- 1.1KShare sekarang!
- Email20
- Facebook1.0K
- Share
UPDATE 31/12/18: Ketika ini Indonesia berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang risiko letusan gunung berapi Anak Krakatau dan tsunami. Apa yang menyedihkan, menurut pakar, jika berlaku lagi letusan dan tsunami, maka kita takkan dapat melihat lagi spesies badak Jawa. Ini kerana badak-badak ini tinggal di Taman Negara Ujung Kulon berdekatan Anak Krakatau yang berisiko tinggi. Adakah badak-badak Jawa akan pupus?
Sebelum ni korang mesti pernah dengar pasal haiwan-haiwan yang dah pupus macam burung Dodo, gajah Mammoth, Harimau Tasmanian, dan macam-macam lagi. Disebabkan masalah kepupusan, kita sekarang ni cuma boleh tengok haiwan-haiwan tu dalam buku je, dan bukan di depan mata secara real :(
Antara haiwan yang pupus berjuta-juta tahun yang dulu adalah dinosaur, berpunca daripada perubahan alam semulajadi sendiri iaitu letusan gunung berapi dan perubahan iklim yang sangat drastik.
Tapi, ada juga haiwan yang pupus disebabkan aktiviti manusia yang tak bermoral seperti pembalakan, pembangunan melampau, penyeludupan haiwan liar dan pemburuan haram. Malah, ada yang hampir pupus dan terancam seperti…
1. Black Panther, aka Harimau kumbang
WAKANDA FOREVER! Mesti korang dah tengok filem Black Panther, kan? Sesiapa yang tak tengok lagi, kitorang malas la nak bagi spoiler. Kitorang cuma nak cakap pasal Black Panther, atau harimau kumbang yang merupakan salah satu spesies yang diambang kepupusan sekarang ni. Salah satu sebab kepupusan mereka di Malaysia ni adalah tempat tinggal mereka yang dimusnahkan manusia sebab pembalakan, dan juga untuk membina ladang kelapa sawit dan getah.
Kalau korang nak tahu, Black Panther di Asia dan Afrika adalah dari jenis harimau (Panthera pardus) manakala di benua Amerika adalah jaguar hitam (Panthera onca).
Populasi Black Panther, atau harimau kumbang semakin berkurangan di seluruh negara. Perkara ni disahkan oleh The IUCN Red List of Threatened Species, iaitu sebuah badan NGO yang menilai status pemuliharaan spesies dan subspesies terpilih pada skala global sejak 50 tahun yang lalu.
Disebabkan kepupusan yang bakal berlaku di negara kita, sorang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Gopalasamy Reuben Clements menjalankan kajian untuk mengumpul dan menganalisis data populasi harimau kumbang, harimau belang, dan harimau dahan di kawasan Tasik Kenyir. Projek tersebut dinamakan Project ‘Black Cloud’.
Kajian ni memfokuskan kawasan tasik yang seluas 60,000 hektar, dibantu oleh PERHILITAN dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Dalam projek tu, dorang gunakan lebih kurang 200 kamera bagi tujuan pengawasan hidupan liar ni.
Dalam kajian tu, dorang dapati ada tiga ekor harimau kumbang dalam setiap 100 kilometer persegi [38.6 batu]. Itu maksudnya ada lebih kurang 18 ekor je dalam kawasan 60,000 hektar tu! Nampaknya, kepupusan spesies ni memang di tahap serius.
“Kajian ini amat penting bagi menyedarkan orang ramai betapa pentingnya hidupan liar dipulihara bukan sahaja untuk tatapan generasi akan datang tetapi juga membantu dalam kestabilan rantaian makanan.
Ini kerana sekiranya populasi harimau yang merupakan pemburu dalam hutan berkurangan, populasi spesies haiwan lain akan meningkat dan ini tidak baik bagi hutan tersebut.” – Prof. Madya Dr. Gopalasamy Reuben Clements, penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
2. Ikan Sturgeon, diburu sebab kaviar
Korang mesti pernah dengar pasal makanan paling mahal di dunia, iaitu kaviar yang mencecah $141.52, atau RM554.19 untuk 100g (3.5 oz) Sturgeon Caviar. Itu macam… lagi mahal daripada harga emas semasa.
Tapi, apa yang menyebabkan kaviar, atau telur ikan ni mahal sangat? Ini adalah disebabkan ikan sturgeon yang semakin sikit bilangannya. Susah nak jumpa ikan ni, susah lagi nak jumpa yang bertelur.
Kaviar ni didapati melalui pelbagai jenis ikan, tapi antara yang paling mahal adalah daripada Sturgeon, nak lagi spesies Beluga. Sturgeon Beluga, yang berasal daripada keluarga Acipenseridae dan ia mampu hidup melebihi 100 tahun. Malah, ikan Beluga juga adalah kumpulan ikan yang sangat tua (lebih dari 200 juta tahun, masa zaman dinasaur lagi).
Dah la diambang kepupusan, orang-orang yang tak bertanggungjawab ni pula ambil telurnya untuk dapat keuntungan yang tinggi. Sturgeon terancam disebabkan penangkapan ikan secara haram dan perdagangan yang beroperasi di Laut Caspian.
Pada tahun 2002, jualan sah kaviar bernilai kira-kira $90 juta setahun. Walaupun mahal, punyalah ramai beli sampai stugeon ni betul-betul makin pupus. Yela, tempoh masa dia nak matang dah la lama, pastu bila orang ambil telur dia, macam mana dia nak ada generasi lain? Jadi pada tahun yang sama, Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS (FWS) pun terus menyenaraikan sturgeon di bawah Akta Spesies Terancam AS.
Setakat ni, 27 spesies sturgeon berada di Senarai Merah IUCN dengan 63 peratus daripadanya disenaraikan sebagai terancam di tahap kritikal. Sturgeon Beluga pulak mengalami penurunan sampai 90% sejak 20 tahun yang lepas. Saintis juga menganggarkan yang spesies ni akan pupus dalam 150 tahun lagi. Bunyi macam lama, tapi korang kena tahu yang ikan ni ambil masa yang lama untuk matang. Dan tu tak masuk lagi kalau ada pencemaran laut, bencana alam atau perubahan alam sekitar yang berlaku.
Disebabkan permasalahan yang berlaku ni juga, pelbagai kajian dilakukan untuk memulihara populasi ikan ni supaya tidak diancam kepupusan, dan cuba untuk menambahkan lagi populasi mereka. Contohnya seperti tak membuat tangkapan yang melebihi kapasiti pembiakannya.
Kalau nak tahu, Malaysia dulu pernah juga buat projek penternakan ikan Sturgeon di Sungai Tebung, Kuala Tahan. Tapi, ia terpaksa dibatalkan sebab tak sesuai dengan ekosistem perairan Malaysia. Sebabnya, sturgeon ni spesies ikan pemangsa dan boleh menyebabkan ikan tempatan di sungai kita seperti patin, jelawat, kerai dan sebarau pupus. Jabatan Perikanan Malaysia lepas tu senaraikan ikan sturgeon sebagai spesies ikan yang dilarang untuk dibawa masuk ke negara ini.
3. Badak yang makin pupus sebab tak nak mengawan
UPDATE 27/5/2019: Nampaknya badak kat Malaysia dah takde lagi, memandangkan badak terakhir (Tam) yang diletakkan kat Borneo Rhino Alliance telah pun mati. Seperti yang semua orang tahu, Tam mengalami masalah kesihatan iaitu menderita kerosakkan buah pinggang dan masalah hati.
“Malangnya, Tam mati sekitar tengah hari pada Isnin 27 Mei 2019. Segalanya yang patut dilakukan, telah pun dilakukan, dan dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.
Minggu-minggu terakhir Tam dalam pusat ni melibatkan penjagaan paliatif yang dipantau oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) di bawah doktor haiwan Dr Zainal Zahari Zainuddin, di Borneo Rhino Sanctuary di Tabin Wildlife Reserve, Lahad Datu,” – Datuk Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, sumber dari Malay Mail.
Tam merupakan seekor badak Sumatera yang ada di Sabah yang diletakkan dalam pusat konservasi dengan harapan proses pembiakan boleh berlaku tapi atas faktor kesihatan, proses pembiakan gagal dilakukan.
Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan taburan badak sumatera yang pernah direkodkan tertumpu di kawasan perlindungan seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau Rompin dan Taman Negeri Royal Belum.
Tapi, bilangannya berkurangan apabila badak sumbu diburu kerana sumbunya yang digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Harga sumbunya (tanduk) pun boleh tahan, iaitu mencecah AS$75,000 (RM325,612) sekilogram.
Menurut rekod Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), badak jawa dah lama pupus di Malaysia iaitu sebelum era Perang Dunia Kedua lagi. Malah yang lebih menyedihkan, tiga ekor daripadanya ditembak mati di Selangor dan Perak sekitar tahun 1926 dan 1932.
“Malaysia melalui senarai terkini merekodkan badak jawa sebagai pupus, sementara empat spesies lain iaitu badak sumatera, Harimau Malaya, tenggiling dan seladang dinilai sebagai spesies terancam kritikal,“ – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri, dipetik dari hmetro.com
Selain daripada pemburuan haram untuk mendapatkan gadingnya yang bernilai tinggi terutamanya dalam pasaran gelap, punca utama badak semakin pupus adalah kerana spesies badak ni sekarang nampaknya tak suka mengawan!
Bunyinya mungkin pelik, tapi ni la antara sebab badak di Malaysia tak membiak. Sebabnya, populasi jantina badak jantan dan betina tak seimbang untuk mengawan. Ada yang badak jantan terlalu tua manakala badak betina terlampau muda, dan sebaliknya. Jadi, perkara ni nampaknya sampai menjejaskan pembiakan mereka. Menurut PERHILITAN, badak betina yang tak bunting dalam masa yang panjang bila sampai tempoh matang boleh menyebabkan saluran peranakannya mempunyai masalah.
Perkara ni la yang jadi kat Iman, iaitu badak sumbu betina terakhir Malaysia. Iman disahkan menghidap penyakit tumor dalam rahim dan nampaknya tak dapat membiak lagi.
Sebelum Iman, negara kita juga ada seekor lagi badak sumbu Sumatera yang bernama Puntung yang menghidapi barah kanser kulit, dan mati pada pertengahan tahun lepas. Puntung ditangkap pada tahun 2011 pernah cuba dibiakkan dengan seekor lagi badak jantan dinamakan Tam, tapi gagal disebabkan sistem pembiakannya yang juga bermasalah.
4. Beruang kutub yang semakin kurus
Pada tahun lepas, jurugambar National Geographic berjaya merakamkan seekor beruang kutub yang sangat kurus dan terpaksa mencari makanan dalam tong sampah. Padahal kita tahu yang salah satu makanan utama beruang kutub adalah anjing laut dan ikan. Jurugambar ni kemudiannya tunjukkan pada dunia betapa seriusnya kepupusan yang bakal berlaku kepada beruang kutub.
“Apabila saintis mengatakan beruang akan pupus, saya mahu orang ramai menyedari apa yang kelihatannya,” – Paul Nicklen, ahli biologi dan juga jurugambar freelance untuk National Geographic.
Menurut kajian ketua saintis Polar Bears International, Steven Amstrup, dalam satu wawancara mengatakan yang beruang tersebut kelaparan, dan kekurangan zat makanan. Seperti yang kita tahu, beruang kutub akan berhibenasi (tidur dalam jangka masa yang lama) semasa musim sejuk, dan cuma mencari makanan pada musim panas apabila ais mula mencair.
Malah, beruang kutub bertahan pada lemak yang disimpan semasa bulan-bulan musim panas. Jadi apabila mereka tak dapat makanan, mereka akan membakar lemak dalam badan sebagai pengganti makanan, kira-kira dua paun sehari sambil menunggu ais laut kembali.
Ramai saintis bersetuju iceberg di lautan Arctic semakin cepat melebur tahun demi tahun, sejak 1979.
“Kalau pemanasan yang berlaku semakin berpanjangan, nampaknya ekosistem marin Arktik seperti yang kita ketahui sekarang tidak akan wujud lagi” – Ian Stirling, ahli sains beruang polar.
Populasi beruang polar yang dicatatkan sampai setakat ni adalah 22,000 hingga 31,000, dan terbahagi kepada 19 subpopulasi. Menurut IUCN Polar Bear Specialist Group, data mereka menunjukkan bahawa tiga subpopulasi sedang mengalami kepupusan, dan ada risiko jangkaan penurunan pada masa depan akibat perubahan iklim, macam apa yang berlaku kepada beruang yang dirakamkan wartawan National Geographics.
Bukan setakat habitat haiwan, malah iceberg yang mencair ni nampaknya bakal menenggelamkan beberapa buah tempat di seluruh dunia. Salah satunya adalah negara pulau Maldives yang dikatakan akan tenggelam sepenuhnya 80 tahun lagi.
5. Harimau Malaya, atau Harimau Belang
Kalau Wakanda ada Black Panther, Malaysia ada Harimau Malaya! Selain pasukan bola sepak Malaya, banyak lagi lambang dalam negara kita yang gunakan harimau sebagai objek utama macam dekat Jata Negara, PDRM, Proton, Maybank dan banyak lagi.
Harimau Malaya dengan nama saintifiknya, Panthera Tigris Jackson adalah bersempena nama tokoh pemuliharaan terkenal, Peter Jackson, bagi memperingati jasanya menyelamatkan hidupan liar ini.
Harimau Malaya ni dikaji sendiri oleh beberapa orang saintis daripada Amerika, di mana mereka menjalankan kajian DNA daripada 134 harimau yang ditangkap di rantau Asia dan mendapati harimau belang jenis ni cuma didapati di Malaysia sahaja, menjadikan harimau ni Harimau Malaya.
Sejak tahun 2015, laporan mengatakan yang populasi harimau Malaysia didapati merosot sehingga 50 peratus dalam tempoh sedekad yang lepas disebabkan pemburuan haram dan kemusnahan habitat semula jadi. Kalau dulu Malaysia dianggarkan mempunyai lebih kurang 3,000 spesies harimau yang berjaya dicatatkan, tapi jumlah tu nampaknya semakin merosot, iaitu kurang daripada 300 ekor sahaja.
Jadinya, hidupan liar ni dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang mengklasifikasikan harimau Malaya sebagai spesies buruan yang dilindungi. Status tu kemudiannya diubah pada tahun 1976, di mana harimau Malaya ni dilindungi sepenuhnya.
Pada tahun 2016, viral sekejap pasal kes harimau di rempuh MPV di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), yang kemudiannya menyebabkan kematian binatang itu serta merta. Kes tu mendapat perhatian ramai rakyat yang sebenarnya prihatin dengan haiwan yang diancam kepupusan ni.
Jadinya, ada beberapa langkah yang pernah diketengahkan pada masa tu, contohnya dengan mencontohi inisiatif Singapura yang mempunyai Eco-Link@BKE, iaitu sebuah jambatan ekologi yang merentasi Lebuhraya Bukit Timah, yang menghubungkan Simpanan Alam Bukit Timah dan Rizab Alam Sekitar Pusat.
Singapura adalah antara negara pertama di Asia Tenggara yang ada projek jambatan ekologi ni. Disebabkan pembangunan di negara mereka yang sangat maju, secara tak langsung hidupan hutan pun banyak yang pupus sebab penerokaan hutan secara berleluasa. Disebabkan kesedaran yang tinggi terhadap pentingnya kehidupan haiwan dan untuk dipelihara.
Negara-negara lain yang juga mempunyai jambatan ekologi ni termasuklah jambatan monyet di Brazil, laluan gajah di Kenya, terowong bawah tanah untuk haiwan di Finland, malah laluan laluan ketam di Christmas Island (Australia).
Jambatan ekologi di Malaysia sebenarnya dah dirancang sejak tahun 2011 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tapi nampaknya kemalangan haiwan masih lagi berlaku, terutamanya kepada haiwan liar, terutama sekali si raja rimba yang menjadi kebanggaan negara kita.
Jadi kalau takde lagi harimau di Malaysia, relevan lagi ke kita gunakan gambar harimau sebagai lambang kat jata negara dan beberapa lagi lambang yang lain?
Kepupusan haiwan boleh bagi masalah terhadap keseimbangan dunia
Kalau nak diikutkan, banyak lagi haiwan yang berada di ambang kepupusan sebab kerakusan manusia terhadap alam sekitar, yang seterusnya menyumbang kepada pelbagai masalah,seperti pemanasan global. Perkara ni jadi masalah sebab beberapa jenis tumbuhan dilaporkan boleh pupus sebab haiwan membantu dalam penyebaran biji benih pokok. Rantaian makanan boleh putus disebabkan kepupusan haiwan, sebab mereka saling berkait.
Malah Albert Einstein sendiri pernah pesan,
“Apabila lebah musnah dari muka bumi, umat manusia hanya akan punya empat tahun untuk terus hidup.”
Kalau korang ingat mata pelajaran sains dulu, kita belajar yang lebah adalah salah satu serangga penting yang menyebabkan pendebungaan terjadi apabila dia pergi dari satu bunga, ke bunga yang lain.
Dari segi fakta, daripada 100 spesies tanaman di dunia, 90% daripadanya adalah tumbuhan yang boleh di makan (buah-buahan dan sayur-sayuran). Dan 70% daripada makanan dunia ni terjadi adalah sebab ia disebarkan oleh lebah. “ – Pengarah Program Persekitaran PBB (UNEP), Achim Steiner.
Malah kejadian ni secara tak langsung boleh mengakibatkan ketidak seimbangan rantaian makanan dan seterusnya, menyebabkan kepupusan pemangsa mereka juga. Cuba bayangkan kalau manusia pada satu hari nanti tak dapat mencari makanan tak kiralah daripada tumbuh-tumbuhan atau binatang ternakan. Jadi apa yang kita boleh lakukan ialah dengan memulihara kedua-dua flora dan fauna supaya keseimbangan dunia dapat dijaga.
Korang sebenarnya boleh bantu dengan…
Sekarang korang tahu betapa pentingnya kena jaga haiwan daripada pupus ni, dan salah satunya dengan tak menyumbang kepada pemanasan global dan jaga alam sekitar. Tapi, korang tahu tak korang juga ada kuasa untuk menentukannya dengan volunteer atau menyumbang kepada…
1. Animal Projects & Environmental Education (APE Malaysia) – Volunteer, dan berpeluang membantu pekerja zoo, menghampiri haiwan terancam dan memperbaiki habitat haiwan-haiwan yang sedia ada di atau menderma kat sini.
3. Persatuan Pencinta Alam Malaysia
4. Persatuan Aktivis Sahabat Alam – KUASA – aktivis alam sekitar ni buat aktiviti pemetaan komuniti untuk Orang Asli supaya orang lain tak ceroboh kawasan dorang untuk pembalakan. Malah, dorang pernah bantah pembinaan Kilang Gas Asli Cecair & Kilang Besi Magma di Hutan Simpanan Dara Tanjung Hantu & Segari Melintang sampai projek tu cancel.
- 1.1KShare sekarang!
- Email20
- Facebook1.0K
- Share