Olimpik Tamadun Yunani: Kenapa para atlet perlu berbogel?

Seperti dimaklumkan, Sukan Olimpik di Jepun pada 2020 telah dibatalkan atas sebab wabak pandemik COVID-19 dan kita pun tak tahu bila ia akan berlangsung semula. Sebenarnya banyak je insiden-insiden tidak diingini berlaku sepanjang sukan olimpik berjalan dan kadangkala sampai tak masuk akal.

Haaa apa kata kami ceritakan sebuah sejarah Sukan Olimpik yang mungkin tidak masuk akal. Korang tahu tak? Pada zaman dulu, sesiapa ingin sertai Sukan Olimpik, mereka perlu berbogel. Pelik eh? asal sampai macam tu sekali? Takpe, mari kami huraikan kisah ini.

Atlet disuruh berbogel sebagai tanda hormat kepada dewa

Ukiran batu ni menghuraikan tentang sukan olimpik berbogel. Imej dari Time Magazine.

Kisahnya bermula dari para atlet Homeric di The Liad yang memakai loincloth (cawat) semasa Sukan Olimpik kuno pertama pada 776 S.M (sebelum masihi). Kemudian, pelari pecut bernama Orsippus atau Orhippus telah membuat keputusan untuk berbogel dalam acara larian ketika Sukan Olimpik ke-15 dan dia telah memenangi acara itu.

Menurut ahli sejarah Anthena, Thucydides, mula-mula para atlet hanya memakai loincloth (cawat) ketika bertanding dalam Sukan Olimpik, kemudian selepas beberapa tahun, mereka semua telah berbogel ketika menyertai sukan tersebut.

Haa cam ni lah rupa loincloth. Imej dari Amazon.

Pada pendapat Thucydides, para atlet berbogel ketika Sukan Olimpik merupakan satu pertunjukan kesopanan dalam menentang pesaing Parsi yang mempunyai semangat barbarisme. Dia juga mengatakan para atlet akan menyapukan minyak zaitun pada badan mereka selepas sesi latihan.

Bagi masyarakat Parsi, mereka menganggap ia tidak bertentangan dengan gaya hidup. Tetapi bagi masyarakat Yunani pula, ia menjadi penghinaan terhadap budaya sosial mereka.

Kalaulah ada mesin masa. Imej dari Meme Arsenal.

Bukan itu saja, berbogel itu adalah simbol keagamaan bagi orang Spartan pada masa itu. Ada beberapa rujukan mengatakan, kaum wanita Sparta pun akan berbogel ketika melakukan kerja. Lepas tu, masyarakat Yunani mula mempraktikkan budaya bogel ini.

Menurut kajian Dr. Dave Lunt, atlet berbogel ketika Sukan Olimpik adalah sebagai tanda penghormatan dan menunjukkan sifat kekuatan mereka terhadap Dewa Zeus. Selain itu, berbogel juga boleh menakutkan pihak lawan dengan menunjukkan tunjuk tubuh badan sasanya.

Kaum wanita tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik

Wanita Tamadun Rom bersukan. Imej dari Pinterest.

Semasa era Tamadun Yunani (500 S.M – 323 S.M), kaum wanita Yunani dibenarkan untuk menyertai acara sukan yang dianjurkan oleh kaum Sparta. Dalam pada itu, mereka hanya dibenarkan untuk menyertai beberapa acara sukan sahaja kecuali Sukan Olimpik.

Walaupun kaum wanita boleh sertai beberapa acara sukan tapi sebenarnya mereka mengamalkan budaya Chauvinistik iaitu mempercayai bahawa tempat mereka bukanlah dalam bidang sukan.

Dalam budaya chauvinistik, terdapat banyak lagi sebab kenapa kaum wanita tidak boleh berkecimpung dalam bidang sukan, antaranya:

  1. Wanita adalah orang kelas kedua, seperti hamba dan orang asing. Sukan hanya dibenarkan untuk warganegara lelaki lelaki kelahiran bebas.
  2. Wanita dianggap sebagai pencemar dalam bidang sukan.
  3. Wanita mempunyai permainan mereka sendiri (permainan Heraean) yang dilaksanakan pada abad ke-6 di mana mereka bertanding sambil berpakaian.
  4. Bakal menjatuhkan maruah kaum lelaki sekiranya wanita menang.
Upacara Sukan Heraean. Imej dari Eagles & Dragon Publishing.

Untuk pengetahuan korang, permainan Heraean adalah sukan larian untuk kaum wanita sahaja dan sukan ini dilaksanakan khas untuk Ratu Dewa Zeus, Hera. Siapa yang menjadi juara, dia akan menerima mahkota dan daging yang dikorbankan untuk Ratu Hera.

Selain itu, kaum wanita tidak boleh menyertai Sukan Olimpik juga disebabkan para atlet disuruh untuk berbogel. Jadi, bagi menghormati martabat dan maruah wanita, mereka tidak dibenarkan lebih-lebih lagi kalau ada sukan yang bercampur jantina dilaksanakan.

Ada juga kajian mengatakan wanita terhormat tidak boleh menonton Sukan Olimpik ini kerana mereka tidak dibenarkan untuk melihat lelaki berbogel kecuali kalau ada pertalian saudara. Contohnya, wanita dari kasta Athena kelas atas, tidak dibenarkan untuk melihat Sukan Olimpik.

Gambar ini menunjukkan wanita Yunani sedang melakukan kerja rumah. Imej dari titas4u.

Selain itu juga, tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik juga kerana tempoh latihan yang panjang. Kalau korang nak tahu, tempoh atlet berlatih untuk Sukan Olimpik adalah selama 10 bulan, maka ia tidak sesuai bagi kaum wanita kerana sebilangan dari mereka sudah berkahwin dan perlu menjadi suri rumah.

Andai kalau wanita boleh sertai Sukan Olimpik dan mereka menjadi juara, kemenangannya tidak diiktiraf kerana bagi mereka ia hanya dibolehkan untuk golongan majoriti (lelaki).

Bagaimanapun, Sukan Olimpik zaman sekarang lebih terbuka kerana…

Penglibatan wanita dalam Sukan Olimpik moden dibenarkan

Sukan Olimpik Moden pada 1896. Imej dari The Bridge.

Sukan Olimpik Moden mula diperkenalkan pada 1896 selepas 1500 tahun Sukan Olimpik Kuno diharamkan oleh Roman Emperor Theodosius I atas sebab ingin menghapuskan paganisme. Kalau korang nak tahu, paganisme ialah amalan tidak mempercayai mana-mana agama dan ada juga mengatakan ia merupakan sebuah amalan sebelum kedatangan agama Kristian.

Disinilah bermulanya di mana para atlet disuruh untuk memakai pakaian sukan dan lama-kelamaan, pakaian khas untuk setiap acara sukan mula diperkenalkan. Macam korang tengok hari ini, ada jersi untuk pelari pecut, ada jersi untuk bola sepak, dan sebagainya.

Bagaimanapun, kaum wanita masih tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik kerana sukan dianggap tidak sesuai bagi mereka malah majoriti para atlet didominasi oleh kaum lelaki. Tapi, Sehinggalah pada tahun 1900, kaum wanita mula dibenarkan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik.

Bagi la mereka join Sukan Olimpik! Imej dari giphy.

Antara sukan untuk kaum wanita pada tahun 1900 ialah tenis, golf dan yachting. Undang-undang pemakaian bagi wanita pula sangat ketat kerana mereka hanya dibenarkan memakai pakaian sukan berlengan panjang dan seluar panjang. Hal ini kerana pemakaian seluar pendek hanya dibenarkan untuk kaum lelaki sahaja.

Namun, semasa Sukan Olimpik di Stockholm, Sweden, pasukan gimnastik wanita dibenarkan untuk memakai skirt pendek manakala perenang wanita juga dibenarkan untuk memakai pakaian renang. Tapi bagi Amerika Syarikat, kaum wanita tidak digalakkan untuk bertanding dalam acara berenang kerana dianggap tidak sopan.

Selain itu, disebabkan majoriti kaum wanita mula melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama, undang-undang Sukan Olimpik untuk atlet wanita mula berubah apabila pakaian khas untuk mereka mula diperkenalkan.

Pakaian renang wanita pada masa itu. Imej dari Wikimedia.

Semasa Sukan Olimpik di Paris pada 1924, pakaian wanita ready-to-wear mula diperkenalkan. Acara sukan balapan turut diperkenalkan untuk mereka ketika Sukan Olimpik di Amsterdam pada 1928.

Menjelang 1948, atlet wanita dilihat memakai pakaian sukan yang sesuai untuk mereka ketika Sukan Olimpik di London, dan Puma menjadi pembekal rasmi untuk keseluruhan pasukan bola sepak Jerman Barat. Berbeza dengan zaman dulu, nampaknya isu pakaian sukan wanita bukan saja dah berkurang, malah ia telah menjadi satu fesyen. Sekurang-kurangnya bukan di Malaysia.