- 518Share sekarang!
- Email29
- Facebook489
- Share
Suhu politik negara tidak pernah surut. Pada 23 September 2020, Anwar Ibrahim telah mengumumkan yang dia miliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.
Apa yang menariknya, presiden UMNO, Zahid Hamidi juga mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan mengesahkan kenyataan Anwar:
“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang menyokong Anwar untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.
“Saya dimaklumkan ramai Ahli Parlimen Umno dan BN menyatakan sokongan (kepada Anwar). Saya menghormati pendirian mereka,” – Zahid Hamidi, dipetik oleh Harian Metro.
Zahid tak menyatakan dengan jelas sama ada dia juga tergolong daripada ahli-ahli BN tersebut, pada masa yang sama dia tidak menafikannya.
Perkara ini mungkin mengejutkan orang ramai sebab UMNO dan PKR sepatutnya tak ngam. Tapi sebenarnya sejarah hubungan antara Anwar dan Zahid dah lama bermula, dan ini ceritanya…
Zahid mula maju dalam politik akibat sokongan Anwar
Ahmad Zahid Bin Hamidi pernah bekerja sebagai pegawai bank di OCBC Bank (1976-1977) serta penolong pengurus di Bank Simpanan Nasional (1977-1979). Pada tahun 1976 hingga 1979, dia menerima amanah dalam UMNO sebagai:
- Jawatankuasa Pemuda UMNO cawangan Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk (1976)
- Ketua Pemuda UMNO cawangan Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk (1977)
- Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian (1978)
Tugas-tugas terus diterimanya hingga pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Najib Razak pada tahun 1986, apabila Najib menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Zahid menjadi Ketua Pemuda UMNO pada (1996 hingga 1998) dengan sokongan kuat daripada Anwar. Sebagai pemimpin Pemuda, Zahid pula telah membuat gerakan untuk menyingkirkan Mahathir dan menaikkan Anwar Ibrahim sebagai PM.
Seperti yang kita tahu, pada tahun 1998 itulah berlakunya gerakan Reformasi apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Bayangkan ketika itu dia Ketua Pemuda UMNO, manakala dua figura politik Malaysia berpecah iaitu Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohammad. Perpecahan ini telah memberi kesan dalam sikap dan perjalanan politik Zahid Hamidi.
“Tempoh 22 tahun lalu beliau adalah Ketua Pemuda Umno yang dilihat sebagai penyokong kuat Anwar Ibrahim yang pada masa itu Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.” – Tulisan Sayuti Omar bertajuk Cerita Seorang Zahid Hamidi dan Saya
Isu diktator, kronisme dan nepotisme dimainkan oleh Zahid Hamidi untuk memburukkan Mahathir termasuk ketika ucapan dasar sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Anwar Ibrahim dipecat, Zahid Hamidi berada di persimpangan
Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Pada mulanya, Zahid Hamidi bersama Anwar Ibrahim walaupun ketika itu masih memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.
“Pada malam Anwar dilucutkan jawatan dan malam seterus-seterusnya, Zahid hadir ke rumah Anwar bersama sebahagian pimpinan pemuda Umno dan orang ramai. Beliau turut memimpin rakyat buat demontrasi dan solidariti untuk Anwar.
Antara pemuda Umno bersama Zahid adalah ketua pemuda Umno Kelantan Zaiyadi Awg Nuh, beliau antara ketua pemuda yang awal dipecat, diikuti oleh Halim Saad (Kedah), Roslan Kassim (Negeri Sembilan), Rahim Ghaus (Pulau Pinang) dan lain-lain termasuk Exco pemuda, Saifuddin Nasution Ismail, Lokman Adam, Hamdan Taha dan lain-lain.” – Tulisan Sayuti Omar bertajuk Cerita Seorang Zahid Hamid dan Saya
Zahid Hamidi dikatakan antara penggerak awal gerakan Reformasi, di samping dua orang setiausaha Anwar Ibrahim ketika itu iaitu Ezam Mohamad Noor dan Azmin Ali.
Namun, dia berada dalam dilema sama ada untuk terus bersama Anwar atau tidak. Satu perbualan telah dicatatkan oleh Sayuti Omar bersama Zahid Hamidi ketika dalam perjalanan ke Bagan Datuk, Perak.
“Zahid Hamidi: Ustaz (Sayuti) macam mana dengan diri saya kini. Apa yang harus saya buat?
Sayuti Omar: Datuk, orang sudah tahu yang Datuk adalah budak kepada Pak Sheikh (Anwar). Datuk adalah khadam kepadanya. Dalam suasana hari ini, bagi saya terbaik Datuk lakukan, Datuk perlu tenggelam timbul bersama Pak Sheikh. Datuk tidak boleh melarikan diri.
Kalau Datuk lari meninggalkannya, Datuk akan dilihat pengecut dan seorang yang mementingkan diri. Sebaliknya kalau Datuk setia dan pertahankan Pak Sheikh, Datuk akan dilihat sebagai seorang pejuang dan sahabat yang setia, yang sanggup melakukan apa saja demi seorang sahabat, Datuk akan dihormati sepanjang masa.” – Tulisan Sayuti Omar bertajuk Cerita Seorang Zahid Hamidi dan Saya
Zahid kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di samping ahli-ahli politik lain seperti Azmin Ali, Hishamuddin Ali, dan Chua Tian Chuang. Namun berbeza dengan figura-figura Reformasi yang lain, Zahid tidak meninggalkan UMNO. Dia meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO tapi kekal setia dalam parti itu.
Mahathir dedahkan Zahid sebagai salah seorang kroni Anwar
Pada 2 Mei 1999, Mahathir membuat satu kenyataan berhubung pemilikan harta dan perolehan kontrak-kontrak besar oleh kroni-kroni bekas timbalannya, Anwar Ibrahim.
“Saya memang tahu kedudukan mereka. Sebagai contoh bekas setiausaha politik, setiausaha-setiausaha Anwar. Kita dapat tahu daripada borang pengisytiharan harta …
Seorang kroni yang dibentuk oleh Anwar untuk menggulingkan saya, saya mendapati beliau mempunyai wang tunai lebih RM230 juta,” – Petikan dari Library Perdana
Waktu itu, Mahathir tidak mendedahkan kepada wartawan mengenai nama kroni yang menerima RM230 juta itu. Dia hanya menyebut bahawa orang itu sangat rapat dengan Anwar dan digunakan oleh Anwar untuk membuat Mahathir tidak popular dan melemparkan pelbagai dakwaan bahawa pemerintahan Mahathir korup dan mengamalkan nepotisme.
Namun dalam satu temu ramah terbaru oleh Malaysia Gazette, Mahathir telah menyebut kembali tentang hal ini:
“Saya nak kata terang-terang pada masa itu, bila dia (Anwar) angkat Zahid Hamidi jadi Ketua Pemuda. Zahid ingat sebagai Ketua Pemuda, dia kena isytihar dia punya harta. Saya terkejut. Zahid Hamidi mempunyai RM240 million ringgit. Saya tanya kepada dia, “dari mana you dapat duit ini?”.” – Tun Mahathir, petikan dari Malaysia Gazette TV
Zahid meneruskan perjalanan politik dalam UMNO
Terus bersama UMNO, Zahid dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelancongan (2004-2006), Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama Islam (2008-2009) dan Menteri Pertahanan (2009-2013).
Dia seterusnya dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri (2013-2018) dan berada di puncak politiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri (2015-2018). Sewaktu di KDN, Zahid Hamidi telah menubuhkan beberapa pasukan penting di bawah PDRM yang dilaporkan berjaya menurunkan indeks jenayah termasuk kegiatan kumpulan jenayah terancang. Namun, pasukan-pasukan ini dibubarkan pada tahun 2019 atas alasan langkah penstrukturan semula.
Selepas kekalahan BN dalam PRU-14, Zahid memikul jawatan Presiden UMNO di mana parti itu menjadi pembangkang buat pertama kali. Mungkin ini juga kali pertama Presiden UMNO tiada sebarang jawatan dalam kabinet walaupun berlaku gabungan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Nama dan reputasi Zahid jatuh mendadak apabila dikaitkan dengan “Kluster Mahkamah”, iaitu ahli-ahli politik UMNO yang sedang didakwa di mahkamah. Walaupun sudah bebas daripada 40 pertuduhan rasuah sewaktu dia menjadi Menteri Dalam Negeri, Zahid masih masih menghadapi 47 tuduhan termasuklah kes pecah termasuklah rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram.
Zahid mungkin sekali lagi akan menyokong Anwar untuk jadi PM
September 2020, apabila Anwar mengumumkan yang dia memiliki jumlah untuk membentuk kerajaan, Zahid menyatakan yang dia ada maklumat bahawa ramai Ahli Parlimen BN yang menyokong Anwar. Khalid Samad daripada parti AMANAH turut mendedahkan yang Zahid telah mendapat sokongan 30 orang ahli UMNO untuk diserahkan kepada YDPA, ia tidak disahkan atau dinafikan oleh Zahid. Namun kerjasama ini tidak pernah berlaku.
Kini selepas keputusan PRU-15 diumumkan dengan parlimen tergantung, Anwar dan Zahid telah bertemu dan ura-ura yang mereka akan bergabung sekali lagi bergema. Intipati pertemuan tersebut masih belum didedahkan, dan rakyat Malaysia masih menanti-nanti akan bagaimana hubungan mereka akan menentukan hala tuju pentadbiran negara.
Kisah politik negara: Hari ini kawan, esok lawan, rakyat jadi sawan
(Artikel ini pasa asalnya diterbitkan pada 6 Oktober 2020)
- 518Share sekarang!
- Email29
- Facebook489
- Share