- 3.9KShare sekarang!
- Email38
- Facebook3.8K
- Share
Kalau sebut pasal pemimpin Turki zaman dulu, mesti ramai yang akan sebut Kemal Ataturk yang popular dengan kepimpinan sekular dan semangat nasionalisme.
Selain tu juga, Ataturk juga popular dengan kisah yang mengatakan dia mati dalam keadaan yang sangat menyeksakan, dan macam mana mayat dia tak diterima bumi.
Tapi, ramai yang mungkin tak berapa kenal dengan Adnan Menderes, pemimpin Turki yang banyak bagi sumbangan kepada negaranya, terutama sekali dalam proses islamisasi di Turki. Jadi, mari kita singkap kisahnya.
Adnan Menderes, pelajar undang-undang yang pernah jadi petani
Dilahirkan sebagai Ali Adnan Ertekin Menderes pada tahun 1899, dia merupakan Perdana Menteri Turki yang ke-9. Menderes berkhidmat sejak tahun 1950 sampai 1960, iaitu 12 tahun selepas kematian Kemal Atartuk.
Dia pernah belajar kat American College di Izmir, dan kemudiannya ke Fakulti Undang-undang di Ankara. Walaupun dia sepatutnya jadi lawyer, tapi dia buat keputusan untuk untuk usahakan tanah yang ayah dia ada. Keluarga Menderes ni bukan petani biasa-biasa, sebab ayah dia boleh dikatakan orang berada juga pada zaman tu sebab ada banyak tanah.
Adnan Menderes ada taktik tersendiri macam mana nak usahakan tanah tersebut. Dia mula menjual atau mengagihkan sebahagian besar estetnya kepada pemegang saham kecil yang lain, dan dia cuma nak fokus kepada satu ladang je. Taktik dia tu kemudiannya jadi model untuk kaedah pertanian moden di Turki.
Bermula sebagai ahli politik dalam Parti Rakyat Republik Kemal Atatürk (RPP)
Beberapa tahun lepas tu , Menderes masuk dalam dunia politik dan jadi ahli dalam Parti Rakyat Republik Kemal Atatürk (RPP). Masa tu, Ataturk masih hidup, dan RPP je la parti politik Turki yang sah. Melalui program RPP ni la dasar-dasar pemisahan antara agama dan pentadbiran (sekular) dilaksanakan.
Sebelum tu, kita kena faham yang proses permodenan Turki ni juga dikatakan dah melenyapkan tradisi sosial dan budaya masa lalu Turki. Turki betul-betul berubah dari kerajaan Islam kepada sebuah republik yang memandang ke arah Barat.
Sewaktu pemerintahan Kemal, rakyat Turki tak boleh amalkan agama secara terang-terangan. Bukan Islam je kena, agama lain macam Yahudi dan Kristian pun sama juga, menjadikan Turki sebuah negara sekular.
Tapi Adnan Menderes banyak tak setuju dengan kepimpinan Ataturk, sehinggalah…
Selepas membangkang polisi Ataturk, Menderes asaskan parti sendiri
Selepas 15 tahun berada dalam RPP, Adnan ditendang keluar dari parti tu bersama beberapa ahli yang lain bila dia menentang polisi Ataturk. Adnan Menderes kemudiannya mengasaskan Parti Demokrat (DP), yang juga merupakan parti pembangkang pertama di Turki.
Zaman kegemilangan Adnan Menderes datang perlahan-lahan selama 4 tahun dia tubuhkan Parti Demokrat tu. Tahun 1950 adalah tahun bertuah bagi Adnan Menderes bila dia berjaya menang besar dalam pilihanraya pertama di negara tu.
Antara faktor kemenangan Menderes ialah bila dia berjanji untuk menolong para petani, yang masa tu adalah majoriti masyarakat Turki. Menderes sememangnya dah ada reputasi sebagai seorang peladang yang menggunakan kaedah pertanian moden sebelum dia join politik lagi.
Perkara ni terbukti apabila dia berjaya perbaiki kehidupan mereka selama dia memerintah. Dalam tempoh 10 tahun sebagai perdana menteri, ekonomi Turki dikatakan telah berkembang pada kadar 9% setahun, iaitu satu perkembangan ekonomi yang agak baik.
Memainkan peranan besar dalam membatalkan polisi sekular Ataturk
Masa Menderes memerintah, walaupun dia masih mengamalkan dasar pro-Barat, dia cuba untuk menjalinkan hubungan rapat dengan negara-negara Islam yang lain. Dia juga dikatakan lebih menerapkan nilai keagamaan, bertentangan dengan apa yang Kemal Atartuk laksanakan sebelum tu. Rakyat Turki mula suka dengan apa yang Adnan Menderes dan partinya perjuangkan, yang termasuklah:
1. Azan dikembalikan dalam bahasa Arab
2. Ibadah haji dijalankan
3. Pembukaan kembali sekolah-sekolah agama (Islam) dan pengajaran agama di sekolah-sekolah umum
4. Membatalkan dasar yang melarang hijab bagi Muslimah.
Selain tu, Menderes juga agak lantang bersuara terhadap Israel. Turki pada satu masa dulu ada hubungan yang baik dengan negara tu. Tapi kemudiannya, Menderes perlahan-lahan memulaukan hubungan diplomatiknya dengan Israel sebab dia lebih menyokong negara-negara Arab. Perkara ni la yang dikatakan menimbulkan kemarahan bukan saja Israel, tapi juga negara-negara Barat yang lain.
Adnan Menderes berjaya memenangi hati rakyat Turki bukan saja pada pilihanraya tahun 1950, tapi juga pada pilihan raya pada tahun 1954 dan 1957 dengan kejayaan yang besar. Dia bukan saja bertuah sebab menang pilihanraya selama hampir 10 tahun berturut-turut, tapi juga…
Antara mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat bersama delegasi Turki ke London
Susah nak percaya, tapi itulah yang berlaku. Pada tahun 1959, Menderes diiringi oleh beberapa delegasi Turki yang lain, seramai 26 orang termasuk juruterbang dan krew. Pesawat tu dalam penerbangan dari Istanbul menuju ke London, di mana Turki terlibat dalam menandatangani Perjanjian London mengenai isu Cyprus dengan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan dan Perdana Menteri Greece, Constantine Karamanlis.
Masa berada dalam ruang udara London, tiba-tiba juruterbang buat pengumuman kecemasan pasal kesilapan teknikal yang berlaku. Tak lama lepas pengumuman dibuat, pesawat tu kemudiannya terhempas beberapa batu dari landasan berhampiran Rusper, Sussex. Kejadian tu mengorbankan 14 nyawa. tapi Menderes dan 9 penumpang yang lain terselamat.
Ada ura-ura yang mengatakan masa juruterbang mengumumkan yang pesawat tu bakal terhempas, Menderes bersumpah kalau Tuhan selamatkan dia dari nahas tu, dia berjanji yang dia akan kembalikan kejayaan Islam di Turki.
Tapi, kejadian yang berlaku tu adalah pada tahun 1959. Kalau nak ikutkan, dia terlebih dulu terapkan Islamisasi dalam kerajaan Turki 9 tahun sebelum tu, iaitu masa dia menang pilihanraya pertamanya. Azan pun dikembalikan dalam bahasa Arab pada tahun yang sama.
Kejadian tu telah menaikkan lagi karisma Menderes yang sedia ada. Bila dia balik ke Turki, seramai 10,000 orang rakyatnya datang menyambut, dan menganggap kejadian yang menimpa Adnan Menderes sebagai satu keajaiban.
Walaupun dia dikira bertuah sebab terselamat dari nahas yang hampir meragut nyawanya, tapi…
Pertama kalinya dalam sejarah Turki, kerajaan digulingkan oleh junta tentera
Walaupun ramai yang menoyokong Menderes, yang menentang pun tak kurang juga. Menderes dikatakan tak tahan dengan kritikan. Media di Turki pada mulanya menyokong perjuangannya. Tapi bila bila sampai penggal kedua, media mula mula mengkritik pemerintahannya yang pada masa tu agak lemah.
Menderes cuba untuk mendiamkan para penentangnya dengan menubuhkan badan yang yang menghalang kebebasan media. Beberapa wartawan dipenjarakan, dan perkara ini menimbulkan kemarahan para intelektual yang rasa tersekat dalam kebebasan bersuara.
Bukan mereka je, para tentera Turki pun rasa yang mereka terasing bawah pemerintahan Adnan ni. Para tentera sebenarnya masih lagi merasakan mereka ni sebagai penjaga ideologi Kemalist, dan bukannya Menderes.
Selain tu, negara-negara Barat dikatakan merupakan salah satu punca yang menggalakkan tentera di Turki buat rampasan kuasa. Antara dua sebab popular adalah bila dia pulaukan Israel secara bertahap, dan satu lagi sebab masih ada yang sokong Kemalism.
Pada 27 Mei 1960, rampasan kuasa tentera yang dipimpin oleh General Cemal Gürsel berlaku, dan Menderes kemudiannya ditangkap bersama-sama beberapa ahli Parti Demokrat (DP) yang lain, iaitu Fatin Rustu Zorlu dan Hasan Polatkan. Mereka dituduh melanggar perlembagaan, menggelapkan wang dari dana negara, dan juga beberapa kesalahan lain. Mereka kemudian dibicarakan oleh mahkamah tentera di pulau Yassiada, berdekatan Laut Marmara.
Selepas hampir setahun dibicarakan, dipenjarakan dan diseksa, Menderes akhirnya dijatuhkan hukuman gantung bersama Pulau Imrali. Sebelum tu, dia disahkan tak sedarkan diri selama 36 jam disebabkan overdose ubat tidur, yang menyebabkan dia tak dapat hadirkan diri dalam perbicaraan dia. Jurucakap pada masa tu mengumumkan yang bila doktor isytiharkan dia ‘baik dari segi fizikal’ untuk ke tali gantung, dia akan dihukum mati secepat mungkin.
Semasa Menderes diiringi beberapa tentera Turki ke tali gantung, dia meluahkan ayat terakhirnya,
“Adakah kamu akan memberitahu tuan kamu yang saya akan mati secara bermaruah?”
Kerajaan Turki menyesal dan menaiktaraf kubur Menderes sebagai makam
Tapi pada tahun 1990, kerajaan yang diketuai oleh Presiden Turki yang ke-9, Suleyman Demirel mengutuk keras penggulingan kerajaan Menderes yang bukan saja menyebabkan kehilangan pemimpin, tapi juga membawa kepada permulaan kepada trend penggulingan kerajaan melalui junta tentera yang berterusan di Turki.
Seorang ahli parlimen Turki, Cemil Cicek juga menyuarakan kekesalan dan menekankan sumbangan Menderes kepada Turki dan rakyatnya.
“Dia adalah seorang lelaki yang mengingatkan rakyat Turki tentang asal-usul mereka kepada sebuah negara yang mencipta tamadun pada satu masa dulu,” – Ahli parlimen Turki, Cemil Cicek.
Kerajaan Turki pada zaman tu kemudiannya menaiktaraf kubur Adnan Menderes menjadi sebuah mausoleum (makam).
Pulau Yassiada, tempat di mana dia dipenjarakan pula kemudiannya dinamakan semula sebagai “Pulau Demokrasi dan Kebebasan” selepas persetujuan dewan wilayah pada 7 November 2013. Kat pulau tu, ada sebuah muzium dan pusat kongres yang dijadikan tumpuan pelancongan budaya dan sejarah. “Muzium demokrasi” tu dibina khas untuk memperingati “wira demokrasi,” merujuk kepada ahli-ahli politik yang diasingkan di sana.
Nama Perdana Menteri Turki tu kemudian diabadikan pada Adnan Menderes University di Aydin, daerah kelahirannya, dan juga sebuah lapangan terbang, İzmir Adnan Menderes Airport, yang terletak di wilayah İzmir, iaitu hampir 500km daripada Istanbul.
Adnan Menderes menjadi pengaruh besar kepada Presiden Turki sekarang, Erdogan
Insiden ni memberi kesan kepada kebanyakan rakyat Turki sampailah sekarang. Salah seorangnya adalah Recep Tayyip Erdogan, iaitu Presiden Turki yang masih berkhidmat sampai hari ni. Masa Erdogan berumur 7 tahun, dia nampak ayah dia menangis masa Adnan Menderes mati di tali gantung pada 17 September 1961, setahun selepas digulingkan oleh junta tentera Turki. Perkara ni mendorong Erdogan untuk masuk ke dalam dunia politik dan menjadi Presiden.
Menurut Erdogan, Menderes adalah salah seorang tokoh Turki yang memainkan peranan penting dalam pembangunan, penambahbaikan, dan pendemokrasian Turki. Dalam salah satu ucapannya,
“Kita masih cuba untuk mencapai impian Menderes. Mereka mungkin telah membunuhnya tetapi dia tidak dilupakan. Dia ada dalam hati kita.” – Recep Tayyip Erdoğan.
- 3.9KShare sekarang!
- Email38
- Facebook3.8K
- Share