Isu alkohol dan Israel. Ini 5 persoalan Qatar yang jadi tuan rumah FIFA 2022

Dengan berbaki 3 tahun saja lagi, FIFA World Cup 2022 akan diadakan di Qatar. Qatar juga mencipta sejarah sendiri, bila jadi negara Timur Tengah dan Arab pertama yang jadi tuan rumah kejuaraan sukan paling berprestij tu.

Sebenarnya, Qatar ni bukanlah negara besar, kalau nak dibandingkan dengan negara-negara jirannya. Negara ni cuma sebesar macam Terengganu dan populasinya pula setakat 2.7 juta, berbanding Arab Saudi – 32.9 juta.

Imej dari Footy Headlines.

Tapi, walaupun Qatar dah dapat hak jadi tuan rumah, banyak pula kontroversi yang melingkari negara terkaya di dunia ni. Dan antaranya adalah…

1. Qatar dituduh rasuah untuk dapatkan kedudukan tu

Sebenarnya, sebelum ni Malaysia juga pernah kalah dengan Qatar masa nak jadi tuan rumah Sukan Asia 2006. Malah sebelum tu, seorang saudagar minyak Qatar, Mohammed Hammam dah berjaya mengalahkan Almarhum Sultan Ahmad Shah (Sultan Pahang) untuk jawatan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Bila dah lama dengan AFC, Hammam mula pandang ke FIFA dan antara matlamatnya adalah nak jadikan Qatar – tuan rumah Piala Dunia 2022. Tapi kejayaan Qatar tu taklah memuaskan hati semua pihak, dan banyak negara (khususnya dari blok Barat) rasa yang Qatar gunakan rasuah untuk menang.

Presiden FIFA, Sepp Blatter mengumumkan pemilihan Qatar sebagai tuan rumah. Imej dari The National.

Salah satunya, bila ada pemberi maklumat kata – yang Qatar bayar $1.5 juta kepada beberapa pegawai dari negara-negara Afrika. Bagaimanapun, pemberi maklumat ni kemudiannya tarik balik kenyataannya.

Tak lama lepas tu, ada pula laporan yang kata firma berkaitan Qatar dah bertindak membayar ahli jawatankuasa FIFA, Jack Warner dan keluarganya sebanyak $2 juta. Pada Mac lepas pula, media melaporkan yang Qatar tawarkan FIFA sebanyak $880 juta sebab nak jadi tuan rumah.

“… $400 juta dibayar 21 hari sebelum pengumuman FIFA yang Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, dan $480 juta dibayar tiga tahun kemudian.” – Dipetik dari The Sunday Times.

Pak Arab mana pulak ni? Imej dari Giphy.

Rentetan dari dakwaan ni, dikatakan yang polis Switzerland tengah menyiasatnya secara lebih terperinci. Tapi di sebalik dakwaan rasuah, ada juga kebimbangan lain, iaitu…

2. Stadium-stadium baru yang dibina tu akan terbiar je ke nanti? Macam negara lain…

Salah satu benda yang membimbangkan bila sesuatu negara tu host kejohanan dunia, adalah – apa nasib stadium-stadium diorang nanti, bila kejohanan tu dah tamat? Sebabnya, banyak kes jadi, bila tamat je kejohanan, stadium-stadium ni mula terbiar.

Contohnya macam Stadium Maracana, Brazil yang digunakan masa World Cup 2014 dan Olympic 2016. Tapi, lepas je dua kejohanan dunia tu, stadium ni mula terbiar, ditutup untuk melawat dan dirosakkan dengan aktiviti vandalisme.

Satu lagi stadium di negara tu – Mané Garrincha Stadium dah dibina dengan kos $900 juta untuk World Cup 2014. Tapi sekarang, ia cuma digunakan sebagai tempat parking bas.

Kerusi pun dah hilang di Stadium Maracana ni. Imej dari The Sun.

Sebab itulah, dilaporkan yang Korea Selatan akan robohkan Stadium Olimpik Pyeongchang diorang tak lama lagi. Stadium yang menelan kos $109 juta dan ada 35,000 tempat duduk ni dikatakan cuma digunakan empat kali dan ia hanya untuk jangka pendek.

Tindakan ni diambil untuk elakkan stadium tu dari terima nasib sama macam stadium lain yang akhirnya terbiar macam tu je.

“Tidak seperti yang lain, stadium itu tidak lama. Selepas perlawanan selesai, ia akan dirobohkan… Ini boleh menjadi strategi bijak, memandangkan berpuluh-puluh arena Olimpik yang lalu telah berubah menjadi tempat terbiar.

“Penyelidikan telah berulang kali memberitahu bahawa Olimpik biasanya menghabiskan wang, terutama di negara-negara membangun.” – Dipetik dari Business Insider.

Keindahan masa pembukaan Sukan Olimpik lepas. Imej dari CNN.

Jadinya, macam mana dengan nasib stadium-stadium dekat Qatar nanti? Rupa-rupanya, Qatar dah buat perancangan nak dermakan kerusi-kerusi berlebihan kat stadium diorang tu lepas habis World Cup 2022. Kerusi-kerusi yang dianggarkan sebanyak 170,000 buah tu akan didermakan kepada projek-projek bola sepak di serata dunia.

“Kapasiti yang dikurangkan di stadium akan menghasilkan saiz arena yang tepat untuk bola sepak tempatan dan acara sukan lain…” – Dipetik dari Supreme Committee for Delivery & Legacy.

Untuk World Cup 2022, Qatar akan bina 9 stadium baru dan 3 lagi yang dibaiki. Disebabkan suhu di Qatar boleh mencapai lebih 40°C pada musim panasnya, acara ni diganjakkan ke musim sejuk pada Disember 2022.

Stadium Al Bayt yang berbentuk macam khemah padang pasir. Imej dari al-Jazeera.

Tapi di sebalik pembinaan beberapa stadium canggih ni, ada juga benda lain yang membimbangkan, bila…

3. Dilaporkan lebih 1,000 kematian pekerja buruh yang membina stadium

Keadaan pekerja migran di sana. Imej dari hazards.org

Sebenarnya angka yang mengejutkan ni didedahkan oleh sebuah media Jerman – WDR. Hasil dari siasatan diorang, dapati hampir 1,400 buruh (kebanyakannya dari Nepal) yang bina stadium-stadium di Qatar dah meninggal dunia.

Dalam dokumentari WDR – didedahkan yang buruh-buruh ni hidup dalam keadaan yang sempit dan kotor di tapak bangunan yang berbahaya. Bagaimanapun, kerajaan Nepal tak dapat nak sahkan berapa ramai rakyatnya yang mati di Qatar, tapi mengakui adanya – “banyak kematian”.

“Faktanya, ramai pekerja Nepal yang telah kehilangan nyawa di Qatar sejak bertahun-tahun. Saya tidak berada dalam situasi yang boleh memberitahu berapa ramai yang telah kehilangan nyawa itu.

Tapi betul, ramai yang telah kehilangan nyawa. (Tapi) saya harus mengesahkan angka ini dengan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung dengan isu ini.” – Narayan Regmi, jurucakap Kementerian Buruh Nepal. Dipetik dari Nepali Sansar.

Isu keselamatan juga dibangkitkan. Imej dari hazards.org

Bagaimanapun, laporan dan pengesahan ni sebenarnya cukup membimbangkan sebab ia melibatkan nyawa manusia dan imej sukan paling berprestij di dunia. Malah, dapatan juga menunjukkan:

  1. Menurut laporan Trade Union Conference (ITUC) 2014, sekurang-kurangnya 4,000 lagi pekerja akan mati sebelum Piala Dunia bermula pada tahun 2022
  2. Menurut Kerajaan Nepal, jumlah kematian migran Nepal di Qatar meningkat kepada 191 pada 2013, daripada 169 pada tahun 2012.
  3. 400 pekerja migran Nepal telah meninggal dunia sejak 2010, bila Qatar dapat hak jadi tuan rumah World Cup 2022.

“Sama ada bersetuju dengan angka korban yang disiarkan dokumentari Jerman atau tidak, terdapat kes-kes pembayaran gaji tertangguh kepada pekerja, jumlah serangan jantung yang tinggi, bantuan perubatan yang lambat dan keadaan hidup yang teruk.” – Barun Ghimire, aktivis hak asasi manusia, katanya kepada Arab News.

Tapi dalam masa sama, ada juga persoalan tentang…

4. Masalah pasal LGBT, alkohol dan Israel

Di Qatar, cukai tinggi dikenakan kepada produk minuman keras. Imej dari Sky News.

Sebagai sebuah negara Arab yang sinonim dengan budaya Islamnya, isu tentang LGBT, alkohol dan Israel pun berbangkit bila Qatar dipilih jadi tuan rumah World Cup 2022 ni. Pada tahun 2010, President FIFA ada kata – golongan gay yang datang ke Qatar patut ‘tahan diri’ dari buat aktiviti seksual masa berlangsungnya World Cup.

Tapi lepas tu dia kata – dalam bola sepak takde budaya dan agama – semua orang ada hak untuk tak didiskriminasi sebagai manusia. Jadi, takde sesiapa yang akan dihalang untuk masuk dan tengok perlawanan tu, walaupun diorang tergolong dalam LGBT.

“Bola sepak adalah permainan yang tidak terkesan dengan sebarang diskriminasi. Jika ada yang mahu menonton perlawanan di Qatar pada 2022, mereka akan diterima masuk.” – Katanya dipetik dari The Sport Review.

Perhimpunan LGBT di Rusia masa World Cup dulu. Imej dari Advocate.

Untuk hal alkohol pula, Qatar sebenarnya ada undang-undang yang melarang orang minum minuman keras. Jadinya, sempena dengan World Cup ni nanti, Qatar akan sediakan zon tertentu yang membolehkan peminat bola datang beli alkohol. Tapi nak minum di tempat awam masih lagi dilarang sama sekali.

Tentang Israel pula, Qatar juga macam Malaysia yang tak buat hubungan diplomatik dengan negara haram tu. Bagaimanapun, negara ni buat keputusan untuk benarkan Israel ambil bahagian dalam kejohanan dunia tu, kalau diorang layak masuk nanti.

“Semua negara yang mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA dialu-alukan.” – Hassan Abdulla Al-Thawadi, Ketua Eksekutif Bidaan Piala Dunia 2022 Qatar. Dipetik dari The National.

Negara-negara dunia yang ada atau tak hubungan dengan Israel. Imej dari mfa.gov

Tapi di sebalik macam-macam persoalan ni, ada satu isu besar yang Qatar kena betul-betul selesaikan. Ia adalah…

Krisis Qatar dan negara jirannya yang masih belum berakhir

Dua tahun lepas, empat negara Arab (Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir) dah putuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, serta buat sekatan laut dan udara terhadap negara tu. Semuanya jadi sebab Qatar dituduh menyokong pengganas dan ada hubungan rapat dengan Iran.

Malah, stesen TV – al-Jazeera milik negara ni pun dah ditutup di negara-negara yang menentang Qatar, termasuk di Israel. Beberapa orang wartawan al-Jazeera juga dah ditahan di Mesir kerana dituduh ‘merosakkan keselamatan negara’.

Donald Trump (AS), Raja Salman al Saud (Arab Saudi) dan the Abdel Fattah al Sisi (Mesir). Imej dari Harvard Political Review.

Dari satu sudut – ada yang mendakwa, sengketa ni berlaku akibat minyak, gas dan salurannya di negara tu. Ini kerana, penaklukan Irag ke atas Kuwait suatu masa dulu pun disebabkan Saddam Hussein menuduh negara tu mencuri minyaknya.

Tapi di sudut lain pula, ia lebih kompleks – kerana membabitkan penguasaan Timur Tengah di antara negara-negara yang diketuai Arab Saudi dan negara-negara yang menyebelahi Iran. Masing-masing pula dibelakangi oleh kuasa-kuasa dunia yang saling berbalah. Kesannya, Qatar tersepit di antara percaturan kuasa ini.

Jadinya, di sebalik menjadi tuan rumah World Cup 2022, Qatar harus melalui jalan berliku dalam menyelesaikan sengketanya. Mahu ataupun tidak, sengketa negara Islam masih menjadi barah dan terus berjalan.

 

 

 

 

 

 

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.