4 filem Korea dan Jepun mengenai penularan wabak yang ramai tak tahu

Hari tu kami dah tulis artikel pasal 5 filem penularan wabak dari Hollywood atau pun dari US. Harap ada yang dah tengoklah. Mungkin disebabkan masa yang banyak terluang, ada antara korang yang nak cuba tengok filem dari belah Asia – terutamanya Korea Selatan dan Jepun.

Kedua-dua negara ni mempunyai filem-filem yang juga mantap termasuklah berkenaan dengan penularan wabak dan bagaimana pengendalian wabak tersebut. Biasanya kalau wabak je, mesti hasilnya zombie kan? Tapi kali ni kami nak senaraikan yang betul-betul cerita pasal penularan wabak.

Kita mulakan dengan …

1. Virus/Day of Resurrection (Jepun, 1980) – Hanya tinggal beberapa orang sahaja di Antartika

Poster filem Virus. Imej dari IMDB

“Setakat ini filem paling mahal yang pernah dibuat di Jepun pada masa itu, blockbuster apokaliptik mengenai virus adalah filem arahan Kadokawa yang paling banyak diedarkan di luar Jepun.” – Petikan dari Japan Society

Filem memulakan kisahnya di Jerman Timur (Jerman belum bergabung masa ni) di mana seorang saintis telah disogok oleh ejen Amerika untuk menyediakan sampel virus yang boleh membunuh. Ia dibangunkan oleh kerajaan Jerman Timur dengan ganjaran sebanyak 50,000 pound. Namun sedikit kekecohan telah berlaku menyebabkan saintis yang membangunkan virus itu mati, namaun ejen CIA sempat melarikan virus itu.

Malangnya, pesawat yang dibawa ejen CIA itu terhempas di kawasan gunung yang menyebabkan virus itu tersebar di udaraVirus ini terlalu kuat dan tersebar melalui atmosfera menyebabkan jangkitan ke Siberia, Tokyo, London, Rom dan New York. Angka kematian juga agak mengejutkan.

Filem ini seterusnya memfokuskan kepada saintis Jepun serta beberapa pakar dan tentera dari Amerika dan UK yang beroperasi di Antartika. Di sana virus agak sukar untuk tersebar kerana suhunya yang sejuk melampau. Hanya 800 orang sahaja hidup dan terselamat ketika itu selepas Pegawai Tentera US, Jeneral Rankin menghidupkan serangan nuklear

2. Pandemic (Jepun, 2009) – Filem ini menyentuh isu betapa tak bersedianya negara berhadapan wabak

Imej dari Asianwiki

“Pandemic” adalah suatu kejutan yang menyegarkan. Walaupun ia mengandungi beberapa adegan pertumpahan darah, ia tidak hanya bergantung kepada taktik kejutan untuk menimbulkan ketakutan. Adegan kacau-bilau, anarki dan orang yang memohon bantuan sudah cukup untuk membuat orang merasa tidak selesa dan merasai ketegangan.” – Petikan dari User Reviews

Tsuyoshi Matsuoka, seorang doktor di sebuah hospital di Tokyo, pada mulanya tidak menghiraukan penyakit pesakit yang dianggap selesema biasa. Tetapi selepas kematian tiba-tiba pesakit, dia menyedari bahawa ia adalah penyakit yang sangat serius.

Malah, baginya ia  boleh menyebabkan populasi pupus, jadi dia berusaha untuk mengetahui punca penyakit itu bersama doktor Eiko Kobayashi. Filem ini juga menimbulkan isu bahawa orang, dan juga negara, tidak dilengkapi persediaan dan fasiliti wabak seperti ini.

3. Deranged (Korea, 2012) – Orang yang terkena virus, lompat ke dalam sungai dan mati lemas

Ramai mati lemas. Imej dari Traktv

” Saya sangat menyukai idea ini. Terdapat wabak cacing parasit yang menyebabkan orang yang dijangkiti menjadi gila. Dan kemudian ada syarikat korporat yang gila wang di sebalik wabak ini. Simbolisme kedua-dua “parasit” adalah sempurna. ” – Petikan dari Letterboxd

Karakter utama yang dipersembahkan dalam cerita ini adalah Jae-hyuk. Dia merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an serta bekerja sebagai jurujual bekalan perubatan. Biasanya dia akan diganggu doktor sepanjang hari bekerja. Manakala, saudaranya adalah Jae-pil merupakan detektif yang tak berminat pun tentang hal keselamtan. Banyak menghabiskan masa mengeluh tentang hal pasaran saham.

Konfliknya bermula apabila terdapat beberapa siri penemuan mayat terapung yang mengerikan di seluruh negara serta mencetuskan histeria. Pihak polis agak pelik dengan rakaman CCTV yang menunjukkan orang yang melompat ke dalam sungai Han secara sukarela lalu lemas dengan sendirinya. Masa pun berlalu dan beratus-ratus kes yang sama dilaporkan. Ia menyebabkan pegawai-pegawai penyiasat saling berbantah tentang punca kematian.

Kemudiannya, kerajaan mengisytiharkan darurat. Jae-pil pula menyertai siasatan besar-besaran dan bertemu dengan seorang Datuk Bandar yang mendakwa mereka menyaksikan beberapa lelaki dalam pakaian seragam kerja membuang anjing yang dijangkiti ke dalam sungai. Disebalik semua itu, dia menyedari bahawa ada konspirasi di sebalik wabak itu.

“Apabila Jae Hyuk percaya ahli keluarganya sendiri menunjukkan tanda-tanda jangkitan, bolehkah dia atau Jae Pil melakukan apa-apa untuk menyelamatkan mereka?” – Petikan dari Rakuten Viki

4. Flu (Korea, 2013) – Penyeludupan pendatang tanpa izin membawa malapetaka

Tak ada penjarakan sosial nampaknya. Imej dari Drama Beans

“Filem ini memiliki lakonan dan pelakon yang hebat. Jalan ceritanya bergerak seiring. Filem ini akan menarik perhatian emosi anda. Terdapat juga seorang gadis kecil yang berbakat.

Saya ketagih menonton filem Korea! Pihak Hollywood kena berjaga-jaga.. orang Korea menulis cerita dan mengarahkan filem-filem yang lebih baik .. ” – Joseph Hijuelos, petikan dari Audience reviews

Filem ini menyajikan penonton dengan kisah wabak terburuk yang tak pernah dihadapi telah melanda Bundang, kawasan pinggiran bandar Seoul. Semuanya bermula apabila Byung-woo mati akibat virus yang tak diketahui. Ini terjadi selepas dia terlibat dengan aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara Korea.

Tak lama lepas tu, gejala yang sama mengganggu sejumlah besar penduduk di Bundang. Orang ramai tak berdaya berhadapan dengan penyakit yang tersebar melalui udara itu. Ia menyebabkan huru-hara dek kerana bilangan yang dijangkiti meningkat dengan mendadak.

Sebagai langkah berjaga-jaga, bandar yang mempunyai setengah juta penduduk serta 19 kilometer dari Seoul itu akan dikepung. Maka, kerajaan mengumumkan bandar itu ditutup. Maka, filem ini akan membawa perjalanan cerita seorang pakar penyakit berjangkit, Dr. Kim In-Hae dan seorang bomba, Kang Ji-koo yang pergi ke bandar tertutup itu. Ini bagi untuk mencari serum darah bagi kes-kes yang tersenarai. Tujuannya tak lain dan tak bukan adalah untuk membangunkan vaksin.

“Dr. Kim In-Hae (Soo-Ae) adalah salah seorang daripada responden pertama virus itu. Wabak itu menjadi lebih peribadi kepadanya apabila dia mengesyaki anak perempuannya sendiri (Park Min-Ha) dijangkiti virus itu.” – Petikan dari Asian Wiki

Kisah wabak dan negara Asia adalah dekat sebenarnya

Terus bersemangat frontliner negara China. Imej dari Th Star

Bila tengok filem wabak dari Asia ni, kita terasa agak berpijak dengan realiti. Budaya Asia itu rapat dengan budaya Malaysia. Cara negara Asia tangani wabak kita boleh tengok sendiri dalam filem-filem yang disenaaikan kat atas tadi.

Dalam keadaan sekarang juga, nampaknya negara-negara Asia mempunyai rekod yang baik dalam tangani wabak berbanding negara Eropah. Apa pun seterusnya yang berlaku, harapnya wabak yang berlaku ketika ini akan reda dan negara yang gagal tangani wabak boleh belajar dari negara yang berjaya termasuk dari Asia.

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT