- 164Share sekarang!
- Email9
- Facebook155
- Share
Mungkin ramai pernah terfikir kenapa kita semua kat Malaysia ni selalu menggelar tanah kelahiran kita sebagai tanah air, sedangkan negara lain tak ada pun nak sebut tanah air semua bagai. Orang barat pun panggil tanah kelahiran mereka sebagai The Motherland, The Fatherland dan macam-macam lagi. Cuma kita kita kat Nusantara je panggil tanah air ni,
Terdapat penjelasan yang boleh diambil kira tentang kewujudan perkataan tanah air tu, sebenarnya dulu sebelum zaman kejatuhan Melaka tu, orang-orang di nusantara ni boleh dikira sebagai bangsa pelaut terulung! Ini kerana terdapat pelbagai info mahupun naskhah yang menyatakan kita memang sinonim dengan darat dan juga laut. Ini antara sebabnya…
Kapal Melayu merupakan kapal terbesar di dunia!
Mesti ada yang ingat benda ni macam main-main je kan? Kalau ada antara korang yang pernah baca, di nusantara terdapat pelbagai jenis bot dan kapal yang wujud. Dalam pada itu, ia mempunyai fungsinya yang tersendiri mengikut saiz hinggalah jenis kayu yang digunakan. Semua tu bukanlah kebetulan semata-mata, ada sebab tersendiri mengapa saiz dan bahan yang digunakan itu berbeza.
Untuk pengetahun korang, boleh dikatakan kapal dari Nusantara adalah yang paling besar even melebihi ciptaan empayar Cina dan juga negara barat, ia digelar sebagai Jong. Ia merupakan sebuah kapal layar yang sangat besar di mana beratnya dikatakan mencecah 1000 tan. Kegunaan kapal Jong ni memang untuk berlayar jauh, sebab tu saiz dia besar gila!
Dikatakan kalau kapal Jong ni nak berlabuh, ia perlu berlabuh jauh daripada pelabuhan sebab takut ia akan berlanggar dengan kapal dagang luar negara. Dalam pada itu, kapal layar ini juga bukan hanya mampu digunakan untuk berlayar je, malah ia juga mampu menyertai apa-apa peperangan. Sampaikan ada yang kata kapal Jong ni boleh menerima tembakan meriam barat tanpa mendapat kerosakan serius.
Kapal Jong ni boleh dikatakan penyumbang terbesar kepada aktiviti perdagangan terawal Asia Tenggara apabila ia menyatukan jalur perdagangan yang meliputi beberapa kerajaan ketika itu iaitu Champa (Vietnam), Ayuthaya (Thailand), Aceh, Melaka dan Makassar. Tidak lupa juga ia memberi akses kepada orang kita pergi berdagang di dunia luar juga.
Namun, sebenarnya banyak lagi kapal yang dibina di Alam Melayu ni, sampaikan ada teknologi luar yang diambil untuk membuat kapal. Ia adalah…
Tiga kelas kapal tradisional di Alam Melayu
Kapal di Nusantara ni boleh dibahagikan kepada 3 kelas iaitu:
Kapal Besar
- Kapal Jong
- Kapal Ghali
- Kapal Pinisi
- Kapal Pinas/Bedar
Kapal Besar ini selalunya digunakan untuk ekspedisi yang jauh, selalunya melibatkan pelayaran ke negara di hujung dunia tu. Bahan yang digunakan untuk membuat kapal ini juga adalah yang terbaik seperti kayu cengal dan juga kayu jati. Ini kerana sudah terbukti kedua jenis kayu itu mempunyai ketahanan yang sangat tinggi dan dalam masa sama mempunyai jangka hayat yang sangat lama.
Kira kalau betul dijaga, memang takkan reput lah kayu tu, sebab tu ada je rumah kampung yang diperbuat daripada kayu cengal atau jati yang masih lagi berdiri sehingga hari ini walaupun sudah berusia ratusan tahun. Kapal ni juga mampu untuk engage dalam medan perang kalau perlu! Itu untuk kapal besar lah, kelas seterusnya pula adalah…
Kapal Sederhana
- Kapal Padekawang (Bugis)
- Kapal Nade (Sumatera)
- Kapal Lancang (Sumatera)
- Kapal Patoroni (Bugis)
- Kapal/Perahu Penjajab, Pencalang, Mayang, Palari, Payang
- Kapal Tongkang (Singapura)
- Kapal/Perahu Kora-kora (Kepulauan Maluku)
Banyak kan nama-nama kapal sederhana ni? Semua kapal ini hanya digunakan untuk pelayaran jarak dekat sahaja, tak ada lah dekat sangat. Dia setakat kalau nak pergi ke pelabuhan negeri-negeri jiran macam tu mampu lah, barang-barang yang perlu dibawa pun tak lah banyak sangat macam pelayaran jarak jauh yang guna kapal besar tu.
Oleh kerana fungsinya untuk pelayaran jarak dekat, kayu yang digunakan untuk membina kapal-kapal sederhana ni hanyalah menggunakan kayu yang berkualiti, tapi bukanlah jenis yang tahan lama seperti cengal dan jati. Jenis kayu yang diketahui untuk bina kapal sederhana adalah kayu seraya, meranti, merbau, tempinis, penaga dan juga kelat. Kira memang banyak pilihan dah tu.
Disebabkan kayu yang kuat dan tahan lama gila-gila hanyalah cengal dan jati, ia hanya dikhususkan untuk membuat kapal besar sahaja. Tapi rasanya mesti ada je orang yang guna kayu premium ni untuk buat kapal lebih kecil kan, takkan lah tak ada yang buat macam tu. Kita beralih pula kepada kelas yang seterusnya…
Kapal atau Perahu Kecil
- Perahu Kolek
- Perahu Baluk
- Perahu Jalur
- Kapal Kajangan/Setok
- Perahu Kakap
- Perahu Sekoci
Kelas kapal yang terakhir adalah kapal atau perahu kecil, ia digunakan sebagai pengangkutan di sungai dan pesisir pantai. Memang kapal kecil ni hanya digunakan untuk jarak yang dekat je lah, sebab kalau dorang masuk ke kawasan laut dalam confirm terbalik punya. Kapal jenis di banyak digunakan oleh nelayan lah, sebab zaman tu memang job nelayan ni antara yang paling ramai orang buat.
Percaya atau tidak, zaman sekarang kita hanya boleh nampak pembuatan perahu sederhana dan kecil sahaja. Kita memang susah nampak dah kapal besar lebih-lebih lagi kapal Jong dan Ghali, ia ibarat ilmu pembuatannya sudah pun hilang daripada rekod kita. Kalau ada pun, semua tu adalah replika sahaja dan kualitinya pasti tak sama dengan kapal tradisional dahulu kala.
Kenapa perkara sebegitu terjadi? Sebenarnya ada teori yang mungkin boleh diterima pakai tentang bagaimana ilmu sebegitu boleh dilupakan. Ia disebabkan…
Penjajahan merupakan punca ilmu itu hilang
Pasti ada yang tanya, apa kene mengena penjajahan dengan ilmu buat kapal ni kan. Sebenarnya memang berkait rapat pun, dikatakan segala ilmu perkapalan kita mula menghilang adalah selepas Nusantara dijajah oleh pelbagai kuasa barat iaitu dimulakan dengan serangan terhadap Melaka pada 1511 oleh Portugis. Lepas tu tambah lagi dengan Belanda, Inggeris dan seterusnya.
Kita pergi balik kepada konteks jenis kapal tadi tu, kita ada kapal yang dibuat khas untuk berlayar pada jarak jauh, sederhana dan dekat. Kalau kita ikut logik tu, memang pasti akan dilupakan segala cara pembuatan kapal besar. Ini disebabkan, selepas dijajah, ekspedisi pelayaran jarak jauh akan berkurangan atau mungkin tak ada langsung.
Bila tak berlayar jauh-jauh, nak buat apa bina kapal besar dah kan. Jadi orang nusantara dulu kekal dengan kapal sederhana dan perahu kecil sahaja. Namun, masa berganti masa, tinggal lah ilmu untuk membuat perahu kecil sahaja sebagai satu-satunya yang belum ditelan zaman lagi. Zaman sekarang kita masih boleh tengok orang yang buat perahu, lagi-lagi dekat Kelantan dan Terengganu.
Cuma tu pun ramai dah tak nak ambil tahu, sebab kita sudah pun masuk era moden. Minat orang zaman sekarang pun mula berubah dan mungkin tidak merasakan aktiviti membuat kapal tradisional akan memberi keuntungan kepada mereka, jadi ada kemungkinan kita juga akan kehilangan ilmu membuat perahu kecil tradisional ni.
Oh ye, tak lupa juga penjajah-penjajah ni juga banyak mengambil manuskrip lama Nusantara dan bawa balik ke negara dorang tau. Semua manuskrip itu diambil masa zaman penjajahan dorang tu lah, dikatakan di Universiti Leiden, Belanda, terdapat beratus manuskrip Nusantara disimpan di sana. Kebanyakannya menggunakan tulisan jawi dan bahasa Melayu lama.
Bila kitorang check dekat arkib online dorang, memang ada sebenarnya! Dorang pun ada peta lama Selat Melaka, manuskrip dalam tulisan jawi semua tu. Adakah dorang dah kaji sehabis-habisnya? Itu kita tak tahu. Yang pasti, kita masih lagi tak tahu isi kandungan manuskrip itu, apakah ilmu yang ingin disampaikan oleh nenek moyang kita tu semua kita masih tak tahu.
Jika korang jenis cerdik pandai, daripada membaca tentang konspirasi ke apa, cuba lah mengkaji benda-benda macam ni. Ia lebih baik daripada mengkaji benda-benda yang mengarut. Tepuk dada tanya selera Ingat, tak perlu kita mengagungkan orang barat sangat. Ingat , warga Nusantara dulu merupakan Bangsa Pelaut Terulung!
- 164Share sekarang!
- Email9
- Facebook155
- Share