Ini sebab-sebab kenapa doktor Malaysia masih kena kerja hingga lebih 24 jam

Waktu sekolah dulu, bila cikgu tanya ‘bila besar nak jadi apa?’ Antara jawapan paling popular dah tentulah doktor. Ye la ia bukan sahaja satu pekerjaan yang dipandang mulia, gaji pun besar. Tapi semua pun tahu betapa susahnya nak berhempas pulas waktu study. Bila dah kerja pun, kerja tak mengira siang malam.

Imej dari Giphy.

Sebab itulah sedih bila baru-baru ni Sinar Harian melaporkan tentang dilema dan tekanan yang dihadapi oleh para doktor. Ini kerana ada di antara mereka yang terpaksa bertugas lebih dari 30 jam! Perkara ini menjadi lebih serius bila adanya doktor yang terlibat dalam kemalangan dan terkorban kerananya.

Kerana keletihan melampau, ada doktor yang terkorban

Pada tahun 2015, seorang doktor terkorban selepas keretanya terbabas dan merempuh sebatang pokok ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya. Mangsa adalah Pegawai Perubatan Bius di Hospital Sungai Buloh, Dr Afifah Mohd Ghazi, 27 tahun. Punca kejadian dikatakan berlaku kerana beliau memandu dalam kedaan keletihan disebabkan bekerja selama hampir 24 jam.

Pada 9 Mei yang lalu, sekali lagi kemalangan maut menimpa Dr Nurul Huda Ahmad dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Kemalangan tu terjadi masa Dr Nurul dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu untuk bertemu dengan suami dan 3 orang cahaya matanya. Dikatakan Dr Nurul Huda baru je selesai bertugas selama 33 jam sebelum itu.

“Berhubung kemalangan kenderaan bermotor, kita menyedari bahawa banyak faktor penyumbang. Antaranya isu kenderaan, keadaan jalan yang teruk dan gangguan lain.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa keletihan atau kurang tidur juga adalah salah satu faktor yang dikenal pasti dan boleh dicegah.” – Kenyataan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Dipetik dari Sinar Harian.

Semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Imej dari Sinar Harian.

Dari apa yang terjadi kepada Dr Afifah dan Dr Nurul Huda ini, jelas menunjukkan bagaimana masa kerja yang berlebihan dapat menjejaskan kesihatan dan boleh menyebabkan kemalangan yang membawa maut.

Tapi kenapa macam selalu pulak kes doktor kerja terlebih masa ni?

Sistem ‘on call’ boleh buatkan doktor kerja selama 33 jam sekaligus

Seperti yang kita tahu, perkhidmatan perubatan dan keselamatan seperti hospital, polis dan bomba adalah sangat penting kepada masyarakat. Kerana itu jugalah, ia sentiasa beroperasi tanpa henti (7 hari, 24 jam). Kebanyakan pekerja di sektor ini akan sentiasa diperlukan tanpa mengira masa dan tempat.

Antara sistem yang diamalkan di hospital adalah sistem on call atau bekerja atas panggilan. Jadi apa yang dimaksudkan dengan on call ni? Pada asasnya, seorang doktor akan bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Manakala sistem on call pulak boleh dikatakan overtime untuk doktor, waktu sistem on call ni adalah:

  1. Hari bekerja biasa (Isnin-Jumaat): 5 petang hingga 8 pagi keesokan harinya (15 jam).
  2. Hari minggu (Sabtu-Ahad): 8 pagi hingga 8 pagi keesokan harinya (24 jam).

Maknanya, sekiranya seorang doktor terpaksa ambil on call lepas waktu kerja biasa (8am-5pm), dia akan bekerja lebih dari 24 jam. Lebih teruk lagi, bila doktor tu terpaksa masuk kerja semula pada jam 8 pagi lepas waktu on call tadi. Ini maknanya, doktor tu terpaksa bekerja selama 33 jam! Cuba korang bayangkan?

Imej dari Giphy.

Doktor-doktor yang terlibat dengan sistem on call ini adalah terdiri daripada pegawai perubatan (medical officers), pakar klinikal (clinical specialists) dan pakar perunding (consultants). Sebelum ni doktor-doktor pelatih pun terlibat dengan on call, tapi sekarang diorang ikut shift dan takde lagi kerja 24 jam.

Sesiapa yang jalankan tugas on call ni kena ada kat hospital sepanjang masa (24 jam) sebab nak pastikan pesakit yang baru masuk dapat dirawat dengan sebaiknya. Mereka jugak bertanggungjawab untuk pastikan yang pesakit-pesakit dalam wad dapat rawatan yang sama kualitinya. Pada hari ini, pihak hospital jugak ada sediakan bilik untuk doktor-doktor yang bertugas on call ni.

“Tugasan on call di hospital boleh dikategorikan sebagai sangat sibuk dan sederhana sibuk. On call yang sangat sibuk melibatkan jabatan-jabatan anaesthesia (bius), kemalangan & kecemasan, paediatrik, perubatan, surgeri dan ortopidik.” – Prof. Dr Azmi Md Nor, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik). Katanya kepada SOSCILI.

Kebanyakan hospital di Lembah Klang sekarang dilaporkan sesak dengan orang tempatan dan warga asing. Imej dari Sinar Harian.

Masa on call, mereka yang bertugas juga akan sentiasa bersama-sama pesakit yang dirawat. Kalau yang bertugas dekat jabatan surgeri, obstetrics & gynaecology dan ortopidik, mereka juga akan lakukan pembedahan kecemasan seperti pembedahan caesarian untuk menyelamatkan bayi yang lemas dalam kandungan dan sebagainya. Selebihnya adalah rawatan untuk pesakit-pesakit kritikal dan penjagaan intensif.

On call dilaksanakan sebab hospital kekurangan doktor

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara punca kenapa bertambahnya on call kepada seseorang doktor adalah kerana kurangnya jumlah doktor di Malaysia yang tak dapat menampung bilangan pesakit. Sehingga tahun lepas, nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia adalah 1 doktor untuk setiap 650 pesakit. Kementerian jugak menghadapi masalah bila ramai di kalangan doktor pakar meletakkan jawatan.

“… daripada Januari hingga September tahun ini (2016), seramai 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas (2015).” – Dipetik dari Astro Awani.

Selain itu, menurut Dr Azmi (Presiden I-Medik), jabatan-jabatan di hospital KKM juga mengalami kekurangan pegawai perubatan dan pakar klinikal yang cukup untuk menjalankan tugas dengan berkesan. Sebagai contoh, petugas di jabatan bedah juga melakukan tugas-tugas lain seperti rondaan wad, pembedahan, penjagaan harian dan sebagainya.

“Langkah KKM mengawal pengambilan bilangan houseman (doktor junior) melalui sistem kontrak dan juga pegawai perubatan tidak secara automatik diberikan jawatan tetap akan melambatkan lagi proses ke arah pelaksanaan masa tugasan on call yang lebih munasabah.” – Prof. Dr Azmi Md Nor, Presiden I-Medik. Katanya kepada SOSCILI.

Masalah lain pulak adalah apabila ramai di kalangan para doktor yang tak nak berpindah ke negeri-negeri yang memerlukan. Ini juga menjadi punca mengapa berlakunya kekurangan doktor di negeri-negeri tertentu. Menurut Dr Azmi, nisbah seorang doktor kepada penduduk di Sarawak adalah 1:1500!

Sebenarnya jika dikaji, kritikan dan teguran terhadap sistem on call ni sudah pun disuarakan sejak lebih 10 tahun yang lalu. Perkara ni dapat kita lihat dalam aduan yang diberikan oleh suami seorang doktor kepada akhbar Utusan Malaysia pada tahun 2006.

“… isteri saya telah ditempatkan di hospital kerajaan dan pada masa itu keadaan isteri saya memang nampak teruk. Bayangkan dalam seminggu dia terpaksa dua atau tiga kali bekerja melebihi daripada 24 jam secara berterusan kerana on-call. Umpamanya, beliau on-call pada 30 Mac 2006 maka isteri saya akan masuk kerja dari pukul 8.00 pagi, 30 Mac 2006 sehingga 5.00 petang keesokan harinya (31 Mac 2006).” – Luahan suami seorang doktor. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Disebabkan tugas, doktor akan sentiasa membantu. Imej dari news.stanford.edu

Disebabkan banyak kesan negatif yang terjadi kerana sistem on call ini, Kementerian Kesihatan ada menjalankan kajian data dan statistik tentang penglibatan perkerja-pekerja hospital dengan kemalangan jalan raya selepas bekerja. Tapi kajian ni baru je dibuat dan masih belum dapat keputusan lagi.

Ramai jugak graduan-graduan perubatan yang terkandas masa housemanship

Housemanship ni adalah istilah yang digunakan untuk latihan praktikal kepada pelajar-pelajar perubatan. Setiap dari graduan-graduan perubatan yang sudah tamat belajar, mereka dikehendaki menjalani program latihan housemanship selama 2 tahun. Selepas tu, barulah mereka boleh dapatkan lesen untuk menjadi pengamal perubatan di Malaysia.

Latihan housemanship ni pulak hanya disediakan oleh hospital-hospital yang diiktiraf oleh kerajaan. Makanya, setiap dari mereka ni kena buat permohonan untuk menjalani housemanship di hospital-hospital tersebut. Kebanyakan hospital-hospital di kawasan bandar selalu mendapat permohonan yang tinggi, kalau nak dibandingkan dengan hospital-hospital di luar bandar.

Sistem permohonan housemanship yang disediakan kerajaan. Klik imej untuk maklumat lanjut.

Bagaimanapun, ada masalah yang mula timbul. Ini kerana, dengan bertambahnya graduan-graduan perubatan sepanjang tahun, ia telah menyebabkan tempat kekosongan housemanship mula berkurangan. Pada tahun 2013, purata waktu menunggu pada setiap graduan perubatan adalah selama 3 bulan, tapi pada tahun 2016, purata menunggu meningkat kepada 8 bulan.

Ini dah menyebabkan ramai graduan-graduan mula rasa tertekan, malah mereka tak diberikan peluang melakukan apa yang mereka pelajari selama ini. Hal ini, sedikit sebanyak membuatkan skill dan pengetahuan perubatan mereka layu dari hari ke hari.

Disebabkan perkara ni, ramai di antara mereka yang akhirnya lupakan hasrat mereka itu. Agak mengejutkan apabila kita dapat tahu, bahawa ada di antara mereka yang memilih untuk menjadi pelayan, bekerja di pasar malam dan jadi krew di kapal terbang. Perkara ni, sebenarnya sangat menyedihkan kerana usaha mereka selama bertahun-bertahun ketika belajar nampaknya dibazirkan begitu sahaja.

Kesediaan pihak kerajaan penting dalam melakukan perubahan

Menurut Dr Azmi, walaupun isu ni telah dibangkit sejak sekian lama, nampaknya ia masih lagi belum dipandang serius oleh pihak kerajaan (KKM). Oleh itu, masalah ini hanya boleh diselesaikan sekiranya pihak kerajaan betul-betul serius dalam merancang kaedah yang lebih efektif. Hal ni sangat penting supaya kebajikan para doktor dan pesakit terjaga.

“Persatuan-persatuan perubatan di Malaysia perlu mengambil posisi untuk menjaga kebajikan para pengamal perubatan. Mereka juga perlu mengambil posisi sebagai advisor dan pressure group kepada KKM demi menjaga kebajikan pengamal perubatan dan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk.” – Prof. Dr Azmi Md Nor, Presiden I-Medik. Katanya kepada SOSCILI.

Dr Azmi sedang bercakap dalam satu sidang media. Imej dari Ismaweb

Antara cadangan yang diberikan adalah pihak hospital kena bagi cuti kepada pegawai perubatan yang telah menjalankan tugasan on call (maknanya tak perlu masuk kerja pada 8 pagi selepas on call). Kalau pihak hospital tak boleh buat macam tu sebab kekurangan kakitangan, jadinya pihak hospital kena bagi  insentif seperti elaun khas kepada pegawai terbabit. Selain itu, berikut adalah cadangan-cadangan yang lain:

  1. Gunakan kemudahan pengangkutan awam seperti teksi/Uber/Grabcar setelah tamat tugasan.
  2. Membenarkan tuntutan perjalanan menggunakan khidmat teksi/Uber/Grabcar untuk pegawai yang telah tamat tugas on call.
  3. Pegawai perlu menggunakan kemudahan rehat dan bilik yang disediakan hospital sebaiknya.
  4. Mengamalkan tidur sebentar (napping) sebelum memulakan perjalanan pulang.
  5. Minta bantuan keluarga atau rakan untuk ambil pulang kalau keletihan.
Imej asal dari mirror.co.uk

Ada juga doktor yang bagi cadangan supaya diadakan sistem syif, sama ada 2 syif (syif pagi & syif petang) atau 3 syif (syif pagi, syif petang dan syif malam). Dengan cara ni, maka takde lagi sistem on call yang akan dijalankan.

“Ini akan memastikan tiada lagi doktor bekerja lebih daripada 24 jam, sekali gus mengurangkan keletihan. Doktor akan bekerja mengikut jadual sebilangan jam tertentu dalam seminggu secara sama rata, begitu juga di hujung minggu dan cuti umum.” – Schee Jie Ping, Pegawai Perubatan. Dipetik dari Malaysiakini.

Walaupun begitu, cadangan seperti pelaksanaan syif hanya boleh dilaksanakan sekiranya pihak hospital ada kakitangan yang cukup. Maka jalan terbaik buat masa sekarang adalah para doktor sendiri perlu menjaga kesihatan dan merancang kehidupan mereka dengan sebaiknya. Seperti mana yang dicadangkan oleh pihak I-Medik tadi.

Tak dapat nak salahkan Kementerian Kesihatan 100%

Menurut laporan, 20 hingga 30 peratus doktor pelatih tak dapat habiskan tempoh latihan sebab mengalami tekanan kat tempat kerja. Buat masa sekarang, pihak kementerian cuba ambil tindakan macam bagi kaunseling dan pendedahan kerjaya sebelum seseorang pegawai perubatan memulakan latihan perubatan.

“Tidak adil menyalahkan 100% kepada KKM yang diiktiraf antara pemberi kesihatan awam yang terbaik di dunia… masalah ini boleh diselesaikan jika ada kesungguhan dan komitmen daripada pihak KKM. KKM telah pun melakukannya dan memberikan pelepasan selepas 24 jam tugasan oncall kepada pegawai perubatan di jabatan anaesthesia/bius.

Apa yang KKM perlu lakukan ialah memastikan bilangan doktor yang mencukupi di hospital-hospital utama dalam memberikan perkhidmatan kepada penduduk.” – Prof. Dr Azmi Md Nor, Presiden I-Medik. Katanya kepada SOSCILI.

Kita harapkan Kementerian Kesihatan di bawah pimpinan Datuk Seri S. Subramaniam dapat selesaikan isu ni dengan sebaiknya. Imej dari The Star Online.

Oleh itu, nampaknya masalah ini hanya akan dapat diselesaikan jika adanya kerjasama di antara semua pihak. Kesungguhan ke arah itu juga adalah sangat penting supaya perkara ini tak jadi isu yang bermusim. Cukuplah untuk kita kehilangan 2 orang doktor yang berkaliber dan berdedikasi itu. Kita tak mahu perkara yang sama berulang di masa akan datang.

[Terima kasih diucapkan kepada Prof. Dr Azmi Md Nor (Presiden I-Medik) dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar (Naib Presiden I-Medik) atas kerjasama yang mereka diberikan.]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.