Wanita & Keluarga

“Saya pun turutkan je kerana tak tau menjaga budak.” Akibat nestum, usus bayi ini jatuh

Ramai kata bayi yang baru dilahirkan seeloknya diberikan susu ibu secara eksklusif sampailah umurnya enam bulan. Ini kerana kandungan yang ada kat susu ibu tu sendiri dah cukup dengan nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Jadi ibu bapa tak perlu risau kalau dalam tempoh tu, bayi hanya diberikan susu je.

Imej dari alma midwifery.

Namun menjadi seorang ibu pada usia yang muda atau baru mempunyai sorang anak ni, memang agak sukar terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan makanan sehingga ada antara mereka yang tersilap langkah sampai membawa kepada kematian.

Bayi 2 bulan meninggal kerana diberi makan pisang

UPDATE 26/3/2018: Terengganu Times ada keluarkan satu berita kematian seorang bayi yang berlaku di negara seberang Indonesia. Seorang nenek dah menyuap bubur pisang kepada cucunya yang tak cukup bulan. Malah, baru 9 hari je lahir. Kejadian ni sebenarnya banyak berlaku dan kami dari SOSCILI ada bertanya sendiri kepada pakar pasal benda ni.


Kalau korang perasan ada satu berita dimana bayi berusia 2 bulan meninggal dunia akibat makan pisang. Namun apa yang memeranjatkan ialah, sejak berusia sebulan lagi bayi ni dah diberi makan pisang dan biskut marie!

Walaupun kejadian ni berlaku kat Indonesia, tapi ia boleh dijadikan pengajaran kat semua ibu-ibu. Imej dari The Reporter

.Ada jugak kes dimana bayi berusia 6 bulan ni mengalami masalah usus bocor:

“Masa anak sulung, saya bagi makan umur 6 bulan. Start dengan puree, lepas tu ramai lah yang rajin bagi itu ini entah apa-apa (makanan manis yang tak elok). Ending anak ada masalah usus bocor.” – Nur Airani ketika di interview oleh SOSCILI.

Kami jugak sempat interview seorang ibu muda ni dimana anaknya telah mengalami masalah usus jatuh sehingga perlu membuat pembedahan sebanyak dua kali akibat memberi minum susu yang dicampur dengan nestum:

“Anak lelaki saya selalu menangis saja, baru lepas susu nangis. Jadi mak sedara saya beli kan nestum dan buat susu cair-cair dan dia cakap anak saya lapar nak makan. Saya pun turutkan je kerana saya memang tak tau menjaga budak, takde pengalaman.

Lepas beberapa bulan tu, ade benjolan kecil di atas bibird (kemaluan) anak, makin lama makin membesar sampai lah bibird (kemaluan) die membiru.” -Wiwin ketika di interview oleh SOSCILI.

Jangan bagi makan sesuka hati, perut bayi ni kecik je bukan macam perut korang. Imej dari Ohsemmama.com

Menurut Wiwin lagi, bila dia bawak anak dia ke hospital, doktor kata anak dia kena buat pembedahan dengan segera, kalau tak anaknya tu boleh meninggal sebab ususnya telah jatuh. Pada waktu tu umur anaknya baru sahaja 8 bulan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Walaupun dah buat pembedahan ketika bayi, tapi masa umur anaknya tu 4 tahun, sekali lagi masalah yang sama berlaku. Menurut Puan Wiwin lagi, ia adalah kesan daripada kesilapannya dulu yang bagi anaknya nestum dicampur dengan susu sejak umurnya sebulan lebih.

Kesan daripada kesilapan ibu bapa yang memberi anak makan terlalu awal. Imej dari Shahrinie

Ni pulak ada satu lagi kes dimana bayi ni baru berusia 6 bulan dah kena buat pembedahan akibat kesilapan ibunya memberi makan nestum seawal 3 bulan.

“Saya bagi cereal (nestum beras) masa baby umur 3 bulan. Bagi anak kenyang dan lama tidur. Kakak dan abang dia ok je, sebab tu saya bagi dia makan juga. Tapi usus dia tak dapat terima. Sebab tu jadi cam ni” – Dipetik dari Facebook Sharinie Othman.

Tapi, korang pernah terfikir tak kenapa perkara ni boleh terjadi?

Pencernaan bayi belum sempurna untuk makan

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, makanan pelengkap ialah makanan atau minuman yang diberikan kepada bayi, bukan hanya berasaskan susu ibu semata. Pemberian makanan pelengkap ni ditakrifkan sebagai proses permulaan, di mana susu ibu je tak cukup nak menampung keperluan nutrien bayi.

Imej dari Melinda Hospital

Selain tu, kami jugak interview Dr Zubaidi Ahmad, selaku Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) yang  pernah bertugas kat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Saya berpendapat pemberian makanan semisolid tidak seharusnya dimulakan terlalu awal. Ia bukan saja menyebabkan masalah penghadaman seperti kembung perut, cirit birit, dan sembelit tetapi ia juga menyebabkan masalah sistem perkumuhan seperti ginjal dan hati.

Malah American Association of Pediatrician pada 2003 turut mencadangkan pemberian makanan semisolid pada umur setahun bagi mengelak risiko mendapat alahan pada kulit, dan sistem pernafasan.”- Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat
PERDIM. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Ini bermakna, lebih lewat (sehingga setahun) adalah lebih baik untuk mengelakkan kemudaratan.

Takde makanan ke?

Menurut kenyataan dari Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam di PPUM, pemberian makanan berbentuk pepejal atau semi-pepejal kepada bayi berusia bawah 4-6 bulan boleh membuatkan bayi tersebut berisiko menghadapi usus tersumbat. Antara tandanya ialah perut membusung (abdominal distension) kerana usus membengkak akibat pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang.

“Apabila usus sumbat, risiko untuk bayi muntah-muntah adalah tinggi, lebih-lebih lagi jika pemberian minuman atau makanan tetap diteruskan.”- Mohd Fadhli Mohd Fauzi, Pegawai Perubatan Sarjana KesihatanAwam di PPUM. Dipetik dari Facebook.

Tambah beliau lagi, kebiasannya muntah (vomitus) ini keluar mengikut mulut dan kadang-kadang hidung atau tertelan semula. Namun ia jugak boleh masuk kat dalam saluran pernafasan hingga paru-paru (aspiration into the lung).

Apabila muntah ini masuk ke dalam paru-paru, ia menyebabkan keradangan paru-paru (pneumonia) yang boleh mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Jika radang terlalu teruk (severe pneumonia = pneumoni berat), ia boleh menyebabkan kematian.

Tapi kenapa ada doktor kata bayi dah boleh makan walaupun belum berusia 6 bulan?

Oleh itu, kami cuba bertanya dengan seorang Pakar Peadiatrik dan Neonatologi dari KPJ Damansara Specialist Hospital, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar mengenai pemakanan bayi dan ini jawapan beliau;

“Semestinya ini suatu area yang agak panas dan controversial sekarang ini. Perbezaan pendapat itu ternyata ada dikalangan pakar akademik, researches, pakar pemakanan dan pakar kanak-kanak sendiri.

Saya sendiri beranggapan yang with the right circumstances a baby can be given makanan pelengkap seawal bayi itu 5 bulan umurnya, setelah bayi menyusui susuan ibu secara exclusive selama 4 bulan total.” – Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Doktor Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Dr Iqbal semasa di temuramah oleh Wanita Hari Ini dalam topik ‘Penjagaan Bayi’. Imej dari FB KPJ Damansara Specialist.

Menurut Dr Iqbal lagi, pada tahun 2001, The World Health Organisation (WHO) ada mengeluarkan suatu guideline baru sedunia mengenai masa yang paling sesuai untuk memberikan anak makan makanan pelengkap bersama susu ibu iaitu apabila bayi berumur 6 bulan keatas.

Faktor utama yang mendorong WHO mengeluarkan kenyataan ini ialah kerisauan mereka yang merasakan ramai bayi yang diberikan makanan pelengkap awal, gagal menyambung semula dengan susuan ibu (sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan).

Faktor-faktor lain yang mendesak WHO mengeluarkan arahan ini termasuk kajian-kajian yang mengesahkan bayi boleh mendapat semua nutrisi essential yang diperlukannya untuk tumbesaran optimal hanya dengan menyusu dengan susu ibu sehingga 6 bulan secara eksklusif.

“Guideline ini juga dipengaruhi dengan banyak kejadian penyakit cirit birit seperti gastrenteritis bila bayi diberikan makanan awal di negara-negara miskin dan membangun seperti negara-negara di Afrika disebabkan standard kebersihan yang lemah.” – Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Doktor Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Dr Iqbal dalam MICF Parenting Conference mengenai topik ‘Al-Quran and sunnah in developing our children from food, teaching, parenting’. Imej dari Facebook.

Tambah Dr Iqbal lagi, walaupun sekarang ni dah hampir 16 tahun guideline WHO dikeluarkan, tapi masih banyak lagi kedengaran oleh pakar-pakar allergy, pakar-pakar pemakanan dan pakar kanak-kanak yang menyuarakan pendapat berbeza dengan WHO.

Mereka ni menyarankan agar baby sepatutnya berterusan mengambil susu ibu sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan (lagi lama lagi baik) akan tetapi makanan pelengkap boleh diberikan lebih awal dari masa umur baby mencapai 4 bulan.

“Ini merupakan pendapat yang masih kontroversial dan masih diperdebatkan. Di antara publication yang paling berpengaruh yang mengeluarkan guideline yang berbeza ini ialah The European Society for Paediatric Gastroenterology, Hepatology and Nutrition (ESPGHAN) Committee on Nutrition pada awal tahun ini 2017.

ESPGHAN menyarankan yang makanan pelengkap tidak patut diberikan sebelum baby berumur 4 bulan akan tetapi tak patut dilengahkan lebih dari 6 bulan.” – Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Jangan lupa jugak ajar anak makan dengan penuh tertib.

Dalam erti kata lain, ESPGHAN menyatakan yang selamat untuk kita memberi makanan pelengkap setelah bayi menyusui susu ibu secara exclusive selama 4 bulan penuh dimana makanan pelengkap boleh diberikan masa bayi berumur 5 bulan ke atas.

“Namun semua baby tak sama dan berbeza. Ada baby yang boleh diberikan makanan pelengkap awal dan ada juga yang kurang sesuai diberikan awal.”-Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Tambah Dr Iqbal lagi, bayi dah boleh makan pada usia 5 bulan dengan syarat dia dah tunjukkan tiga ciri-ciri kat bawah ni :

  1. Dia mampu duduk dan mengawal keseimbangan kepalanya (kepalanya tak terlentok-lentok bila diberi makan).
  2. Mampu menyelaras pergerakan mata serta tangan untuk menyentuh dan memegang makanan serta memasukkannya kat dalam mulut tanpa bantuan.
  3. Mampu untuk menelan makanan. Bayi yang tak sedia nak terima makanan, dia akan menolak kembali makanan tu menggunakan lidahnya.

Tapi kalau anak korang dah sampai tahap camni, dah kira wajib bagi dorang makan!

Tapi secara amnya, ciri-ciri kat atas ni jarang berlaku pada bayi yang berusia kurang dari enam bulan (oleh itu tak semua bayi boleh makan awal). Walau bagaimanapun, terdapat jugak ramai ibu yang salah anggap dengan ciri-ciri yang diberikan oleh anak seperti memasukkan jari kat dalam mulut, kerap terjaga waktu malam dan kerap menyusu. 

“Bayi yang baru berumur 3 atau 4 bulan kurang sesuai. Saya sarankan pada mak-mak yang masih confuse mengenai isu ini, pergi berjumpa dengan pakar kanak-kanak untuk mengambil nasihat berdasarkan kondisi anak.” -Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Ini adalah kerana sistem penghadaman dan perkumuhannya akan mula matang untuk proses metabolisma pada usia empat bulan. Akan tetapi adalah tak elok sekiranya memberi makan pada usia lebih dari enam bulan kerana ianya akan meningkatkan risiko kanak-kanak sukar makan.

Tapi menurut Dr Zubaidi pulak, ibu bapa hanya digalakkan memberi makan semisolid pada bayi sebelum berumur setahun jika:

  1. Berat badan bayi tak setara dengan usianya. Sebagai contoh, berat sepatutnya bagi bayi tersebut ialah 6kg, tapi pada waktu tu beratnya hanyalah 4kg je.
  2. Bekalan susu ibu tak mencukupi. Namun sekiranya bekalan susu ibu banyak dan ibu tak bekerja (boleh memberikan susu ibu sekerap mungkin), jadi tidak perlu untuk ibu tersebut memberi anaknya makanan semisolid sehingga setahun.

Bayi yang terlalu kurus akibat kekurangan gizi. Imej dari m.tempo.co

Makanan yang terbaik untuk anak ialah makanan yang natural, bukannya makanan dalam tin!

Bagi korang yang masih baru bergelar ibu ni,mesti selalu tertanya-tanyakan macam mana nak sediakan makanan yang terbaik untuk anak. So ini adalah jawapannya:

“Makanan yang bagus untuk bayi adalah makanan yang mempunyai mikronutrien dan makronutrien yang mencukupi. Maknanya ada karbohidrat, protein, minyak dan air.

Boleh mulakan dengan memberikan makanan yang dimasak kemudian dikisar. Masukkan sedikit nasi, sayur, minyak zaitun atau minyak kelapa, isi ikan atau telur ke dalam makanan mereka. Pastikan jangan terlalu likat.” – Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat PERDIM. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Jadi apa yang paling penting sekali ialah, korang perlu lah memulakan pemakanan bayi dengan penuh teliti. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya korang masak je sendiri makanan untuk anak. Bukan je dapat menjamin kebersihan dan khasiatnya, malah korang jugak dapat belajar mengenali selera si anak!

Moga dengan cara ini saya akan kenyang. Nak tunggu mama masak, lambat sangat!

Antara makanan yang selalu ibu sediakan untuk anaknya ialah bubur, nestum dan juga puri. Tapi antara banyak-banyak ni, mana yang lebih bagus untuk diberi kat bayi?

Menurut Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam kat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, untuk memberikan makanan pelengkap kat bayi haruslah di mulakan dengan bentuk semi-pepejal dan secair yang boleh. Lepas tu nanti lama-kelamaan barulah boleh ditambah kepekatannya mengikut kesesuaian.

“Makanan yang terbaik adalah makanan yang natural. Bukan yang telah diproses dan disediakan dalam tin, dijual di pasaraya.

Maknanya kita sediakan sebelum kita beri makan. Tidak kira kita sediakan nasi atau puri, pastikan ia segar dan mengandungi nutrisi yang mencukupi.” – Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat
PERDIM. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Imej dari Majalah Pa&Ma

Tapi apa tu puri? Puri adalah variasi dari bubur di mana bahan utamanya adalah buah atau sayuran yang telah diblender hingga lembut atau cair. Tapi korang kena tahu, ada sesetengah buah atau sayur tu, sebelum nak blender, kena kukus atau rebus terlebih dulu.

Ada juga sesetengah ibu akan mencampurkan sedikit air susu ibu atau susu formula dan dilarutkan sekali sebelum diberi makan kat anak. Tapi kalau korang nak campurkan susu ibu, make sure bila dah nak bagi makan kat baby tu baru boleh campurkannya sebab susu ibu tak boleh digoncang dengan kuat kerana ianya akan mengubah bentuk molekul-molekul protein perlindungan dalam susu tersebut.

Antara buah dan sayuran yang sering dibuat puri ialah avocado, betik, apple, brocolli, kurma, prun, lobak merah dan pelbagai lagi yang berkhasiat.

“Pisang sangat baik kerana banyak fiber. Brokoli adalah sumber lemak sihat, omega 3 dan banyak protein.  Ada fiber juga.” -Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat PERDIM. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Kalau durian ni, biar bapak budak je makan!

Sayur-sayuran adalah sumber karbohidrat yang sedia ada gula dan garam

Kalau korang nak bagi anak tu makan bubur nasi, adalah lebih baik bubur tu jangan dicampur dengan garam, ajinomoto atau perasa tambahan lain.

“Memasukkan gula dan garam dalam makanan bayi dan anak-anak harus dielakkan kerana setiap makanan mempunyai garam dan gula yang tersembunyi.

Contoh sayur-sayuran (yang dikisar atau dipotong kecil) adalah sumber karbohidrat yang sedia ada gula dan garam.” – Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat PERDIM. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Menurut beliau lagi, garam dan gula yang ditambahkan dalam makanan hanya bertujuan sebagai penyedap rasa pada makanan je.

Secubit garam,penambah selera

“Anak saya ni makan roti, biskut dan benda yang manis-manis terlalu banyak. Itulah punca kenapa usus anak saya bocor.” – Nur Airani Azhar. Ibu kepada seorang anak yang mengalami masalah usus bocor ketika di interview oleh SOSCILI.

Malah menurut Airani lagi, setiap kali anaknya membuang air besar je, pasti kulit kemaluan dan punggung anaknya tu akan naik ruam-ruam merah dan melecet. Bukan sebab lambat basuh tapi sebab najis anaknya tu jadi berasid.

“Elakkan juga memakan makanan yang ada jintan manis serta madu terutama yang organik sebelum baby berumur setahun.” -Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar. Pakar Peadiatrik dan Neonatologi. Ketika di interview oleh SOSCILI.

Ini bukan botox tau. tapi ini alahan. Imeje dari blog Dr Zubaidi.

Menurut kenyataan dari Jabatan Kesihatan Malaysia,Akademi Pakar Kanak-Kanak Amerika ada mengesyorkan bayi yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami alahan, tak seharusnya mengambil susu lembu sampai umur setahun, telur sehingga umur dua tahun serta kacang tanah, buah-buahan keras, ikan dan jenis kerang-kerangan sehingga berumur tiga tahun.

Bukan semua tradisi orang dulu-dulu boleh diikut, fikirkan kesannya kemudian hari.

Menurut Kumpulan Kerja Teknikal Garis Panduan Kebangsaan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-kanak Kecil, pemakanan yang mencukupi adalah penting untuk kesihatan dan perkembangan kanak-kanak terutama dari tempoh dia lahir sampailah berusia dua tahun.

Ini adalah kerana, dalam tempoh tersebut pertumbuhan dan perkembangan otak sedang berlaku. Jadi oleh sebab itulah ibu-ibu perlu menitik beratkan soal pemakanan anaknya dalam tempoh dua tahun pertama ini.

Imej dari lifestyle&bisnis.com

Moga dengan penerangan kat atas ni, ibu bapa kat luar sana lebih peka dalam soal pemakanan si manja. Jika korang dapati anak korang muntah-muntah dan perut membusung, segeralah dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan atau pakar kanak-kanak.

Korang jugak boleh rujuk pada mana-mana klinik kesihatan ibu dan anak atau klinik pakar kanak-kanak yang lain.

Ini kerana bukan semua petua atau tradisi nenek moyang kita tu boleh di ikut bulat-bulat. Jika ada yang disahkan merbahaya berdasarkan landasan ilmu, tinggalkan je. Sebagai contoh, bayi baru berusia sebulan dua dah diberikan susu yang dicampur dengan nestum.

“Sistem penghadaman yang belum matang boleh memudaratkan sistem perkumuhan iaitu hati dan ginjal.” – Dr Zubaidi ketika di interview oleh SOSCILI.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend