- 3.5KShare sekarang!
- Email68
- Facebook3.4K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 18 Januari 2018
Macam biasa, kita masih tak dapat beraya lagi. Namun, masih ada orang yang berdegil balik ke kampung halaman dengan menyalahgunakan surat MITI. Haiih, apa nak jadi la dengan diorang ni, tak bertanggungjawab langsung, kita ni lagi berapa bulan nak capai imuniti kelompok, tapi mereka pula buat hal.
Takpela, memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha kali ni agak ‘kureng’ sikit, mari kami kongsi sikit satu cerita menarik kepada korang mengenai Hajar Aswad.
Kepada yang pernah pergi ke kota suci Mekah, mesti mencium batu hitam atau Hajar Aswad jadi sesuatu yang diidam-idamkan. Tapi tak semua orang dapat cium Hajar Aswad, sebab yang nak cium tu bukan sorang, tapi berjuta-juta orang. Jadinya, pada sesiapa yang berpeluang dan bernasib baik dapat cium Hajar Aswad, tahniah kita ucapkan.
Sebenarnya, sejarah pasal Hajar Aswad ni panjang dan banyak boleh diceritakan. Batu hitam ni juga dah mencatatkan pelbagai peristiwa suka dan duka, sejak zaman berzaman. Sebagai batu yang ditempatkan di tanah suci dan dekat dengan Kaabah, dah pasti ia bukan satu batu yang biasa-biasa. Batu ni jadi istimewa sebab…
1. Diturunkan dari syurga dengan warna lebih putih dari susu
Terdapat banyak riwayat tentang asal usul Hajar Aswad. Tapi apa yang pasti, Hajar Aswad adalah batu yang diturunkan dari syurga oleh Allah SWT. Abdullah bin Abbas meriwayatkan –Hajar Aswad adalah batu yang berasal dari syurga dan tak ada batu yang diturunkan dari syurga melainkan batu ni.
Bagaimanapun, masih tak ada maklumat jelas tentang siapa yang letakkan Hajar Aswad pertama kali kat Kaabah. Sama ada malaikat atau Nabi Adam A.S. Manakala, sesetengah riwayat pula cerita yang Hajar Aswad turun dari syurga bersama-sama dengan turunnya Nabi Adam dan Hawa ke dunia.
Tapi lepas tu, batu ini hilang masa berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh AS. Walaupun begitu, Nabi Ismail AS dah jumpa balik batu ni dengan bantuan malaikat Jibrail. Nabi Ibrahim AS kemudiannya letakkan batu ni kat sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah). Apa yang menarik, pada asalnya batu tu berwarna putih, sebelum bertukar jadi hitam.
“Hajar Aswad turun dari syurga, batu tersebut begitu putih lebih putih daripada susu. Dosa manusialah yang membuat batu tersebut menjadi hitam.” – Hadis riwayat Tirmidzi.
Menurut riwayat lain pula, dulu Hajar Aswad bukan je berwarna putih, tapi memancarkan cahaya yang berkilau.
“Jika Allah SWT tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Tapi bagi orientalis, diorang tak percaya dengan cerita asal usul Hajar Aswad ni dan dakwa ia cuma batu meteor yang jatuh ke bumi.
2. Nabi Muhammad SAW menyelesaikan perbalahan kabilah Arab kerana Hajar Aswad
Masa Nabi berumur 35 tahun, Kaabah terlibat dalam banjir besar sampaikan ia kena dibina balik. Jadinya, bila pembinaan semula tu selesai, Hajar Aswad pun nak diletakkan kat tempat asalnya. Tapi macam yang kita tahu, terjadi pulak perbalahan di kalangan kabilah-kabilah Arab yang berebut nak letak batu tu.
Bila nampak isu ni macam tak boleh selesai, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum yang juga orang tertua kat situ pun bagi cadangan. Cadangannya – orang yang berhak letak Hajar Aswad kat tempat asalnya adalah orang yang pertama sekali masuk ke pintu Safa.
Dengan takdir Allah, orang itu adalah Nabi Muhammad SAW. Maka Nabi lah orang yang paling layak untuk letakkan Hajar Aswad kat tempat asalnya. Tapi Nabi tak terus angkat dan letak batu tu. Sebaliknya, Nabi cuba bersikap adil kepada semua pihak.
“Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu.
___
Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Lepas tu, barulah Nabi angkat batu tu dan letakkannya kat tempat asal. Tindakan Nabi tu dah dapat penghormatan yang besar dari kalangan ketua-ketua kabilah yang berebut dan perbalah masa tu.
Tapi kedudukan Hajar Aswad tak kekal selama-lamanya di tepi kaabah. Sebab ada je ancaman yang ditujukan ke Mekah.
3. Terjadinya peristiwa pembunuhan di Mekah dan kecurian Hajar Aswad
Hajar Aswad tetap menjadi tumpuan umat Islam, khususnya selepas empayar Islam semakin meluas. Walaupun begitu, krisis di kalangan umat Islam dan fitnah telah menjadi masalah besar kepada empayar Islam ketika itu (mahupun sekarang). Ianya bermula selepas zaman fitnah di waktu Saidina Ali menjadi khalifah.
Selepas tu, muncullah golongan-golongan ekstrem macam Syiah dan Khawarij. Syiah terkenal sebagai golongan yang mengkafirkan ramai sahabat Rasulullah SAW, malah mereka juga mengkafirkan isteri-isteri Nabi. Malah ada golongan dalam Syiah yang ekstrem sehingga melancarkan serangan ke atas Mekah yang dipimpin oleh Abu Tahir al-Jannabi.
Abu Tahir ni adalah pemimpin Syiah Qaramitah, satu tempat di Bahrain. Dia juga adalah pengikut Syiah Isma’iliya (salah satu cabang Syiah). Pada tahun 930 masihi, Abu Tahir dah buat kekufuran yang besar iaitu menyerang kota suci Mekah. Pada Hari Raya Haji, Abu Tahir dan bala tenteranya dah bertindak menyerang Mekah, membunuh para jemaah dan orang-orang yang buat tawaf.
Mayat-mayat ni pula dihumbankan dalam telaga zam-zam. Dianggarkan lebih 30 ribu orang terbunuh dalam serangan tu. Abu Tahir dan pengikutnya juga merosakkan kelambu Kaabah, cabut pintu Kaabah dan akhirnya cabut Hajar Aswad dari tempat asalnya. Dikatakan, Abu Tahir masa tu dengan angkuh mencabar Allah SWT di depan Kaabah dengan berkata…
“Di mana burung-burung Ababil Engkau? Di mana batu Sijjil (batu dari tanah yang terbakar) Engkau?” Merujuk kepada peristiwa serangan bergajah yang dipimpin oleh raja Abrahah sebelum kedatangan agama Islam.” – Dipetik dari Indahnya Islam.
Selepas tu, Abu Tahir dan mengikutnya pun angkut Hajar Aswad keluar dari Mekah. Hajar Aswad kemudiannya dibawa ke Hijr di Bahrain. Abu Tahir sebenarnya nak buat satu tempat untuk gantikan Mekah, dengan harapan boleh jadi sebab Hajar Aswad dah ada kat tangan dia. Tapi hal ni tak jadi, dan orang Islam tetap tunaikan haji dan umrah kat Mekah.
Usaha emir (gabenor) Mekah dan Abbasiyah untuk dapatkan balik Hajar Aswad pun gagal. Kesannya, Hajar Aswad tak ada di bumi Mekah selama 22 TAHUN! Tapi lepas Abu Tahir meninggal dunia, Hajar Aswad akhirnya dikembalikan ke Mekah. Penantian selama 22 tahun juga akhirnya tamat.
“Ibnu Kathir dalam kitabnya kata, puak yang menyerang dan merampas Hajar Aswad ini sebagai puak kuffar atau kafir.” – Ustaz Ahmad Jailani, dipetik dari Pro Media Tajdid.
4. Jangan terlalu taksub nak cium Hajar Aswad
Seperti yang diceritakan tadi, ramai yang nak dapatkan peluang untuk cium Hajar Aswad walaupun sekali untuk seumur hidup. Tapi kalau kita percaya yang Hajar Aswad ada kelebihan tertentu atau manfaat tertentu, kita nampaknya dah salah. Sebab, Saidina Umar sendiri pernah kata:
“Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Jadinya, kita mencium Hajar Aswad pun disebabkan Rasulullah SAW pernah buat benda yang sama, bukan sebab ada apa-apa unsur kesaktian. Selain tu, kita juga sebenarnya tak digalakkan untuk berebut-rebut dan berasak-asak semata-mata untuk cium Hajar Aswad.
“Kadang-kadang ada yang tak berapa faham. Ada jemaah bukan dari Malaysia, tok imam baru nak bagi salam, dia dah lompat berebut nak cium Hajar Aswad. Seolah-olah kita nampak ada tuhan yang lain, dalam solat ni tuhan lain, dekat Hajar Aswad lain.
___
Sebab itu, Nabi tak benarkan Umar al-Khattab pergi bersaing untuk cium Hajar Aswad. ‘Engkau (Umar) kuat, jangan sakitkan orang lain’, kata Nabi. Jadi jangan kita berebut-rebut dan menyakiti sesama muslimin. Nak cium Hajar Aswad sebab nak cari rahmat tuhan, yang liku orang ni nak cari rahmat siapa?” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Sinar Kuliah.
Hajar Aswad – batu penyatu umat Islam
Sebenarnya, Hajar Aswad yang kita nampak tu bukanlah dalam bentuk batu yang sedia ada sejak ia diturunkan. Sebab, awalnya Hajar Aswad tak dihias dengan lingkaran perak kat sekelilingnya tu. Menurut ahli sejarah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang pasang lingkaran perak kat sekeling Hajar Aswad.
“Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah. Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada 189 H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Abbasiyah (memerintah tahun 786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Lepas tu, Sultan Abdul Majid (Khalifah Uthmaniah) pada tahun 1268 hijrah dah hadiahkan lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad, sebagai pengganti lingkaran perak yang hilang. Tapi lepas tu sekali lagi, lingkaran emas tu diganti dengan perak oleh Sultan Abdul Aziz (juga dari Uthmaniah). Maka sampailah ke hari ini Hajar Aswad dihias dengan lingkaran perak untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya.
Walau apa pun, Hajar Aswad bukanlah satu batu biasa dalam dunia Islam. Kerana batu ini, Nabi Muhammad SAW dapat menyatukan kabilah-kabilah Arab yang bertelagah. Serta dengan batu ini juga, umat Islam tanpa mengira kaum, paras rupa, pangkat dan sebagainya menciumnya, selaras dengan apa yang Nabi pernah buat.
“Telah kucium Hajar Aswad;
dengan bibir hati dan segenap perasaan;
bukan kerana aku yakin ia bermanfaat;
tetapi kerana ia pernah dicium Muhammad;
pemilik nafas terharum;
aku ingin bibirku dan bibirnya bertemu;
meskipun hanya dalam bayangan.”
– Syair Umar Bahauddin al-Amiri.
- 3.5KShare sekarang!
- Email68
- Facebook3.4K
- Share