- 59Share sekarang!
- Email13
- Facebook46
- Share
Sebut pasal Gen-Y ataupun Millenial, mesti korang terbayang geng yang free spirit dan asyik backpack keliling satu dunia kan, tak terikat dengan fixed routine. Menurut satu artikel dari TIME, Millenials adalah golongan yang sangat syok sendiri tapi pada masa yang sama dorang jugak digambarkan sebagai lebih yakin dengan diri sendiri dan lebih terbuka kepada idea dan cara hidup yang baru.
Jadi dalam artikel ni, kami SOSCILI nak fokus kepada part yang positif tu, siapa agaknya antara golongan millenial kat negara kita yang berusaha memberi impak yang baik kepada negara?
1. Syed Saddiq, anak muda yang lantang komen pasal isu-isu negara
Syed Saddiq memang cukup terkenal dalam menyuarakan pendapat tentang situasi politik negara. Dia telah ‘sekolahkan’ anak Zahid Hamidi, cabar berdebat dengan Bung Mokhtar, dan pernah mengatakan PM Najib sebagai ‘keaiban negara’.
“Jika saya tak buat apa yang saya lakukan sekarang, saya bukan sahaja mengkhianati kesemua rakyat M’sia, tapi juga mengkhianati diri saya sendiri. Apabila anda tahu yang sesuatu perkara itu ternyata salah dan memilih untuk berdiam diri, ia akan perlahan-lahan membunuh kesedaran moral dalam diri anda.”- Syed Saddiq dalam temubual dengan SOSCILI
Beru-baru ni Syed Syaddiq juga menubuhkan sebuah kumpulan anak muda yang dipanggil sebagai Challenger, dan kenyataan pertama mereka adalah menolak kepimpinan Najib Razak.
Tapi sebelum dia menjadi suara bagi anak muda di Malaysia, macam mana Malaysia mula kenal dengan Syed Saddiq? Semuanya bermula bila dia berjaya menjadi Pendebat Terbaik Asia selama tiga tahun-berturut-turut. Dia juga dilantik sebagai Ketua Hakim untuk InterVarsities Cambridge pada 2015 sekaligus menjadi orang Asia pertama memegang jawatan tersebut.
Syed Saddiq memang dari dulu dah penuh dengan karisma ke? Dalam temubual dengan The Malay Mail Online, dia menyatakan yang dulu dia tak pernah dapat A pun dalam exam Bahasa Inggeris. Dan waktu kecik-kecik dia adalah seorang Muslim radikal yang pernah kata sapa tak solat memang masuk neraka. Jadi Syed Saddiq memang percaya yang sesiapapun boleh berubah tak kisahlah berapa radikal sekalipun.
2. Zikry Kholil, social entreprenur yang di-shortlist dalam Forbes ‘30 Under 30 Asia’
Incitement adalah sebuah organisasi yang buat macam-macam event bertumpukan pada amal kebajikan, dan siapapun boleh join sebagai volunteer. Sekarang ni Incitement dah berkembang ke 5 benua dan 30 buah negara dan apa yang paling cool adalah CEO dan dua co-founder mereka adalah Zikry Kohlil, seorang rakyat Malaysia!
Antra projek yang dorang bantu adalah Liter of Light, sebuah non-profit yang membekalkan lampu solar kat kawasan yang takde eletrik. Lampu solar ni dorang buat sendiri je daripada botol plastik lama dan klorin, bukan beli daripada 7-eleven ye.
Incitement juga anda menganjurkan talk yang mengumpulkan speaker dari syarikat antarabangsa macam Google, TED, The New York Times, Bloomberg dan banyak lagi. Hebat kan anak muda Malaysia kita? Zikry membuktikan yang Gen-Y mampu membawa perubahan yang positif.
“Dalam pemikiran saya, untuk kita menerapkan potensi yang sepenuhnya untuk menyelamatkan dunia dan memberi inspirasi kepada orang ramai, adalah dengan bertindak lebih dan kurangkan bercakap kosong.” – Zikry Kholil, dipetik dari My Sinchew.
3. Hafizah Noor Isa, gadis kecil bercita-cita setanding Einstein
Hafizah Noor Isa, calon PhD di University of Glasgow membuktikan bahawa sesiapa pun boleh berjaya jika kita berusaha kuat. Beliau menjadi topik perbualan orang ramai apabila dikatakan telah menyumbang kepada kajian saintifik yang terbesar untuk abad ini iaitu ‘Observation of Gravitational Waves from a Binary Black Hole Merger‘, sebuah kajian untuk membuktikan teori Einstein .
Ini adalah sumbangan terbesar dalam dunia sains dan kita semua berbangga dengan anak muda kelahiran Kelantan ni. Hafizah adalah contoh terbaik untuk membuktikan yang tidak kira lah kita asal mana sekalipun, kalau kita betul-betul berusah mesti boleh.
“Sejujurnya, saya rasa bangga dan terharu dengan perhatian dan publisiti meluas melalui penemuan bersejarah ini. Sejak hari pertama terlibat dalam projek ini, saya tidak menjangkakan akan mendapat perhatian sebegini rupa dari orang awam dan media. Saya hanya menumpukan perhatian dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menyiapkan tugasan yang diberi sebaik mungkin.”- Hafizah, dipetik dari MajalahSains.
Sebelum melanjutkan PhD, beliau merupakan kakitangan akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam subjek fizik. Semenjak kejayaan beliau, ramai netizen mencadangkan beliau dinobatkan sebagai ikon belia.
“Saya berharap kejayaan ini mampu memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda agar mempunyai impian dan cita-cita tinggi dan bekerja keras untuk menggapainya. Tiada sesuatu yang mustahil!” Hafizah, dipetik dari MajalahSains.
4. Syed Azmi, storyteller dengan azam yang tinggi dan pemurah
Ramai orang yang mula terdengar nama Syed Azmi daripada kempen ‘I want To Touch a Dog’ yang sangat kontroversi tak lama dulu. Seorang yang bersemangat tinggi dan sentiasa nak buat baik dalam menjadikan Malaysia lebih terbuka kepada perubahan. Beliau merupakan seorang farmasis tapi itu bukan penghalang untuk terus berbakti pada negara tercinta. Beliau banyak terlibat dalam projek-projek komuniti secara solo termasuklah feed the homeless, menolong di rumah orang tua-tua, refugees, pesakit kanser, dan banyak lagi. Boleh dikatakan kesemua mereka yang kita tak pernah ambil tahu, dia akan sedia menolong.
“Life is a university to learn and experience. Apa yang saya lakukan sekarang semuanya didorong oleh segala pengalaman hidup dan daripada pengalaman kita berusaha untuk menambah baik dan menbuat perubahan kepada yang lebih baik. Ambilnya sebagai pengajaran hidup.” – Syed Azmi dalam temubual dengan SOSCILI.
Satu social project beliau yang boleh dikatakan sudah diterima ramai serta dipraktiskan adalah Suspended Meals. Normal rutin bagi orang barat, tapi di Malaysia perkara ini masih baru. So, ini lah orangnya yang jadikan Suspended Meals ni satu trend sosial terbaru dalam menolong mereka yang tak berkemampuan. Bercerita perihal volunteerism di M’sia, Syed Azmin berpendapat bahawa:
“Volunteerism itu banyak, mungkin cuma kita tidak cukup contoh atau mereka yang boleh dijadi sebagai role-model. Setiap orang ada passion dan cara tersendiri untuk berbakti kepada society. As long as mereka berbuat baik, itu sudah cukup.” – Syed Azmi dalam temubual dengan SOSCILI.
Kat Facebook je Syed Azmi ada 78 ribu follower di mana dia suka share cerita-cerita pendek berdasarkan pengalaman dia sendiri, sebab Syed ni suka bersembang dengan orang ramai especially warga tua dan ambil tahu apa masalah mereka.
“Semua orang boleh tulis apa-apa sahaja di Facebook. Tapi apa yang kita tuliskan adakah ia akan membawa kepada nilai positif? Memang semua boleh menulis apa sahaja dan Facebook adalah satu medium asas untuk kita reach out kepada orang luar sana. Sebagai pembaca, kita harus meneliti dan peka, adakah sesuatu post itu boleh membawa kepada perubahan?”- Syed Azmi dalam temubual dengan SOSCILI.
Syed Azmi sendiri dah lali dengan segala komen-komen negatif, asalkan boleh terus berbakti. Dan dalam usaha memupuk anak muda untuk sama-sama berbuat baik, beliau mengatakan:
“Berhenti merungut. Merungut ataupun complaining adalah sangat-sangat merosakkan seseorang. Stop negativity dan membuat amal kebajikan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Itu bukan ukuran. Jika anda boleh menolong dalam bentuk tenaga, ataupun apa sahaja, itu juga satu charity.” – Syed Azmi dalam temubual dengan SOSCILI.
5. Arlina Banana, seorang yang mampu mengubah stereotaip orang kita
Arlina adalah seorang personaliti yang femes dengan video-video lawak yang terselit mesej disebaliknya. Bercerita mengenai approach beliau dengan menggunakan social media sebagai jalan alternatif untuk bagitau orang ramai untuk “love yourself”, beliau mengatakan social media adalah escapism untuk dirinya.
“Saya tulis untuk motivasikan diri sendiri dan secara jujur membuat video-video itu semua hanyalah untuk hiburan semata-mata. Tiada sebarang niat untuk spread positivity, mungkin orang yang membacanya merasakan dirinya relatable dengan apa yang saya postkan.” – Airlina dalam temubual dengan SOSCILI.
Arlina adalah seorang anak muda yang berusaha gigih untuk membasmi stereotaip orang kita terhadap kecantikan fizikal terutama sekali berat badan. Dia sering kali memuat naik kata-kata semangat di social medianya yang rata-rata beribu share. Benda yang bagi kita biasa-biasa je tapi orang macam ini lah dunia perlukan untuk menyebarkan benda-benda positif.
“Pada mulanya yes, memang saya agak kecewa bila orang make fun of my appearance rather than apa yang saya cuba katakan. Anda tak boleh paksa orang untuk dengar kata-kata anda. Kalau mereka tidak berminat dengan apa yang saya cuba katakan dan memilih untuk make fun of my physical appearance, biarkan. Dan saya selalu ingatkan pada diri sendiri untuk tidak memilih untuk terganggu dengan perkara remeh-temeh. ada banyak lagi perkara penting yang perlu difikirkan.” – Airlina dalam temubual dengan SOSCILI.
Antara projek yang dihasilkan oleh Airlina adalah ‘Glass of Hope’ iaitu botol kaca yang mengandungi nota-nota kecil untuk menaikkan semangat kita tatkala kita down dan juga ‘My Date is a Book’, iaitu projek yang mengajar orang ramai untuk tak judge orang berdasarkan fizikal semata-mata.
Sebagai bekas pelajar medic, Arlina ini walaupun sekarang dalam arena yang berbeza tapi dia masih lagi berusaha dalam mendidik M’sian kepada minda yang sihat – untuk menjadi positif! Akhir sekali, nasihat Airlina kepada anak muda di luar sana, dia mengatakan:
“Utamakan pendapat anda. Memang amat mudah untuk kita berasa kasihan pada diri sendiri apabila menyentuh perihal panampilan diri. Selalu ingatkan diri kita yang masih ada banyak lagi hal-hal penting untuk kita fikirkan daripada physical apperance. Fokus kepada benda yang anda boleh ubah seperti skill, attitude dan karakter peribadi.” – Airlina dalam temubual dengan SOSCILI.
Masa depan Malaysia masih cerah!
Dalam artikel ni kami cuba selitkan individu yang menyumbang dalam bidang dan dengan cara mereka sendiri, daripada lantang bersuara tentang isu semasa sehinggalah menyebarkan mesej positif melalui social media.
Sebenarnya ada banyak lagi nama-nama yang kami tak cukup nak letak kat sini contohnya daripada golongan aktivis, kita ada Adam Adli dan Fahmi Reza. Dan tak lupa jugak ada organisasi-organisasi yang juga ditubuhkan olah golongan belia di Malaysia!
Jadi kalau dorang boleh buat apa yang termampu untuk melakukan perubahan, kita bila lagi?
“Kita sebagai anak muda harus berdiri kukuh dibarisan paling hadapan. Kita harus memimpin dalam membawa perubahan. Masa depan negara kita terletak dalam tangan kita, anak muda. Jadi marilah kita jangan kecewakan masa depan dan diri kita semua.” – Kata Syed Saddiq kepada SOSCILI.
- 59Share sekarang!
- Email13
- Facebook46
- Share