- 506Share sekarang!
- Email68
- Facebook438
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 11 Jun 2018 dan disiarkan semula atas perkembangan semasa*
UPDATE 10 Mei 2022: Ferdinand Marcos Jr, anak kepada diktator Filipina yang lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’ nampaknya berjaya memperoleh kemenangan besar yang bakal menjadikannya Presiden Filipina tak lama lagi.
Keluarga Marcos nampaknya bakal kembali mentadbir negara tersebut walaupun pernah hidup dalam buangan disebabkan kuasa rakyat, iaitu sebuah revolusi yang berlaku pada tahun 1986.
_____________________________________________________________________________
Mungkin korang dah banyak dengar pasal Imelda Marcos dan kekayaannya yang memiliki pelbagai kasut dan barangan mewah. Tapi, macam mana pulak dengan suaminya, Ferdinand Marcos yang sebenarnya menjadi pemimpin Filipina satu masa dulu?
Nama Ferdinand Marcos gah satu masa dulu sebagai Presiden Filipina, kemudiannya dijatuhkan. Semuanya disebabkan pemerintahan berbentuk kleptokrasi bersama isterinya, Imelda Marcos sejak Disember 1965 hingga Februari 1986.
Dari seorang pembunuh kepada seorang peguam
Ferdinand Marcos dilahirkan di sebuah perkampungan di wilayah Ilocos Utara di Pulau Luzon, Filipina. Dia dibesarkan oleh ibu kandung dan bapa tirinya yang kedua-duanya merupakan guru dan orang yang sangat berpengaruh. Sejak kecil, dia diajar pelbagai perkara yang menjadikan dia seorang yang serba boleh, sangat berdaya saing, dan tak nak kalah dengan orang lain.
Walaupun duduk dengan bapa tirinya, bapa kandung Marcos masih hidup. Dialah yang bertanggungjawab terhadap persekolahan Ferdinand, dan merupakan seorang hakim yang menyebabkan Ferdinand selalu terlepas daripada pelbagai kesalahan jenayah yang dilakukannya sejak muda. Salah satunya adalah dengan menggunakan pengaruhnya terhadap Mahkamah Agung Filipina supaya Ferdinand tak dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan membunuh.
Ye, Ferdinand Marcos pernah melakukan jenayah sebelum menjadi ahli politik. Masa berumur 18 tahun, dia pernah menembak mati seorang ahli politik, Julio Nalundasan yang meraikan kemenangannya dalam pilihan raya kongres menentang Mariano Marcos – bapa tiri Ferdinand.
Hanya selepas tiga tahun, dia dibuktikan bersalah dan dipenjarakan. Masa tu Marcos baru habis belajar undang-undang, dan merupakan antara pelajar terbaik. Tapi disebabkan pengaruh ayahnya sebagai hakim, dia cuma dipenjarakan selama enam bulan saja. Tak cukup dengan tu, keesokan harinya, dia kembali ke Mahkamah Agung dan angkat sumpah untuk menjadi seorang peguam.
Marcos pernah dianggap sebagai hero oleh Filipina
Sebaga seorang peguam, Ferdinand Marcos berani menuntut pampasan kepada Amerika yang pernah menjajah Filipina sebelum kemerdekaan. Dia selalu memfailkan pelbagai tuntutan terhadap Washington, D.C. bagi pihak veteran Filipina yang meminta pampasan untuk gaji dan faedah masa peperangan berlaku. Dari situ, Marcos dianggap sebagai hero bagi rakyat Filipina diawal kemunculannya pada Perang Dunia Kedua menentang Amerika Syarikat.
Tapi, dia kemudiannya mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan palsu. Salah satunya adalah apabila dia memfailkan tuntutan $595 ribu atas namanya sendiri, menyatakan yang Tentera A.S. telah merampas 2,000 ekor lembu dari ladang ayah tirinya, Mariano Marcos. Tapi, ladang ni sebenarnya tak pernah wujud, apatah lagi lembu-lembu tu.
Marcos mendakwa yang dia mencipta organisasi penentangan rahsia yang dikenali sebagai Ang Maharlika yang bermaksud pembebas. Organisasi tu didakwa terdiri daripada agen yang bekerja melawan orang Jepun. Tapi, kumpulan tu kebanyakannya terdiri daripada penjenayah – penipu, penyeluk saku, lelaki bersenjata, dan samseng – semuanya menangguk di air keruh dan mengharapkan ada ganjaran semasa peperangan.
Karier Ferdinand Marcos dalam bidang politik kemudiannya naik sebab reputasinya
Pada tahun 1949, Marcos masuk ke dunia politik. Dalam kempennya, dia berjanji untuk mendapatkan pampasan untuk veteran perang kalau terpilih menjadi calon Parti Liberal untuk kerusi di Dewan Rakyat Filipina. Dengan menggunakan ‘keadilan’ atas nama veteran perang, nama Marcos melonjak naik dan membolehkannya menang dalam pilihan raya sebanyak 70% undi. Marcos kemudiannya dilantik sebagai ahli Dewan Perwakilan Filipina (1949-1959) dan Senat (1959-1965) sebelum memenangi pemilihan presiden pada tahun 1965.
Pada mulanya pemerintahannya berjalan dengan baik. Tapi bila Marcos dipilih semula pada tahun 1969, macam-macam benda jadi. Malah, pelbagai penipuan dikaitkan dengan kempennya, yang dipercayai datang dari berjuta-juta harta negara. Rusuhan tu juga dikenali sebagai Badai Suku Pertama di mana gaya diktator Ferdinand Marcos yang semakin jelas.
Tapi, disebabkan pemerintahan autokratik Ferdinand Marcos yang memperkenalkan pelbagai undang-undang bagi menyekat kebebasan media dan juga rakyatnya, Ferdinand berkuasa sepenuhnya atas segala perkara. Bukan tu je, dia juga melantik isterinya, Imelda Marcos dalam beberapa jawatan kerajaan.
Bila mereka jadi sangat berkuasa, rejim tu kemudiannya perlahan-lahan bertukar kepada pemerintahan secara diktator yang terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia dan dakwaan penggubahan wang.
Undang-undang tentera (Martial Law) diperkenalkan untuk menjatuhkan pihak lawan
Pemerintahannya perlahan-lahan bertukar kepada kuku besi. Pada 21 September 1972, Ferdinand Marcos memperkenalkan sebuah undang-undang tentera yang dikenali sebagai Martial Law. Perkara tu nampaknya mendapat persetujuan daripada pentadbiran Nixon, yang bersetuju dengan tindakannya menutup kongres, menahan lawan politiknya, menguasai media dan mahkamah, dan menggantung semua hak-hak sivil dan pelbagai laporan pasal pelanggaran hak asasi manusia.
Martial Law ni juga membolehkan Ferdinand buat undang-undang sendiri, bila-bila dan apa-apa je yang dia nak. Kiranya kalau dia nak ambil alih syarikat orang, dia boleh manipulate dengan petik jari je.
Disebabkan Martial Law ni juga, sepanjang 9 tahun lepas tu, seramai 34,000 pekerja syarikat, pemimpin pelajar, penulis dan ahli politik ditangkap, dan diseksa dengan renjatan elektrik, besi panas dan ada juga yang dirogol. Malah, seramai 3,240 mayat dibuang di tempat awam, manakala 398 orang dicatatkan hilang. Dengan kuasanya yang menyeluruh ke atas negara, dia berkuasa atas kekayaan negara.
Tahun-tahun kemudian Marcos berkuasa telah dicemari oleh rasuah kerajaan yang merajalela, kemerosotan ekonomi, dan jurang ekonomi yang semakin besar antara miskin dan kaya serta pertumbuhan pemberontakan gerila komunis yang aktif di kawasan pedalaman pulau-pulau di Filipina.
Pembunuhan pembangkang, Benigno S. Aquino menyebabkan isterinya bangkit
Salah seorang yang di bawah Martial Law ni adalah Senator Benigno S. Aquino Jr yang membentuk kepimpinan pembangkang terhadap Ferdinand Marcos. Dia pernah ditangkap dan dipenjarakan dengan beberapa yang lain atas tuduhan pemberontakan bersenjata.
Selepas dibebaskan, dia tinggal di Amerika dan diugut bunuh kalau balik ke Filipina. Tapi nampaknya Benigno tak takut. Pada tahun 1983, Benigno ditembak mati setibanya dia di lapangan terbang Manila selepas 3 tahun menetap di Amerika.
Setahun kemudian, siasatan awam membawa kepada pertuduhan terhadap beberapa askar dan pegawai kerajaan. Tapi setakat tahun 1985, takde sesiapa pun yang berjaya dikaitkan dengan kesalahan tu. Tapi ramai yang percaya yang pembunuhan tu merupakan arahan daripada Marcos. Pembunuhan itu dilihat sebagai kerja kerajaan dan menyentuh protes antikerajaan besar-besaran.
Balu kepada Aquino, iaitu Corazon Aquino kemudiannya bangkit dan menjadi calon presiden pembangkang dan bertanding dalam Pilihan Raya tahun 1986. Dalam PRU tu, Marcos dapat kemenangan yang besar, tapi mencurigakan.
Marcos mempertahankan kemenangannnya dan berkeras nak sambung jadi presiden lagi, tapi nampaknya pihak tentera Filipina berbelah bahagi sama ada nak support dia atau tak. Ada juga yang mempertahankan hak Corazon Aquino sebagai presiden selepas PRU tersebut bila tahu Marcos menang pun sebab menipu. Perkara tu la juga yang menyebabkan Marcos dan sekeluarga melarikan diri dengan pesawat peribadi mereka.
Kebangkitan rakyat dan tentera menentang pemerintahan Marcos
Marcos sekeluarga sempat mempersiapkan diri – bukan sehelai sepinggang, tapi dengan 23 buah peti kayu, 12 bagasi dan pelbagai kotak yang memuatkan baju sebanyak 67 buah rak, 413 jenis perhiasan, dan bermacam-macam lagi dalam nilai USD15 juta. Kalaulah media sosial macam Facebook dan Twitter dah ada masa tu, mungkin mereka ni tak sempat pun melarikan diri.
Tapi ni hanyalah sedikit daripada harta kekayaan keluarga Marcos. Kekayaan sebenar dia pada masa tu dikatakan sebanyak 650 kali ganda. Mengikut anggaran Mahkamah Agung Filipina, dia dah kumpul sampai USD10 bilion masa dia jadi Presiden Filipina.
Tapi masalahnya, gaji dia tak pernah lebih daripada USD13,500 setahun, dan macam mana pula dia boleh kumpulkan kekayaan sampai berbilion-bilion pula? Bukan dia sorang je yang dipersoalkan, menteri-menteri yang rapat dengan dia pun turut disoal siasat, terlibat dengan penipuan dana negara untuk tujuan peribadi.
Sedangkan pada masa tu, seramai 40% daripada rakyat Filipina jatuh miskin teruk, iaitu dengan pendapatan kurang daripada USD2 dollar sehari. Republik Filipina akhirnya memutuskan yang harta Marcos adalah daripada hasil titik peluh rakyat, dan terus membuat rampasan serta-merta.
Jenayah politik yang dilakukan Ferdinand Marcos termasuklah memanipulasi pengundi, gunakan duit untuk beli kuasa dan gunakan kuasanya untuk mencuri duit rakyat. Malah mereka juga menggunakan nama samaran untuk mendepositkan sebanyak $950,000 ke dalam empat buah akaun Credit Suisse, Ferdinand sebagai William Saunders (dia menggunakan tandatangan barunya di atas kertas), dan isterinya Imelda sebagai Jane Ryan.
Malah, mereka juga sempat memindahkan pemilikan mereka yang selebihnya kepada yayasan yang didaftarkan di Liechtenstein. Keluarga Marcos menghadapi masalah undang-undang dan tekanan untuk mengembalikan dana yang dipercayai milik dari kerajaan Filipina.
Mayat Marcos tak dikebumikan, dan tak mendapat penghormatan
Beberapa tahun lepas melarikan diri, Ferdinand Marcos yang memang dah sakit kemudiannya meninggal sebagai seorang pelarian di Honolulu, Hawaii pada 1989. Tapi, mayatnya tak ditanam sebab mereka sekeluarga mengharapkan yang satu hari nanti, mereka semua dapat balik ke Filipina dan menyemadikan mayatnya di negara kelahiran mereka.
Pada 1991, Imelda Marcos balik ke Filipina. Dia terus ditahan keesokan harinya sebab kerajaan baru berharap yang diorang dapat buat bayaran semula hutang negara yang bangkrap disebabkan keluarga Marcos. Dia kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah pada 1993, dia menerima hukuman penjara dan denda sebanyak $4.3 juta. Tapi pada tahun 1998, hukuman Imelda dikurangkan.
Ferdinand Marcos pula kekal sebagai mayat yang tak ditanam selama bukan setahun atau dua, tapi 27 tahun lamanya sebelum kerajaan Filipina bersetuju untuk membawa pulang mayatnya. Itu pun sebab presiden masa tu, Presiden Fidel V. Ramos merupakan sepupu Marcos yang merupakan salah seorang dari parti Revolusi Kekuatan Rakyat (pihak pembangkang) yang pernah menggulingkan pemerintahan kleptokrasi Marcos. Pengebumiannya juga seperti yang dijanjikan, tanpa penghormatan negara.
Perjanjian nak mengkebumikan Marcos tu nampaknya tak kesampaian bila mayat Marcos dikatakan bakal dipamerkan untuk tontonan umum dalam sebuah kotak kaca. Selama dua dekad selepas tu, makam Marcos menjadi tarikan pelancong di Ilocos Norte, tempat kelahirannya.
Tapi akhirnya pada 2016, Presiden Duterte kemudiannya bersetuju untuk membenarkan supaya mayat Ferdinand dikebumikan di Makam Pahlawan kerana jasanya yang terdahulu.
Pelbagai tuntutan yang dilakukan oleh rakyat Filipina untuk dapatkan balik harta negara
Pada tahun 1995, seramai 10,000 rakyat Filipina memenangi tuntutan saman yang difailkan terhadap harta Marcos. Tuntutan dibuat oleh mangsa dan saudara-mara yang masih hidup atas sebab penyeksaan, pembunuhan dan juga kes orang hilang masa Martial Law.
Kerajaan Switzerland pada mulanya mendiamkan diri daripada tuduhan pasal duit yang dicuri Marcos ada dalam akaun banknya di Switzerland. Tapi lepas didesak banyak kali, bank Switzerland tu pun akhirnya memulangkan sebanyak USD684 juta simpanan Marcos. Dalam Laporan Transparansi Global 2004, Marcos muncul dalam senarai Pemimpin Paling Korup Dunia, dan disenaraikan di tempat kedua di belakang Soeharto, bekas Presiden Indonesia.
Selepas kejatuhan Ferdinand, Presiden Filipina selepas tu, Corazon Aquino akhirnya memansuhkan kebanyakan undang-undang menindas yang digubal semasa tempoh kediktatoran Marcos. Dia mengembalikan hak akses kepada habeas corpus, undang-undang anti buruh dimansuhkan dan membebaskan ratusan tahanan politik.
Sampai sekarang, kebanyakan undang-undang yang ditulis Marcos masih berkuatkuasa. Daripada beribu-ribu pengisytiharan, dekri, dan arahan eksekutif, hanya beberapa yang dimansuhkan, dibatalkan, diubah suai atau dipinda untuk kepentingan kerajaan semasa.
- 506Share sekarang!
- Email68
- Facebook438
- Share