Kami kirakan kos bagi 6 kes kontroversi Rosmah Mansor, inilah hasilnya…

Artikel asal telah ditulis pada 18 Mei 2018.

Masa kami tengah syok tulis artikel ni, semalam polis ada lakukan rampasan kat rumah Dato’ Seri Najib Razak. Punyalah ramai orang yang terkejut dengan serbuan tu apabila 284 kotak dan 72 bagi dirampas. Kotak-kotak yang dirampas ni mengandungi pelbagai barangan – barang perhiasan, beg tangan dan wang ringgit.

“Bagasi yang dirampas turut mengandungi mata wang asing dalam pelbagai denominasi. Namun,  jumlah mata wang asing itu tidak dapat didedahkan kerana perincian berhubung nilai mata wang yang dirampas itu hanya akan dilakukan pada hari yang berlainan.” – Dipetik daripada AWANI

Beberapa hari sebelum serbuan ni, anaknya Azrene Ahmad ada meluahkan rasa tidak puas hati kepada ibunya tu. Yalah, mungkin masa Rosmah Mansor jadi isteri Perdana Menteri dia tak berani nak luah sebab risaukan keselamatan keluarganya. Di antara tulisan anaknya yang buat ramai terkejut adalah dia kaitkan Rosmah dengan beberapa orang bomoh yang digunakan untuk keuntungan dia.

Wuuu…sampai main dukun tu. Imej dari Giphy

Jadi hari ni kami akan cuba beritahu korang tentang kontroversi-kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Rosmah Mansor. Semua kontroversi ni pernah dilaporkan oleh media-media tertentu, jadi bukan kami buat-buat eh…

1. Dakwaan cincin Rosmah Mansor yang berharga 24 juta

Isu ni berlaku sekitar tahun 2011, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) yang masa tu merupakan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia buat laporan kat SPRM mengatakan Rosmah Mansor ada membeli cincin yang bernilai RM24 juta. Rosmah dikatakan membeli cincin tu dari saudagar permata Jacob and Co di Amerika Syarikat.

“Beliau mendakwa terdapat bukti jelas kemasukan berlian berkenaan yang didapati menerusi rekod Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia.” – Dipetik dari KeadilanDaily

Gambar ni pernah viral dulu. Imej dari Giphy

Kalau korang nak tahu, Rosmah menafikan dakwaan daripada Chegu Bard tu – apa yang lebih menarik, cincin tu dikatakan dibeli oleh besan dia, Maira Nazarbayev, dan hanya melalui transit di Malaysia. Kastam masa tu turut nafikan yang Rosmah membeli cincin, kontroversi ni siap dijawab oleh Menteri lagi.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata cincin kontroversi berkenaan turut dikembalikan kepada syarikat pemilik cincin itu selepas beberapa hari.” – Dipetik daripada MStar

Hahhh…agak-agak cincin ni harga berapa? Imej dari Giphy

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh). Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah, apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).” – Rosmah Mansor, dipetik daripada MalaysiaKini

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: RM 24,458,400 untuk sebentuk cincin

2. Isu Rosmah yang dandan rambut sehingga harga RM1,200

Korang pernah gunting rambut tak? Selalunya berapa korang bayar untuk gunting atau dandan rambut? Kalau korang lelaki – korang masih boleh dapat harga RM10 untuk gunting rambut lagi walaupun tinggal kat KL. Isu ni mula panas bila Rosmah hadiri satu program yang bincangkan cukai GST anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti).

“Sekarang ini bila saya nak warnakan rambut dekat rumah, dia (peniaga) dah caj RM1,200, amboi mahalnya. Bila kita tanya dia (peniaga) cakap dekat kedai caj berlainan, yang ini mahal sebab ‘home service’ (perkhidmatan rumah) ini yang anda (Putrajaya) harus teliti.” – Rosmah Mansor, dipetik dari MD

Gunting rambut dengan mamat ni, free je! Imej dari Giphy

Macam biasalah, setiap kali ada orang berjawatan tinggi buat sesuatu yang kontroversi, mesti ada orang yang akan back up. Korang ingat tak nama Ahmad Maslan? Semasa isu ni berlaku, dia merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

“Saya turut berada dalam majlis yang dihadiri oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan beliau telah bercerita mengenai penyedia khidmat dandanan rambut ke rumah yang meletakkan harga tinggi ketika ini iaitu sehingga RM1,200. Beliau hanya menimbulkan persoalan dan bukannya membayar atau menggunakan perkhidmatan tersebut.” – Ahmad Maslan, dipetik dari FMT

Hai…ingat tak siapa saya? Imej dari Tenor

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: RM 1,200 setiap kali dandan rambut

3. Isu beg Rosmah Mansor yang bernilai juta-juta

Baru-baru ni ada orang buat laporan polis menyatakan Rosmah Mansor tengah pindahkan beg-beg dia yang mahal. Kalau korang nak tahu, mengikut laporan polis tu – setiap satu daripada beg yang cuba dikeluarkan ni bernilai RM200,00 ke atas. Bagi rakyat biasa macam kita orang, terkejut jugaklah dengar harga beg tangan yang sampai RM200,000. Ada orang yang duit pencen dia pun tak banyak tu kan?

“Setiap kotak tas tangan tertera label nama si pemberi kepada penerima (hadiah pemberian). Dipercayai penerima adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia.” – Ben Ali, dipetik dari MStar

Hahh…punyalah banyak beg sampai pindah pun nak guna troli. Imej dari Iluminasi

Untuk pengetahuan korang – isu beg tangan Rosmah ni dah ada sebelum BN kalah Pilihan Raya Umum 14. Contohnya, dia pernah didakwa memiliki 11 beg tangan yang harganya di antara 638 ribu ke 5 juta. Kami pun tak faham kenapalah ada beg yang harga dia mahal gila-gila, mungkin sebab dijahit dengan benang emas kot.

“Datin Seri Rosmah Mansor diminta menjelaskan dari mana beliau memperoleh wang bagi membeli sekurang-kurangnya 11 beg tangan mewah jenama Birkin. Untuk anggaran kasar, Rosmah membelanjakan minima RM638,000 hingga maksima RM5,192,000 untuk membeli beg tangan berkenaan.” – Zuraida Kamaruddin, dipetik dari KeadilanDaily

Salah satu beg yang dikatakan bernilai RM820,000. Punyalah mahal. Imej dari CARI Infonet

Tapi dalam ramai-ramai yang cuba nak kantoikan perbuatan isteri bekas Perdana Menteri ni, ada yang tersilap langkah bila dia terbitkan berita dengan gambar palsu. Portal berita Sarawak Report terkenal dengan pelbagai pendedahan, tapi kali ni dah guna gambar yang salah tentang beg Rosmah. Atas sebab ni, diorang teruk jugaklah kena kecam. Korang pun kalau nak sampaikan berita, hati-hati eh.

“Sila sahihkan dahulu berita sebelum berkongsikan sesuatu, bolehkan Sarawak Report? Ia adalah kewajipan pihak anda untuk mengesahkan sesuatu perkara dengan betul kerana ia merupakan etika kewartawanan.” – Peter Peter, dipetik dari mynewshub

Gambar ni sebenarnya diorang rembat dari Instgram. Imej dari MyNewsHub

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: Kalau ikut laporan-laporan kat atas, beg paling murah pun dah RM638,000

4. Rosmah Mansor guna kapal peribadi kerajaan untuk wakili negara

https://www.youtube.com/watch?v=Ra69GvnSZEk

Satu ketika dulu pernah kecoh apabila Rosmah Mansor dikatakan menggunakan pesawat peribadi negara dan siap jadi wakil negara dalam satu acara yang melibatkan negara luar dan Malaysia. Kalau korang tertanya-tanya siapa Menteri yang sedang menjawab soalan tu – dialah Shahidan Kassim, masa ni dia Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Korang puas hati tak dengan jawapan-jawapan dia?

Selain tu, pernah ada laporan tentang Rosmah yang selalu dikatakan menggunakan pesawat negara walaupun suaminya tak ikut sekali.

“Rosmah menghabiskan hampir setengah juta ringgit untuk minyak pesawat Airbus 319 bernombor pendaftaran 9M-NAA, sedangkan nilai perbelanjaan itu boleh menampung bantuan untuk misi kemanusiaan di kawasan terjejas banjir.” – Zulkifli Ibrahim, dipetik dari FMT

Untunglah ada kapal peribadikan? Imej dari Giphy
 Bagi setiap isu, dah tentu-tentulah akan ada orang yang jawabkan? Bagi isu pesawat peribadi ni, Rosmah dikatakan guna pesawat kerajaan sebab jadual dia padat. Apabila Rafizi mempersoalkan mengapa Rosmah guna pesawat kerajaan untuk ambik anugerah, pegawai dia jelaskan;

“Isteri Perdana Menteri menempuh perjalanan hampir 13 jam ke Istanbul hanya untuk menerima anugerah dan menyampaikan ucapan. Beliau (kemudiannya) bergegas pulang selepas majlis tersebut. Mana mungkin Rosmah dapat menghadiri semua acara-acara penting sekiranya mengikuti jadual penerbangan pesawat komersil.” – Datuk Rizal Mansor, dipetik dari MalaysiaKini

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: RM 500,000 untuk kos minyak

5. Wall Street Journal (WSJ) dakwa Rosmah Mansor belanja 6 juta untuk pakaian

Dakwaan ini dibuat oleh Wall Street Journal (WSJ), diorang dakwa isteri bekas Perdana Menteri ni berbelanja 6 juta USD pada pakaian, barangan kemas dan kasut. Menurut laporan tu, perbelanjaan dibuat antara 2008 dan 2015 dan diorang siap kata ada dokumen untuk membuktikan dakwaan tu.

“Dokumen-dokumen baru mendedahkan (Rosmah) membelanjakan sekurang-kurangnya AS$ 6 juta melalui caj kad kredit pada tahun-tahun kebelakangan ini – walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan kecuali gaji suaminya.” – Dipetik dari MalaysiaKini

WSJ pun persoalkan macam mana Rosmah ni boleh belanja sebanyak tu sedangkan dia merupakan anak seorang guru biasa dan gaji suami dia masa jadi Perdana Menteri adalah 100 ribu USD. Kalau korang nak tahu, perbelanjaan tu dikatakan dibuat di gedung membeli-belah Harrods di London, Saks Fifth Avenue di New York dan di beberapa tempat lain.

Masa tu Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil kata – kalau betul WSJ ni fitnah Rosmah, sepatutnya Rosmah kena lakukan saman fitnah pada WSJ. Dia juga kata sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kena ambil tindakan terhadap isu ni.

Hahh…ambik duit ni. Imej dari Giphy

Kalau korang ingat-ingat – sepanjang Rosmah menjadi first lady kita, dia memang selalu dikaitkan dengan isu berbelanja dengan boros. Tapi bekas Perdana Menteri kita selalu menafikan hal ini – bahkan dia siap kata dakwaan macam tu cuma nak beri imej buruk pada kerajaan.

“Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menolak dakwaan bahawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan kira-kira RM325,000 semasa membeli-belah di Sydney. Katanya Ia merupakan satu cerita liar yang direka dan sengaja dibesar-besarkan untuk menjejaskan persepsi rakyat tentang pemimpin mereka.” – Dipetik dari MStar

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: Berbelanja RM23.81 juta (Kami convert dari USD okay, bukan saja-saja letak).

6. Berlian 117 juta isteri Malaysia Offical One yang dikaitkan dengan Rosmah

Kes ni didedahkan oleh Deparment of Justice (DOJ) Amerika Syarikat – dalam laporan diorang mengaitkan isteri “Malaysia Offical One” dengan barang kemas yang bernilai – bermula daripada RM4.5 juta untuk sepasang anting-anting berlian 11 karat kepada loket dan rantai leher berlian merah jambu 22.17 karat bernilai RM116.75 juta. Ini senarai penuh barang kemas mengikut laporan DOJ;

Punyalah banyak barang kemas yang DOJ senaraikan. Imej dari MalaysiaKini

Masa DOJ keluarkan laporan tentang skandal ni, ada yang artis terbabit – salah satunya Miranda Kerr. Masa dia tahu hadiah-hadiah yang dia dapat sebelum ni datang dari duit skandal 1MDB, dia terus cepat-cepat berikan hadiah tu kat DOJ.

Macam biasalah, mesti ada yang nak jadi Hang Tuah membela anak bangsa, kali ni hero dia Datuk Seri Rahman Dahlan. Dia kata DOJ sepatutnya tak sebut pun pasal pembelian barang kemas tu kalau takde niat nak lakukan rampasan.

“Kamu (DoJ) sindir, dan kamu memberi gambaran Rosmah dan berlian itu membuat sesuatu yang salah, tetapi dalam dokumen yang kamu serahkan, kamu tak masukkan pun berlian itu sebagai salah satu harta yang hendak dirampas.” – Dipetik dari FMT

Hahh…siapa cakap tak ada orang akan backup? Imej dari FMT

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: RM 117 juta harga barang kemas

Dengan kerajaan baru ni, kita harap dakwaan-dakwaan ni akan disiasat

Kami rasa kebanyakan korang mesti dah tahu, masa korang tengah fikir nak makan apa masa sahur, polis lakukan serbuan ke rumah bekas Perdana Menteri kita. Selesai je dia solat terawih, polis datang ke rumahnya untuk mencari hadiah-hadiah yang berkaitan 1MDB. Menurut pegawai polis yang bertanggungjawab ke atas serbuan tu – tujuan diorang bukan nak kutip Najib, tapi nak cari bahan-bahan penting untuk dijadikan bukti. Semalam dekat Twitter, ada orang siap buatkan jadual tentang perbelanjaan 1MDB.

Banyak betul duit rakyat kena rembat. Imej dari Twitter

Lepas serbuan ni, kita harap skandal-skandal ni disiasat, sebab duit rakyat kot. Korang ada kalkulator tak? Takpe, biar kami kirakan korang berapa jumlah wang yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor. Korang agak-agak berapa? Tadaaa….

JUMLAH DUIT YANG DIKAITKAN: Bila kami kira semua perbelanjaan kat atas, jumlahnya adalah – RM 116,407,600

116 juta woo. Korang rasa jumlah rampasan yang diambil daripada rumah Najib semalam tu dekat tak dengan anggaran yang hanya libatkan 6 kes ni? Ada tak lagi kes-kes yang korang rasa ada kaitan dengan Romsah? Cuba korang beritahu kami…

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka