Ekonomi

Di kala artis meminta. Ini TIGA cara rider penghantar makanan hulur bantuan

Dua tiga hari ni memang panas suasana negara kita di media sosial. Pertempuran yang berlaku ini bukanlah antara ahli parti politik, tapi kali ni ia melibatkan netizen melawan artis. Korang pun tahu, macam mana ia bermula dan berpanjangan sampai sekarang.

Tapi, itu semua tak menenggelamkan kisah-kisah positif lain serta menginspirasikan dari Abang-abang rider Foodpanda kita. Dalam keadaan PKP yang dah masuk fasa kedua ini, ramai yang tidak lagi keluar rumah tanpa sebab penting. Dan ini menyebabkan permintaan penghantaran makanan meningkat dengan mendadak.

Permintaan penghantaran makanan melonjak 30% sejak PKP dilaksanakan

Hot lah mereka masa ni…

Sepanjang PKP ini, rupa-rupanya diakui bahawa pesanan makanan meningkat sebanyak 30%. Mungkin payah nak bayangkan macam mana peningkatan ini kalau tak dengar sendiri dari para rider kan? Menurut seorang penghantar Grabfood, Jalie Sazali Jhony, sejak PKP berkuatkuasa pada 18 Mac, memang bertambah bilangan tempahan yang diterimanya;

Hari Biasa: 14 tempahan sehari

Waktu PKP: 20 tempahan sehari

Ini semua dilakukan dari jam 9 pagi hingga 4 petang, rehat sekejap serta bersambung dari 6 petang hingga tengah malam. Perkara yang sama dirasai penghantar Foodpanda, Muhd Hafizzulah yang menerangkan dengan contoh berbeza. Katanya peningkatan ketara waktu tempahan adalah tengahari yang mana biasa satu tempahan je ada, waktu PKP ni sampai dua tiga tempahan sekali.

Berita baiknya, apabila bertambah permintaan maka bertambahlah penghantarnya.  Menurut Shubham Saran, Ketua Logistik Foodpanda Malaysia mengatakan bahawa jumlah penghantar makanan mereka meningkat 7.5%.  Syarikat itu mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjadi rider bagi menampung keadaan semasa ketika ini.

Oleh kerana peningkatan permintaan penghantaran makanan, Grab sendiri memilih untuk menggunakan pemandu e-hailing mereka bagi menyokong khidmat penghantaran makanan dan barang keperluan. Jadi, boleh dikatakan di sini, abang-abang rider kita ni semua dapat duit lebih dari waktu-waktu biasa mereka buat kerja.

Cinta tak kenal branda penghatar makanan. Imej dari me.me

Tapi … nampaknya mereka ni sikit pun tak pentingkan diri apabila membuat inisiatif untuk memberi sumbangan makanan sama ada kepada frontliner atau pun gelandangan. Cara mereka kumpul dan berikan mengikut kreativiti masing-masing terutamanya abang-abang rider Foodpanda. Dan ini tiga cara yang kami jumpa mereka lakukan.

1. Kumpul duit sesama rider, beli 3o burger dan teh o ais

Dah try burger korona? Imej dari Oohsenyum

Kerja penghantaran makanan ni memang sibuk betul kalau banyak tempahan. Nampak dari luar macam mereka tiada masa untuk fikir orang sekeliling. Jadi, macam mana ada abang-abang rider sempat bantu frontliner dan gelandangan?

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kebanyakan mereka menghantar makanan hingga lewat malam. Jadinya, mereka memilih untuk buat kerja amal ni selepas tamat melakukakn servis. Apa yang menarik, seperti yang diceritakan Jasmie Ahmad (rider Foodpanda), dia telah merancang bersama rakannya dalam group Whatsapp dan menerima sejumlah kewangan dari 16 rider lain. Kiranya duit gaji dari poket masing-masing lah.

Selepas itu, tamat servis jam 11 malam, mereka pergi beli 30 burger daging special dan 30 bungkus teh o ais. Makanan yang dibeli itu diserahkan kepada anggota bertugas di dua road block berdekatan mereka (kawasan Ampang). Kalau korang nak tahu, rider ni agak bebas bergerak dan tak dihalang di road block. Namun, selepas 1 April, waktu penghantaran makanan dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Semua frontliner dapat. Imej dari Pandulaju

Manakala, abang-abang rider Foodpanda di Ipoh juga menggunakan pendekatan yang sama. Mereka kumpul duit dan guna duit masing-masing serta bagi kepada orang yang mereka nak bantu. Di sana, mereka memberi sumbangan makanan kepada gelandangan.

Sehingga sekarang, nasib gelandangan masih menjadi tanda tanya sepanjang PKP ni. Namun, dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Nasional, ada disenaraikan juga bantuan kepada gelandangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

2. Pelanggan batalkan tempahan last minute, beri KFC pada gelandangan

Ada para rider yang mengakui bahawa tempahan penghantaran makanan meningkat dari restoran-restoran makanan segara macam KFC dan McD. Tapi tu lah, tak semua yang tempah akan ambil makanan tu. Ada jenis yang suka batalkan tempahan saat akhir. Dalam keadaan PKP ni juga, banyak jalan ditutup lagilah banyak yang batalkan tempahan.

Inilah yang diceritakan oleh Syarazid Zulkifli (rider Foodpanda) apabila dia pergi mengambil makanan di restoran makanan segera, tapi pelanggan batalkan tempahan kerana ada jalan ditutup. Sewaktu itu, makanan di tangannya banyak bernilai RM80 – lima ketul ayam goreng dan burger. Kalau ikutkan, boleh je mereka yang makan. Tapi, nampaknya mereka berjiwa besar.

Kebetulan waktu tu dia dah habis syif kerja, dia dan seorang rakannya mencari gelandangan di sekitar Muar, Johor. Korang jangan ingat gelandangan ni ada kat KL je  tau. Akhirnya, makanan-makanan itu tadi diberikan kepada tiga orang gelandangan.

Dapatlah merasa KFC. Imej dari Malay Mail

“Kami beri kepada gelandangan yang tunggu di depan bank. Selalunya mereka makan menggunakan duit sedekah daripada pelanggan yang keluar masuk, dah PKP ni orang pergi bank pun tak ramai.” – Petikan dari mStar

Memang betul dah tak ramai orang di bank. Lagi pun Bank Negara Malaysia sendiri dah hadkan waktu operasi mesin ATM dari pukul 7 pagi hingga 10 malam sahaja.

3. Netizen bagi sumbangan duit, mereka hantar makanan ke rumah anak yatim

Anak yatim jangan dilupa. Imej dari Harian Metro

 

Sebenarnya, dalam aplikasi penghantaran makanan korang boleh bagi tip kerapa rider kalau nak berkongsi lebihan rezeki. Contohnya macam Grabfood, boleh bagi duit lebih atau tip melalui GrabPay atau GrabPay Wallet korang.

Kalau Foodpanda korang boleh bagi tip dengan cara tersendiri sama ada bagi tunai ke atau ada juga yang order makanan, tapi dia tulis kat note, “Tak payah hantar, awak makan, saya belanja”. Memang kreatif cara orang Malaysia ni nak bantu para rider.

Dengan semangat begini, ada jugalah para netizen yang nampaknya memberi wang kepada abang-abang rider untuk disumbangkan kepada sesuatu organisasi. Contohnya, seperti yang diceritakan oleh Jasmie Ahmad (rider Foodpanda), bahawa mereka ada menerima duit pemberian dari netizen untuk  disumbangkan.

Duit itu tadi akan digunakan untuk memberi sumbangan makanan kepada rumah-rumah anak yatim berdekatan. Kita semua kena ingat bahawa anak yatim, warga emas dan asnaf adalah antara golongan yang teruk terjejas akibat COVID-19 ni.  Korang juga boleh cari (maksudnya search Google) sendiri rumah-rumah mereka yang memerlukan ini berdekatan korang. Hubungi mereka dan bank in duit bantuan tu.

#KitaJagaKita bukan sekadar untuk trending, kita juga boleh main peranan

Selain mencuba pelbagai resepi viral, buat challenge yang macam-macam serta marathon banyak-banyak drama, tak salah untuk kita bantu mengikut kemampuan kita sendiri. Zaman sekarang, zaman digital serta tanpa tunai ditangan (cashless), lagi mudah nak sumbang kewangan.

Dalam masa sama, jaga percakapan dan tulisan kita di media sosial agar tak menghina mereka yang susah. Kita tidak berada di dalam kasut mereka pun sebelum ni. Jadi tak perlulah menghina. Buat semua abang-abang rider, terima kasih kerana memberi inspirasi kepada kami.

“Mereka bukan bangsawan atau selebriti. Mereka guna duit poket sendiri. Kata si penghantar makanan, rasa penting diri tolak tepi. Dan bantu, apa yang mampu diberi.” – Syafiqah Damanhuri, wartawan TV3

 

 

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend