Adakah undi pada umur 18 tahun dianggap relevan? Kami tanya pendapat mahasiswa

Rasanya korang semua sudah mengetahui isu undi pada usia 18 tahun menjadi isu hangat sejak beberapa tahun lepas hingga ke hari ni. Baru-baru ini, isu tersebut mula mendapat populariti apabila Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengatakan undi 18 tidak diluluskan pada masa sekarang.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).” – Tan Sri Dr. Rais Yatim, petikan Utusan Malaysia.

Korang boleh checkout laman web Undi 18 kalau nak tahu lebih lanjut. Imej dari LinkedIn Undi 18.

Bagi membangkitkan isu ini, kami telah melakukan sesi temu bual bersama dengan beberapa mahasiswa kerana mereka antara umur untuk undi 18. Katanya ada yang setuju dan ada juga tak bersetuju atas alasan munasabah.

Memandangkan pandangan bersetuju ni sangat overrated, kita tengok sebab kenapa ada mahasiswa tak bersetuju iaitu…

Belia 18 tahun sekarang tidak sehebat seperti dulu

Adakah gambar ini benar? Imej dari Imgflip.

Sebenarnya jawapan setuju dari kalangan golongan muda mengenai undi 18 ni sudah banyak sebabtu kami nak fokus kepada jawapan tidak bersetuju dulu. Hal ini kerana kami ada menerima jawapan tak setuju dengan alasan yang munasabah dan relevan.

Baiklah, menurut seorang mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Adib Ehsan, dia berpendapat bahawa belia berumur 18 tahun sekarang tidak matang dan tidak berperangai seperti belia dulu-dulu.

“Bagi saya belia yang berumur 18 tahun sekarang tidak hebat seperti dulu dan mereka merupakan antara umur yang tidak sesuai untuk mengundi. Mereka ni masih mempunyai fikiran mentah, belia berumur 18 tahun dulu agama power gila tapi sekarang budak-budak ni cenderung mahu joget Tiktok.” – Adib Ehsan, katanya ketika ditemu ramah.

Dia juga ada berkata belia berumur 18 tahun ni baru keluar dari sekolah jadi, mereka ni mudah dipengaruhi dengan mana parti-parti melalui agenda.

“Mereka ni baru keluar dari sekolah, takut semasa di sekolah mereka dipengaruhi oleh agenda dari mana-mana ahli politik. Bukan itu sahaja, takut apabila undi 18 ni dilaksanakan, banyak parti politik cuba untuk menyebarkan agenda politik mereka di sekolah.” – Kata Adib Ehsan lagi.

Korang rasa? Imej dari Artortoise.

Seterusnya, mari kita lihat jawapan dari mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Khairul Hasnawi. Pada pendapat dia, undi 18 ini tidak relevan kerana tak sesuai dengan umur mengundi.

“Tidak relevan. Kalau mahu undi 18 ini dilaksanakan, Kerajaan atau pihak berkaitan mewajibkan para lepasan SPM untuk mengambil peperiksaan berkaitan dengan sejarah politik Malaysia.” – Khairul Hasnawi, katanya ketika ditemu ramah.

Dari UKM, kita pergi ke Universiti Selangor (UNISEL) pula. Berdasarkan pandangan dari saudara Asyraf ni agak kontroversi sikit la tapi mari baca dulu. Dia berkata undi 18 ini sejujurnya tidak patut dilaksanakan kerana majoriti belia berumur 18 tahun belum matang dan tidak tahu apa-apa mengenai politik.

“Sejujurnya tidak, sebab kebanyakan budak 18 ni belum betul matang dan tahu mengenai hal politik. Dalam umur macam ni dorang senang terpengaruh dengan propaganda politik. Lagi satu biarlah mereka focus dulu sambung study baru lah fikir pasal politik jangan bebankan fikiran dorang yang masih terlalu muda dengan hal politik.” – Asyraf, katanya ketika ditemu ramah.

Dia juga berpengalaman dalam menjadi sukarelawan SPR untuk PRU-14 dan dia mempunyai spekulasi mengenai apa yang berlaku jika undi 18 dilaksanakan:

“Pendapat saya senang je, saya bukan nak jadi racist ke apa tapi saya cakap berdasarkan pengalaman ketika terbabit dengan SPR masa mengundi. Kalau undi 18 ni dilaksanakan jugak banyak kerusi yang sebelum ni melayu menang, akan bertukar ke parti atau kaum lain. Saya taknak sebut specific kaum apa tapi memang akan boleh jadi macam tu. Sebab kita orang melayu kita tak terapkan dekat anak kita pasal undi ni semua tapi ada sesetengah kaum tu dari anak dia sekolah dia dah terapkan benda ni. Sebab tu saya tak setuju undi 18 ni.” – Katanya lagi.

Dalam pada itu, kami juga ada mengumpulkan pendapat mahasiswa yang setuju dengan undi 18 ni. Ada yang berkata…

Belia berumur 18 tahun patut diberikan hak kebebasan bersuara

Syed Saddiq antara Ahli Parlimen yang menyokong undi 18. Imej dari SAYS.

Sebenarnya bukan semua orang la yang tidak bersetuju undi 18 ni, tapi ada juga bersetuju dengan pendapat yang bernas.

Menurut seorang mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ahmad Faizham, dia bersetuju jika undi 18 ini dilaksanakan kerana umur 18 merupakan fasa di mana belia mencapai kematangan.

“Pada pendapat peribadi saya baguslah kerana belia berumur 18 tahun atau ke atas sudah dikategorikan sebagai dewasa kerana had minimun berkahwin pun 18 tahun. Jadi, pada pendapat saya dah boleh berfikiran matang dan rasional. Pendapat mereka mengenai politik harus diketengahkan.” – Ahmad Faizham, katanya ketika ditemu ramah.

Tapi en, kalau dari jawapan seorang mahasiswa (Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics), Saiful Adzri, dia berkata bahawa undi 18 ni patut dilaksanakan kerana mereka yang berumur 18 tahun ni mempunyai hak kebebasan bersuara.

“Orang muda atau generasi muda berhak untuk bersuara dan mengemukakan pandangan politik demi kebaikan politik kita. Sekurang-kurangnya, kita ni ibarat memberi peluang kepada mereka lah dalam hak kebebasan bersuara dalam konteks politik.” – Saiful Adzri, pendapat dia ketika ditemu ramah.

Bukti di mana golongan muda/belia berfikiran hebat, Emir Haady pelajar termuda di Royale College of Surgeon Ireland. Imej dari The Sun Daily.

Ada sebab juga en kenapa undi 18 patut dilakukan? Hal ini kerana ia berkait rapat dengan pendapat dari seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amirul Arif, dia berpendapat bahawa undi 18 ni wajar dilaksanakan kerana ia boleh meningkatkan jumlah pengundi.

“Pada pandangan saya ia merupakan inisiatif baru untuk meraih undi dengan skala yang lebih besar dengan menurunkan had umur sekaligus dapat meningkatkan jumlah pengundi sedia ada contoh seperti DUN X berjumlah 10,000 orang/pengundi (21 tahun keatas). Apabila had umur (18 tahun) pula diluluskan maka peningkatan jumlah pengundi sedia ada dianggarkan kepada 14,000 orang/pengundi. Secara tidak langsung penglibatan yang lebih besar akan memberikan keputusan yang memberansangkan kepada piliharaya yang diadakan.” – Amirul Arif, katanya ketika ditemu ramah.

Namun, kalau mahu undi 18 ni ingin dilaksanakan, kita perlu mengambil beberapa langkah iaitu…

Silibus politik dalam buku teks sekolah & kaji semula PLKN

Rasanya buku teks Sejarah sesuai la kot letak silibus politik. Imej dari FMT.

Kita pun perlu tahu jika undi 18 ni mahu dilaksanakan, kita perlu mengambil beberapa langkah dalam menjayakan aspirasi ini. Berdasarkan pendapat dari mahasiswa Universiti Utara Malaysia, Aly Zack Danial, kalau undi 18 ni betul-betul berjaya dilakukan, terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil. Pertama, Kementrian Pendidikan Malaysia harus meletakkan silibus pengajian politik dalam buku teks. Kedua, kemungkinan “PLKN” boleh dilaksanakan semula supaya ilmu politik boleh diterapkan.

“Jika mahu undi18 diadakan, maka silibus dalam buku teks tentang politik dan mengundi haruslah diperbanyakkan supaya remaja lebih faham tentang perkara ini. Kedua, kemungkinan “PLKN” boleh dikaji semula supaya dapat menfokuskan tentang remaja dan isu isu politik.” – Aly Zack Danial, katanya ketika ditemu ramah.

Hal ini turut berkait rapat dengan pendapat Amirul Arif (budak UiTM tadi) di mana pelajar harus diberikan pendedahan awal mengenai politik dan pengajian am pada tingkatan 4 dan 5. Hal ini supaya mereka mengetahui sistem perundangan, kehakiman dan struktur politik Malaysia.

“Pendedahan awal mengenai isu politik dan pengajiam am di peringkat menengah iaitu seawal Tingkatan 4 dan 5. Mewajibkan Pengajian Am diambil di peringkat SPM agar kefahaman dalam sistem perundangan, pentadbiran dan kehakiman serta struktur politik di Malaysia.

___

Ia akan memberikan kefahaman kepada individu (18 tahun) secara terperinci dan akan memberi peluang kepada indvidu (18 tahun) untuk menilai setiap isu serta perkara politik yang berlaku dalam negara. Justeru, kita perlu mewujudkan Jabatan Khas untuk meneliti semula keberhasilan yang telus dalam kalangan pengundi berumur (18 tahun) yang tidak berat sebelah terhadap mana2 fahaman politik.” – Kata Amirul Arif.

Setelah membaca pelbagai reaksi responden dari kami, apa pendapat korang mengenai struktur politik Malaysia jika undi 18 ni berjaya dijalankan?