Haiwan perosak terancam ni dikatakan… mampu selamatkan berbilion ringgit?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Masa sekumpulan penyelidik buat penyelidikan di Perak baru-baru ni, mereka mendapati ada spesies monyet ni tengah makan… tikus.

Tak percaya, cuba tengok ni:

Yum yumzz!
SLLRRPP! Enak sehingga sedutan terakhir. Imej dari FB Nadine Ruppert

Monyet-monyet ni dilihat memakan tikus di ladang kelapa sawit

Jadi dalam sebuah kertas kajian yang diterbitkan dalam Current Biology, sekumpulan saintis yang menjalankan kajian di Hutan Simpan Segari Melintang, Perak dan ladang-ladang kelapa sawit berdekatan menyedari terdapat dua kumpulan monyet di kawasan tersebut.

Kumpulan monyet itu, iaitu monyet ekor babi Selatan, pada asalnya dipanggil beruk oleh penduduk tempatan. Kumpulan beruk ni juga kebanyakannya mendiami hutan-hutan di Malaysia dan Indonesia, dan biasanya penghuni hutan hujan. Tapi nampaknya pada tahun-tahun kebelakangan ni, kumpulan haiwan ni buat rumah pula di ladang orang. Walau bagaimanapun mereka lebih dianggap sebagai perosak tanaman oleh penanam kelapa sawit. Sebabnya, monyet ini cenderung untuk makan buah kelapa sawit.

“Dah makan daging, makan buah kelapa sawit pula la”

Dan nampaknya, kumpulan monyet ni bukanlah vegan, tapi omnivor, di mana mereka makan daging selain daripada tumbuh-tumbuhan. Para penyelidik menyedari yang monyet menghabiskan kira-kira 3 jam sehari di ladang untuk mencari makanan dan kemudiannya makan.

Mereka bukan hanya makan buah kelapa sawit. Ketika mereka berada di sana, mereka menyedari yang monyet spesies ni juga makan tikus. Ini bertentangan dengan pengetahuan umum tentang diet monyet jenis ni yang selalunya dianggap hanya memakan buah-buahan, buah beri, benih, kulat dan invertebrata (semestinya bukan tikus).

“Saya terkejut apabila saya mula melihat monyet jenis ini makan tikus-tikus yang ada di ladang. Saya tak menjangkakan mereka memburu tikus yang agak besar, apatah lagi makan daging dengan begitu banyak.

Mereka amat dikenali sebagai frugivorous primates yang hanya kadang-kala saja makan burung kecil atau cicak, “- Nadine Ruppert, salah seorang penyelidik yang terlibat, dipetik dari Eureka Alert

Mengikut kajian mereka, tikus ni bukanlah hidangan sampingan semata-mata, malah boleh dikatakan makanan utama mereka. Menurut kertas penyelidikan, sekumpulan kera ekor babi memakan sebanyak 3135 ekor tikus dalam setahun! Memandangkan sekumpulan kera biasanya ada hanya 15 hingga 40 ekor saja, ini bermakna seekor monyet dah makan sebanyak 200 ekor tikus setahun! 

Dengan penemuan baru ni, para penyelidik menyedari yang ia kemungkinanya adalah satu perkara baik…

Para penyelidik fikir kini, monyet boleh digunakan untuk mengawal populasi tikus

Kalau sebelum ni beruk dianggap sebagai haiwan perosak oleh pemilik ladang kelapa sawit, kini mereka boleh membantu pemilik ladang dengan memburu tikus.

Kita sudah menangggggg. Banzaiiii. GIF dari apeswillrise

Dan walaupun kera makan buah kelapa sawit, tapi kerosakan yang dilakukan cumalah 0.56% kalau nak dibandingkan dengan kerosakan tanaman yang biasanya dilakukan oleh tikus, sebanyak 10% ! Penyelidik menyedari dengan kewujudan monyet di sekitar ladang kelapa sawit, ia sebenarnya bukanlah idea buruk.

Lebih 3,000 ekor tikus yang dibunuh oleh sekumpulan beruk pada satu tahun membentuk tiga suku populasi tikus, yang bermaksud ia boleh mengurangkan kerosakan tanaman yang dilakukan tikus hingga kurang dari 3% setahun. Ini sangat membantu ladang kelapa sawit mendapat tambahan USD650 JUTA.

Malangnya, monyet ekor babi ni juga telah disenaraikan sebagai spesies yang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam semula pada tahun 2008 disebabkan perburuan dan kehilangan habitat seperti penebangan hutan. Penyelidik menambah lagi, kemungkinannya populasi monyet ini akan terus jatuh merudum lebih teruk lagi.

Jadi, penyelidik berharap dengan penemuan baru – potensi yang dimiliki oleh monyet ini untuk perladangan kelapa sawit, mungkin ada cara untuk memulakan situasi menang-menang bagi kedua beruk (primata) dan penanam.

“Kami menjangkakan bahawa hasil kajian kami akan menggalakkan pemilik perladangan swasta dan awam untuk mempertimbangkan perlindungan primata (beruk) dan habitat hutan semulajadi mereka di dalam dan sekitar ladang kelapa sawit yang sedia ada dan yang baru ditubuhkan,” – Anja Widdig, salah seorang penyelidik yang terlibat, dipetik dari Eureka Alert