- 91Share sekarang!
- Email3
- Facebook88
- Share
Sejak kebelakangan ni, pemakaian niqab nampaknya banyak diperkatakan setelah selebriti terkenal Neelofa memakainya. Seperti biasa, penampilan baru Neelofa itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat – sama ada yang menyokong, skeptikal atau tak kisah sama sekali.
Tapi dalam waktu sama, muncul juga persoalan berkenaan dengan hukum pemakaian niqab. Ini kerana, ia datang dalam pelbagai bentuk, sama ada wajib, sunat dan malah ada yang melarangnya dalam suasana (atau di tempat tertentu). Oleh itu, apa kata kita semak pandangan-pandangan ini, supaya kita dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Ulama-ulama di Saudi kebanyakannya mewajibkan pemakaian niqab
Dalam isu pemakaian niqab, ada ulama yang mewajibkannya kerana berpandangan wajah wanita itu adalah aurat. Pandangan ini kebanyakannya datang dari ulama-ulama di Arab Saudi (aliran Salafi) seperti Syeikh Abdul Aziz ibn Abdullah ibn Baz dan Sheikh Muhammad ibn al-Uthaymeen. Tapi, ada juga ulama dari Mazhab Shafie yang juga berpandangan sama seperti Sheikh Muhammad Said Ramadan al-Bouti.
Tentang ulama yang berpandangan wajah wanita bukan aurat pula, mereka ada ramai dan antara yang terkenal adalah Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’, apabila katanya:
“Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafie, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-Auzai, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain…” – Dipetik dari tulisan Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza).
Dalam pada itu, majoriti ulama semasa juga berpandangan sama (wajah wanita bukan aurat), seperti mana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Nasruddin al-Albani dan Sheikh Mohammed al-Ghazali. Ini kerana, ada hadis yang diriwayatkan ketika di zaman Rasulullah SAW menunjukkan wanita ketika itu tidak berniqab. Antaranya adalah seperti hadis daripada Ibn Abbas r.a yang katanya:
“Al-Fadhal (bin Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah SAW (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.” – Riwayat Bukhari.
Disebutkan juga dalam riwayat lain:
“Lantas al-Fadhal bin`Abbas memandangnya. Dia adalah seorang wanita yang cantik. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.” – Riwayat Nasai.
Riwayat ini menunjukkan wanita itu tak menutup wajahnya, sekalipun dia sangat cantik. Dan Rasulullah SAW pula tak menyuruh wanita itu menutup wajahnya.
Tapi dalam keadaan dan tempat tertentu, ada juga ulama yang melarang pemakaian niqab. Dan perkara itulah yang pernah difatwakan oleh…
Sheikh Mohammad Sayyid al-Tantawi: Melarang pemakaian niqab yang mencetuskan kontroversi
Dalam tradisi ilmu dunia Islam, Universiti al-Azhar memang tak payah disangkalkan lagi sebagai salah satu universiti terkemuka yang telah melahirkan ramai cerdik pandai dan ilmuan. Di universtiti itu juga ada satu jawatan yang dipanggil sebagai Imam Besar al-Azhar atau juga dikenali sebagai Sheikul al-Azhar. Boleh dikatakan jawatan ini memainkan peranan yang cukup besar dalam bidang agama, bukan saja di Mesir, tapi juga di dunia Islam amnya.
Namun pada tahun 2009, telah muncul satu kontroversi apabila Imam Besar al-Azhar ketika itu, Sheikh Mohammad Sayyid al-Tantawi telah mengeluarkan larangan memakai niqab di al-Azhar dan sekolah-sekolah. Dilaporkan, Tantawi mengeluarkan arahan tu selepas melawat sebuah sekolah dan melihat ada pelajar di sana yang memakai niqab, walaupun semuanya terdiri daripada wanita. Beliau kemudiannya meminta supaya niqab tu dibuka, sebab menganggap ia hanya adat dan tak ada kaitan dengan agama.
Bagaimanapun, larangan ini kemudiannya menimbulkan kontroversi – apabila ramai yang menyangka Tantawi melarang pemakaian niqab sama sekali di al-Azhar dan di sekolah-sekolah. Sedangkan…
“…memutuskan untuk melarang (wanita) pelajar dan guru memakai niqab di dalam kelas yang di dalamnya untuk pelajar wanita, di mana pelajaran hanya diajar oleh guru wanita… Selanjutnya, Majlis Tinggi Al-Azhar telah memutuskan untuk menerapkan (keputusan) ini ke dewan kediaman universiti yang ditujukan untuk pelajar wanita demi kepentingan terbaik mereka.” – Sheikh Mohammad Sayyid al-Tantawi, dipetik dari AP Archive.
Maknanya di sini, larangan tu hanya dilaksanakan di kelas dan tempat kediaman pelajar perempuan, di mana hanya ada perempuan saja di sana dan tak ada orang lelaki. Malah, Tantawi juga menambah yang perempuan masih bebas memakai niqab di rumah mereka sendiri, jalan atau di mana-mana tempat yang ia tak dilarang.
Akan tetapi, arahan Tantawi ni tetap mendapat kritikan dari ramai pihak seperti ulama konservatif Mesir, Youseff al-Badri yang mendakwa larangan tu dah melanggar peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan awam. Bekas Ketua Majlis Fatwa dan Kajian Universiti al-Azhar, Syeikh Ali Abu al-Hasan pun turut mengkritik Tantawi, dengan kata – pemakaian niqab tak bercanggah dengan syariat dan undang-undang Mesir.
Dalam pada itu, pada sekitar tahun 2003 – Tantawi turut menimbulkan kontroversi apabila berpandangan Perancis ada hak untuk melarang wanita Islam di sana dari memakai hijab. Pandangan beliau ni dilihat sangat berbeza dengan pandangan-pandangan daripada ilmuan lain yang kebanyakannya membantah.
“Jika seorang wanita Muslim berada di negara bukan-Muslim, seperti Perancis, dan pegawai di sana ingin mengeluarkan undang-undang yang bertentangan (dengan Islam) mengenai persoalan tudung kerana ia berkaitan dengan wanita Muslim, maka itu adalah hak mereka yang tidak boleh saya campur tangan sebagai seorang Muslim.” – Katanya, dipetik dari al-Jazeera.
Walaupun begitu, beliau tetap dihormati sebagai salah seorang ilmuan Islam yang telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ilmu. Tantawi meninggal dunia pada 10 Mac 2010 di Riyadh, Arab Saudi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqie, Madinah.
Memakai niqab adalah hak wanita yang tak perlu dipaksa
Menurut pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukumnya makruh untuk seseorang wanita itu memakai niqab ketika solat, kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat lelaki ajnabi (bukan mahram) yang tak menjaga pendangan mereka. Malah, memakai niqab turut dilarang ketika seseorang itu dalam ihram haji ataupun umrah.
Namun, dalam keadaan tertentu – pemakaian niqab juga tak berapa digalakkan sekiranya ia menimbulkan persepsi negatif, khususnya di negara-negara bukan majoriti muslim. Malah, Sheikh Nasruddin al-Albani walaupun datang dari aliran Salafi telah memberikan pandangan yang cukup jelas dalam hal ni apabila beliau pernah berkata – ‘mewajibkan memakai niqab itu hanya memayahkan agama’.
Akan tetapi, pemakaian niqab masih lagi terpulang kepada seseorang wanita itu, dan dia juga tak boleh dipaksa – sama ada untuk memakainya atau sebaliknya.
“Jika kita anggap purdah itu adalah kewajiban agama. Saya bimbang mereka (bukan Islam) anggap Islam ini susah. Sedangkan Islam tidak sesusah itu, dan ruang untuk muslimah tidak sepayah itu.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Pro Media Tajdid.
- 91Share sekarang!
- Email3
- Facebook88
- Share