Eusoffe Abdoolcader: Puisi cinta Latin seorang hakim kepada isterinya

Tak lama dulu, Soscili pernah ceritakan kisah pemecatan bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988. Masa kes tu juga, ada lima lagi hakim lain yang digantung tugas, dan salah seorang daripada hakim tersebut adalah Tan Sri Eusoffe Abdoolcader.

Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, gambar dari Akasaa, yang mengambil masa 13 tahun mencari dan mendapatkan gambar-gambar ini dari keluarga Abdoolcader. Imej dari Akasaa (klik imej untuk pautan).

Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader merupakan bekas hakim yang sangat dikagumi negara kerana penghakimannya yang berwibawa, adil dan saksama. Malah, antara yang terhebat Malaysia pernah ada.

Tapi di akhir sisa kehidupannya, ada sebuah kisah tragis yang terjadi sehingga dia mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri. 

Seorang hakim terhormat, anak kepada bekas peguam

Dilahirkan dalam keluarga Abdoolcadeer, bapanya ialah Hussein Hasanally Abdoolcader merupakan seorang peguam terkemuka, dan ahli politik di Tanah Melayu yang dilahirkan di Surat, Bombay Presidency, British India.

Sir Dr Husein (berdiri) adalah sebahagian daripada orang berpengaruh Malaya India pada masa tu. Imej diambil pada 5 Mac 1949. Gambar dari Akasaa yang mengambil masa 13 tahun mencari dan mendapatkan gambar-gambar ini dari keluarga Abdoolcader. Imej dari Akasaa (klik imej untuk pautan).

Hussein juga adalah ahli Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat dan ahli Majlis Penasihat kepada Gabenor untuk Malayan Union. Malah, sebuah jalan di Georgetown, Pulau Pinang diabadikan bersempena namanya – Jalan Sir Hussein, sempena mengingati peguam terkemuka di Pulau Pinang pada awal abad ke-20 itu.

Keluarga Abdoolcader adalah antara keluarga hebat dan diperakui ahli sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim. Dalam artikelnya mengenai Muslim India, Tan Sri Khoo menulis yang keluarga Abdoolcader adalah salah satu keluarga yang paling menonjol di negara ni, selain keluarga Ghulam dan Ghow, dan Munshi di Singapura.

Terpilih untuk belajar undang-undang di Jepun dengan biasiswa Monbusho

Berbalik kepada kisah Tan Sri Eusoffe, dia merupakan seorang yang bijak. Eusoffe lulus Senior Cambridge seawal umur 15 tahun. Bagaimanapun untuk sambung pelajaran ke kolej, umur minimum mestilah 17 tahun. Jadi dia mengulangi peperiksaannya setahun lagi, dan kemudian mendapat bantuan daripada bapanya untuk masuk ke Raffles College. Di Raffles, Eusoffe merupakan pelajar paling muda.

Disebabkan ini, Eusoffe mendapat lebih perhatian dan kurang disenangi pelajar yang lebih senior, sehinggakan dia dibuli dengan teruk oleh senior-seniornya. Dan salah seorang daripada senior yang membulinya adalah… Lee Kuan Yew, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri pertama Singapura.

Lee Kuan Yew (atas pentas) semasa di Raffles Institution. Imej dari asiaone.com

Perang Dunia Kedua kemudiannya tercetus tak lama kemudian, yang membuatkan Eusoffe  pulang ke Pulau Pinang.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu? Disebabkan kehebatan otaknya mengingati bahasa Jepun, dia kemudiannya dilantik sebagai penterjemah oleh kerajaan setahun selepas itu.

Jepun yang sangat kagum dengan Eusoffe kemudiannya menghantarnya ke Jepun atas biasiswa Monbusho untuk menyambung pelajarannya di negara matahari terbit itu – sesuatu yang amat luar biasa dilakukan Jepun terhadap penduduk tempatan pada masa tu.

Dalam masa setahun saja, Eusoffe terpilih untuk masuk ke Kyoto’s Imperial University untuk menyambung pelajarannya dalam bidang undang-undang. Ketegasan Eusoffe dipercayai telah diserap dari nilai-nilai etika dan kebaikan kod bushido yang terbentuk dalam setiap samurai/pahlawan Jepun semasa dia di sana.

The seven virtues of Bushido. Imej dari twitter

Bagaimanapun perang berakhir tak lama kemudian dan Eusoffe dihantar pulang ke Tanah Melayu oleh pihak British. Dengan berakhirnya peperangan, dia menyambung kembali pelajarannya dalam bidang yang sama dan lulus cemerlang dalam kelas pertama dari London University.

Eusoffe mendapat penghormatan Kelas Pertama dalam Undang-undang dari London University, dan juga memenangi £250 dalam masa yang sama. Dia kemudiannya dipanggil ke Majlis Peguam Inggeris pada tahun 1950, dan Majlis Peguam Malaya pada tahun berikutnya, dan akhirnya sebagai hakim seawal tahun 1959.

Imej dari CNN

Merupakan ‘Singa Undang-undang Komanwel’, pernah disamakan dengan tokoh kehakiman abad ke-20

Eusoffe memulakan latihan di institusi perundangan selama 24 tahun dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Tanah Melayu berkuat kuasa 1 Disember 1974 dan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Oktober 1982.

Dianggap singa undang-undang Komanwel, Tan Sri Eusoffe juga mewarisi kehebatan ayahnya disebabkan keghairahannya terhadap keadilan dan undang-undang. Malah, dia dianggap antara hakim terhebat yang pernah ada di negara ni sampaikan pernah disamakan dengan Lord Denning dari England, iaitu salah seorang yang paling berpengaruh dalam profesion undang-undang, dan tokoh kehakiman yang paling terkenal dan berpengaruh pada abad ke-20.  

Lord Denning. Imej dari legalcheeck.com

Persamaan terbesar Eusoffe dan Lord Denning adalah penghakiman mereka yang dihormati oleh komuniti undang-undang antarabangsa.

Eusoffe dipuji sebagai “The Lion Legal of the Commonwealth” dalam sebuah buku judul tersebut. Sebabnya apabila di dalam kamar mahkamah, dia sangat lantang dengan penghakimannya yang tegas dan berani.

Ia pertama kalinya dicipta oleh The Times of London, antara sebuah siri untuk menghidupkan semula sejarah seorang lelaki yang telah disebut “hakim terhebat Malaysia” yang semakin dilupakan, dan juga warisan keluarga Abdoolcader yang satu masa dulu sangat terkenal di Malaysia.

Eusoffe juga adalah penduduk Tanah Melayu pertama yang diberi  anugerah Keys to the City of London pada 1950. Saya boleh beri jaminan yang bukan semua orang diberi anugerah ini. Dia memang menonjol”- Vicki Treadell, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia

Buku yang ditulis Angela Yap dan Ramesh Ritchie

“Integriti, kebijaksanaan, humor, semangat, percintaan adalah kata-kata yang saya sampaikan (untuk menggambarkan Eusoffe),”- Vicki Treadell Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia ketika pelancaran buku tersebut

Pelancaran buku pada 2018. Imej dari FMT

Merupakan salah seorang daripada 5 hakim yang digantung tugas, semasa Krisis Kehakiman 1988

Berbalik kepada kisah pemecatan bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang pernah digantung tugas semasa Krisis Kehakiman yang berlaku di negara ini pada tahun 1988. Sebuah tribunal kemudiannya ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah laku Tun Salleh Abas.

Dan sebenarnya, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader merupakan salah seorang daripada lima hakim yang tak bersetuju dengan tribunal tersebut. Mereka kemudiannya mengadakan persidangan Mahkaman Agung mengejut, untuk menghalang hasil siasatan tu diserahkan kepada YDP Agung.

Klik untuk baca kisah lebih panjang.

Eusoffe, bersama empat lagi hakim yang lain digantung selepas menyebelahi Tun Salleh Abas yang dirasakannya tak bersalah dalam hal tersebut, dan mahu menegakkan kebenaran.

“Jika dia merasakan kerajaan telah menyimpang luar dari perlembagaan mereka, dia tak takut untuk menegakkan kebenaran, dan menegaskan yang kerajaan dah pun melanggar perlembagaan dan undang-undang.”- Vicki Treadell, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia ketika pelancaran buku, 2018.

Dan disebabkan perkara ni juga, kelima-lima hakim tu termasuklah Eusoffe Abdoolcader digantung tugas. Bagaimanapun, dia adalah salah satu daripada tiga hakim yang kemudiannya dikembalikan semula jawatan tiga bulan kemudian, manakala dua lagi hakim dipecat.

Kerajaan pimpinann Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 kemudiannya mengumumkan memberikan bayaran ex-gratia kepada bekas hakim-hakim yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988. Kerajaan membuat keputusan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada Salleh dan lima hakim lagi atas sumbangan mereka kepada negara.

Beliau dipanggil berucap semasa Penang Free School Speech Day pada tahun yang sama penggantungannya. Imej dari siao1

Bagaimanapun, dua orang daripadanya telah meninggal, termasuklah Eusoffe.

Disebalik ketegasannya sebagai hakim, lemah lembut dan cintanya kepada isteri tiada tandingan

Selain daripada kisah ketegasannya di mahkamah, Eusoffe cukup dikenali sebagai suami yang sangat mencintai isterinya yang berbangsa Cina, iaitu Haseena yang 10 tahun lebih tua daripadanya.

Eusoffe dan Haseena, mereka dikatakan sering berbahasa Melayu disebabkan Haseena tak begitu fasih berbahasa Inggeris.

Eusoffe hampir-hampir saja menolak daripada melakukan pembedahan jantung disebabkan keinginannya mati bersama Haseena. Bagaimanapun dia mula bersetuju apabila doktor yang juga kawan rapatnya memberi bayangan, siapa yang akan menjaga Haseena jika dia meninggal. Malah, cintanya kepada Haseena juga melebihi segala-galanya kerana Eusoffe yang mencecah 70 tahun dikatakan sanggup mendermakan buah pinggangnya kepada Haseena apabila organ isterinya gagal berfungsi.

Bagaimanapun, Haseena menghembuskan nafas terakhir pada 1993 di Pulau Pinang. Eusoff tak dapat menerima berita tersebut dengan baik, dan menangis kerana kehilangan separuh jiwanya.

Nukilan Puisi Cinta untuk Haseena

Ingatan terhadap Haseena tak terhenti disitu. Setiap kali ulang tahun pemergian Haseena, Eusoff akan membeli ruangan iklan di surat khabar semata-mata untuk menyiarkan puisi cintanya untuk Haseena yang ditulis dalam bahasa Latin, dengan terjemahannya yang berbahasa Inggeris.

Hampir tiga tahun pemergian Haseena, Eusoffe merasakan hidupnya terlampau sepi dan mengalami tekanan daripada tragedi tersebut. Eusoffe akhirnya memutuskan untuk mengambil nyawa sendiri dengan menembak dirinya pada 11 Januari 1996 di rumahnya di Taman Jesselton, Pulau Pinang. Tragedi ini mengejutkan satu Malaysia, terutama sekali dunia undang-undang Malaysia.

“Of all the queens that ever lived, I chose thee to rule me, mine very own Haseena, my one and only, to the very marrow thou will see I love ye
O’ how in the world am I to live without thee?”