Siapa itu Raja Suran dalam Sulalatus Salatin, dan apa kaitannya dengan Iskandar Zulkarnain?

Mesti ramai dah pernah dengar akan karya Sulalatus Salatin (The Malay Annals) atau nama lainnya Sejarah Melayu. Ia merupakan karya yang menghimpunkan sejarah mengenai zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu melaka serta sejarah Kerajaan Melayu.

Antara kandungan dalam buku ini, ia ada menceritakan tentang Raja Suran dan anak-anaknya. Raja Suran juga dikatakan merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain (alaaa yang orang kaitkan dengan Alexender The Great tu).

Takpe, awal-awal ni mari kami huraikan dulu riwayat hidup Raja Suran serta anak-anaknya.

Raja Suran berkahwin dengan seorang puteri dari kerajaan laut

Raja Suran dikatakan raja yang paling kuat ketika empayarnya. Imej dari The Straits Times.

Kalau korang nak tahu, Raja Suran merupakan waris Maharaja ke-2 Empayar Srivijaya yang berkahwin dengan seorang puteri bernama Puteri Mahtabul Bahri. Raja Suran dikatakan telah pergi ke dalam laut lalu berjumpa dengan Puteri Mahbatul iaitu anak Raja Aktabu’l-Ard — pemerintah Kerajaan Basram.

Perkahwinan tersebut dianggap membawa tuah kerana Puteri Mahbatul Bahri telah dikurniakan tiga orang anak:

  • Sang Sapurba (anak pertama).
  • Krisyna Pandita (anak kedua).
  • Nila Utama (anak ketiga).

Sang Sapurba mempunyai dua nama lain iaitu Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana dan Nila Pahlawan. Tapi selalunya banyak kajian hanya akan menulis Sang Sapurba saja kerana ia dianggap nama popularnya. Kalau dalam buku Sulalatus Salatin, ada nama lainnya iaitu Sang Si Perba.

Lukisan Sang Sapurba & adik-beradiknya. Imej dari ninotazizi.

Legenda mengatakan Sang Sapurba, Krusyna Padita dan Nila Utama telah dijaga oleh atuknya, Raja Aktabu’l-Ard sehingga mereka dewasa. Setelah umur mereka mencapai dewasa, mereka telah pergi ke Bukit Si Guntang atas arahan bapanya (Raja Suran) pada waktu malam.

Berdasarkan beberapa kajian, mereka dikatakan menaiki lembu putih dari Kerajaan Basram timbul di Sungai Melayu (dekat Padang Penjaringan, Negeri Palembang, Indonesia). Selepas itu, mereka pun pergi ke Bukit Si Guntang.

“Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard ketiga cucunda baginda itu diberinyalah memakai alat kerajaan dengan selengkap pakaian anak raja-raja, yang bertatahkan ratna mutu manikam, serta dikenakannya mahkota itu ketiganya, Setelah itu maka ketiga baginda pun bermohonlah kepada ninda dan bonda baginda.

___

Maka dipeluk dicium baginda serta ditangisinya, maka oleh Raja Aktabu’lArd diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam warnanya; maka ketiga anak raja itu pun naiklah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar.” – petikan buku dari buku Sulalatus Salatin.

Kawasan di Bukit Si Guntang. Imej dari Trip Advisor.

Selepas itu , kehadiran mereka ni telah disedari oleh dua orang gadis jelita iaitu Wan Malini dan Wan Empok di mereka. Mula-mula tu, mereka melihat ada cahaya di atas Bukit Si Guntang, tapi disebabkan takut, mereka buat keputusan untuk melihatnya esok pagi.

Keesokan paginya, mereka pun pergi ke kawasan bercahaya tu untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Rupa-rupanya, mereka melihat ketiga-tiga anak Raja Suran sedang berehat di situ.

Korang tahu tak? Wan Malini dan Wan Empok sangat terkejut apabila mengetahui…

Anak Raja Suran tergolong dalam keturunan Raja Iskandar Zulkarnain

Lukisan Alexender The Great yang sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain. Imej dari Republika.

Wan Malini dan Wan Empok telah diberitahu oleh Sang Sapurba, Krusyna Padita dan Nila Utama yang mereka ni merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain.

Korang boleh baca petikan dari buku Sulalatus Salatin:

Setelah keduanya berfikir, lalu bertanya, “Siapa tuan hamba ketiga ini? Anak ‘raja mana tuan hamba? Anak raja jinkah atau anak raja perikah, atau anak raja inderakah? Hendaklah berkata benar tuan Hamba ketiga kepada kami kedua ini; kerana lamalah kami duduk di lembah Bukit Si Guntang ini, seorang manusia pun tiada datang ke mari, baharu pada hari inilah kami melihat tuan hamba ketiga ini.” Maka sahut Nila Pahlawan, “Adapun kami ini bukan daripada jin dan peri, dan bukan kami daripada bangsa indera; bahawa adalah bangsa kami ini daripada manusia.

___

Asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, dan nasab kami Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihi s-salam, dan nama kami Nila Pahlawan, dan yang seorang ini Krisyna pendita, dan yang seorang Nila Utama; dan nama curik kami ini Si Mandang Kini, dan kayu ini Cap Kerupa namanya, dan pedang ini Badram Balawa namanya, dan lembing ini Lembuara namanya.” – Petikan dari buku Sulalatus Salatin

Terkejut dan terkesima. Imej dari giphy.

Yupp… memang dalam buku Sulalatus Salatin mengatakan ketiga-tiga anak Raja Suran merupakan cicit kepada Raja Iskandar Zulkarnain. Nak tahu buktinya? Semasa mereka dijaga atuknya, mereka sudah diberitahu yang mereka ni keturunan Iskandar Zulkarnain.

“Adalah akan ayahmu itu anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, nasab Sulaiman ‘alaihi s-salam, pancar Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib. Maka adalah pesan ayahmu apabila tuan Hamba besar, disuruhnya hantarkan ke dunia. Sekarang kembalilah tuan ke dunia”. – Raja Aktabu’l-Ard, petikan dari buku Sulalatus Salatin.

Berita mereka mengenai keturunan Iskandar Zulkarnain telah diketahui oleh Raja Palembang iaitu Demang Lebar Daun dan seluruh Negeri Palembang. Apabila mendengar khabar tersebut, Demang Lebar Daun pun terus ke sana untuk bertemu dan mengambil berkat kebesaran anak raja yang hebat itu.

Bukan itu saja, berita itu tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain datang ke situ untuk bertemu dengan ketiga-tiga anak Raja Suran. Tujuan semua raja yang datang bertemu ketiga-tiga anak Raja Suran itu adalah ingin menjadikan mereka menantu.

Jadi…

Adakah mereka keturunan Iskandar Zulkarnain yang sebenar?

Sebenarnya susah untuk dikatakan yang mereka ni berketurunan Iskandar Zulkarnain atau tak. Menurut beberapa kajian, ketiga-tiga anak Raja Suran ni ditakrifkan sebagai legenda mitos di Bumi Melayu. Jadi, nama pun mitos, kita pun tidak tahu sama ada keluarga Raja Suran dan anak-anaknya berketurunan Iskandar Zulkarnain atau tidak.

Tapi memang ada beberapa catatan mengatakan Raja-raja Melayu zaman dulu berketurunan Iskandar Zulkarnain. Jadi, dengan menggunakan pemikiran kritikal korang, adakah Raja-raja Melayu, Raja Suran dan anak-anaknya berketurunan Iskandar Zulkarnain?