- 549Share sekarang!
- Email36
- Facebook513
- Share
UPDATE 29 MAC 2018: Baru je tadi, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap suri rumah, Datin Rozita Mohamad Ali. Hukuman tu dijatuhkan selepas mengenepikan bon berkelakuan baik selama lima tahun yang mendapat bantahan netizen melalui petisyen.
____________________________________________________________________________
Baru-baru ni, seorang perempuan berpangkat Datin ditahan sebab mendera pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso. Kes ni menimbulkan kemarahan awam sebab kecederaan yang dialami tu terlampau teruk – tengok je la, sampai mata pun tak boleh bukak.
Lepas tu, Mahkamah Sesyen kenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun. Perkara ni la menyebabkan orang lagi marah, dan seterusnya membawa kepada penandatanganan petisyen bernama ‘Calling for Equal Justice’, bagi mendapatkan keadilan terhadap orang gaji yang didera tadi kepada menteri yang terlibat.
Lepas tu Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali mengarahkan pejabatnya untuk memfailkan notis rayuan terhadap Datin tu supaya dia dapat hukuman yang lebih berat, setimpal dengan apa yang dibuat kepada orang gajinya. Oh, dan alih-alih pagi semalam, kita dapat berita yang Datin tu dengan penjaminnya hilang bila Ketua pendakwa raya Selangor dan pasukan dia cari kat rumah kedua-dua orang ni!
Kes macam ni tak sepatutnya berlaku, tapi korang perasan tak yang orang-orang ternama ni macam selalu je terlepas?
1. Khir Toyo yang cuma dipenjarakan selama 12 bulan sebab salah guna kuasa pada 2007
Korang mesti pernah dengar pasal anugerah di mana Khir Toyo pernah bagi penyapu kat penjawat awam pada tahun 2007 kan? “Anugerah Penyapu” tu diberikan kepada dorang ni sebab prestasi buruk daerah tu masa tu. Perkara tu bukan je dah buatkan penjawat awam marah, tapi pelbagai pihak yang lain sebab ia berunsur penghinaan, dan menjatuhkan maruah orang.
Bukan tu je, itu tak masuk lagi apabila masa Hindu marah bekas MB Selangor tu pasal perobohan kuil Hindu di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam masa dia memerintah. Adnan Mansor sendiri bengang, dan bagitahu rakyat marah pasal kedua-dua isu tu terutamanya sebab semua ni jadi masa menjelangnya pilihan raya umum (PRU) – mestilah tak bagus untuk imej BN pada masa tu.
Tapi Khir Toyo jelaskan balik perkara tu masa dia kat dalam penjara – dia minta maaf, dan terangkan, mahkamah yang keluarkan perintah supaya kampung tu dirobohkan, dan bukan keputusan dia atau kerajaan negeri. Dia juga pernah mengaku yang dia adalah punca BN menang kat Selangor dan bila dia takde (dipenjarakan masa tu), BN kalah.
“Lalu mereka perlu singkirkan saya untuk beri imej gemerlapan dan gemilang kepada BN Selangor. Saya dibicara dan dipenjarakan. Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk,” – Khir Toyo masa diinterview Sinar Harian.
Isteri dia juga nampaknya tak ketinggalan bila dikaitkan dengan isu kontroversi pembubaran Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS) dan pindahkan RM9.9 juta duit badan tu ke akaun Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) lepas kerajaan BN jatuh kat Selangor. Tapi, last-last isteri bekas MB Selangor ni menang kes sebab pihak lain takde locus standi (hak bersuara) memandangkan ahli yang lain hanyalah penyumbang kepada BALKIS semata-mata.
Tapi, dalam banyak-banyak kes yang buat orang marah, kes Khir Toyo yang paling besar sampai dia dipenjarakan atas sebab dia menyalahgunakan kuasanya untuk dapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam. Masalahnya bila Khir Toyo beli tanah ni dengan harga RM 3.5 juta, sedangkan harga sebenarnya adalah RM 6.5 juta. Disebabkan skandal ni juga, gelaran Datuk Serinya ditarik balik.
“Menurut Hakim, kesalahan yang dilakukan oleh Mohamad Khir menghancurkan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.” – dipetik dari Utusan Malaysia.
Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya melucutkan haknya ke atas hartanah tersebut dan hartanah itu kena diserahkan kepada kerajaan, dan penjara selama 12 bulan di Penjara Kajang. Tapi baru je 6 bulan dipenjarakan, Khir Toyo dibebaskan dari penjara dengan parol, iaitu sistem yang membenarkan banduan menjalani baki hukuman di luar penjara, tapi masih di bawah pengawasan pegawai parol. Khir Toyo dibebaskan secara rasmi beberapa bulan lepas tu.
2. Kes suami bekas menteri yang terlibat dalam skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) pada tahun 2010
Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) dibentangkan pada 30 Mac 2006 dan diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan. Pusat Feedlot Kebangsaan ni dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd, iaitu syarikat milik suami dan anak-anak kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa tu, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beberapa tahun lepas projek tu berjalan, ada satu laporan yang dikeluarkan menunjukkan NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta pada 2008 dan RM11 juta pada tahun 2009. Menurut juruaudit masa tu, syarikat tu bukanlah satu usaha perniagaan yang baik, jadi faham-faham jela maksudnya ye.
Kes ni kemudiannya jadi perhatian rakyat sejak 2010, terutama sekali lepas Laporan Ketua Audit Negara sendiri menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya. Peruntukan untuk syarikat ni juga bukanlah sikit-sikit, tapi dah melibatkan sebanyak RM250 juta dari kerajaan! Pembangkang pun dalam masa yang sama suarakan hal ni, terutama sekali sebab ada penyelewengan yang berlaku, di mana suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail adalah pengerusi eksekutif syarikat tu.
Masa kes ni tengah kecoh, suaminya dituduh menggunakan 250 juta ringgit ($ 83 juta) untuk membeli pangsapuri mewah, perjalanan luar negara yang mahal dan sebuah kereta Mercedes, yang sepatutnya digunakan untuk projek lembu tu.
Disebabkan kes Fidlot ni juga, bukan rakyat je yang tak puas hati, tapi juga beberapa ahli UMNO pernah mendesak Shahrizat supaya lepaskan jawatannya dari UMNO, iaitu Rafidah Aziz, Bung Mokhtar, malah Tun Mahathir yang meminta Shahrizat berundur sebelum ditendang keluar dari parti politik tu, tapi dia tak berundur pun mungkin sebab dia tahu arah tuju dia.
Tapi sebelum pilihanraya pada Mei 2013, Perdana Menteri, Najib Razak dah membekukan aset NFC yang sedang disiasat oleh SPRM. Dan keputusannya? Timbalan Pendakwa Raya bagitau mahkamah yang Jabatan Peguam Negara buat keputusan supaya Salleh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah.
“Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Mohamad Salleh diketuai peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah selain tidak menerima sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Rafizi Ramli, naib presiden PKR kata dia sendiri tak terkejut bila Salleh dibebaskan sebab pembelian tu memang dah ikut prosedur.
“Tertuduh telah mengemukakan bukti bahawa pembelian tersebut telah diluluskan mengikut prosedur dan peraturan syarikat. Oleh kerana pembelian kondominium itu diluluskan maka tidak berlaku sebarang pecah amanah,”
Jika dana tersebut telah diluluskan, ia bermakna skandal NFC ini tidak terpalit kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sahaja, tetapi keputusan itu mengesahkan bahawa skandal ini melibatkan keseluruhan UMNO kerana telah memberi keizinan untuk menggunakan dana tersebut.”
“Keputusan mahkamah ini secara langsung memberi mesej bahawa pentadbiran Najib langsung tidak peduli dengan kemarahan rakyat mengenai skandal NFC,” – Rafizi Ramli, dipetik dari FMT.
Perkara ni turut disuarakan oleh Edwin Michael, Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) tentang kerajaan yang tak setuju untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan Malaysia bakal muflis (walaupun takde data atau kajian khas pasal hal ni), tapi kes penyelewengan pulak boleh tutup sebelah mata je.
“Kenapa sahaja tidak menghalalkan dan hapuskan sahaja pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini? Apakah kerana NFC melibatkan kroni sedangkan PTPTN melibatkan anak-anak muda yang senang untuk diperkudakan? Kes skandal PKFZ yang membabitkan duit rakyat sebanyak RM12.7 bilion juga ditutup begitu sahaja.” – Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).
3. Isa Samad, pernah ditahan SPRM tapi dilepaskan dan diberi pulak jawatan pemangku pengerusi SPAD pada 2017
Kes Isa Samad ni adalah antara kisah yang paling terbaru yang kita pernah ceritakan dalam beberapa artikel sebelum ni, contohnya dengan skandal politik wang, FELDA, dan juga pasal isu tanah Jalan Semarak.
Masa kes ni berlangsung, rumah Isa Samad sendiri pernah diserbu, dikatakan untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung pembelian dua hotel oleh FELDA Investment Corporation (FIC). Malah, selepas skandalnya dalam FGV, dia kemudiannya dilantik pula sebagai pemangku pengerusi dalam SPAD.
Bila The Malaysian Insight menemubual beberapa peneroka Felda dari seluruh negara, rata-ratanya marah dan tak berpuas hati bukan semata-mata sebab pendapatan dorang yang berdasarkan upah dan harga minyak sawit, tapi juga saham yang terlibat, dan juga pelbagai kontroversi yang terlibat tapi macam takde penyelesaian.
Malah, ada juga pihak yang menggesa kerajaan supaya tak jadikan penahanan Isa tu sebagai wayang politik untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihan raya. Perkara ni juga menimbulkan kemarahan chef selebriti, iaitu Chef Wan di mana dalam salah satu post Instagramnya menyatakan kekesalannya atas apa yang berlaku ke atas agensi itu menyebabkan kaum keluarga peneroka Felda kini hilang kepercayaan kepada pihak pengurusannya.
“Dulu Felda, sekarang ‘failed’ dah. Beri saya satu sebab paling terbaik kenapa saya sebagai anak Felda tidak rasa kecewa dengan segala apa yang sudah terjadi dan bersuara,”
“Penyamun-penyamun” yang terlibat seharusnya diheret ke pengadilan dan dihukum untuk menyelamatkan imej negara yang sangat memalukan ini. Saya berasa kecewa orang sebegini telah mengkhianati kita. Harapkan pegar, pegar makan padi,”
Apa kaitan Chef Wan dengan FELDA yang dia nak marah sangat ni? Sebabnya, dia merupakan anak peneroka rancangan Felda Sungai Koyan.
“Semua kepercayaan yang ada semuanya habis hanyut ke laut. Jangan kata pada saya yang saya tidak ada hak untuk rasa marah dan kecewa melihat segala pengorbanan arwah ayah atau saya sendiri semasa remaja membesar di Felda.”
Dan disebabkan post dia yang mengutuk FELDA tu juga, dia dikaitkan dengan parti politik lain. Tapi dengan jawapan pedasnya dia jawab balik,
“Gajah dengan gajah berperang kita nak tersepit untuk apa?” – Chef Wan, dipetik dari The Malaysian Insight.
4. Datuk Seri Liow Soon Hee yang tunjuk samseng dengan RELA pada 2017
Oktober tahun lepas, viral pasal Datuk Seri yang pukul bukan seorang, tapi TIGA orang anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) kat sebuah tokong di Jalan Ampang. Puncanya sebab anggota RELA ni suruh alihkan Vellfire dia yang menghalang lalu lintas je. Tak pasal-pasal pulak diorang dicederakan semasa menjalankan tugas.
Datuk Seri tu dicari-cari netizen, sampailah dia akhirnya menyerah diri kat Ibu pejabat polis Ampang Jaya. Nama dia langsung tak didedahkan, sampai orang tercari-cari siapakah empunya diri tu. Bila orang kita ni jadi penyiasat, barulah kita dapat tahu yang dia rupanya adalah Dato’ Seri Liow Soon Hee, yang dah jadi jutawan sejak berumur 24 tahun lagi, di atas pencapaiannya sebagai seorang usahawan.
Polis pun siasat lelaki tu kerana dah menyebabkan kecederaan dan menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas dorang. Nak tutup kesalahannya, dia kemudiannya offer tiga orang anggota RELA yang dicederakan tu sebanyak RM10,000 seorang. Tapi, dorang semua langsung tak terima. Nak dijadikan cerita, dia juga disahkan positif dadah. Bertambah lagi lah kesalahan dia. Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM17,000 dengan satu penjamin bagi semua tuduhan, dan memerintahkan Liow supaya tak ganggu kesemua saksi terlibat.
Disebabkan kes tunjuk samseng tu juga, ramai netizen berpendapat yang gelaran Dato’ Serinya tu patut ditarik balik. Salah seorangnya adalah Tan Sri Danny Ooi dari Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) yang mencadangkan supaya anugerah dan darjah kebesaran yang diberikan kepada seseorang individu ditarik balik jika mereka terbabit dalam kes jenayah.
“Seseorang yang dianugerah gelaran sepatutnya menghormati orang lain, termasuk pasukan beruniform yang sedang melaksanakan tanggungjawab mereka. Tarik balik gelaran mana-mana individu tanpa mengambil kira status Tan Sri atau Datuk Seri,” – Tan Sri Danny Ooi, dipetik dari The Malay Mail Online.
Tak cukup dengan tu, DAP pula mempersoalkan kenapa “Datuk Seri” tu tak pakai baju lokap masa dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman. Memang kalau kita buat salah sekali, orang akan cari salah kaw-kaw punyalah!
Dua bulan lepas kejadian tu, Dato’ Seri tu buat press conference dengan Kuan Chee Heng dan umumkan yang dia nak derma sebanyak RM220,000 kepada orang yang memerlukan. Malah, dia kata yang dia sangat menyesal dengan apa yang dah berlaku sebelum ni. Tapi, netizen menyuarakan benda tu dengan mengatakan yang dia cuba nak bina balik reputasi dia semata-mata, dan bukannnya sebab menyesal.
Masa prosiding kesnya di mahkamah bulan Februari lepas, dia buat hal sekali lagi bila datang dengan memakai seluar pendek, atas paras lutut je. Perkara tu menyebabkan majistret tegur dia sebab tak menghormati mahkamah. Bila majistret tanya, alasannya, dia ada sakit kulit ekzema dan kena sapu ubat. Bila mahkamah minta surat doktor pulak, dia tak boleh kemukan bukti dan kemudiannya diberi amaran supaya hormat mahkamah.
Setakat ni, kes ni masih lagi berjalan dan kalau bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama beberapa tahun atas pelbagai kesalahan yang dilakukannya.
Orang berada ni lagi senang terlepas daripada orang biasa ke?
Kalau nak ikutkan, banyak lagi kes besar lain di mana hukuman terhadap orang yang berpangkat selalunya terlepas, ataupun dapat hukuman yang tak setimpal. Macam mana pula dengan kes lelaki yang curi pemetik api dan dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun, atau seorang lagi lelaki yang curi RM2 duit tabung masjid, tapi dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM5,000?
Berbalik kepada kes Datin yang hanya dikenakan bon berkelakuan baik tu, (tapi masih terikat dengan mahkamah selama tempoh ditetapkan) kita juga kena faham yang kes ni bukan setakat kes negara je sebab dah libatkan orang gaji warganegara Indonesia. Jadi, Indonesia sekarang tengah pantau apa yang kita buat dengan kes ni, sampai keputusan muktamad, sebelum dorang menyatakan pendirian terhadap kes ni.
Masa Mahkamah Seksyen mula-mula kenakan bon kelakuan baik tu, bukan netizen je, tapi ramai pengamal undang-undang yang bantah sebab hukuman tu memberi gambaran salah terhadap perundangan negara. Malah, keputusan mahkamah tu juga dikatakan “memperlihatkan undang-undang di negara ini seolah-olah melindungi orang kaya, selain hanya mengukuhkan kedudukan negara dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) 2017.“
- 549Share sekarang!
- Email36
- Facebook513
- Share