Betul ke Najib luluskan undang-undang yang MELINDUNGI pemberi maklumat 1MDB?

(Click here to read this article in English.)

Cuba bayangkan sebuah dunia sempurna di mana, sekiranya korang terjumpa bukti yang majikan atau syarikat korang buat perkara yang tak sah ataupun tak beretika, korang boleh dedahkan bukti ini semua; tapi adanya undang-undang yang akan menjamin:

  • Identiti korang dirahsiakan
  • Korang dilindungi daripada tindakan undang-undang dan hukuman
  • Korang, beserta keluarga dan kawan-kawan dilindungi daripada sebarang tindak balas

Kita memang ada undang-undang ni dan ianya dipanggil sebagai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA), yang diperkenalkan oleh PM Najib dalam Program Transformasi Kerajaan 2010. Kalau korang follow berita antarabangsa, perbuatan mendedahkan maklumat ni dipanggil sebagai ‘whistleblowing’.

referee-tiup-wisel
Imej dari Daily Mail.

Korang mungkin jugak pernah terdengar nama Edward Snowden, bekas pekerja CIA yang membocorkan beribu-ribu dokumen sulit. Dia berjaya mendedahkan perbuatan mengintip oleh badan kerajaan Amerika, National Security Agency (NSA).

Seriau jugak tengok macam mana Edward Snowden diburu sebab mendedahkan salah laku kerajaan Amerika. Klik untuk trailer.
Seriau jugak tengok macam mana Edward Snowden diburu sebab mendedahkan salah laku kerajaan Amerika. Klik untuk trailer.

Whistleblower biasanya dipandang sebagai pengkhianat atau pengadu domba, dan biasanya mendapat tindak balas fizikal atau  kena pecat, turun pangkat, atau tidak dinaikkan pangkat. Ada sesetengah kes di mana mereka mungkin dipenjarakan. Sebab-sebab ini semualah yang memerlukan akta yang melindungi whistleblower

Tak banyak negara yang ada undang-undang khas untuk melindungi whistleblower, tapi kat Malaysia ada! Maju sungguh kita ni kan? Tapi kalau kita lindungi pemberi maklumat, kenapa pulak…

Rafizi Ramli mungkin akan masuk penjara sebab mendedahkan rahsia 1MDB!

Imej dari The Malay Mail Online.
Imej dari The Malay Mail Online.

Setiusaha Agung PKR, Rafizi Ramli telah dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membocorkan laporan audit 1MDB.

Dan ini bukan first time dia kena. Sebelum ni, Rafizi dan seorang pekerja bank bernama Johari Mohamad telah ditahan dan didakwa di bawah undang-undang perbankan pada tahun 2012 kerana mendedahkan apa yang berlaku dalam National Feedlot Corpration (NFC).

Ini apa yang berlaku dalam kedua-dua kes:

Kes pendedahan 1MDB:

  • Laporan audit 1MDB diklasifikasikan di bawah Aktra Rahsia Rasmi
  • Rafizi kena tahan kerana memiliki satu halaman (mukasurat 98) dalam laporan tersebut dan mendedahkannya dalam sebuah sidang akhbar.
  • Halaman tersebut didakwa mengandungi maklumat tentang hubungan 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – di mana ada pesara (didakwa) tak dapat duit sejak 2014 lagi.

Kes pendedahan NFC

  • Rafizi kena tahan kerana mendedahkan maklumat yang dia dapat daripada Johari, pekerja Public Bank yang membocorkan maklumat perbankan berkaitan dengan NFC yang membeli sebuah kondo mewah di KL.
  • Kedua-dua perbuatan mendedahkan dan membocorkan maklumat perbankan ini adalah merupakan kesalahan di bawah Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (yang kini telah diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013).
rafizi-and-johari
Rafizi dan Johari. Imej dari Free Malaysia Today.

Dah tu apa gunanya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tadi? Awatnya Rafizi dan Johari kena jugak lagi? Sebabnya…

Akta Perlindungan Rahsia Rasmi (WPA) hanya memberi perlindungan di bawah syarat-syarat yang sangat spesifik

terma-dan-syarat
Imej dari BBC Culture.

Dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) mukasurat 10, benda-benda berkaitan dengan perlindungan identiti dan imuniti daripada tindakan undang-undang ni memang semuanya dinyatakan.

Macam manapun, kriteria yang terlibat adalah sangat spesifik. Kami tanya Eric Paulsen dari Lawyers for Liberty, dan dia kata WPA mungkin efektif untuk membasmi korupsi dalam badan kerajaan tahap bawah je, tapi untuk tahap yang lebih tinggi mungkin susah sikit.

“Secara peribadi, kalau ada sesiapa minta nasihat [tentang mendapatkan perlindungan], saya akan sangat berhati-hati dalam menasihati mereka sepanjang proses yang terlibat.” – Eric Paulsen ketika ditemuramah kami.

Ini disebabkan tiga benda:

1. Korang hanya akan dilindungi kalau korang pergi ke agensi penguatkuasan TERLEBIH DAHULU… dan korang tak boleh blah! [Seksyen 8(1), WPA]

Sebenarnya, buat masa ni takde satu badan atau agensi khas pun untuk menguruskan kes whistleblowing. Sebaliknya ‘agensi penguatkuasaan’ yang dinyatakan adalah mana-mana agensi atau unit dengan hak penyiasatan dan penguatkuasaan termasuklah PDRM, SPRM, dan Jabatan Imigresen.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, sebab kenapa Rafizi tak berhak mendapat perlindungan WPA adalah sebab dia tak buat laporan terus ke agensi penguatkuasaan ini. Sebaliknya, dia dedahkan kepada awam. Sama la dengan kes NFC.

Satu lagi kelemahan proses ini adalah kalau korang cuba dapatkan perlindungan di bawah WPM, korang tak boleh pergi tempat lain. Maknanya kalau takde sebarang tindakan diambil, korang tak boleh pergi ke mana-mana pihak ketiga (contohnya media) secara sah.

“Framework undang-undang ini adalah agak menindas. Kalau kamu pergi terus kepada media, kamu tidak boleh mendapatkan perlindungan. Kalau kamu cuba dapatkan perlindungan dan kemudiannya pergi ke media, kamu akan didakwa.” – Eric Paulsen.

kena-report

Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 8(1) dalam Akta tersebut.

2. Perlindungan korang akan ditarik balik kalau korang dedahkan kelemahan kerajaan [Seksyen 11(1)(d), WPA]

Bayangkan kalau korang pekerja gomen dan korang perasan ada benda yang tak kena. Korang pergi buat laporan, dan oleh kerana korang dilindungi, bos tak boleh buat apa-apa. Tapi kan… perlindungan tersebut mungkin akan ditarik balik kalau hasil penyiasatan mendedahkan kelemahan dalam polisi kerajaan.

Malah perlindungan boleh ditarik selepas atau sewaktu penyiasatan berlaku. Klausa ni macam pelik je sebab ia akan menghadkan apa yang korang boleh report…

3. Korang tak akan dilindungi (dan mungkin dapat masalah) kalau korang langgar undang-undang lain untuk mendapatkan maklumat tersebut

Oleh kerana part ni panjang sangat, kami terpaksa explain dalam bahagiannya tersendiri kat bawah ni. Sorry ah potong stim ↓

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak melindungi korang daripada undang-undang lain (yang berkaitan dengan maklumat)

tumblr_mztmm8V9JX1qd5mq1o1_400

Ada bahagian dalam WPA [Seksyen 6(1)] yang melarang korang mendedahkan maklumat yang dilindungi oleh undang-undang sedia ada, atau menunjukkanya kepada sebarang pihak selain agensi penguatkuasaan. Kalau buat jugak, korang akan didakwa di bawah undang-undang (lain) tersebut.

Macam dalam kes NFC, Rafizi didakwa kerana melanggar Undang-undang Institusi Kewangan dan Perbankan (BAFIA). Memang la BAFIA tu bertujuan melindungi maklumat perbankan peribadi, tapi Eric kata apa gunanya WPA ni kalau korang tak boleh buktikan kes korupsi dengan dokumen yang korang dapat.

Bagi Akta Rahsia Rasmi (OSA) pulak, ia bertujuan untuk melindungi keselamatan negara. Masalahnya definisi ‘rahsia’ dorang sangat kabur sampaikan hampir mana-mana pegawai kerajaan boleh isytiharkan hampir mana-mana dokumen sebagai rahsia rasmi. Dan setakat ni benda pelik-pelik jugak la yang dikategorikan dalam OSA termasuklah bukti-bukti yang berkaitan dengan… hantu (betul, tak tipu).

Klik untuk baca artikel tentang benda-benda pelik yang dilindungi OSA.
Klik untuk baca artikel tentang benda-benda pelik yang dilindungi OSA.

Inilah yang berlaku pada Rafizi dalam kes 1MDB. Walaupun dia didakwa kerana mendedahkan dokumen rahsia, peguambela tak boleh tanya apa-apa soalan berkaitan dengan dokumen tersebut, mahupun menunjukkan dokumen tersebut di mahkamah.

Pada tahun 2013, pindaan kepada Kod Penal telah diluluskan meskipun setelah dibantah oleh beberapa NGO, malah dibantah beberapa wakil rakyat BN sendiri. Seksyen 203(A) melarang sesiapa pun mendedahkan maklumat atau dokumen yang diperoleh sewaktu perkhidmatan mereka. Tapi bukan itu ke yang dinamakan whistleblowing? Korang boleh baca artikel oleh peguam Syahredzan Johan untuk maklumat terperinci.

Dah tu gomen nak tak kita buat laporan pasal korupsi apa semua?

Imej dari Radical Compliance.
Imej dari Radical Compliance.

Nampak gayanya setakat ni, WPA boleh tahan jugak la dalam menggalakkan laporan. Sebanyak 1,960 komplen telah difailkan pada 2011, dan 11,841 pada tahun 2012. SPRM pun kata ada pihak yang datang kepada mereka dan diberi perlindungan. Macam mana pun seperti kata Eric, undang-undang ni mungkin lebih berkesan untuk badan kerajaan dan syarikat tahap rendah.

Dah tu, kenapa susah payah sungguh Najib cuba buat undang-undang ni?

Kami boleh fikir dua sebab. Yang pertamanya, bila Najib jadi PM, dia cuba fokus untuk kelihatan progresif, contohnya dalam memansuhkan ISA serta memulakan inisiatif 1Malaysia. Namun ISA telahpun diganti dengan undang-undang lain seperti SOSMA dan POTA, ada terfikir samada undang-undang ini digubal untuk membasmi korupsi atau nampak macam kita sedang aktifi membasmi korupsi.

“Mereka mahu kelihatan seperti mereka membuat pembaharuan terhadap Akta Perlindungan Pemberi  Maklumat samalah macam Akta Perhimpunan Aman – di luar nampak macam progresif, tetapi secara praktikalnya, tidak.” – Eric Paulsen

Agak menarik jugak bila melihat kenapa sikit sangat negara yang ada undang-undang yang melindungi whistleblower atau pemberi maklumat ni. Tujuan whistleblowing adalah untuk melepasi rangka kerja organisasi dan sekuriti dengan tujuan mendedahkan sesuatu buat kebaikan bersama, dan kadang-kadang ianya mampu memberikan kesan besar kepada kerajaan dan organisasi.

Dalam contoh Edward Snowden, dia terpaksa mencari pelindungan di Russia untuk melepaskan diri daripada hukuman di Amerika, walaupun Amerika ada undang-undang whistleblower mereka sendiri.

Putin clap

Tak kisahlah berapa banyak dan ketat satu undang-undang itu, mungkin yang lebih penting adalah macam mana pihak bertanggungjawab melaksanakannya. Eric guna Rafizi sebagai contoh bagi menjawab soalan ini.

“Berdasarkan kepada dakwaannya yang dilihat sebagai bermotifkan politik, serta apa yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum ini, jika Rafizi mematuhi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan mendedahkan apa yang dia tahu kepada agensi penguatkuasaan; adakah agensi-agensi ini akan menyiasat tuduhan tersebut dengan teliti?” – Eric Paulsen