- 474Share sekarang!
- Email17
- Facebook457
- Share
Kalau minggu lepas kita disajikan dengan berita pasal potensi kerjasama antara UMNO-PAS-BERSATU, sampaikan kitorang di SOSCILI ni tulis artikel pasal 4 senario yang mungkin akan berlaku kalau kerjasama ni terjadi. Kali ni, muncul pula berita tentang cadangan PAS nak buat usul percaya kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.
Kata PAS – sokongan tu dibuat supaya Dr Mahathir dapat pegang jawatan sampai akhir penggal dan untuk selesaikan kemelut peralihan kuasa Perdana Menteri yang dikatakan dah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara.
Walaupun isu ‘UNDI PERCAYA’ ni jarang kita dengar, tapi sebenarnya, ia dah pun pernah berlaku dalam sejarah Malaysia atau lebih tepatnya pada tahun 1976. Masa tu di Dewan Rakyat, dah diusulkan undi percaya kepada Tun Hussein Onn (allahyarham) apabila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-3 selepas kematian Tun Razak.
Tapi untuk kali ni, kita tak nak cakap pasal undi percaya, sebaliknya pasal ‘UNDI TIDAK PERCAYA’ yang memang ada dalam undang-undang. Undi tidak percaya ni boleh diusulkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat bila mana ahli-ahli dewan rasa dah tak percaya lagi dengan kepimpinan Menteri Besar atau Perdana Menteri.
Dan antara peristiwa undi tidak percaya yang pernah terjadi adalah…
1. Stephen Kalong Ningkan – tersingkir kerana campur tangan kerajaan pusat
Seperti mana yang kita tahu, Malaysia terbentuk pada tahun 1963 apabila Sabah, Sarawak dan Singapura (kemudian keluar) bersama-sama membentuknya. Bermula dari situ jugalah Sarawak menjadi salah satu negeri dalam Malaysia dan dipimpin oleh seorang Ketua Menteri.
Ketua Menteri Sarawak masa tu adalah Tan Sri Stephen Kalong Ningkan yang memegang jawatan dari tahun 1963 sampai 1966. Ketika pentadbirannya, Stephen banyak melakukan perubahan dalam beberapa perkara yang dilihat bertentangan dengan kehendak kerajaan pusat dan tak kurang juga menimbulkan krisis antara beliau dengan kerajaan pusat.
Antaranya adalah tentang isu bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu di Sarawak. Hal ni jadi apabila kerajaan pusat mahukan penggunaan Bahasa Kebangsaan dipercepatkan di Sarawak atas alasan perpaduan nasional. Tapi, pentadbiran Stephen membantah dengan menggunakan Seksyen 61, Akta Malaysia 1963 – bahawa Sarawak mempunyai pilihan untuk menangguhkannya.
Keduanya pula tentang isu penggantian pegawai ekspatriat British dalam perkhidmatan awam Sarawak. Stephen berpendapat pegawai-pegawai ini masih lagi diperlukan, sampailah bila jawatan-jawatan mereka tu boleh diisi oleh anak Sarawak yang berpendidikan dan terlatih. Akan tetapi, kerajaan pusat tak setuju dengan perkara ni, dengan kata pegawai-pegawai British tu patut keluar dan jawatan mereka diisi oleh pegawai-pegawai dari Semenanjung.
Tapi, keadaan bertambah tegang lagi bila Stephen nak buat reformasi undang-undang tanah di Sarawak. Reformasi yang dimaksudkan tu melibatkan tanah di bawah klasifikasi Tanah Hak Adat Peribumi yang mewajibkan kaum peribumi untuk mendapatkan status pemilikan penuh ke tanah adat mereka.
Undang-undang ni juga berikan lebih kebebasan kepada kaum peribumi untuk menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja termasuk kepada kaum bukan peribumi. Tindakan Stephen ni dah dapat bantahan dari ramai pihak termasuklah dari beberapa parti dalam Sarawak sendiri.
Kerajaan pusat pun tak setuju dengan reformasi undang-undang tanah ni, sebab rasa yang ia akan beri kesan negatif kepada kaum peribumi. Hal ni kemudiannya dah mendatangkan campur tangan kerajaan pusat sehingga rang undang-undang ni akhirnya dibatalkan macam tu je.
Dalam waktu sama, Stephen pun mula rasa tak puas hati dengan kerajaan pusat, sampaikan dia minta supaya dikaji semula status Sarawak dalam Malaysia. Hal ni dah sah-sah buatkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman rasa sangat ‘tak senang’ dengan Stephen.
Atas bantuan dan campur tangan kerajaan pusat, usaha memecat Stephen mula dijalankan – sampailah seramai 25 orang Ahli Majlis Negeri Sarawak buat undi tidak percaya terhadap Stephen pada 23 September 1966.
“Dengan demikian, Gabenor Sarawak telah memecatkan Stephen Kalong Ningkan dan melantik Penghulu Tawi Sli menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.” – Dipetik dari Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak.
2. Harun Idris – tersingkir atas undian ahli UMNO sendiri
Dalam sejarah UMNO dan Selangor, ada seorang tokoh kontroversi yang sampai ke hari ini namanya masih lagi diingati. Orang itu adalah Dato’ Harun Idris yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Besar Selangor ke-9. Bagaimanapun, karier politik Harun yang dah jadi MB selama 12 tahun (1964 – 1976) tu mula terancam bila dia didakwa terlibat dalam kes rasuah.
Hal ni dikatakan berpunca dari program perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner di Stadium Merdeka yang dilangsungkan oleh Harun. Masalah mula jadi bila perlawanan tu tak buat sebarang keuntungan dan Harun yang ketika itu merupakan Pengerusi Bank Rakyat dah dituduh menyalahgunakan wang.
Disebabkan kesnya itu, Harun dah didesak untuk meletakkan jawatan dari UMNO, tapi Harun tetap tegas tak mahu melepaskan jawatan. Tindakan Harun ni dah membuatkannya dipecat dari UMNO pada 1976. Disebabkan dia bukan lagi ahli UMNO, maka kedudukannya sebagai MB Selangor pun dianggap sebagai tak sah lagi.
“Beliau digulingkan dari jawatan Menteri Besar Selangor yang dipegangnya selama 12 tahun lalu menerusi undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 Mac 1976, dengan 25 anggota menyokong, 4 berkecuali dan seorang menentang.
Undi tunggal yang menentang usul itu adalah undi Harun sendiri.” – Zainuddin Maidin dipetik dari buku: Surat Daripada Dr Mahathir.
Harun kemudiannya dibicarakan di mahkamah dan dipenjara pada tahun 1978. Beliau akhirnya dibebaskan dengan pengampunan diraja pada tahun 1982. Harun meninggal dunia pada 19 Oktober 2003 pada usia 78 tahun.
3. Mohamad Nasir – tersingkir akibat kemelut PAS-UMNO
Kalau pada ketika ni kita nampak hubungan antara dua parti Melayu, PAS – UMNO baik dan mula bekerjasama, sebenarnya senario ni juga pernah berlaku pada tahun 1970-an dulu. Hal ni bermula selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, apabila UMNO (dalam Perikatan) masa tu berpandangan perlunya perpaduan umat Islam-Melayu diperkukuhkan.
Jadinya, UMNO dah mempelawa PAS untuk bekerjasama dan pelawaan ni juga dah disambut oleh PAS yang ketika itu di bawah pimpinan Dato’ Asri Muda. Maka terbentuklah kerajaan campuran UMNO – PAS yang kemudiannya membawa kepada terbentuknya Barisan Nasional (BN).
Walaupun masa tu ada beberapa pemimpin PAS yang dilantik dalam jawatan-jawatan tinggi kerajaan, masih ada rasa tak puas hati di kalangan ahli-ahli PAS dengan kerjasama ni. Antara isu yang besar adalah berkaitan dengan agihan kerusi dalam PRU-1974. Hal ni bertambah lagi bila berlakunya krisis antara UMNO – PAS dalam isu calon Menteri Besar Kelantan selepas itu.
Ini kerana, PAS mencadangkan nama – Wan Ismail, manakala UMNO pula – Dato’ Mohamad Nasir. Walaupun dapat bantahan dari ahli-ahli PAS, Mohamad Nasir kemudiannya tetap jadi MB Kelantan sebab dapat sokongan kuat UMNO dan Tun Razak. Tapi pentadbiran Nasir tak berapa kuat sangatlah sebab dia tak dapat sokongan ahli-ahli PAS.
Akhirnya, disebabkan konflik yang berpanjangan ni – Nasir pun serahkan surat letak jawatannya pada 20 November 1976. Tapi apa yang merunsingkan adalah Nasir lepas tu tetap pegang jawatan MB sebab masuk campur UMNO.
PAS yang rasa tak puas hati sangat pun ambil tindakan pecat Nasir dari parti. Lepas tu, dah diusulkan undi tidak percaya terhadap Nasir pada 15 Oktober 1977. Maka tersingkirlah Nasir dari kerusi MB Kelantan.
Penyingkiran Nasir ni kemudiannya dah menimbulkan demonstrasi dan rusuhan di Kelantan, sampai perintah berkurung dikeluarkan dan darurat pun dicadangkan. Akibat rasa tak puas hati dengan segala layanan UMNO dan cadangan isytihar darurat ni – akhirnya PAS ambil keputusan memutuskan hubungan dengan UMNO dan tersingkir dari BN pada akhir tahun 1977.
[BACA LAGI: Ini punca kenapa PAS diceraikan UMNO pada tahun 1977]
Sehingga hari ni, masih belum pernah undi tidak percaya berlaku di Parlimen
Apa yang diceritakan panjang lebar di atas ni sebenarnya berlaku di peringkat negeri dan Malaysia tak ada pengalaman lagi – undi tidak percaya berlaku di Parlimen. Walaupun kita mungkin pernah dengar ada ura-ura berlakunya undi tidak percaya, sama ada ketika zaman Najib Razak atau Dr Mahathir sekarang, ia boleh dikatakan hanya sekadar khabar angin saja.
Menurut penganalisis politik, undi tidak percaya ni sebenarnya susah nak berlaku – sebab prosesnya tu sendiri bukan mudah. Bagaimanapun, dua parti UMNO dan PAS dah kata awal-awal yang mereka akan sokong Dr Mahathir kalau adanya undi tidak percaya nanti. Dan sebab itu jugalah PAS nak usulkan undi percaya kepada Dr Mahathir.
Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar ketika mengulas hal ni berkata, PAS nak Dr Mahathir kekal sebagai PM sebab parti tu tak nak Anwar jadi PM. Jadi apa yang pasti, perkembangan terbaru ni akan merancakkan lagi senario politik Malaysia. Bersedialah kita dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.
- 474Share sekarang!
- Email17
- Facebook457
- Share