- 5.1KShare sekarang!
- Email110
- Facebook5.0K
- Share
Dalam kehidupan ini, antara perkara cukup berharga adalah sejarah dan warisan bangsa. Sebabnya, selain dari memegang khazanah budaya, ia juga akan membuka mata kita dalam memahami dan mengenali insan-insan yang telah menaburkan jasa kepada masyarakat mahupun dunia.
Beberapa hari lalu, seorang penyelidik – Dr Muhaimin Sulam telah membangkit satu nama yang dianggapnya semakin terbuang dalam sejarah dan ingatan orang Melayu. Tokoh itu adalah seorang anak Melayu Sarawak, Buang Bin Mohamad Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Wallace. Buang bukanlah orang sembarangan, kerana dia sebenarnya seorang sainstis dan juga antara yang…
Menemani Alfred Russel Wallace mengelilingi Alam Melayu
Salah satu nama besar dalam sejarah pemetaan dan pengambaraan di Alam Melayu adalah seorang naturalis – Alfred Russel Wallace. Dia melakukan ekspedisi di Alam Melayu selama lapan tahun iaitu dari 1854 hingga 1862. Sepanjang ekspedisi tu, Wallace telah mengumpulkan begitu banyak spesimen semula jadi (tumbuhan dan binatang) yang menjadi kajiannya. Spesimen-spesimen itu kemudiannya dihantar kepada Charles Darwin yang kemudiannya muncul dengan Teori Evolusi Darwin.
Tapi, perjalanan Wallace di sini sudah semestinya bukan berseorangan, maka kerana itulah dia telah dibantu oleh beberapa orang tempat. Antara yang paling terkenal dan memberikan kesan besar kepada Wallace adalah seorang anak Melayu Sarawak – Buang Mohamad Ali. Wallace kali pertama bertemu dengan Buang pada tahun 1855 yang pada masa tu baru je berumur 15 tahun.
Ketika itu Buang ditugaskan sebagai pembantu Wallace, selain mengajarnya Bahasa Melayu dan ilmu alam. Digambarkan oleh Wallace sendiri – Buang ni seorang yang prihatin, pembersih dan begitu pandai memasak.
“Sudah tentu, dia seorang pengendali perahu yang baik, seperti juga orang-orang Melayu lain, dan dalam keadaan sukar atau bahaya di perjalanan kami, dia cukup tidak terganggu dan bersedia melakukan apa sahaja yang diperlukan olehnya.” – Wallace, My Life: A record of events and opinions.
Atas kepercayaan dan kenyakinan Wallace terhadapnya, Buang dah dianggap sebagai pembantunya yang paling baik dan kerana itulah Buang turut diangkat sebagai ketua kepada pembantu-pembantu Wallace yang lain. Bagaimanapun, Buang tak sertai semua ekspedisi Wallace.
Apa yang pasti, Buang telah menemani Wallace ke beberapa buah kawasan wilayah seperti Singapura, Lombok, Bali, Makasar, Maluku dan Ternate. Kerana itu jugalah dia dikenali sebagai Ali Wallace (Ali digunakan sebab orang Barat menggunakan nama keluarga). Dalam perjalanan mereka tu, Wallace dan Buang telah mengumpulkan begitu banyak spesimen tumbuhan dan haiwan (khususnya burung).
Dianggap sebagai pembantu terbaik yang Wallace pernah ada
Menjelang awal tahun 1859, Wallace mendakwa dia telah kehilangan tiga orang pembantu.
“Tiga lelaki terbaik telah meninggalkan saya – seorang itu sakit, seorang lagi pulang ke rumah ibunya yang sakit, yang ketiga dan yang terbaik (Buang) berkahwin di Ternate, dan isterinya tidak akan membiarkannya pergi…” – Wallace, suratnya kepada Samuel Stevens.
Walaupun begitu, Buang tetap berkeras nak mengkaji bersama-sama dengan Wallace dan dia kemudiannya menjadi pembantu Wallace semula. Pada 15 Jun 1861, mereka telah pergi ke sebuah tempat bernama Telaya. Di sana, Buang dah berjaya membawa seekor burung berwarna-warni atau dikenali sebagai Red-bellied Pitta. Wallace menulis dalam buku notanya: “Ali back. 1 pitta” dan meletakkan gambar burung itu di dalam bukunya: Malay Archipelago.
Wallace juga menggambarkan Buang sebagai seorang yang bukan melakukan tugasnya kerana duit, sebaliknya, atas semangat, minat dan kerja kerasnya sendiri. Dianggarkan Buang telah mengumpulkan ribuan jenis burung sepanjang ekspedisinya dengan Wallace.
Tapi masuk ke akhir tahun 1861, Wallace mula beransur-ansur menamatkan pengembaraannya di Alam Melayu dan mula merancang untuk kembali ke England. Setahun kemudiannya, tamatlah pengembaraan Wallace dan dia pun berpisah dengan Buang.
“…selain memberikan hadiah wang, saya memberikannya dua senapang berkembar saya dan apa sahaja peluru yang saya miliki, dengan begitu banyak alat dan barang-barang yang menjadikannya cukup kaya…” – Wallace, My Life: A Record of Events and Opinions.
Pada tahun 1907, seorang ahli zoologi, Thomas Barbour telah menemui beberapa orang pribumi di Ternate untuk menunjukkan satu spesimen cicak. Salah seorangnya, termasuklah seorang lelaki bernama Ali.
“Dia berkata, ‘Saya Ali Wallace’. Saya langsung tahu bahawa di depan saya ini adalah sahabat setia Wallace selama bertahun-tahun, remaja lelaki yang bukan sahaja membantunya mengumpulkan (spesimen), tapi juga merawatnya ketika dia sakit. Kami mengambil fotonya dan mengirimkannya kepada Wallace…” – Barbour.
Wallace kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Barbour kerana beritahu yang dia berjumpa dengan Buang. Bagaimanapun, Wallace kata yang dia cuma terima gambar penduduk asli Dorey dan bukannya gambar Ali. Penemuan Barbour dengan Buang juga kemudiannya menimbulkan pertikaian sama ada benar dia bertemu Buang (Ali Wallace) atau seseorang yang mendakwa (atau menyamar) sebagai Buang.
Buang menjadi saintis dan menulis pelbagai kajian sains
Pada tahun 2015, seorang wartawan Perancis, Dr Isabella Desjeux dah menerbitkan satu dokumentari tentang Buang yang dianggap sebagai seorang saintis. Semua tu jadi selepas berlakunya penemuan sebuah kotak besi yang tertanam di tapak sebuah sekolah di Ternate.
Menariknya, peti besi itu menyimpan pelbagai kajian Buang tentang sains. Peti itu kemudiannya dihantar ke University of Abuja, Nigeria dan dikaji oleh Dr Ola Madunagu. Mereka seterusnya mendapati terdapat beberapa buah buku dan catatan yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan Melayu, serta bertulisan jawi. Walaupun begitu, menurut Isabella, dari dokumen-dokumen yang didapati dalam peti itu, ia menunjukkan yang kajian Buang tak mendapat perhatian Wallace. Ia berkemungkinan kerana perbezaan budaya antara mereka berdua.
Akan tetapi, sumbangan Buang dalam kejayaan misi Wallace sudah pasti tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Malah, tak keterlaluan juga untuk kita mengatakan yang Buang memainkan peranan dalam memunculkan Teori Evolusi Darwin yang sehingga kini diperdebatkan. Ini kerana, kebanyakan spesimen yang dikumpulkan oleh Buang dan Wallace dihantar ke Darwin yang ketika itu sedang mengkaji tentang evolusi.
Buang dilaporkan terus tinggal di Ternate sehingga ke akhir hayatnya, tapi ada juga pihak yang mendakwa dia kembali ke Sarawak dan meninggal dunia di sana.
- 5.1KShare sekarang!
- Email110
- Facebook5.0K
- Share