Sejak beberapa hari lalu, nama bakal Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris nampaknya banyak diperkatakan di Malaysia. Kamala mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang bakal dilantik sebagai Naib Presiden AS, selain merupakan wanita pertama yang mempunyai darah campuran India dan Jamaica yang memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, di kalangan warga maya – ada di antara mereka yang cuba membandingkan kejayaan Kamala dengan suasana di Malaysia. Ini kerana, mereka mendakwa masih banyak ketidaksamarataan berlaku di negara ini, selain adanya gelaran-gelaran yang tidak menyenangkan.
Akan tetapi, korang tahu tak kita sebenarnya ada seorang negarawan yang banyak menyumbang, malah pernah diberikan kepercayaan untuk memegang antara jawatan tertinggi negara. Orang tu tak lain dan tak bukan adalah…
Tun V.T Sambanthan: Memulihkan sokongan masyarakat India kepada MIC
Dilahirkan pada 16 Jun 1919 di Sungai Siput, Perak, Sambanthan berasal dari keluarga pemilik ladang getah dan boleh juga dikatakan berasal dari keluarga yang agak berada ketika itu. Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Clifford High School, Kuala Kangsar, sebelum bertolak ke Annamalai University, Tamil Nadu untuk mengambil jurusan ekonomi.
Di sanalah dia berkenalan dengan idea menuntut kemerdekaan apabila melihat perjuangan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh seperti Mahatma Gandhi, Subash Chandra Bose dan Jawaharlal Nehru. Jadinya pada tahun 1953, Sambanthan dah menganjurkan Majlis India Bersatu Perak dan pada tahun sama dia dilantik sebagai Pengerusi MIC Perak.
Dalam masa sama, Presiden MIC ketika itu – K.L. Devaser mendapat kritikan ramai pihak sebab dia dianggap mendapat sokongan masyarakat elit India saja, tak dapat sokongan daripada akar umbi dan tak fasih berbahasa Tamil. Keadaan bertambah tegang bila akhbar Tamil Murasu menyeru masyarakat India memboikot MIC atas kegagalan Devaser tu. Hal ni dah membuatkan Sambanthan tampil memperbetulkan keadaan sehingga dia akhirnya dilantik sebagai Presiden MIC ke-5 pada 1955.
MIC yang ketika itu telahpun menjadi sebahagian dari Perikatan semakin dilihat memainkan peranannya, berbanding zaman sebelumnya. Hal ini termasuklah dengan keterlibatan MIC dalam Pilihan Raya 1955, apabila Sambanthan ditempatkan di Kinta Utara, sebuah kawasan yang majoriti Melayu. Walaupun pada awalnya pencalonannya mendapat tentangan dari beberapa pihak, Sambanthan berjaya menang di kerusi tersebut.
“Banyak faktor yang menentukan kemenangan Tun Sambanthan. Yang pertama adalah kempen yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di kawasan Sungai Siput dan Tun Razak di Kampung Kepayang.” – Dipetik dari UM Students’ Repository.
Selepas itu, antara usaha utama yang dilakukan oleh Sambanthan adalah dengan mempromosikan pendaftaran kerakyatan di kalangan masyarakat India, yang masa itu masih belum prihatin terhadap isu tersebut. Dia juga dah mengadakan siri-siri jelajah ke estet-estet untuk menyampaikan hal itu. Malah, adakalanya Sambanthan sendiri yang mengisi borang-borang permohonan penduduk.
Sepanjang kariernya dalam politik, Sambanthan telah memegang beberapa jawatan dalam kabinet seperti Menteri Buruh (1955 – 1957), Menteri Kesihatan (1957 – 1959), Menteri Kerja, Pos dan Telekomunikasi (1959-1971) dan Menteri Perpaduan (1972 – 1974). Malah, dia juga…
Pernah jadi pemangku Perdana Menteri selama sehari
Seperti mana yang kita tahu, Singapura pernah masuk dalam pembentukan Malaysia pada 1963, namun kemudiannya disingkirkan dua tahun kemudian. Dilaporkan, Lee Kuan Yew selepas itu ada membuat kenyataan yang dilihat cuba merendah-rendahkan Perikatan apabila mendakwa parti itu sebagai tak tahu berpolitik dan dijalankan oleh putera raja, sultan dan pembesar.
Sambanthan tampil membidas Kuan Yew dan memberi amaran kepada masyarakat India supaya tak mencontohi PAP serta menyeru agar mereka memberikan kesetiaan kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Dia juga terus bercakap tentang soal perpaduan setiap masa, kerana baginya itulah kekuatan yang Malaysia ada.
“Orang India juga diminta agak bersyukur dapat terus tinggal di Tanah Melayu selepas merdeka. Mereka juga perlu mengingati bahawa kemenangan Tun Sambanthan adalah disebabkan oleh 80% undi daripada orang Melayu. Orang Melayu melihatnya sebagai pemimpin Perikatan.” – Dipetik dari UM Students’ Repository.
Di samping itu, Sambanthan turut terkenal sebagai seorang yang mendapat kepercayaan kuat daripada Tunku Abdul Rahman. Pada tahun 1968, Sambanthan dah dihantar ke Fiji sebagai utusan keselamatan dalam usaha perdamaian masyarakat India dan pribumi di sana.
“Ketua Menteri Fiji mengakui sumbangan Sambanthan dalam sepucuk surat kepada Tunku mengucapkan terima kasih atas “kejayaan besar” delegasi “di bawah kepemimpinan Tun Sambanthan yang luar biasa”. – Dipetik dari The Star.
Sebelum itu pada 1966, Sambanthan mengikuti deligasi Malaysia ke Jakarta bagi menjadi saksi perjanjian damai antara Malaysia – Indonesia selepas konfrontasi. Malah, kalau korang nak tahu Sambanthan turut pernah menjawat jawatan Perdana Menteri sementara selama sehari pada 3 Ogos 1973, kerana ketika itu Perdana Menteri, Tun Razak berada di Kanada, manakala timbalannya, Tun Dr Ismail meninggal dunia.
Terus menyumbang kepada negara walaupun selepas bersara
Pada Jun 1973, Sambanthan melepaskan jawatannya sebagai Presiden MIC dan mula bersara dari politik. Bagaimanapun, dia tetap menyumbangkan usaha sebagai Pengerusi Lembaga Perpaduan Nasional dari 1974 hingga 1978. Tun Sambanthan menghembuskan nafas terakhirnya pada 21 Mei 1979 ketika berusia 59 tahun.
Apa yang pasti, Sambanthan telah memainkan peranan yang cukp penting dalam perjalanan sejarah Malaysia, dan tak cukup sifat sejarah moden negara ini tanpa menyebut tentang anak kelahiran Sungai Siput ini.
“…beliau telah memainkan peranan penting dalam menyatupadukan orang India untuk menjukkan sokongan padu terhadap segala seruan dan dasar kerajaan supaya jentera pentadbiran negara berjalan licin.” – Dipetik dari UM Students’ Repository.