- 779Share sekarang!
- Email4
- Facebook775
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Korang semua mesti kenal dengan Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak yang sekarang ni jadi Gabenor negeri tu. Dia juga tak terlepas daripada pertuduhan rasuah dan pembalakan haram. Bila dah ada nama buruk, mesti orang akan cari dan kaitkan dengan keluarga juga, kan? Sekarang ni, anak perempuan Taib, iaitu Jamilah Taib Murray pulak yang jadi perhatian orang ramai.
Anak sulung perempuan Taib Mahmud ni pernah diberi gelaran “Puteri Jamilah” semasa dia menuntut di sebuah kolej di Kanada. Kat Kanada jugak lah dia jumpa suaminya, Sean Murray. Pasangan elit ni memiliki rumah besar di Rockcliffe Park, yang dinamakan rumah kedua paling mahal di Ottawa (lebih kurang C$ 9.6 juta atau RM 30.87 juta) pada tahun 2009. Jamilah sekarang ni sedang disiasat oleh pihak berkuasa Kanada sebab rasuah.
Kanada dikenali sebagai sebuah negara yang sangat sopan dan bertatasusila. Tapi macam mana pulak rasuah yang berkaitan dengan Malaysia boleh terjadi kat sana?
Sebuah badan NGO dari Switzerland cuba mendedahkan macam mana Jamilah boleh jadi sangat kaya
NGO dari Switzerland tu ialah Bruno Manser Fonds (BMF). Macam pernah dengar nama ni, kan? Organisasi ni ditubuhkan untuk menyelamatkan hutan hujan tropika, dan dinamakan sempena aktivis Switzerland, Bruno Manser, yang hilang secara misteri di Sarawak pada bulan Mei, tahun 2000. BMF dah lama dok perati je bapak Jamilah ni pasal pembalakan haram.
Jadi, BMF sekarang ni cuba untuk dedahkan macam mana syarikat hartanah milik Jamilah, iaitu Sakto Corporation dapat duit, dan macam mana syarikat tu boleh berjaya. Siti Nurhaliza kata Biarlah Rahsia, tapi maaf ye Dato’ Siti, bagi kes ni kita tak boleh senyap macam tu je, kita kena bongkar!
Menurut Jamilah, Sakto Corporation adalah syarikatnya yang dibangunkan pada 1983 “dengan bantuan keluarga dan kawan-kawan” semasa dia berumur 23 tahun. Sakto Corporation pada hari ini merupakan salah satu syarikat pemaju terbesar dalam hartanah di Ottawa.
“…sewaktu saya tengah survey apartment untuk diri sendiri, saya terus terjebak dengan dunia hartanah. Dengan pengalaman pertama saya yang praktikal – membuat pemeriksaan terhadap hartanah – tawar-menawar harga – saya buat keputusan untuk menjadikan ini sebagai kerjaya saya.”- Jamilah Taib Murray dalam laman webnya.
BMF mendakwa yang Jamilah memulakan Sakto Corporation dengan wang daripada ayahnya. Bukan tu je, syarikat tu berkembang dengan cepat walaupun “kerugian operasi berterusan dan kekurangan modal yang telah meningkat kepada C$9.43 juta pada tahun 1993”. Tambah BMF, Syarikat ni masih mampu bertahan sampai sekarang pun sebab ada “kemasukan modal berterusan dari pemegang sahamnya”.
Tahun lepas, NGO tu kemudiannya mengeluarkan satu siasatan yang mendakwa keluarga Taib “menyalurkan duit secara rahsia”, iaitu sebanyak C$29.8 juta (lebih kurang RM96 juta) ke dalam syarikat tu dalam tempoh 10 tahun pertama operasinya.
Selain Jamilah, para pemegang saham Sakto terdiri daripada beberapa orang ahli keluarga yang lain iaitu abangnya, Mahmud Abu Bekir Taib, dan pak ciknya, Onn Mahmud. Bagaimanapun, dalam sebuah e-mel kepada Asian Correspondent, syarikat tu menyatakan:
“Sakto Corporation adalah sebuah syarikat Kanada yang terkenal di mana pegawai, pengarah dan pemegang sahamnya adalah orang Kanada. Syarikat ini diketuai oleh keluarga tempatan yang terkenal sebagai penyokong komuniti dan dermawan.”
Sebenarnya, Jamilah dah jadi warganegara Kanada sekarang. Suami dia secara tak sengaja terlepas cakap yang Jamilah ada dua kewarganegaraan. Dia juga masih berdaftar sebagai pengundi di Sarawak. Mengikut undang-undang Malaysia, ia menjadi satu kesalahan untuk memegang dua passport, dan mempunyai dua kewarganegaraan.
*Semua maklumat ini boleh didapati dalam laporan BMF setebal 86 muka surat.*
Tapi, apa masalahnya kalau ayah nak salurkan duit pada anak?
Laporan menunjukkan Taib Mahmud bagi duit pada Jamilah untuk memulakan syarikatnya sendiri, dan tambah lagi untuk buatkan syarikat tu terus bertahan sampai sekarang (walaupun banyak kerugian dicatatkan). Apa salahnya, kan?
Tapi, BMF mendakwa yang perkara tu salah sebab dana tu datang daripada tahun-tahun di mana bekas Ketua Menteri Sarawak tu terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan pejabat awam… yang dikaitkan dengan pembalakan haram daripada hutan hujan Borneo!
Dalam masa 33 tahun mengetuai negeri yang kaya dengan sumber hutan tu, Sarawak dilaporkan telah kehilangan lebih daripada 90% daripada hutan semulajadi untuk pembalakan. Para pemerhati mendakwa yang mereka mengambil hasil balak tu untuk diri mereka sendiri. Dan pada tahun 2012, anggaran aset keluarganya bernilai AS$21 bilion (RM 64 bilion).
Masa kes penceraian berprofil tinggi berlaku antara anak lelakinya, Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz Abdul Majid berlaku, Shahnaz akhirnya pecah rahsia. Mulanya, Abu Bekir menafikan kekayaannya, dan menyalahkan kiraan hartanya. Tapi akhirnya bila dah tak boleh nak sorok, Abu Bekir sendiri mengakui yang dia merupakan seorang jutawan. Sampai hari ni, keluarga Taib memiliki kepentingan dalam 400 syarikat di 25 negara dan juga bidang kuasa luar pesisir.
Jamilah menafikan dakwaan yang dibuat BMF:
“Pertuduhan yang dibuat oleh kumpulan aktivis asing ni adalah palsu, berniat jahat dan sengaja diperhangatkan. Tuduhan yang dikemukakan dan dikemas semula oleh organisasi tersebut telah didapati tidak berasas dan tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana kerajaan atau badan berwibawa.”- Respon e-mel Sakto kepada Ottawa Citizen.
Jamilah kemudiannya bagitahu pasal modal pertamanya masa nak buka syarikat tu. Dia terima pembiayaan apabila bapanya menerima ganjaran dari kerajaan Malaysia semasa meletak jawatan (dari jawatannya sebagai Menteri Luar Negeri pada 9 Mac 1981). Taib Mahmud sendiri pun mengakui perkara ni,
“Anak-anak saya pandai buat duit, agak banyak macam sampai beratus juta nilai hartanah di Kanada. Tapi semuanya mula daripada duit saya kepada anak perempuan sulung saya. Masa tu baru je letak jawatan dari Kerajaan Persekutuan. Saya dapat ganjaran dan bagi duit kepadanya untuk mulakan perniagaan. Ia berkembang, dan perniagaan tu adalah syarikat pembangunan hartanah. “- kata Taib Mahmud dalam video ni.
Macam mana pun, BMF saman pihak yang terlibat dalam rekod kewangan Sakto
Sejak tahun 2010, BMF dah banyak kali memaklumkan kepada unit perisikan kewangan Kanada, FINTRAC (yang mengesan, menghentikan pengubahan wang haram dan pembiayaan kegiatan pengganas), polis Kanada, dan kerajaan tentang aliran dana dari Sarawak ke Ottawa. Walaupun pihak kuasa Kanada bagi jaminan pasal kes ni, tapi Pengarah BMF, Lukas Straumann kata masih takde keputusan dibuat. Jadi, NGO tu sendiri pergi ke mahkamah untuk selesaikan perkara ni.
“Kami dah saman tiga buah bank di Kanada. Kami mahukan rekod bank Sakto, syarikat Jamilah untuk diberikan kepada kami kerana kami sedang mempertimbangkan untuk mendakwa syarikat itu secara peribadi. Tiada pendakwa raya yang memburu syarikat ni atas dakwaan penggubahan wang haram. Jadi sebagai organisasi swasta, kita perlu lakukannya. “- Lukas Straumann, Pengarah BMF, di YouTube.
Bank-bank tersebut adalah Royal Bank of Canada, Toronto-Dominion Bank, Manulife Financial Corporation. Selain tu, mereka juga dah saman juruaudit Deloitte. BMF berharap mereka dapat perintah mahkamah yang akan memaksa pihak bank dan juruaudit dedahkan maklumat dan rekod pemilikan, untuk menunjukkan aliran dana dari Malaysia kepada syarikat Kanada milik keluarga Taib itu. Kalau nak ikutkan pada undang-undang Kanada, syarikat swasta tak perlu dedahkan pun siapa pemegang saham syarikat secara terbuka.
BMF juga dah hantar pelbagai jenis dokumen (termasuklah rekod sebanyak 2,000 muka surat) kepada Mahkamah Tinggi Ontario. Kertas mahkamah tu mengandungi butiran mengenai lesen pembalakan dan pajakan tanah untuk ladang-ladang yang didakwa diberikan kepada syarikat-syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh sama ada dirinya atau ahli keluarga; dakwaan bayaran sogokan dalam pertukaran bagi pemberian kontrak balak dan pajakan tanah; dan dakwaan bayaran rasuah untuk mengeksport, memproses dan pengangkutan perniagaan balak.
Kes ni bukan saja kecoh di Kanada, tapi juga di Australia. Menurut BMF, Sakto ada banyak kumpulan anak syarikat dan syarikat gabungan yang lain di AS, UK, British Virgin Islands, Hong Kong, Jersey, Malaysia dan Australia. Jadi, kumpulan itu telah mendesak pihak berkuasa Australia untuk bertindak terhadap kepentingan Taib kat sana juga.
Pihak Kanada dah ambil serius tentang perkara ni sekarang
Lepas beberapa lama berjuang untuk keadilan, akhirnya perbicaraan mahkamah yang pertama berlangsung di Toronto pada 21 Ogos 2017. Ini adalah kali pertama perintah mahkamah diberikan untuk pendakwaan jenayah yang dimulakan secara persendirian. Apa yang lebih penting lagi, perbicaraan ni menetapkan standard pasal pendedahan kewangan untuk pendakwaan swasta pada masa akan datang.
Sorang hakim daripada Mahkamah Tinggi Ontario kemudiannya memutuskan kes penggubahan wang haram terhadap syarikat kumpulan hartanah ni akan dibicarakan secara terbuka. Walaupun mahkamah masih tak tetapkan merit ke atas kes ni, Lukas rasa ia adalah respon positif dari pihak mahkamah.
“Sekiranya bukti plaintif adalah benar, mungkin terdapat salah laku jenayah yang sangat signifikan dilakukan di sini dengan bantuan pegawai asing yang mengamalkan rasuah.” – Hakim F. L. Myers dari Mahkamah Tinggi Ontario, dipetik dari Free Malaysia Today
- 779Share sekarang!
- Email4
- Facebook775
- Share