- 1.9KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share
Sudah sekian lama isu kafir mengkafir jadi polemik di kalangan masyarakat Melayu. Secara umumnya, ia sebenarnya berdasarkan persaingan politik antara dua parti suatu masa dulu iaitu UMNO dan PAS. Baru-baru ni isu Amanat Hj Hadi (Presiden PAS sekarang) naik balik bila Tun Dr Mahathir kata ia adalah antara punca jadinya peristiwa Memali.
Dr Mahathir pun tuduh yang mufti berdiam pasal isu Amanat Hj Hadi. Tapi tuduhan ni segara dijawab oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Katanya, mufti selama ini cuba jauhkan diri dari politik supaya tak nampak macam berpihak pada sesiapa. Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) pula kata yang pihak Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1984 dah pun buat keputusan bahawa Amanat Hj Hadi bercanggah dari ajaran Islam.
Sebenarnya kalau nak diikutkan, sejarah antara UMNO dan PAS ni panjang. Ada masa bermusuh dan ada masa juga berkawan. Tapi apa yang jadi masalah, bila muncul isu kafir mengkafir atau takfir sesama umat Islam ni. Sebabnya, selama ini umat Islam dah pun melalui zaman tragis kerana isu yang sama.
Munculnya golongan Khawarij dan Syiah yang mengkafirkan orang tak sependapat
Takfir bermaksud perbuatan menuduh atau menghukum seseorang atau kumpulan tertentu sebagai kafir atau terkeluar dari Islam. Tapi majoriti ulama larang kita dari buat tuduhan kafir mengkafir sesama umat, kecuali memang dah ada bukti secara nyata yang menunjukkan seseorang itu kafir.
Isu kafir mengkafir atau takfir tak muncul di zaman Rasulullah, tapi hanya ada pada zaman selepas kewafatan baginda. Macam zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali apabila munculnya satu golongan yang dikenali sebagai Khawarij. Khawarij ni satu kumpulan yang ekstrem dan terlalu mudah mengkafirkan orang.
Sampailah ke satu tahap mereka ni terlibat dalam pembunuhan Saidina Ali. Selain dari Khawarij, muncul juga kumpulan Syiah yang mengkafirkan para sahabat dan isteri Nabi Muhammad SAW. Hal ni seterusnya diikuti oleh golongan-golongan ekstrem lain sampai hari ini, bila munculnya al-Qaeda, Daesh dan sebagainya.
Bermulanya budaya kafir mengkafir dalam masyarakat Islam-Melayu
Dikatakan isu kafir mengkafir dalam kalangan orang Melayu ni mula wujud selepas era penjajahan iaitu bila negara menuju kemerdekaan. Sebabnya, masa inilah munculnya parti-parti politik macam UMNO, PAS dan sebagainya.
“Di antara tokoh terawal yang membawa isu takfir ialah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili (dikatakan wakil PAS di Makkah) pada tahun 1954. Beliau membawa isu haram melantik pimpinan bukan Islam sebagai pemimpin orang Islam dalam kitabnya, Islam: Ugama dan Kedaulatan.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ahmad Zaki Abd Latiff.
Disebabkan pandangan ni, kerajaan dah haramkan kitabnya, sebab Tanah Melayu mengamalkan sistem perkongsian kuasa. Bagaimanapun, tak semua ulama Tanah Melayu masa tu terima pandangan Syeikh Abdul Qadir. Antaranya macam Tuan Guru Hj Abdul Rahman Merbok dan Hj Ghazali Yasin yang kata harus untuk kita berkongsi kuasa dengan orang bukan Islam.
Tambah mereka lagi, bekerjasama yang dilarang adalah dengan golongan kafir harbi atau dengan golongan yang boleh menjejaskan kedudukan Islam. Tapi untuk Tanah Melayu, isu tu tak timbul dan kedudukan Islam masih lagi terjaga.
Tapi pandangan mereka ni tetap dibantah oleh Syeikh Abdul Qadir dan beliau masih tegaskan yang orang beriman dilarang dari bekerjasama dengan kafir (walaupun bukan harbi) dalam pentadbiran.
Walaupun begitu, pendapat harus bekerjasama dengan bukan Islam dalam pentadbiran negara terus diamalkan oleh kerajaan Perikatan (sekarang Barisan Nasional) sampai hari ini. Malah, keharusan ni diakui sendiri oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz yang pernah kata hukumnya harus untuk PAS dan UMNO bekerjasama dalam BN masa tahun 1974 dulu.
Sebenarnya isu takfir dalam politik bukan dasar dan pendirian PAS
Seperti isu yang disensasikan sekarang, PAS selalunya dikaitkan dengan isu takfir ni. Tapi bila ditengok balik dalam kajian akademik, kita dapat jumpa yang isu takfir ni bukannya dasar dan pendirian PAS. Berdasarkan kepimpinan utama PAS dulu,seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad, Dato’ Asri Muda, Tuan Guru Yusuf Rawa dan Datuk Fadzil Noor, mereka semua tak pernah kemukakan isu takfir dalam mana-mana ucapan mereka.
Malah Dato’ Asri sendiri pernah kata isu takfir tak pernah dibahaskan kat peringkat pusat atau bahagian PAS. Termasuk juga tak pernah dibincangkan dalam Dewan Ulama PAS.
“Namun demikian, sebilangan ulama PAS terbukti mengambil pendekatan takfir dalam pertembungan antara parti politik Islam (PAS) dengan parti politik kebangsaan (UMNO), kemudian pihak lawan (UMNO) mendakwa bahawa mereka dikafirkan oleh PAS berdasarkan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Melayu, terutamanya di Kelantan dan Terengganu.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ahmad Zaki Abd Latiff.
Pada tahun 1961, isu takfir semakin meluas bila buku – ‘Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah’ oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili diedarkan. Seperti yang dikatakan tadi, buku ni sekali lagi tegaskan yang orang Islam haram berkongsi kuasa dengan orang bukan Islam dalam pentadbiran negara.
Dua tahun lepas tu, seorang guru agama terkenal dari Pasir Mas (yang juga ahli Jawatankuasa Ulama PAS) bagi pandangan mengharamkan pakatan politik dengan orang bukan Islam. Maka masa tu bermula jugalah kesannya terhadap masyarakat, timbul isu – haram makan sembelihan orang UMNO, tak sah kahwin dengan orang UMNO dan tak boleh sembahyangkan jenazah orang UMNO.
Lepas tu, isu takfir ni mula merebak ke Terengganu, Kedah dan Perak. Tapi Jawatankuasa Tetap Agama bagi Majlis Raja-Raja Melayu masa tu keluarkan fatwa melarang umat Islam mengkafir sesama sendiri.
“Isu kafir-mengkafir menjadi reda apabila PAS menyertai Barisan Nasional (1974-1977). Keadaan ini terjadi mungkin kerana golongan politik tidak menggunakan pendekatan radikal tetapi mengambil pendekatan sederhana seperti bekerjasama dan berbincang dalam menyelesaikan masalah umat Islam.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ahmad Zaki Abd Latiff.
Tapi lepas kerjasama PAS-UMNO ni tamat, isu kafir mengkafir muncul balik, bila seorang Tuan Guru keluarkan fatwa pada tahun 1981 dengan menghukum penyokong BN sebagai kafir. Makanya dengarlah kita dengan isu solat dengan dua imam dalam satu masjid dan sebagainya.
“Begitu juga, berlaku di tempat-tempat tertentu, ayam berpikul-pikul dibuang ke sungai kerana dikatakan tidak halal kerana disembelih oleh orang UMNO atau orang yang menyokong UMNO. Timbul juga perpecahan dari segi sembahyang apabila satu kariah ada dua tempat solat Jumaat.
Orang Pas solat di markas, tidak mahu ke masjid. Ini berlaku tetapi tidak disekat oleh pemimpin-pemimpin, seolah-olah ia direstui.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Kemuncak dari isu kafir mengkafir ni adalah bila tersebarnya Amanat Hj Hadi pada tahun 1981.
Isu Amanat Hj Hadi yang dikaitkan dengan peristiwa Memali
Pada 7 April 1981, Tuan Guru Hj Hadi Awang dalam satu ceramah kat Kampung Banggol Peradong, Terengganu ada bagi satu ucapan yang cukup kontroversi.
“Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.” – Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 7 April 1981.
Inilah amanat yang menjadi polemik dan kontroversi sehingga ke hari ini. Apa taknya, amanat ni juga dikaitkan terus dengan peristiwa Memali yang telah mengorbankan 4 orang polis dan 14 orang penduduk Kampung Memali, Kedah.
Tapi dalam waktu yang sama seperti mana yang dikatakan oleh Dr Maza, kita perlu berlaku adil dalam menilai amanat ini. Sebabnya, kalau kita tengok dari sudut pandang orang PAS ataupun UMNO, dah pasti tafsirannya lain dan berbeza-beza.
Tambah Dr Maza lagi, kalau kita perhatikan masa zaman 1970-an dan 1980-an, memang keadaan pemahaman tu keras dan kesedaran Islam tu masih tak berapa baik macam zaman sekarang. Tak kiralah dari PAS atau UMNO.
“PAS hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang tidak beriktikad seperti Amanat Haji Hadi termasuk diri Haji Hadi sendiri… Sekalipun tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah dibuat.
Pendekatan PAS sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua pihak tidak melihat Islam dari kacamata politik semata, Islam jauh lebih luas dari politik kepartian.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.
Dalam waktu sama, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang juga anak kepada bekas Presiden dan Mursyidul Am PAS dalam bukunya pernah kata – tindakan kafir-mengkafir ni memang wujud.
“Akibatnya berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa menyokong UMNO adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan dengan sebab itu boleh jatuh kufur kerana UMNO parti sekular yang menolak Islam…
…penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah batas-batas kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat dengan adunan ‘fatwa’ sehingga PAS diheret dalam kancah ini, malah ‘Amanat Haji Hadi’ telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua kemelut ini. Dipetik dari buku: Menuju PAS Baru.
Walaupun begitu, Hadi Awang menafikan amanatnya tu jadi punca berlakunya peristiwa Memali.
“Itu petikan ucapan satu jam lebih kalau tak silap saya. Takkanlah ambil beberapa perkataan. Sepatutnya dengar seluruh ucapan itu. Ekorannya saya sudah menulis buku tahun 2002, buku itu ditulis dan sudah dicetak tiga kali buku itu.” – Tuan Guru Hj Hadi Awang, Presiden PAS. Dipetik dari The Malaysian Times.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed pula kata yang amanat tu muncul sebab dulu UMNO teruk. Tapi sekarang ni UMNO dah berbeza dan tak sama macam UMNO bawah Dr Mahathir dulu. Tentang peristiwa Memali pula, PAS desak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk siasat punca sebenar disebalik peristiwa itu.
Isu kafir mengkafir dalam politik dah lama berakhir
Apabila masuk pilihanraya tahun 1999, isu kafir mengkafir dah tak lagi digunakan, sebaliknya isu yang jadi perhatian adalah pasal pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kerana itulah, isu kafir mengkafir ni lebih tepat kita kaitkan dengan isu politik dari isu agama.
Bagaimanapun, kesan dari isu kafir mengkafir ni memang tak dapat dinafikan, dan sudah pasti ia diharapkan tak akan berlaku lagi. Malah, Islam itu sendiri menolak keras fahaman ekstrem. Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, menggunakan kekerasan untuk menentang sesuatu idea tak boleh meredakan keadaan, tapi sebaliknya menambahkan lagi masalah. Jalan terbaik adalah kita duduk berbincang, bagi kefahaman dan keterangan yang secukupnya.
“Selagi dia tidak melakukan perkara yang membatalkan dua kalimah syahadat. Umpamanya, kata hukum potong tangan zalim, hukum Tuhan tidak sesuai sekarang….
Sebab itu, saya mengajak diadakan muzakarah secara ilmu, jangan melalui polemik akhbar kerana ia boleh melibatkan orang jahil dan orang tak tahu hukum boleh jadi terlanjur.” – Tuan Guru Hj Hadi Awang, Presiden PAS. Dipetik dari Utusan Malaysia (13/08/2000).
- 1.9KShare sekarang!
- Email12
- Facebook1.9K
- Share