Islam larang isytihar harta? Dan ini kenapa PEMIMPIN MUSLIM DUNIA buat

Nampaknya Dewan Rakyat baru-baru ni dah meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen (termasuk pembangkang) mengisytiharkan harta mereka. Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri/suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Senarai nama Ahli Parlimen yang dah mengisytiharkan harta tu nanti akan dipaparkan dalam portal SPRM. Jadinya, korang boleh tahulah berapa banyak harta Ahli Parlimen kawasan korang ada nanti.

Walaupun benda ni nampak baik, tapi rupa-rupanya masih ada pihak yang tak puas hati dan tak nak sokong usul tu. Apa yang jadi lebih kontroversi, hal ni disuarakan oleh PAS atas alasan – Islam melarang umatnya berbuat demikian.

Lambaian tangan Tuan Ibrahim. Imej dari ISMA Web

“Ia melibatkan isteri, anak-anak… kalau kita lihat dalam Islam, hadis nabi sebut, Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai.” – Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Dipetik dari Malaysiakini.

Tapi apa yang Tuan Ibrahim buat ni nampaknya macam bercanggah dengan apa yang dia pernah buat dulu…

Tuan Ibrahim sendiri pernah kongsi pengisytiharan harta Ketua Pemuda PAS

Pada tahun 2012, sewaktu Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-53, Ketua Pemuda PAS ketika tu, Nasrudin Hassan Tantawi dah membuat kejutan dengan mengisytiharkan aset miliknya didepan semua perwakilan. Langkah ni diambil sebagai langkah awal untuk membuktikan kepimpinan sayap tu telus. Waktu tu, pendapatan bulanan RM2,800 keseluruhannya.

Langkah ni juga mendapat liputan luas media. Apa yang menarik, ketika tu Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri dah berkongsi di page FB-nya mengenai berita ni. Tak percaya? Gambar bawah menerangkan segalanya.

Imej dari FB Tuan Ibrahim Tuan Man

Selain tu juga, pada tahun 2015 dia sendiri pernah cabar Najib dan Rosmah untuk isytihar harta. Ini diumumkan selepas laporan Wall Street Journal berkenaan wang berbillion ringgit dalam akaun peribadi Najib Razak. Menurutnya lagi, tu adalah langkah paling berkesan untuk menangani persepsi negatif terhadap Najib.

Hadis tu dikatakan palsu dan bercanggah dengan sifat Islam

Antara orang terawal yang ulas pasal status hadis ni adalah Ustaz Wan Ji Wan Hussin yang kata hadis tu sebenarnya palsu. Wan Ji berhujah, hadis yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim tu dinyatakan palsu oleh Imam Ibn al-Jawzi, serta dianggap daif oleh Imam al-Iraqi dan Imam al-Suyuti. Lebih dari tu, Imam Abi Hatim pula menganggapnya sebagai mungkar.

Katanya lagi, sanad hadis tu ada perawi – Sa’id bin Salam al-Attar yang ditolak oleh ramai ilmuan hadis. Malah, Iman Ahmad menganggapnya sebagai pendusta. Lebih jelas lagi, ia juga bercanggah dengan ayat al-Quran dalam Surah Dhuha.

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” – Surah Dhuha, ayat 11.

Imam Ahmad antara Imam Besar kita. Imej dari Youtube

Selain tu, Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pun ada ulas tentang isu ni. Katanya, isytihar harta sebenarnya ada dalam Islam, dan ia diamalkan sendiri oleh Khalifah Islam – Saidina Umar al-Khattab. Ini kerana, Saidina Umar masa jadi khalifah periksa harta pegawai-pegawainya. Ia dibuat untuk kawal mereka dari ambil kesempatan kumpul harta secara salah.

“… al-Syeikh Dr Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam karyanya – Umar bin al-Khattab: Umar itu menghitung (jumlah) harta para pegawai dan gabenor sebelum perlantikan.

Ini bertujuan untuk mengira harta mereka yang bertambah selepas perlantikan yang tidak termasuk dalam penambahan yang munasabah.” – Dr Asri, dipetik dari FB-nya.

Imej dari Unikversiti

Selain tu, Islam juga mewajibkan zakat kepada umatnya dan sesiapa yang lebih hartanya, maka lebih nilai zakat yang diwajibkan. Jadinya, kalau Islam larang umatnya dari isytihar harta, mestilah orang Islam tak akan bayar zakat, sebab tu boleh buatkan orang tahu nilai harta mereka.

“Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.” – Dr Asri, Mufti Perlis.

Walau bagaimanapun, bila Parlimen dah luluskan usul isytihar harta, jadinya semua Ahli Parlimen tak bolehlah nak lari. Tak kiralah, diorang sokong atau tak, diorang tetap kena isytihar.

Dan lebih penting lagi…

Banyak negara dunia, termasuk pemerintah negara Islam buat pengisytiharan harta

Sebenarnya, hal ni bukanlah benda baru dan banyak negara dunia yang dah laksanakannya. Sebagai contoh, negara maju seperti Kanada dah mewajibkan setiap pegawai awam – dari Menteri/Ahli Parlimen sampailah ke pegawai polis untuk mengisytiharkan harta diorang.

Manakala, hampir semua negara Eropah ada undang-undang yang memerlukan pegawai awam diorang mengisytiharkan harta. Lebih menarik lagi, negara-negara Islam pun ada buat hal sama, macam Tunisia.

Lepas berlakunya revolusi menumbangkan pemimpin korup negara tu, kerajaan baru dah memperkenalkan undang-undang anti-rasuah, yang memerlukan pihak-pihak berkepentingan mengisytiharkan harta. Malah, ia tak terhad kepada presiden dan menteri je, tapi juga terhadap pegawai kanan kerajaan, badan bebas, bank, hakim, pasukan keselamatan, wartawan dan kesatuan.

Revolusi Tunisia yang menggemparkan dunia. Imej dari Usip

Selain tu, negara macam Maghribi pun ada undang-undang yang agak sama. Antaranya, pada tahun 1974, negara tu dah mewajibkan semua hakim mengisytiharkan harta, termasuk pasangan dan anak-anak mereka. Selain tu, kalau ada perubahan situasi ekonomi, diorang kena isytihar serta merta. Menteri Undang-undang sendiri akan semak benda ni.

Pada tahun 1992 pula, undang-undang audit aset dah diperkenalkan yang mewajibkan semua penjawat awam, pihak berkuasa, institusi awam dan ahli Dewan Perwakilan mengisytiharkan harta peribadi dan harta tak alih mereka. Lebih detail lagi, intern dan pekerja harian awam pun kena buat benda sama.

“Perkara 158 Perlembagaan (Maghribi) memperuntukkan bahawa “mana-mana orang yang dipilih atau dilantik memegang jawatan awam mestilah, mengikut prosedur berkanun, memfailkan perisytiharan bertulis tentang barang dan aset yang mereka miliki, sama ada secara langsung atau tidak langsung…” – Dipetik dari laporan Transparency International.

Antara yang diisytiharkan di Maghribi. Imej dari Transparency

Isytihar aset bukan benda baru, seluruh dunia dah praktikkan

Walaupun Tuan Ibrahim Tuan Man menolak usul pengisytiharaan harta, namun dia mengatakan bahawa semua anggota parlimen PAS mengisytiharkan harta selepas usul tersebut diluluskan di Dewan Rakyat. Dia juga menyarakan kerajaan supaya lebih serius hal ni dengan menjadikannya undang-undang atau sebahagian daripada Akta SPRM.

Jumlah aset menteri-menteri. Imej dari FMT.

Selaku rakyat Malaysia, kita sentiasa menyokong sebarang tindakan yang boleh jadi semak imbang terhadap ketelusan dan integiriti ahli politik dan pemerintah yang dah kita undi. Perkara integiriti ni bukanlah untuk pihak atasan semata-semata, ia juga adalah milik rakyat yang mahu keadilan dan saksama subur di tanah Malaysia.