- 49Share sekarang!
- Email7
- Facebook42
- Share
Kalau korang kanak-kanak ribena yang lahir tahun 90-an dan ke atas, korang mesti kenal nama Datuk Azhar Mansor, pelayar negara pertama yang melayari lautan secara solo pada tahun 1999 meliputi seluas 21,600 batu nautika.
Beliau menghabiskan masa selama 190 hari dari mula tarikh pelayaran, sehinggalah berakhirnya perjalanannya dengan selamat tiba di Awana Porto Malai Resort, Langkawi di sambut oleh Perdana Menteri kita sendiri masa tu, Tun Mahathir Mohamad.
Walaupun kisah pengembaraannya cukup hebat dan cukup dikagumi ramai pihak, tapi… ada kisah yang lebih popular berbanding kisah pelayarannya tu sendiri iaitu bila…
Beliau pernah dituduh murtad
Kalau sekarang mak bapak kita senang terpengaruh melalui mesej Whatsapp dan Facebook, dulu pula kita dah ada penyebaran melalui e-mail dan SMS.
Datuk Azhar Mansor tak terkecuali daripada fitnah tersebut apabila namanya dibabitkan dalam sebuah fitnah di mana dia dikatakan cuba untuk menjalankan upacara baptism ke atas sejumlah orang Islam di sebuah gereja di Ipoh, Perak. Bukan sikit, tapi sampai 600 orang!
Kisahnya terjadi bila tersebarnya mesej pesanan ringkas yang berbunyi;
“Sejumlah melayu akan dibaptiskan oleh Dato Azhar Mansor esok di Gereja Silibin Ipoh. Seramai 600 pelajar Politeknik Ungku Omar Ipoh telah masuk Kristian. Pendedahan oleh Mufti Perak ptg td di masjid Negeri. Pagi esok 8 pg dmntrasi bantahan besaran depan gereja Silibin. Dtg bramai2 [obscured text] NGO2 Sebarkan Demi agama”
Datuk Azhar Mansor sendiri tak pasti macam mana berita tu boleh tersebar sebab pada waktu kejadian, dia tengah kerja di Langkawi, dan bukannya di Ipoh.
Tapi disebabkan dulu dia takde Facebook dan Twitter macam sekarang, jadinya susah la dia nak buat surat terbuka untuk bagitahu dia sebenarnya langsung tak terlibat. Malah fitnah tersebut semakin berleluasa pula dalam kalangan masyarakat kita pada zaman tu yang datang dari beberapa blog, yang salah satunya didakwa dari sebuah website Kristian dari Australia.
‘Jesus menjelma’ selepas pelayar tersebut diselamatkan ikan lumba-lumba
Menurut sebuah blog lama yang memetik dari sebuah website Kristian Sydney Anglicans website (tapi dah tak wujud), telah mendedahkan tentang seorang pelayar solo Malaysia yang telah keluar dari Islam dan menganut agama Kristian.
Menurut blog tersebut, tiang kapal layar utama pelayar solo tersebut telah pecah di sekitar Cape Horn, tapi beliau sempat sampai ke Kepulauan Falkland untuk memperbaiki tiang tersebut.
Salah satu versi dari kisah tersebut adalah
“Pelayar tersebut hampir lemas di lautan, tapi sempat diselamatkan oleh seekor ikan lumba-lumba, dan Jesus kemudian menjelma dan menyelamatkannya.” – petikan dari laman web tersebut.
Tak cukup dengan tu…
Nama Tun M yang turut terpalit sama
Blog tersebut juga mendakwa yang Azhar Mansor dikatakan berjumpa dengan Tun M dan mengaku kepadanya yang dia nak menukarkan agamanya kepada Kristian.
Nasihat Tun M kepada beliau pula adalah supaya beliau berhijrah secara senyap-senyap ke luar negara untuk mengelakkan masalah yang sama berlaku macam kes Lina Joy dulu.
Jadi dari situlah kisah dongeng ‘Azhar Mansor telah murtad dan menetap di Australia’ semakin merebak teruk, dan menjadi fitnah.
Yang lebih menarik, korang nak tahu siapa yang siasat ‘kes murtad’ Datuk Azhar Mansor ni?
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengarahkan kes ni disiasat
Merupakan Mufti Perak sejak 1985, Tan Sri Harussani Zakaria juga menerima SMS yang mendakwa sekumpulan orang Melayu dan Islam akan dikristiankan kat sebuah gereja, yang bakal diketuai oleh pelayar negara tersebut.
Bila polis trace balik siapa sebenarnya yang hantar mesej tersebut, penghantar SMS tu dikenali sebagai seorang wanita yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir.
“Setelah kembali (ke Malaysia), dia menyertai kumpulan mubaligh yang melakukan kerja sosial. Dia kemudiannya memeluk agama Kristian dan sekarang mendakwa telah kembali semula kepada Islam. Dia datang bersama suaminya (ke rumah saya) sehari sebelum Hari Raya.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari The Star.
Menurut Harussani lagi, wanita tu jugak bawa CD dan dokumen yang mengaitkan Azhar Mansor dengan upacara membaptis pelajar Melayu. Dia kemudiannya menyerahkan semua bahan tu kepada pihak polis untuk disiasat.
Dari situ, polis pun meneruskan pencarian wanita tersebut menggunakan gambar sisi wanita yang dipercayai diambil daripada salinan rakaman video cakera padat pengakuan dan pertemuannya dengan Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak tersebut.
Bagi membersihkan namanya pula…
Datuk Azhar Mansor membuat pengakuan terbuka di sebuah sidang media
Tak lama lepas tu, pihak polis berjaya menahan wanita yang dikenali sebagai Raja Sherina dan suaminya untuk membantu siasatan. Azhar Mansor pula membuat sidang media yang menafikan dirinya dengan dakwaan tersebut.
“Tanggungjawab saya, pegangan dan iman saya hanya pada Allah Ta’ala. Saya menjalani hidup mengikut hukum syarak dan undang-undang negara…
Tak pernah pun di mana-mana di dunia ini atau di negara ini saya membuat permohonan keluar dari Islam. Saya tak pernah bercadang pun untuk berbuat demikian.” – Datuk Azhar Mansor, Pelayar Negara. Dipetik dari Malaysiakini.
Tak cukup dengan pengakuan tersebut, abang beliau, Azham Mansor juga turut menafikan berita tersebut kepada media.
Disebabkan kontroversi murtad ni jugalah, Harussani ada mencadangkan supaya Akta Murtad diwujudkan untuk menyekat dan menghalang sebarang aktiviti memurtadkan umat Islam. Cadangan ni jugak disokong oleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid. Tapi malangnya, sampai hari ni pun akta tersebut masih belum digubal.
Fitnah akhir zaman yang berleluasa
Kalau cakap pasal keluar dari agama ni, ada urban legend yang lebih popular – iaitu Neil Armstrong, angkasawan pertama ke bulan yang masuk Islam selepas mendengar suara azan di bulan.
Malah disebabkan urban legend ni juga, sampaikan dia dibanjiri permintaan untuk datang ke pelbagai perayaan agama Islam di seluruh dunia. Malah terlampau banyak sampaikan dia terpaksa hantar surat ‘reject’ cara baik dengan menyangkal kisah dia masuk Islam ni kepada kedutaan dan konsulat di seluruh Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia.
Padahalnya, penipuan sebeginipun boleh diklasifikasikan sebagai fitnah akhir zaman. Tapi sedar atau tak, ini juga sebuah fitnah yang dah merebak dalam masyarakat, dan semacam menjadi benda biasa saja. Lagipun, kadang-kadang kita lebih suka benda yang kontroversi dari nak percaya kebenaran yang sebenarnya, tak sensasi macam kontroversi yang timbul macam kes Azhar Mansor yang keluar dari agama Islam ni dan Neil Armstrong yang masuk Islam.
Jadi, memandangkan sekarang ni info lebih mudah didapati di mana-mana, korang kenalah lebih bertanggungjawab dengan mengambil info dan hanya menyebarkannya dari sumber yang betul dan boleh dipercayai. Ingat, tak pasti jangan kongsi!
- 49Share sekarang!
- Email7
- Facebook42
- Share