Sejarah & Politik

4 kes-kes rasuah yang didakwa di Pulau Pinang

Ketika dikatakan berlaku Tsunami Politik pada tahun 2008 (PRU-12), kerajaan Pulau Pinang turut bertukar kepimpinan kepada gabungan Pakatan Rakyat yang diketuai Lim Guan Eng. Dalam satu ucapan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri pada tahun 2013 , dia bagitahu yang mereka telah dipuji oleh sebuah agensi antarabangsa Transparency International (TI) kerana mengamalkan dasar tender terbuka. Maksudnya tak pilih kroni untuk bagi projek.

Transparency International ni adalah satu gerakan global yang melakukan kajian dan pendedahan terhadap rasuah. Biasanya merekalah yang akan keluarkan ranking negara terbersih dari rasuah dan sebaliknya. Bila Pulau Pinang dapat pujian dari TI, ia menjadikan diorang satu-satunya kerajaan dalam Malaysia yang dapat pengiktirafan tu.

Bangga ler tu. Imej dari Asklegal.

Kerajaan Pulau Pinang juga mengakui mereka sentiasa dipuji oleh Ketua Audit Negara setiap tahun kerana urus tadbir kewangan mereka. Tapi, baru-baru ni kita dikejutkan dengan pertuduhan rasuah terhadap salah seorang Exco kerajaan Pulau Pinang yang dikaitkan dengan sebuah kilang haram tanpa permit.

Sebelum ni juga kita ada dengar beberapa pertuduhan rasuah terhadap menteri dan pegawai di Pulau Pinang. Jadi kali ni kami akan senaraikan beberapa kes-kes pertuduhan rasuah yang pernah berlaku serta kami semak apa yang jadi.

1) Pengarah Jabatan Perdana Menteri di Pulau Pinang dituduh menerima cek lebih RM20 ribu

SIAPA YANG DIDAKWA: Mohd. Nor Rejab, Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang (walaupun di Penang, Jabatan ini berada di bawah Kerajaan Perseketuan).

SEBAB DIDAKWA:

  1. Mohd. Nor Rejab didakwa pernah approve satu baucar bayaran kepada Syarikat Nur Ehsan Maju yang ada kepentingan kepada dirinya. Baucar bayaran tu bernilai RM26, 162.50 untuk tujuan pembekalan ‘Lab Coat’ di seluruh sekolah Pulau Pinang.
  2. Dia didakwa menerima cek berjumlah RM24,656 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya pada 24 Oktober 2013. Kejadian tu dikatakan berlaku di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Melambai diluar mahkamah. Imej dari PRU14.

APA CERITA SEKARANG: Mahkamah membenarkan Mohd. Nor Rejab diikat jamin RM15,000 oleh seorang penjamin. Selain tu, mahkamah menetapkan 30 Ogos ni sebagai tarikh sebutan semula kes.

2) Lim Guan Eng didakwa terima hadiah sebuah rumah banglo

SIAPA YANG DIDAKWA: Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) & Phang Li Koon (Pengarah Magnifient Emblem Sdn Bhd)

SEBABNYA:

  1. Pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menggunakan kuasa sebagai Ketua Menteri mengadakan perbincangan bersama Magnificient Emblem Sdn. Bhd. Perbincangan tu berkaitan penukaran status tanah dari tanah pertanian menjadi tanah perumahan.
  2. Pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa menyalahguna kuasa sebagai Ketua Menteri untuk mendapatkan lot rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn sebagai balasan dari Magnificient Emblem Sdn. Bhd. Banglo tu jugak didakwa dibeli olehnya dibawah harga pasaran yang sepatutnya (RM4.2 juta) pada 28 Julai 2015.

Banglo yang dikatakan hadiah. Imej dari Straits Time.

BERITA-BERITA PANAS SEPANJANG KES: 


  1. Seramai 500 orang berhimpun dihadapan pejabat SPRM sebab tak bersetuju dengan tangkapan Lim Guan Eng. Menurut Naib Presiden Amanah, Dr. Mujahid Yusuf Rawa,

    “Patut tidak perlu tangkapan. Esok YAB boleh secara sendiri ke mahkamah. Ini satu usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Lim Guan Eng.” – Petikan dari FMT.

  2. Presiden MCA, Liow Tiong Lai minta Lim Guan Eng letak jawatan sebabnya sebelum ni dia suka minta orang lain letak jawatan.
  3. Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman minta dia letak jawatan juga sebab dia akan menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

    “ Tindakan Guan Eng yang enggan melepaskan jawatan atau bercuti dari jawatannya itu dilihat bakal menyebabkan tekanan yang tidak wajar ke atas pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang yang berkemungkinan akan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan apabila perbicaraan kes rasuah itu bermula,” – Petikan dari Sinar Harian.

  4. Mesyuarat Exco kerajaan Pulau Pinang sebulat suara buat keputusan yang Lim Guan Eng tak perlu letak jawatan sebagai Ketua Menteri. Sebabnya semua Exco masih mempercayai kepimpinan dia.

Kau nak aku resign. Ok. Aku tak resign. Sumber Giphy.

APA CERITA SEKARANG: Lim Guan Eng dan Phang Li Koon mengaku tak bersalah atas pertuduhan tu. Mahkamah membebaskan Guan Eng dengan syarat perlu membayar wang jaminan sebanyak RM 1 Juta. Selain tu, kalau nak pergi luar negara perlu laporkan dulu kepada mahkamah. Phang Li Koon pula perlu membayar wang jaminan sebanyak RM 200 ribu sebelum dibebaskan. Kerajaan Pulau Pinang berjaya mengumpul dana sebanyak RM 1.88 juta. Diorang turut menerima sumbangan sebanyak RM 18 500 dari aktivis di negara China.

3) Exco Pulau Pinang dituduh terlibat dengan operasi kilang tanpa permit

SIAPA YANG DIDAKWA: Phee Boon Poh (Exco Kerajaan Pulau Pinang/Penge­rusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar)

SEBAB DIDAKWA:

Dilaporkan dia mempunyai kaitan dengan sebuah kilang yang beroperasi secara haram (tanpa permit) di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas. Beberapa dokumen barkaitan dikatakan ada ditandatangani olehnya. Jabatan Alam Seitar juga melaporkan yang kilang tersebut tidak mempunyai sistem kawalan udara yang sesuai.

Phee Bon Poh ditangkap. Imej dari The Malaysian Insight.

BERITA-BERITA PANAS SEPANJANG KES:

  1. Phee sebelum ditahan dan direman, dia dah pergi bagi keterangan di pejabat SPRM. Jadi peguamnya pun pelik kenapa perlunya tangkapan.

    Dalam pada itu, peguam Boon Poh, R.S.N Rayer berkata, pihak­nya ketika ini masih tidak mendapat maklumat jelas berhubung penahanan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan.“Pada mulanya kita diarahkan hadir untuk memberi keterangan namun kemudian dimaklumkan Boon Poh akan ditahan dan direman esok. Bagaimanapun kita akan cuba meminta supaya beliau dapat dibebaskan malam ini,” – R.S.N Rayer, petikan dari Utusan.

  2. Orang ramai termasuk pemimpin negeri dan ahli keluarga berkumpul seawal 8.30 pagi bagi menunjukkan sokong kepada Phee. Diorang juga bawa kain rentang dan kad tertulis ‘Solidariti Bersama Phee Boon Poh’.
  3. Rupa-rupanya isu kilang haram pernah dibangkitkan di sidang DUN Pulau Pinang sebelum ni. Bila serbuan oleh SPRM terhadap kilang ni, nampaknya Dr. Norlela Ariffin, ADUN Penanti (PKR) berasa lega sebab sebelum ni tak pernah ada tindakan dari kerajaan negeri walaupun dah buat aduan.

“Penduduk di sini juga pernah menghantar petisyen dan tandatangan sebanyak 18 muka surat bagi membantah operasi kilang haram ini yang menjejaskan kualiti hidup mereka, namun tidak ada tindakan juga. Bila tahu SPRM serbu kilang terbabit, saya berharap ia akan memberi sinar baru kepada penduduk di sini,” – Dr. Norlela Ariffin, petikan dari Sinar Harian.

Noorlela juga mengakui yang dia tak pernah laporkan benda ni kepada SPRM. Dia hanya pernah buat aduan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). SPRM juga akan panggil Lim Guan Eng dan Dr. Norlela untuk diambil keterangan sebab dua-dua pernah keluarkan kenyataan berhubung operasi kilang ni.

Alhamdulillah. Imej dari UMNO Online.

APA CERITA SEKARANG: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan semakan dengan  membatalkan tempoh reman 5 hari terhadap Phee Boon Poh. Semua ni berlaku selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak (SPRM & peguam Phee). Turut dikatakan bahawa reman yang dikeluarkan SPRM tidak teratur dan tak sah. Tapi SPRM boleh buat rayuan semula terhadap reman tu. Namun begitu, peguam yang mewakili Phee cakap yang diorang bersedia bila-bila sahaja untuk membantu siasatan SPRM.

4) Pegawai Zakat Pulau Pinang didakwa terima empat jam tangan sebagai hadiah

SIAPA YANG DIDAKWA: Datuk Azman Abdul Samat (Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang) dan Mohd Wardi Ramli (Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf Dan Ekonomi Zakat Pulau Pinang)

SEBAB DIDAKWA:

  1. Azman didakwa menerima beberapa jam tangan. Jam tangan pertama adalah jam tangan Bonia Tesoro bernilai RM700 yang diterima daripada Ros Suriyati Alang (pemilik syarikat MNI Venture) pada tahun 2010. Kedua, jam tangan Tissot Touch bernilai RM2,000 yang diterima daripada Ashari Ismail (pemilik syarikat AI Global Trading antara tahun 2011 hingga 2015. Ketiga, jam tangan Roscani Paris bernilai RM750 yang diberi oleh Zaiyusri Ibrahim (pemilik syarikat Safa Murni Enterprise) pada tahun 2015.
  2.  Mohd Wardi Ramli pula didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila mengesyorkan Syarikat Al Global Trading untuk membekalkan 26 set cadar single; cadar queen (52 set) dan selimut (100 set) berjumlah RM10,240 pada 26 Oktober 2015. Pertuduhan kedua pulak, dia didakwa bagi kesalahan sama apabila membuat permohonan dan mengesyorkan syarikat sama untuk membekalkan 1,480 anak ayam kampung dan 50 kilogram dedak Gold Coin 501, berjumlah RM4,842 pada November 2016.

Jam tangan ni susah nak ditangkap. Sumber dari Giphy.

BERITA-BERITA PANAS SEPANJANG KES:

  1. Beberapa hari lepas tu, Azman (Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang) didakwa lagi. Kali ni dia dikatakan menerima jam tangan Cerutti bernilai RM1,280 daripada Zaiyusri Ibrahim (pemilik Syarikat Safa Murni Enterprise) pada Februari lalu. Maka, jadilah 4 jam tangan.
  2. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Ghazali Muhammad Nadzri menawarkan ikat jamin dengan nilai RM5,000 oleh seorang penjamin. Selepas tu, Peguam Mohamed Reza Rahim yang mewakili Azman memohon supaya mahkamah mengurangkannya kepada RM2,000.

Azman ditahan SPRM. Imej dari Malaysia Gazette.

APA CERITA SEKARANG: Hakim mahkamah membenarkan membenarkan tertuduh (Azman) diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

SPRM menggesa Pulau Pinang supaya memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah

Pada Ogos 2016, SPRM telah melantik pengerusi baru, Datuk Dzulkifli Ahmad. Hasil cetusan ideanya, SPRM telah memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Ikrar bebas rasuah ni tujuannya adalah,

“Memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.” – Petikan laman web SPRM.

Dia ni ikrar tapi jari tak cukup. Sumber dari Giphy.

IBR ni akan disaksikan oleh SPRM dan dokumen perjanjian tu akan ditanda tangani. SPRM juga telah menetapkan 8 kategori penanda tangan terdiri daripada:

  1. Kementerian
  2. Jabatan
  3. Negeri
  4. Badan Berkanun
  5. Universiti
  6. Swasta
  7. GLC/NGO/Persatuan
  8. Yayasan

Beberapa negeri sebenarnya dah menandatangani IBR ni termasuk Pulau Pinang. Pada mulanya, Pengerusi SPRM kecewa dengan kerajaan Pulau Pinang sebab dikatakan tak nak tanda tangan IBR ni. Walaupun benda ni tak wajib, tapi bagi SPRM ianya menunjukkan negeri tu betul-betul bagi komitmen kalau laksanakan IBR. Beberapa hari lepas tu, Lim Guan Eng menafikan kenyataan SPRM tu. Dia cakap yang pihak SPRM tak pernah hubungi Pulau Pinang untuk laksanakan benda ni.

“Tapi sekiranya mereka rujuk kepada kita, kita boleh bincang bahawa IBR bukan hanya tinggal ikrar sahaja dan mesti diikuti dengan tindakan-tindakan konkrit untuk banteras rasuah,” – Petikan Astro Awani.

Kami janji takkan rasuah! Imej dari Berita Harian.

Pada 4 Ogos 2017, kerajaan Pulau Pinang telah melakukan lafaz ikrar IBR diketuai Ketua Menteri Lim Guan Eng walaupun 10 ADUN BN tak mendapat undangan rasmi. Selain dari ikrar, kerajaan Pulau Pinang turut menambah 10 langkah integriti sebagai tanda komitmen dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. 10 langkah tersebut antaranya adalah menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan ADUN. Komitmen ni menyebabkan pengerusi SPRM tadi berpuas hati.

“Saya ni anak Pulau Pinang dilahirkan di Kepala Batas, jadi saya bimbang kerana negeri saya ni lambat  hendak. Saya ketua pesuruhjaya SPRM, malu la kalau negeri saya tidak lafazkan IBR, tetapi alhamdulillah kita telah selesai hari ini,” – Datuk Dzulkifli Ahmad, petikan dari Astro Awani.

Harapnya SPRM terus membongkar skandal-skandal rasuah termasuk orang-orang kenamaan juga

Kalau kita perasan, tahun ni ada banyak skandal rasuah dibongkar yang melibatkan agensi-agensi besar. Baru-baru ni, siasatan pembelian hotel di London oleh syarikat melibatkan Felda iaitu Felda Investment Corporation (FIC) semakin dapat perhatian. Siasatan semakin besar apabila melibatkan tangkapan Tan Sri Isa Samad (Bekas pengerusi Felda & FGV) untuk membantu siasatan.

Baru-baru ni juga, SPRM menyita lebih 10 juta tan metrik bauksit di Pahang. Ianya kerana terkait dengan perlombongan bauksit haram di negeri tersebut. SPRM pun dah buat perbincangan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mengkaji semula serta membatalkan permit terhadap pelombong.

3 kanak-kanak lemas di lombong bauksit. Imej dari Malay Mail Online.

Usaha-usaha ni harapnya dapat membersih semula nama baik Malaysia di mata dunia. Setakat ni berdasarkan Transparency International, Malaysia berkedudukan ke 55 daripada lebih 170 negara yang tersenarai. Selain memikirkan tentang kedudukan di mata dunia, semua pihak perlu menyedari yang rasuah serta salah guna kuasa juga telah menyusahkan orang yang kita tak tahu.

“Di kebanyakan negara, rakyat kehilangan keperluan asas mereka dan tidur dalam kelaparan setiap malam kerana rasuah, sementara yang berkuasa dan rasuah menikmati gaya hidup yang mewah tanpa dikenakan sebarang tindakan.” – José Ugaz, Chair of Transparency International

To Top

Send this to a friend