[Click here to read this article in English. Dan kalau korang nak baca artikel kita untuk belah sebelah, klik sini!]
April ni full dengan macam-macam benda, selain dari nak tengok Avengers: Infinity War, kita jugak akan hadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Sementara tunggu Parlimen nak dibubarkan ni, kita dah dengar banyak pandangan dari penganalisis politik, NGO, mahupun ahli politik sendiri pasal pihak mana yang akan menang dalam PRU-14 nanti. Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH)?
Semua ni mesti jadi tumpuan, sebabnya pihak yang menang inilah yang akan memimpin dan menentukan nasib negara ni untuk lima tahun akan datang. Disebabkan perkara ni sangat penting, kitorang kat sini nak bagitau yang Barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihan raya ni. Sebabnya…
1. Bila PAS tak bersama dengan Pakatan, undi Melayu mesti akan berpecah
Seperti mana yang kita tahu, PAS dah pun berpisah dengan Pakatan Rakyat sebab tak boleh tidur sebantal dengan parti tertentu (terutamanya dengan DAP). Masa PRU-13 dulu, Pakatan Rakyat (kerjasama PKR, DAP, PAS dan SNAP) dah menang 89 kerusi dari 222 kerusi Parlimen (PAS menang 21 kerusi).
Untuk tubuhkan kerajaan, sesuatu parti atau kerjasama tu mestilah menang majoriti mudah – 112 kerusi dalam Parlimen. Jadinya, kalau kita tengok kat Pakatan Harapan (PH) sekarang ni, mesti diorang akan hilang beberapa kerusi sebab tak ada PAS dan tak dapat sokongan penyokong-penyokong PAS. Kat pihak BN pulak, hal ni dah tentu bagi kelebihan kepada diorang.
“130 kerusi Parlimen adalah majoriti Melayu dan PAS akan memecahkan undi pembangkang untuk pastikan UMNO menang.” – Prof Hoo Ke Ping, penganalisis politik. Katanya kepada Malaysian Digest.
Dalam hal ni, dah pasti yang PAS tak boleh nak letak calon kat semua kerusi. Tapi untuk kerusi yang diorang bertandingkan, mesti akan jadi pertandingan tiga penjuru. Bila jadi macam ni, peluang untuk BN menang majoriti lebih tinggi.
2. ‘Tsunami Cina’ untuk pembangkang dah merosot
Masa PRU-13, BN cuma dapat 13.4% je undi Cina. Disebabkan perkara ni, muncullah perkataan ‘Tsunami Cina’ yang merujuk kepada sokongan majoriti masyarakat Cina kepada pembangkang. Tapi dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan lepas PRU-13, hal ni dah menunjukkan sebaliknya.
Contohnya macam apa yang jadi kat Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada tahun 2014. Keputusannya, BN melalui GERAKAN berjaya rampas kerusi tu yang sebelumnya milik pembangkang. Apa yang lagi menarik, 42% pengundi kat kawasan ni adalah berbangsa Cina.
Selain tu, kita juga boleh tengok apa yang jadi kat Pilihan Raya Kecil Sungai Besar. BN berjaya menang kat kawasan tu dengan majoriti lebih 9000, yang mana disebabkan juga dengan sokongan pengundi Cina (Sungai Besar ada 31% pengundi Cina).
Dalam beberapa tahun nak menuju ke PRU-14 ni, kita juga ada dengar pasal skandal-skandal yang dikaitkan dengan pihak pembangkang, macam kes Ijok, terowong bawah laut Pulau Pinang dan perbalahan dalam PKR sendiri. Oleh itu, ada penganalisis percaya yang masalah-masalah ini tak akan buatkan 10% ke 15% pengundi Cina kembali ke BN.
“Beliau (Najib) ada mengingatkan kita, jika kita dapat 25% undi Cina dalam pilihan raya lepas, Barisan akan menang dua pertiga kerusi dalam Parlimen.” – Kata deligasi UMNO kepada The Star.
Tapi apa yang buatkan BN ada sebab lain untuk menang adalah…
3. Tanpa kejayaan besar kat Sabah dan Sarawak, PH sukar nak kuasai Parlimen
Dalam PRU-13, pembangkang boleh dikatakan menang kerusi yang paling banyak dalam sejarah diorang. Walaupun macam tu, ia sebenarnya cuma 40% dari keseluruhan kerusi Parlimen yang ada. Sebabnya, kemenangan diorang kat Sabah dan Sarawak taklah seberapa. Sabah dan Sarawak ada 56 kerusi Parlimen dari 222 kerusi, tapi pembangkang cuma menang 9 kerusi je.
“Tanpa kejayaan besar di Sabah dan Sarawak, PH perlu menang lebih kurang dua pertiga daripada kerusi di Semenanjung untuk mengambil alih Parlimen, yang mana ianya agak sukar.” – Laporan Financial Times Confidential Research (FTCR). Dipetik dari Free Malaysia Today.
Masa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2016, pembangkang bukan je dah hilang sokongan dari pengundi Cina, tapi juga dari keseluruhan pengundi seacara amnya. Dalam pilihan raya ni, BN dah berjaya tambah 17 kerusi dari jumlah kerusi yang diorang dapat dalam pilihan raya sebelumnya. Manakala, pembangkang hilang 5 kerusi.
Untuk maklumat, dari 16 kawasan majoriti Cina, pembangkang cuma menang 8 kerusi (dari 12 sebelumnya), manakala 8 kerusi lagi dikuasai BN. Walaupun macam tu, kemenangan ni juga dikaitkan dengan Pegerusi BN Sarawak (allahyarham) Adenan Satem yang buat dasar-dasar memihak kepada masyarakat Cina. Macam mengiktiraf sijil UEC dan bagi banyak peruntukan kewangan kat sekolah-sekolah Cina.
“Jika mereka mahu memenangi sokongan undi Cina dalam pilihan raya nanti, mereka perlu jadi moderat, liberal dan adil sebagai mana Adenan Satem.” – Dipetik dari The Straits Times.
4. Ekonomi dan mata wang Malaysia tunjukkan prestasi baik di bawah Barisan Nasional (BN)
Kalau kita nak tengok prestasi ekonomi negara, BN nampaknya dah buat perkara yang betul berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi. Pada tahun lepas, Bank Dunia ada melaporkan yang ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8%, iaitu yang terpantas sejak tahun 2014. Korang boleh baca kat sini.
“Kemajuan Malaysia dalam tempoh 20 tahun banyak berkait dengan dasar-dasar yang sedang digunapakai dan sejak Krisis Kewangan Asia.” – Ulrich Zachau, Pengarah Bank Dunia untuk Malaysia, Thailand dan Kerjasama Serantau. Dipetik dari Bank Dunia.
Selain tu, ada juga ahli ekonomi yang kata kekuatan ekonomi ni adalah hasil dari Progam Transformasi Negara (NTP) yang dilancarkan 8 tahun dulu. Perdana Menteri juga ada bagitau yang NTP dah berjaya wujudkan 2.26 juta peluang pekerjaan baru (69% dari 3.3 juta peluang pekerjaan baru yang dijanjikan). Kita juga boleh nampak peningkatan dua kali ganda untuk penyertaan wanita dalam kedudukan tinggi korporat.
“Negara ini secara amnya berada di landasan untuk merealisasikan matlamat bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.” – Dr Kamrudin Mohd Nor, Ketua Penyelidik Ekonomi MIDF. Dipetik dari New Straits Times.
Tak cukup dengan tu, mata wang Malaysia juga dah berkembang dengan mantap, malah tersenarai sebagai antara mata wang yang paling berprestasi di Asia. Selain tu, Bank Dunia juga ada menjangkakan yang kadar pertumbuhan Malaysia akan berterusan sampai tahun depan, jadinya apa yang selama ni kerajaan buat memang betul-betul menjadi.
5. Bajet 2018 bagi banyak kebaikan untuk rakyat Malaysia
Mungkin ada yang dengar siaran langsung masa PM Najib bentangkan Bajet 2018 hari tu. Kalau korang nak tahu, kesan dari pengumuman bajet ni, ia dah mempengaruhi pandangan rakyat terhadap PM Najib. Buktinya, kajian dapati hanya 25% je rakyat yang tak puas hati dengan Bajet 2018 ni. Sebaliknya, hampir 50% responden pulak kata yang diorang percaya bajet ni dapat kurangkan kos sara hidup.
Malah, kajian ni juga tunjukkan peningkatan 12% ukuran puas hati rakyat dengan cara kepimpinan PM Najib dari tahun sebelumnya.
“Menariknya dari kesemua etnik yang ditinjau, masyarakat India mencatatkan jumlah tertinggi dengan 56 peratus menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Pedana Menteri.” – Prof Datuk Dr Syed Arabi Idid, dipetik dari Malay Mail Online.
Jadinya kat sini, bukan je masyarakat Cina, tapi masyarakat India juga suka cara PM Najib memimpin.
6. Persempadanan semula kawasan pilihan raya nampaknya bagi kelebihan kepada BN
Seperti mana yang kita semua tahu, usul persempadanan semua kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dah pun diluluskan Parlimen dan dapat perkenan dari Yang Dipertuan Agong. Walaupun macam tu, persempadanan semula ni dapat banyak kritikan sebab ia dilihat cuma akan bagi kelebihan kat BN. Tapi bila dikaji, nampaknya macam betul je dakwaan tu.
Dari 98 kerusi yang disempadankan semula, sebahagian besarnya berlaku kat Selangor, jadinya kitorang akan cuba jadikan Selangor sebagai contoh. Pada asalnya, BN dijangka akan bergelut kat 7 kerusi dengan pembangkang berdasarkan keputusan pilihan raya dulu. Tapi disebabkan persembadanan semula ni, rasanya benda tu tak jadi sebab kawasan pro-BN dah dipindahkan ke kawasan yang pembangkang menang dengan majoriti kecil.
“Ini kerana daerah pengundian yang pro-pembangkang akan dipindahkan ke kerusi milik DAP manakala daerah pengundian yang pro-BN pula dipindahkan ke kerusi marginal, yang kebanyakannya dimenangi oleh PKR, DAP dan AMANAH.” – Dipetik dari Malaysiakini.
Kita juga kena ingat bila SPR buat persempadanan semula pada tahun 2003 dulu, BN dah menang 90% kerusi dengan 64% undi popular dalam PRU-2004.
Tapi mesti ada satu isu yang korang rasa macam kurang kan? Kitorang sebenarnya saja je nak letakkan isu ni kat bahagian akhir.
7. Rakyat dah tak berapa kisah sangat pasal isu 1MDB
Inilah isu yang selalu kita dengar kat media tempatan atau antarabangsa dan dari pihak pembangkang sendiri. Isu ni jugaklah yang dah merosakkan imej Perdana Menteri – Najib Razak. Walaupun macam tu, berdasarkan satu kaji selidik yang dikeluarkan tak lama dulu, ia dah tunjukkan yang PM Najib sebenarnya tak payah risau sangat pasal isu 1MDB ni.
Dalam kaji selidik tu, ia dah menunjukkan yang ada tiga kebimbangan utama rakyat Malaysia sekarang ni, dan perkara tu adalah inflasi (68%), rasuah (36%) dan peluang pekerjaaan (19%). Tapi apa yang menariknya, kebimbangan pasal tuduhan integriti PM Najib dan skandal 1MDB cuma 3% dan 2% je.
“Tuduhan rasuah 1MDB dianggap sebahagian besarnya sebagai ‘berita lama’ oleh kebanyakan pengundi-pengundi penting Melayu di luar bandar.” – James Chin, Penganalisis Politik dari University of Tasmania. Dipetik dari New Straits Times.
Selain tu, kekurangan bukti dan mungkin jugak sebab letih dengar pasal hal ni jadikan orang tak berapa lagi ambil pot pasal 1MDB. Tapi sebaliknya, pandangan pengundi terhadap Pakatan Harapan pulak yang agak membimbangkan. Sebabnya, survey ni dapati cuma 13% ke 21% je yang gembira dengan pakatan politik ni.
BN bukan je akan menang, tapi diorang sebenarnya akan MENANG BESAR
Kalau sekadar nak kata yang BN akan menang dalam pilihan raya, tu sebenarnya tak berapa betul. Sebabnya, diorang bukan je akan menang, tapi sebenarnya menang besar dengan dapat semula majoriti 2/3. Bukan kitorang je yang cakap, tapi ada penganalisis lain yang setuju:
“Ramalan saya mudah, BN akan menang dengan majoriti besar di mana mereka akan memenangi sekurang-kurangnya 160 kerusi Parlimen kerana PAS akan memecahkan pembangkang dan lebih dari 30 peratus undi Cina akan kembali kepada BN.” – Prof Hoo Ke Ping, katanya kepada Malaysian Digest.
Dan juga pandangan…
“Najib begitu yakin dengan strategi ini yang mana dia telah memberitahu orang dalamannya bahawa UMNO menyasarkan untuk mengambil 140-160 kerusi dari 222 kerusi Parlimen.” – James Chin, Penganalisis Politik dari University of Tasmania. Dipetik dari New Straits Times.
Buat masa ni, apa yang penyokong Pakatan Harapan (PH) boleh buat adalah berharap yang PH tak kalah teruk dalam pilihan raya nanti. Lagipun tak dinafikan yang BN dah sumbang macam-macam untuk negara ni dan ia juga mungkin kesan dari pengawasan dan perhatian pembangkang selama ni.