena ban sebab ditulis berdasarkan kisah sebenar

https://www.youtube.com/watch?v=ZicgN0fpj1w&ab_channel=mikeimaginex

Berdasarkan cerita pembunuhan ‘kerat 18’  kat negara kita sendiri, Dukun merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi di Malaysia yang melibatkan Datuk Mazlan Idris, seorang ADUN Pahang dan juga Mona Fandey yang dikatakan merupakan seorang dukun.

Sebab diharamkan: Filem ni sepatutnya ditayangkan 10 tahun lalu, tapi ianya sangat sensitif sebab ia melibatkan ahli politik UMNO dan pada masa yang sama mendapat tentangan daripada keluarga tertuduh. Akhirnya filem ini diharamkan dan tak pernah ditayangkan kerana dikatakan mengundang kontroversi dan menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.

Klik sini untuk baca artikel tentang penjenayah-penjenayah paling glemer kat Malaysia. Gambar daripada Berita Harian.

Bila filem diadaptasi daripada kisah sebenar, sudut yang perlu diambil kira ialah perasaan ahli keluarga yang terlibat. Contoh kisah lain yang pernah mendapat tentangan ahli keluarga ialah sebuah filem untuk TV mengenai Saloma yang memapaparkan kisah hidup Saloma dari kaca mata seniwati Mariani Ismail, adik Saloma sendiri (yang juga merupakan ibu kepada Melissa Saila, pengarah filem ini).

Filem ni mula jadi tumpuan apabila cucu Saloma, Arzanee Armalie mendakwa imej keluarganya tercalar kerana fakta cerita tak tepat pasal satu babak yang dikatakan memperbodohkan keturunan Saloma dan juga Armalie Arman Ramli.

6. The Wolf of Wall Street (2013), kena bab sebab banyak sangat kontroversi

The Wolf of Wall Street ialah sebuah filem biografi tentang Jordan Belfort, seorang broker saham di New York City, dan bagaimana firmanya Stratton Oakmont terlibat dalam rasuah dan penipuan di Wall Street yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.

Sebab diharamkan: Filem ni antara filem yang banyak dipotong atau ditapis di seluruh dunia lebih-lebih lagi Asia, kerana banyak menampilkan adegan seks dan dadah. Perkataan lucah turut dirakamkan sebanyak lebih 500 kali.

Selain tu juga, terlalu banyak kontroversi yang mengaitkan filem ni dengan Riza Aziz, iaitu anak tiri Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak sebagai salah seorang produser yang banyak menyumbang dana dalam pembikinan filem. Banyak pula duit dia nak taja filem yang memakan belanja sebanyak USD 100 juta (RM 442 juta) ni?

Riza Aziz, Joey McFarland and Jho Low. Imej dari shameonyou.buzz

Filem ni bukan saja dapat kecaman hebat pasal kelucahan melampau, tapi sebab penggunaan duit yang dipercayai duit daripada 1MDB, dan kecaman seluruh dunia terutama sekali dekat US dan Malaysia. Pelakon utama dia, Leonardo Di Caprio secara suka rela memberi keterangan dalam tuntutan kes filem Wolf of Wall Street ni.

Kami tak jumpa sumber yang mengatakan Lembaga Penapisan Filem sendiri yang banned movie ni, tapi kami jumpa dalam WSJ sendiri yang mengatakan:

“Penyiasat percaya banyak wang tunai yang  digunakan untuk membuat filem Leonardo DiCaprio tentang penipuan saham berasal daripada dana pembangunan negara Malaysia, 1MDB yang dilanda masalah” – Dipetik oleh Wall Street Journal

Kenapa jarang ada sebab yang betul-betul jelas?

Seperti yang kita dah tengok dalam filem-filem di atas, LPF bukan setakat akan tapis movie yang ada explicit content atau nudity je, tapi juga keganasan atau penghinaan negara. Tapi filem macam Babe kira ikut mana pulak? Kalau dia kena ban sebab ada babi, kenapa Spirited Away dan The Monkey King diluluskan?

Dan inilah masalah dalam penapisan kat negara kita, sebab kita takde panduan yang jelas tentang kenapa satu-satu filem itu diharamkan. Bila ban filem tak tentu arah ni lah boleh mencemarkan kredibiliti negara, seperti apa yang dikatakan oleh seorang filmmaker yang juga merupakan peguam dan pensyarah undang-undang di UM:

“Akta Penapisan Filem Malaysia 2002 tidak menetapkan perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan atau diambil kira oleh penapis dalam perjalanan membuat keputusan penapisan. Kegagalan ini bermakna mereka kehilangan dua pertimbangan penting, iaitu merit seni filem dan standard masyarakat semasa, yang mungkin sebaliknya  mempunyai impak yang besar kepada keputusan penapisan, boleh ketinggalan dalam proses membuat keputusan”- m/s 88, Film Censorship in The Asia-Pacific Region oleh Dr. Saw Tiong Guan