- 1.9KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.9K
- Share
Cerita politik di Malaysia takkan pernah habis. Macam-macam drama yang kita dengar, sama ada dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan juga PAS. Kalau Pakatan Harapan yang jadi kerajaan, ada berita hangat mengenai keputusan Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson. PAS pula dengan isu pakaian seragam Jabatan Amal di Muktamar PAS serta keputusan Dewan Pemuda mereka yang sokong bergabung dengan parti lain termasuk UMNO.
Untuk Barisan Nasional, selain isu kepimpinan tertinggi mereka yang datang ke muktamar PAS, ada berita keluarnya Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa dari UMNO lepas berkhidmat 40 tahun dengan parti tu. Tok Pa keluar kerana berpendapat yang hala tuju UMNO dah tak selari dengan prinsip politiknya. UMNO sepatutnya menjadi parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. Tak boleh hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera sahaja.
Keluarnya Tok Pa dah mengejutkan ramai pihak sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang. Ketua Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin juga mengakui yang dia adalah ‘budak baik di dalam UMNO. Kali ni, kami dari SOSCILI nak senaraikan beberapa kehebatan Tok Pa yang ramai tak tahu.
1) Anak Melayu pertama dapat ijazah kelas pertama dalam bidang ekonomi di Universiti Melbourne
Universiti kedua tertua di Australia adalah Universiti Melbourne yang dibangunkan pada tahun 1853. Memang ramai orang Malaysia yang belajar kat sana sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain. Apa yang ramai tak tahu, Tok Pa adalah orang Melayu pertama mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang ekonomi di Universiti Melbourne. Kemudiannya, dia mengambil Master dalam bidang Pembangunan Ekonomi di Universiti Boston.
Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin adalah orang yang bertanggungjawab membawa dia ke kancah dunia politik. Tun Daim dah ambil Tok Pa bekerja di syarikatnya waktu tu. Sebulan kemudian, Tun Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan. Dia membawa masuk Tok Pa ke kementerian itu.
Dia kemudiannya dilantik menjadi Setiausaha Politik sebelum bertanding di Jeli, Kelantan. Pertama kali bertanding di Parlimen Jeli adalah pada tahun 1995. Dia menang dengan majoriti 572 sahaja mengalahkan calon dari Parti Semangat 46. Pada PRU 1999, dia kalah kepada calon PAS dengan majoriti mudah juga iaitu 693. Bila kalah, dia pun tak ada lah kerja. Jadinya, Daim ambil dia jadi penasihat menteri sebab nak bagi gaji.
Apa yang mengejutkan, dia pernah dicadangkan untuk menjadi gabenor Bank Negara. Tapi, menurut Daim, mulut dia banyak sangat keluar kenyataan politik yang tak berapa sesuai dengan peranan gabenor yang kena nampak neutral. Maka, Daim berbincang dengan Tun Mahathir ketika itu, untuk menjadikan dia Ketua Penerangan UMNO.
“Kita fikir macam mana dia nak jadi ketua penerangan? Mustapa orang baik, dia lurus, jadi ketua penerangan kena pandai jawab dan pusing sikit, tetapi akhirnya dia menang balik dalam pilihan raya umum selepas itu.”- Tun Daim, petikan dari FMT.
2) Tiap hujung minggu akan pergi melawat rakyat di Jeli dan sertai majlis kenduri yang ada
Selepas kekalahan di PRU 1999, dia tak pernah kalah kemudiannya di Parlimen Jeli walaupun kebanyakannya dikuasa PAS di parlimen lain. Dia bertemu musuh politik yang sama dari PAS, Mohd Apandi Mohamad dalam PRU 2004, 2008, 2013 dan 2018 yang terbaru. Semuanya Tok Pa menang dengan majoriti 4,000 ke atas. Tak macam dulu, ratus-ratus je. Mesti ada sesuatu yang buat dia menang secara berterusan kan?
Dilaporkan yang Tok Pa ni akan cuba balik setiap hujung minggu bagi menziarahi rakyatnya di Jeli. Di kampung, memang boleh tengok dia hanya pakai T-shirt dan membonceng motor apabila bertemu orang kampung. Lawatannya akan terisi dari siang sampailah ke malam. Dia akan bertemu dengan petani, nelayan, peniaga kecil, pegawai kerajaan, wakil NGO, orang dari sektor korporat dan ahli politik terutamanya akar umbi UMNO.
“Dia akan melawat sekurang-kurangnya 10 rumah dan hadir kesemua majlis yang dibuat oleh orang kampung.”- Roslan, rakyat Jeli petikan dari FMT.
Inilah cara untuk Tok Pa mendapatkan maklum balas mengenai permasalahan rakyatnya. Dia bukan sekdar mendengar keluhan sahaja, dia betul-betul dah majukan Jeli dengan beberapa kemudahan baru yang mengubahnya dari pekan kecil menjadi sebuah bandar.
3) Dulu buka tempat tuisyen percuma di rumah, kemudiannya membawa masuk IPTA di Jeli
Bagi Tok Pa, tumpuan utama nak bangunkan Jeli adalah melalui pendidikan. Dia sendiri pada mulanya buat program tuisyen di kediamannya sendiri, Darul Falah bermula tahun 1996. Pusat tuisyen percuma ni bagi penekanan terhadap Bahasa Inggeris dan Matematik supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bermula dari UPSR. Usaha terbukti berhasil apabila ramai anak Jeli yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Selain itu, tuisyen ini juga mendedahkan pelajar-pelajar kepada perkembangan semasa pendidikan negara. Oleh itu, Tok Pa telah mengatur dan membawa pelajar-pelajar serta pensyarah-pensyarah dari IPTA dan IPTS seperti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Monash University, Taylor Collage dan Sekolah Antarabangsa Allice Smith.”- Hanafi Mat Yunus, Penyelaras Aktiviti Pendidikan Darul Falah, petikan dari Utusan.
Dalam sektor pendidikan lain, perkara yang paling dia puas hati sepanjang dia menjadi ahli parlimen Jeli adalah membawa masuk sebuah IPTA di Kelantan iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Universiti ni melibatkan tiga pembinaan kampus termasuk kampus induk di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli, kawasan parlimennya sendiri.
Idea nak tubuh UMK ni dah lama hinggalah pada tahun 2004. Waktu tu, dia pegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk jaga Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menyediakan peruntukan. Pada masa tu, Perdana Menteri, Pak Lah umumkan penubuhan UMK.
“Selepas sebulan Pak Lah umum dalam parlimen, (2006) saya dihantar pula (dilantik Menteri) ke Kementerian Pengajian Tinggi, masa itulah hendak laksanakan UMK… Tuhan yang maha kuasa,”- Tok Pa, petikan dari Sinar Harian.
Bukan setakat UMK, dia juga dah berjaya bawa masuk MRSM, politeknik, kolej komuniti, Pusat Giat Mara, Sekolah Menengah Sains dan berpuluh sekolah rendah, menengah dan agama dibina di jajahan ini.
4) Membina pondok moden dan mengkritik perpaduan di masjid Kelantan
Selain dari selalu turun padang, dia juga diakui kuat pegangan agamanya. Penduduk juga ada laporkan yang selalu nampak Tok Pa akan sembahyang di surau dan masjid yang berbeza setiap kali dia melawat orang kampung. Pada PRU 2004, dia dah berjanji kepada penduduk Jeli untuk membina sebuah Pusat Dakwah Jeli (PDJ) atau Pondok Moden di Jedok, Bukit Bunga.
Selain tu, masjid dan surau dibina baru dan dinaiktaraf serta pembinaan Pusat Dakwah Jeli atau Pondok Moden untuk memastikan program dakwah dibuat dengan bersistematik. Pada tahun 2008, PDJ ni dah berjaya dibina di atas tapak seluas 1.6 hektar yang menempatkan surau, asrama, dewan kuliah dan kemudahan riadah.
“Tumpuan utama penubuhan pusat ini bagi memberikan kesedaran kepada penduduk Jeli terutama pelajar supaya dapat mendalami ilmu agama dengan betul, sekali gus menjadikan mereka insan bertakwa yang mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara.”- Tok Pa, petikan dari Utusan.
Namun, dia tak berpuas hati dengan perpecahan perpaduan di masjid dan kampung-kampung di Kelantan. Ini berlaku kerana ada pihak yang keluarkan kata-kata yang tajam dan amat mendukacitakan. Baginya, masalah perpaduan bagi rakyat Kelantan adalah kerana perbezaan fahaman politik dan ia harus dipulihkan segera demi keharmonian dan kesejahteraan.
5) Berjuang untuk dapatkan lapangan terbang dan lebuhraya di Kelantan untuk tarik pelabur
Kelantan sejak 1990 di bawah pentadbiran PAS sangat ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding negeri lain menurut Tok Pa. Impian dia supaya Kelantan mendapat infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja nak bagi rakyat senang, tapi boleh tarik pelabur untuk melabur di negeri Kelantan.
Infrastruktur yang paling diperlukan adalah lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan, lebuh raya, sistem jalan raya terbaik serta bekalan air yang stabil dan mencukupi sesuai dengan keperluan industri. Benda lain yang dia rasa perlu utamakan adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengelakkan orang muda Kelantan berhijrah ke negeri lain untuk cari pekerjaan.
“Saya nak infrastruktur yang lebih baik, saya berjuang untuk lapangan terbang, lebuh raya kerana ini antara yang terpenting untuk Kelantan.”- Tok Pa, petikan dari Sinar Harian.
Apa yang disebut Tok Pa ni nampaknya dilakukan sendiri di kawasan Parlimennya. Sewaktu menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dia telah membawa masuk pembinaan Jambatan Persahabatan Malaysia-Thailand . Jambatan sepanjang 120 meter yang merentangi Sungai Golok serta menghubungkan Bukit Bunga, Jeli dengan Ban Buketa, Narathiwat. Selain mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-Thailand, ia turut menambah lagi kemasukan pelancong.
Kalau nak tahu, di sebelah Malaysia jambatan ni dilengkapi dengan Kompleks Imigresen Bukit Bunga. Kat sinilah ada Jabatan Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan dan Jabatan Haiwan.
Tok Pa ada gaya kepimpinannya yang tersendiri di Jeli
Mungkin ramai yang ingat lagi gambar viral Tok Pa tengah duduk menunggu giliran di Hospital Kuala Lumpur. Waktu tu dia kena ruam teruk lepas pulang dari luar negara. Rupanya, memang dia dah biasa jadi macam kita rakyat bawahan ni terutamanya di Kelantan. Untuk janji-janjinya di Jeli, dia dah berjaya kotakan satu persatu sedikit demi sedikit. Dulu kalau lalu kawasan Jeli, akan nampak sepanduk ‘Janji Dikota’ bersama wajah Tok Pa. Sepanduk tu bagi makna mendalam kepada rakyat Jeli.
“Kalau saya letih kerana penat bekerja atau ada masalah, mari ke Jeli saya terhibur dengan apa yang saya lihat kerana inilah pemikiran saya, perancangan saya, dan sumbangan saya secara langsung kepada pembangunan Jeli sekarang, inilah kepuasan saya.”- Tok Pa, petikan dari Sinar Harian.
Apa-apa pun lapangan politik Tok Pa pada masa mendatang. Harapnya dia dapat menjadi contoh kepada yang lain untuk bantu rakyat di kawasan sendiri dengan bersungguh. Janganlah hebat isu nasional, tapi tempat sendiri merana. Bak kata pepatah, ‘menang sorak, kampung tergadai”.
- 1.9KShare sekarang!
- Email9
- Facebook1.9K
- Share