- 2.8KShare sekarang!
- Email25
- Facebook2.8K
- Share
Nampaknya, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dah pun memohon maaf kerana memuatnaik poster yang dikritik hebat sebagai seksis. Hal ni jadi selepas kementerian tu menerbitkan poster – yang sarankan wanita (isteri) supaya buat aksi menggoda bila nak minta pasangan tolong buat kerja rumah masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni.
Lebih kontroversi lagi, bila poster tu sarankan isteri pujuk suami dengan guna suara Doraemon yang kita selalu tengok animasinya kat NTV7 dulu.
Tapi bila dah cerita pasal suara Doraemon ni, korang tahu tak milik siapa suara Doraemon versi bahasa Melayu ni sebenarnya? Kalau belum tahu lagi, suara tu sebenarnya milik pelakon suara…
Ruhaiyah Ibrahim: Pemilik suara yang menemani zaman kanak-kanak kita
Sebelum kita pergi lebih lanjut, Doraemon ni adalah antara manga dan animasi terawal yang dihasilkan di Jepun. Ia muncul pada tahun 1969, apabila dua orang kartunis/mangaka – Hiroshi Fujimoto dan Motoo Abiko mencipta Doraemon dan tersiar di majalah kanak-kanak. Seperti mana yang kita tahu, manga ni mengisahkan tentang seekor robot kucing yang datang dari masa depan untuk menolong seorang budak malang bernama Nobita.
Disebabkan sambutannya yang sangat menggalakkan, manga Doraemon ni kemudiannya diterbitkan dalam bentuk siri animasi dan filem. Maka bertebaranlah ia ke serata dunia, termasuklah ke Malaysia.
“Di Malaysia, siri Doraemon mula-mula disiarkan menerusi di TV1 RTM pada pukul 7 malam setiap hari Ahad dan menghentikan siaran Doraemon pada 29 Disember 2002 untuk berpindah ke NTV7 pada 5 Januari 2003 (setiap hari Sabtu pukul 7.30 malam).” – Dipetik dari Astro Awani.
Walaupun macam tu, dimaklumkan yang Doraemon dah tak bersiaran lagi di NTV7 sejak tahun 2018.
Tapi, korang tahu tak siapa di sebalik suara Doraemon yang korang dengar selama ni? Sebenarnya orang tu adalah pelakon suara, Ruhaiyah Ibrahim dari Kerling, Selangor. Kitorang sebenarnya bertuah, sebab diberikan peluang untuk menemubual Ruhaiyah.
Menurut Ruhaiyah, sebelum dia pegang watak Doraemon – dia pada asalnya jadi pelakon suara untuk watak Nobita. Manakala, watak Doraemon pula masa tu dipegang oleh beberapa orang – yang salah satunya adalah adik kepada pengarah terkenal, Aziz M. Osman.
Tapi lepas tu, syarikat yang mengendalikan alih suara ni mahukan kelainan pada suara Doraemon. Mereka nak suara Doraemon tu sama macam dalam versi Jepun. Jadinya, ramailah yang mencuba nasib dengan masuk uji bakat termasuklah Ruhaiyah sendiri.
“…bila saya kaji suara dia (Doraemon), saya sedar suara dia di tekak, serak-serak, sama macam kucing – sebab Doraemon tu kan kucing? Kena buat (suara) ala-ala kucing juga… dalam lima orang kot kami yang dihantar (uji bakat). Pihak sana pilih suara saya. Bermula di situ (saya pegang watak Doraemon), sampailah movie yang terakhir tu.” – Ruhaiyah, katanya kepada CILISOS.
Memetik laporan Harian Metro, Ruhaiyah pernah akui yang pada mulanya memang agak susah dia nak hidupkan suara Doraemon, terumanya kerana perbezaan intonasi bahasa Jepun. Tapi lepas beberapa ketika, suara Ruhaiyah dah sebati dengan watak Doraemon sampailah yang kita kenali hingga sekarang.
Walaupun begitu, bukan watak Doraemon je yang Ruhaiyah pernah lakonkan.
Ruhaiyah juga pernah alih suara untuk drama dan animasi lain
Sebenarnya, Ruhaiyah dah masuk dalam industri lakon suara ni sejak lebih 30 tahun lalu. Pada mulanya, Ruhaiyah bekerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tapi sebagai pegawai sementara saja. Lepas tu, dia mencuba nasib dengan masuk uji bakat di sebuah studio alih suara. Nasibnya baik dan diambil kerja sebagai pelakon suara.
Menurutnya, masa tu banyak drama Brazil dan Jepun disiarkan di Malaysia. Drama-drama tu pula, kemudiannya akan dialih bahasa ke Bahasa Melayu untuk disiarkan di TV. Masa itulah dia dah diberikan kepercayaan untuk pegang watak heroin (Matsumoto Chiaki) dalam drama Jepun, Air Stewardess pada tahun 1988.
“Nasib baik waktu tu akak pun tak pandai sangat alih suara dan watak dia (Chiaki) tu pun memang pramugari yang bodoh. Memang kena la. Memang mereka cakap sesuai dengan suara sebab akak tak pandai lagi dalam dunia alih suara, merangkak-rangkak macam bercakap pun gagap, kena watak yang macam tu.” – Ruhaiyah.
Dari situlah bemulanya perjalanan Ruhaiyah sebagai pelakon suara. Dia juga dah alih suara dalam pelbagai lagi drama-drama Brazil dan Jepun, sebelum mula terlibat dalam dunia animasi. Kalau korang nak tahu, selain dari jadi Doraemon, Ruhaiyah juga pernah alih suara untuk watak Puan Puff (Spongebob Squarepants) dan Puan Tremaine (Cinderella). Antara siri animasi lain yang Ruhaiyah turut terlibat adalah – Chibi Maruko Chan, Ultraman Cosmos, Yu Gi Oh dan Super Doll Licca.
Meneruskan perbualan, Ruhaiyah ada juga beritahu yang industri lakon suara dan alih suara ni dah berbeza kalau nak dibandingkan dengan dulu. Sebabnya, zaman dulu – kalau satu babak tu melibatkan 4 orang, keempat-empat orang tu tadi akan akan masuk studio. Di sana, diorang boleh bincang dan dengar intonasi suara masing-masing.
Tapi sekarang, disebabkan teknologi dah canggih – alih suara ni dijalankan sorang-sorang je. Jadinya, diorang tak dapat dengar intonasi watak lain.
Contohnya, (watak) akak ni banyak kepada Nobita kan. Akak tak tengok Nobita tu macam mana. Ekspresi dia macam mana. Sebab bila diorang rakam, diorang akan off-kan suara Nobita, jadi kita akan dengar suara Jepun. Jadi akak tak tahu Nobita yang Melayu ni cakap dalam intonasi yang macam mana. Jadi, akak ikut syok sendiri la.” – Ruhaiyah.
Bila ditanya tentang masa depan industri lakon suara/alih suara pula, Ruhaiyah memberitahu…
Keadaan agak sukar untuk industri ni berkembang
Bagi Ruhaiyah, industri alih suara ni sebenarnya melalui fasa yang sukar ketika ni, dan agak kurang menyerlah berbanding negara jiran kita di Indonesia. Ini kerana, di sana – mereka memperkayakan bahasa dengan mengalih suarakan semua cerita tak kisahlah dari Hollywood, Hindustan dan sebagainya.
Tapi di Malaysia, nampaknya perkara tu mula kurang dilakukan dan kalau ada pun untuk drama-drama Korea je. Satu lagi masalah yang diorang hadapi adalah tentang kekurangan pelapis dan kekakangan untuk pelapis baru.
“Kadang-kadang mereka (syarikat) dah bagi kami job tapi tak bagi kami peluang. Dia bagi dan nak (alih suara tu siap) dua tiga hari. Jadi kalau kami nak letak orang baru dalam waktu deadline yang singkat, memang kami tiada pilihan la. Memang kena ambil orang lama.” – Ruhaiyah.
Disebabkan keadaan yang tak stabil tu, memang agak sukarlah untuk mereka dalam industri ni menjana pendapatan. Ruhaiyah akui perkara macam tu memang membuatkan diorang sedih dan dalam masa sama menjadikan dunia alih suara di Malaysia semakin teruk.
“Kadang-kadang kesian, mereka harapkan pendapatan sebagai dubbers (alih suara). Nak cari kerja lain tak boleh sebab kita kan dah tua. Memang dari muda sampai ke tua kita kerja bahagian tu… Macam akak, yang ada suami tu okay la. Yang tak ada suami, yang dah hidup solo, kesian kepada mereka.” – Ruhaiyah.
**Kami di SOSCILI akan terbitkan satu video tentang Ruhaiyah tak lama lagi. Ada pesanan dari Doraemon kepada korang semua masa PKP ni. Jangan lupa tengok kat laman Facebook kitorang! 😜
- 2.8KShare sekarang!
- Email25
- Facebook2.8K
- Share