Macam mana rakyat biasa ni jadi Presiden dan membasmi korupsi negara dia

Haritu SOSCILI ada tulis pasal macam mana rakyat Tunisia telah bersatu padu menggulingkan diktator dan bagaimana mereka menghadapi cabaran seperti kegawatan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi.

Tapi tak semua revolusi kena guna keganasan untuk berjaya, kadang-kadang tu sistem demokrasi jugaklah yang mampu menyelamatkan negara yang sedang menjunam, asalkan pemimpin yang dipilih adalah betul-betul nak berjuang demi rakyat.

Dan pemimpin macam ni lah yang kami nak cerita dalam artikel ini, iaitu Rafael Correa, Presiden Ecuador. Rafael telah berjaya mengubah sebuah negara yang sebelum ni diselubungi dengan keadaan ekonomi dan politik yang huru-hara.

rafael-correa
Ni lah Rafael Correa. Gambar dari abcnews.go.com

So jom kita tengok apa yang menyebabkan rakyat Ecuador ambil keputusan untuk menukar pemimpin dan akhirnya membawa diri mereka keluar dari kegawatan ekonomi dan korupsi…

Kenapa Ecuador tukar presiden sampai 7 kali?

Sebelum Rafael, Ecuador telah dipimpin oleh 7 orang bekas Presiden dalam masa sepuluh tahun. Bukan nak kata apa lah, tapi macam tak elok je asyik tukar Presiden ni. Tapi bila kami cerita sebabnya, mungkin korang pun akan buat benda yang sama.

Trend tukar Presiden macam tukar baju ni bermula pada pertengahan tahun 90-an apabila salah seorang Timbalan Presiden mereka cabut ke negara lain selepas terlibat dengan skandal rasuah. Tahun kemudiannya, mereka telah memilih pemimpin yang baru.

Tapi Presiden baru ni tak tahan lama. Dalam masa setahun, Presiden tersebut digantikan atas alasan ‘gila’. Sama juga dengan tahun berikutnya sampailah 2006. Setiap Presiden mesti buat hal – ada yang tukar mata wang Sucre (nama duit Ecuador) ke Dollar Amerika, ada yang merasuah, dan yang paling famous menganiaya orang Asli kat negara tu.

louie
Sakit kepala maaak~

Dari segi ekonomi pula, mereka telah mengalami kadar pengangguran yang tinggi terutama sekali pada tahun 2000 bila bekas Presiden Ecuador ambil keputusan untuk tukar mata wang dengan alasan kononnya cara tu boleh selamatkan ekonomi mereka. Malah, keadaan negara mereka menjadi lebih teruk sampaikan lebih kurang 10% rakyat Ecuador telah berpindah negara semata-mata untuk cari masa depan yang lebih cerah.

Rakyat buat protes tentang cara perbelanjaan kerajaan yang merapu. Mereka bergabung dengan Orang Asli dan buat demonstrasi untuk minta kerajaan melabur ke sektor pembangunan negara, lagi-lagi bila negara tu mula terima duit lebih hasil penjualan minyak.

ecuador-protes-2005
Protes jalanan yang menentang pemimpin yang mengarut. Gambar dari chinadaily.com

Dalam kekalutan politik dan ekonomi, rakyat Ecuador sangat memerlukan seorang pemimpin yang boleh betulkan semua masalah tu dan kat sini lah datangnya Rafael. Pada tahun 2006, dia telah bertanding untuk menjadi Presiden dengan memperoleh sokongan dari rakyat sebanyak 57%. Rafael juga dianggap sebagai Presiden yang paling popular dalam sejarah Ecuador.

Jadi apa yang membuatkan Rafael ni famous sangat dikalangan rakyat?

1. Sanggup letak jawatan Menteri Kewangan sebab tak setuju dengan langkah kerajaan

Masa kecil-kecil dulu, dia telah dibesarkan dalam keluarga miskin tapi tu tak menghalang dia untuk sambung belajar dan tolong orang lain. malah Rafael pernah buat kerja sukarela di perkampungan Orang Asli sampaikan dia reti cakap bahasa mereka. Jadi mamat ni memang tak asing dari pergelutan rakyat biasa.

rafael-gang
Inilah presiden berjiwa rakyat. Gambar dari csmonitor.com

Sewakti menjadi Menteri Kewangan dan Ekonomi dimana dia telah menentang cadangan Presiden yang nak pinjam duit dari World Bank. Sebagai tanda protes, Rafael telah meletak jawatan.

Yang kelakarnya, dua tahun kemudian Rafael angkat sumpah jadi Presiden Ecuador pada awal tahun 2007. Ada yang berpendapat dia menang besar time pilihanraya 2006 sebab dia mempunyai perbezaan ideologi dengan bekas Presiden. Tapi apa je dia boleh buat?

Masa tahun pertama, dia buat dua benda penting yang telah mendapat sokongan orang ramai. Yang pertama dia telah menguatkan operasi anti-kokain di sempadan Ecuador-Colombia dan kedua, mencadangkan pindaan perlembagaan yang baru.

rafael-at-a-rally
Tepukan gemuruh untuk Rafael guys! Gambar dari Jacobinmag.com

Perlembagaan baru tu ditulis untuk membantu orang miskin, kasi kuasa kepada rakyat untuk periksa projek kerajaan, dan juga undang-undang yang lebih ketat dalam penjagaan alam sekitar. Masa perlembagaan tu tengah nak diluluskan, seramai 57 ahli politik telah dipecat dan ada yang siap lari ke luar negara sebab takut kena tangkap atas alasan korupsi.

Jadi apa kesan perlambagaan baru ni?

2. Menarik kuasa dari golongan elit dan mengutamakan rakyat dan orang miskin

Perlembagaan baru yang ditulis ni telah diberi nama ‘Revolusi Rakyat‘ sebab Rafael menegaskan bahawa ia adalah untuk menarik kuasa dari golongan elit dan memberikannya kepada orang biasa. Hasil daripada undang-undang baru ni, Rafael berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 38% kepada 29%. Macam mana dia buat?

Basically kerajaan telah tingkatkan perbelanjaan ke sektor awam seperti naik taraf jalan, pembinaan sekolah, jambatan dan hospital. Malah, hospital memberikan perkhidmatan percuma untuk warga emas. Rafael juga telah meluluskan satu program ni dimana tanah yang tak digunakan akan diberi kepada orang miskin, lebih kurang macam FELDA la.

Lagi satu benda yang telah Rafael buat untuk memulihkan ekonomi adalah dengan mengetatkan lagi undang-undang minyak dan melombong, kat sektor tu pihak kerajaan akan makan saham lebih banyak dari sebelum ni dimana hasilnya akan dibelanjakan kepada rakyat.

semua-dapat-saham
Gambar dari memegenerator.com

Tapi dalam perlembagaan baru tu jugak, Rafael telah melanjutkan kuasanya kepada satu lagi penggal. Malah dia telah menguatkuasakan undang-undang dimana pihak media wajib menyiarkan mesej kerajaan. So dalam diam Rafael telah kasi win-win situation untuk diri dia dan juga rakyat.

Keputusan Rafael untuk berbuat demikian telah mengundang beberapa pengkritik yang mengatakan bahawa tindakan ni membawa padah pada masa akan datang. Contohnya ekonomi takkan mampu untuk menampung semua orang dan Rafael kononnya nak kuasa mutlak terhadap kerajaan.

Rafael membalas isu tersebut dengan menutup beberapa stesen TV yang penting kepada kerajaan, ibarat Perdana Menteri kita tutup RTM dan TV3 lah. Rafael ni punyalah serius tentang kebebasan media, dia sanggup mengampunkan empat orang penulis dari sebuah media yang lantang mengutuk kepimpinan dia. Rafael berkata ni sebahagian dari prinsip dia yang ‘anti-diktator media’.

sorry
Imej dari giphy.com

Tapi sikap Rafael yang baik hati ni tertakluk kat rakyat Ecuador je sebab kalau dengan orang luar dia agak garang, lagi-lagi kalau jenis yang suka kacau hal negara dia.

3. Menyekat pengaruh Amerika, solidariti untuk Gaza

Malah dia telah buat nama dengan mempertahankan pendirian bahawa Ecuador boleh jaga diri sendiri dan tak perlu pinjaman World Bank seperti yang kami kata kat atas tadi.

Bukan tu je, Rafael jugak pernah menghalau dua orang diplomat Amerika Syarikat dari Kedutaan sebab mereka sibuk dengan hal Ecuador. Malah dia juga telah  menghentikan kontrak pangkalan tentera Amerika Syarikat di Ecuador.

slam-door
Macam ni lah Rafael halau orang Amerika Syarikat, dia hentak je pintu tu. Imej dari giphy.com

Dari segi perdagangan antarabangsa pula, Ecuador telah join persatuan ALBA dimana negara ahli seperti Bolivia, Cuba, Venezuela, dan negara Amerika Selatan yang lain akan mengutamakan perdagangan antara satu sama lain dan ni telah digunakan sebagai alternatif untuk Free Trade Agreement of Americas yang dipelopori oleh Amerika Syarikat.

Apa yang membuatkan kami kagum adalah, Ecuador telah menjadi negara pertama di dunia untuk tidak membayar hutang yang terlibat dengan korupsi. Pada tahun 2008, Rafael telah mengajak juruaudit antarabangsa untuk check balik semua projek kerajaan. Dari dokumentasi sampailah syarat pinjaman, dan kalau dia dapati ianya macam mengarut je Rafael akan isytiharkan kerajaan takkan bayar balik hutang tersebut.

Rafael juga menyokong sebarang bentuk perjuangan kebenaran dan hak rakyat. Ni terbukti bila dia telah ambil keputusan untuk kasi Julian Assange (seorang aktivis) kuasa politik di negaranya dan kini Julian tinggal kat kedutaan Ecuador di UK.

Julian Assange beri ucapan kat kedutaan Ecuador di London. Gambar dari dailymail.co.uk

Pada tahun 2014, Ecuador bersama ALBA telah menunjukkan solidariti dan mengutuk perbuatan keji kerajaan Zionis menghentam Gaza.  Mereka semua telah bergabung apabila rakan sejawat Rafael dari Bolivia telah mengumumkan bahawa semua rakyat Israel kena ada visa bila nak masuk negara tu dan Rafael telah mengeluarkan kenyataan untuk membuka kedutaan Palestin di Ecuador. Tak cukup dengan tu, Ecuador juga telah menghantar 50 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

4. Sanggup bersemuka dengan pengkritik dan pihak pembangkang

Ingat tak tadi kami kata pasal kerajaan Ecuador ambil saham lebih dalam industri minyak? Haa… korang tau kan baru-baru ni harga minyak dunia kian jatuh dan disebabkan hampir semua program rakyat menggunakan duit royalti minyak tu,maka terdapat beberapa program telah terbantut dan isu ni telah digunakkan oleh musuh politik Rafael untuk menjatuhkan dia.

Malah terdapat jugak beberapa protes jalanan meminta Rafael untuk letak jawatan pada tahun ni. Sebenarnya agak pelik sebab kalau ikut perlembagaan baru, tahun ni merupakan tahun terakhir Rafael sebagai Presiden dan lepas tu dia tak boleh bertanding dah. Tapi apa yang terjadi adalah sebaliknya, parti Rafael ni sedang melakukan kempen untuk menjadikan jawatan Presiden tu tanpa had, kiranya Rafael boleh jadi Presiden sampai bila-bila.

unlimited-power
Imej dari giphy.com

Mungkin ada yang bersetuju sebab setakat 10 tahun dia memerintah, rakyat dan negara Ecuador telah berkembang tapi ada jugak yang tak suka sebab ia ibarat pemerintahan diktator yang kejam. Dan bagi menjawab tuduhan tu, Rafael menegaskan bahawa dia takkan bertanding untuk pilihanraya tahun depan.

Malah sewaktu protes tu berlaku, Rafael telah memanggil semua parti politik yang menentang dia untuk duduk semeja dan membincangkan isu yang ingin diketengahkan oleh pihak lawan. Tapi semua tu sudah terlambat apabila protes anti-Rafael telah membangkitkan isu penutupan beberapa NGO dan stesen media yang terkenal mengkritik dia.

Yang ni agak kelakar sebab tahun yang sama juga, Rafael telah meluluskan undang-undang dimana rakyat telah dibenarkan untuk mengingkari arahan dari kerajaan kalau ia bertentangan dengan perlembagaan negara. Jadi samada Rafael tu berubah menjadi diktator yang kejam atau tinggalkan legasi sebagai pemimpin legend Ecuador, tu adalah antara dia dan rakyat.

rafael-good-or-bad
Baik atau jahat biar rakyat dan masa menentukannya. Gambar dari semana.com

Revolusi tak semestinya kena buat cara ganas

Perkataan revolusi ni berasal dari latin yang bermaksud ‘patah balik’ atau ‘u-turn’ dimana rakyat bangun menentang kerajaan yang sedang berkuasa. Lagi satu maksud dia adalah dari ahli falsafah Aristotle, iaitu pengubahsuaian perlembagaan terkini.

Dan kalau kita tengok balik sejarah manusia yang berlaku, asal revolusi je mesti ada peperangan, dan contoh terdekat adalah negara-negara Arab Spring (kecuali Tunisia). Dan kalau nak dikira pun tak banyak revolusi yang berlaku dengan aman.

Ecuador boleh dikatakan antara negara yang telah melakukan revolusi dengan jayanya. Mereka telah keluar pergi mengundi dan undi pemimpin yang mereka percaya akan membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

Dah tu, kesimpulannya… korang dah daftar mengundi ke belum? Klik sini untuk semak status korang.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance